Pages

Wednesday, November 20, 2013

Filem, lagu segan berbahasa Melayu



Seorang sarjana bahasa yang sudah sedekad tidak menemui penulis menegur: “Lama kita tak jumpa. Maklumlah sama-sama busy. Jom kita ke cinema, tengok movie, banyak filem latest terutama love story.  After that kita boleh lunch kat food court atau high tea!’

Apabila ditegur penggunaan bahasa rojaknya, dia melawak: “Dont worry, Awang Sariyan (Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka [DBP], Datuk Dr Awang Sariyan) tak tahu. Off the record. Be happy. Hanya we all.”

 Penggunaan bahasa  rojak hampir menjadi sebahagian daripada citra rakyat Malaysia. Tiada siapa yang rasa bersalah menggunakan bahasa bercampur aduk dan slanga. Lebih malang tiada peraturan yang melarang penyampai radio dan televisyen menggunakan bahasa yang tidak betul. Justeru, ada personaliti yang menjerit dan melalak dengan bahasa slanga dan rojak. Anehnya mereka menjadi pujaan rakyat Malaysia dan dianggap ikon generasi muda.

Ada sebuah filem yang bertemakan kehidupan bobrok dan  samseng menggunakan bahasa yang tidak senonoh. Pelakon wanita sambil membonceng motosikal menjerit: “Gua punya sukalah. Dia balak gua!”
Ungkapan ‘balak’ membawa konotasi yang tidak wajar. Menjijikkan apabila gadis menyebut secara terbuka sambil menambah “Balak tu dah banyak kali tonggeng gua, apa lu kisah!”

Hari ini ungkapan balak, lu,  gua, cilok, sempoi, antoo dan macam-macam  lagi bukan suatu keanehan. Ungkapan yang entah dari mana hampir menjadi pengucapan segelintir anak muda. Ia tidak memeranjatkan apabila banyak filem yang kononnya mahu menarik perhatian generasi muda memilih tajuk yang tidak wajar. Filem  Aku Kaya The Movie,  Remp-It , Antoo Fighter,  Azizah The Legend,  Cinta U-Turn,  Cintaku Forever,  Driving School,  Geng The Movie,  Gadoh, Baik Punya Cilok,  Boss  dan  Gerak Khas The Movie pernah singgah di panggung atau ruang tamu rumah kita. Ketepikan soal nilai atau bahasa. Mereka lebih utamakan sasaran iaitu generasi muda. 

 Banyak juga filem dan drama Melayu yang menggunakan bahasa rojak dan Inggeris seperti  I'm Not Single,   Los Faun, Mr Cinderella dan    Sayang You Can Dance.

Persoalannya, kenapa filem tempatan membelakangi bahasa kebangsaan dan mengutamakan identiti asing. Berapa ramai rakyat asing yang menonton filem Melayu? Golongan manakah yang paling banyak menonton filem Melayu di pawagam dan ruang tamu?   

Lebih malang penerbit pula tidak mempedulikan penggunaan bahasa yang tepat dan sesuai dengan naluri tempatan. Mereka lebih mengutamakan keuntungan terutama sasaran kepada generasi muda.

Tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan pengusaha filem mengutamakan bahasa Melayu yang tepat. Kita yakin DBP tidak dirujuk bagi mengolah sesebuah skrip atau tajuk filem. DBP dianggap tidak penting dan program audit bahasa hanya dianggap untuk sektor kerajaan semata-mata.

Lebih malang DBP tiada kuasa penguatkuasaan. Agensi berkenaan hanya boleh menegur dan memberi pandangan. Tidak ada tindakan undang-undang bagi mana-mana pihak untuk menidakkan penggunaan bahasa Melayu yang sesuai. 

Kes yang sama juga berlaku dalam industri muzik tempatan.  Dakwaan penyanyi hip hop  menggunakan bahasa slanga tidak boleh dipandang ringan.   Penggunaan bahasa rojak termasuk kecenderungan pencipta mencampur aduk bahasa Melayu dan Inggeris dalam lirik lagu  mencemar kedaulatan  bahasa kebangsaan.

Walaupun karya  berkenaan  popular dan enak didengar bagi sesetengah pihak, ia memberi kesan kepada generasi muda yang menjadi peminatnya. Bayangkan jika bahasa yang salah itu digunakan di dewan peperiksaan!  
 DBP pernah diundang  stesen televisyen swasta untuk menggunakan bahasa yang betul bagi  memartabatkan bahasa dan menjadi  rujukan awam. Kesannya masih menjadi rahsia umum.

Bagaimanapun kehadiran segelintir golongan yang mempertikaikan keunikan bahasa Melayu tidak boleh dipandang ringan.  Bukan saja kalangan pemuzik dan artis, malah ada negarawan yang secara terbuka meragui kemampuan bahasa Melayu untuk subjek Sains dan Matematik.
Jika dulu isu pengantar subjek Sains dan Matematik dianggap selesai, kini timbul kembali. Moral cerita, bahasa Melayu masih dipersendakan walaupun Malaysia sudah 56 tahun merdeka.

Ramai dalam kalangan kita masih meragui jati diri dan nilai ekonomi bahasa Melayu. Justeru, tidak memeranjatkan apabila model kereta nasional menggunakan nama yang begitu asing kepada moyang kita sendiri. Bahasa Melayu sentiasa menerima cabaran di persekitarannya sendiri. - berita harian 19 november 2013

1 comment:

Pak Kadok said...

Kalau kita mengharapkan stesen radio terutamanya milik pihak swasta memikul peranan sebagai agen penyalur sumber maklumat, sudah tentu kita akan kecewa.

Ini adalah kerana selain berpeluang mendengar celoteh DJ mereka yang terjerit-jerit bertutur di dalam slanga yang menyakitkan telinga kemudiannya buat lawak sendiri dan ketawa sendiri, sebenarnya tidak ada sesuatu pun yang boleh dibanggakan di sana, kecuali disanalah lubuk tempat kapitalis mengaut keuntungan hasil mentaliti kebanyakan kita yang ‘tidak sihat’ di samping berselera rendah untuk menelan bulat-bulat apa sahaja yang disumbat.

Lupakan sahaja tentang hasrat kearah memartabatkan bahasa kebangsaan, kerana itu semua tidak penting. Itu juga bukanlah merupakan sebahagian agenda mereka.

Apa yang lebih penting bagi mereka ialah sebagai contoh : apabila ada DJ mereka berkahwin 4 ataupun ada DJ mereka yang meletakkan jawatan secara mengejut, itu adalah lebih bermanfaat untuk diriuhrendahkan di ruang udara.

Peliknya benda-benda yang remeh temeh, yang sampah sarap serta bersifat ‘di dalam kain’ seperti itulah, yang orang kita cukup suka.