Pages

Tuesday, April 22, 2014

Datang dan hilang sasterawan Malaysia

Saya pelanggan tetap Dewan Sastera (DS) sejak Januari 1980 hingga Januari 1992. Tempoh 12 tahun cukup mengingatkan saya akan beberapa nama yang begitu besar dalam pelbagai genre kesusasteraan. Ada yang kekal menulis dan ramai juga langsung tidak berkarya.

Tempoh masa 1980 hingga 1992 adalah period pengkaryaan saya. Beberapa sajak saya disiarkan DS dan ada di antaranya yang menang Hadiah Sastera Malaysia (kini Hadiah Sastera Perdana). Sepanjang 1992 hingga Disember 2012, saya tidak membaca apatah lagi membeli DS. Bukan saya memboikot majalah yang pernah digerakkan  oleh Sasterawan Negara Datuk Usman Awang yang akhirnya banyak menyiarkan karya pengarang terbaik Malaysia. Alasan saya berhenti membeli atau membaca DS ada dua sebab. Pertama: Edaran DS amat terbatas di Lembah Klang. Walaupun saya tinggal dan bertugas di tempat yang tidak jauh dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang juga penerbit DS, saya sukar untuk melihat DS berbanding majalah popular yang lain.

Ramai rakan penulis di Kota Bharu dan Kuala Terengganu memaklumkan mereka senang memperoleh DS setiap bulan. Saya rasa ralat dan  perlu ke DBP untuk beli DS sedangkan majalah lain boleh dibeli di mana-mana.  Saya tidak salahkan DS apatah lagi DBP. Masalah pengedaran berpunca daripada kelemahan pihak lain dan DS atau DBP menjadi mangsa keadaan. Alasan ini mendorong saya membuat keputusan yang drastik. Seseorang pengguna harus mendapat bekalan yang dikehendaki secara tepat dan mengikut jadual. Jika DS tidak ditemui pada masa yang ditetapkan, saya masih membaca pelbagai majalah sama ada tempatan atau luar negara. Majikan saya menyediakan peruntukan bulanan untuk karyawan membeli majalah atau buku. Setiap bulan saya perlu membeli bahan bacaan kerana hampir setiap hari saya membaca dan terus menulis. Justeru, ketiadaan DS menjejaskan sedikit pengetahuan saya mengenai perkembangan sastera secara formal.

Kedua, saya perhatikan ramai penulis yang suatu ketika gah menulis dan banyak mendapat sorotan pengkaji dan sarjana sastera, akhirnya menghilangkan diri. Saya hairan kenapa penulis yang tiba-tiba meledak seperti Moechtar Awang yang dua kali menang hadiah penghargaan Anugerah Puisi Putra dengan kumpulan puisi ‘Pasrah’ dan ‘Qaf’ pada awal dekad 1980-an tidak menulis lagi. Selain Moechtar, ramai lagi penulis yang pernah mesra dengan saya seperti Halim Yazid, Roslan Mamat dan Asmui Mustaffa tiba-tiba menghilangkan diri.

Saya suka karya mereka dan saya rasa ketiadaan karya mereka  di DS secara tiba-tiba menjejaskan usaha mencari penulis pelapis 1980-an yang agak rapuh. Saya tak salah DS tapi saya salahkan keadaan yang menyebabkan penulis yang aktif suatu ketika tidak lagi aktif pada masa yang lain.
Tempoh  1980 hingga 1992 adalah detik saya mendekati DS dan berhenti untuk beberapa tahun. Hanya September 2007 saya membeli DS kerana menyiarkan beberapa sajak saya hasil permintaan editor DS ketika itu, iaitu Rozninah Abd Azib. Ada  sajak dan cerpen yang tersiar ketika itu dilahirkan penulis baru yang saya tidak kenali. Saya harus akur dengan perubahan masa dan massa. Penulis datang dan pergi. Kita harus membimbing bakat baru tapi pada masa yang sama perlu dicari punca kenapa ramai penulis yang suatu ketika dulu begitu ghairah berkarya tapi tidak menulis lagi.

Sejak Januari 2013 hingga Disember lalu, saya berkesempatan membaca DS. Ada hamba Allah yang yang sedekahkan DS dan saya bersyukur kerana berpeluang membacanya semula walaupun masih sibuk dengan jadual tugasan termasuk menjadi kolumnis ANALOG yang siarkan Berita Harian (BH) sejak 14 Ogos 2009. Saya terpaksa utamakan kolum berkenaan yang banyak mendapat reaksi ramai. Malahan tulisan kolum tersebut apabila ‘dipindahkan’ ke blog peribadi imlanadabi.blogspot.com sentiasa ada penjenguknya.
Saya dapat rumuskan ramai  penulis silih berganti kerana karya sastera tidak pernah mati. Yang mati adalah semangat untuk terus menghasilkan sajak, cerpen, naskhah teater dan novel.   Bagi sesetengah penulis, perubahan zaman mengubah perwatakan mereka. Jika dulu aktif menulis dan menghidupkan acara seni, sekarang tanggungjawab kekeluargaan lebih diutamakan. Ada yang mati tanpa karya mutakhir, ada juga yang  tidak mati tapi tidak berkarya lagi.

   Mereka terpaksa melihat satu demi satu penulis baru yang muncul dengan pelbagai rencam. Mereka terpaksa akur era seni dirinya sudah lama berlalu kerana karya tidak pernah menanti seseorang untuk tempoh yang lama.   Perubahan masa bagai daun berguguran, seperti juga bait yang menghidupkan karya seni. Masa datang dengan pengalaman  yang akhirnya menggerakkan seseorang untuk berkarya dan pada masa yang lain, akan mengundur dan menyendiri tanpa karya.

   Seperti kata Chairil Anwar (26 Julai 1922–28 April 1949), masa muda kaya pancaroba, justeru usia muda membawa seseorang mencipta nama yang hebat dalam kehidupan.   Seperti Chairil yang mati muda ketika usia 26 tahun, dia sudah membariskan karya berbobot yang sehingga kini masih menjadi kajian sarjana. Digelar sebagai ‘Si Binatang Jalang’ yang diangkat daripada karyanya ‘Aku’, Chairil menulis 96 karya, termasuk 70 puisi. Bersama Asrul Sani dan Rivai Apin, dia dinobatkan oleh HB Jassin sebagai pelopor Angkatan 45, sekali gus pejuang puisi moden Indonesia.

   Ulama dan sasterawan tersohor Hamka (Prof Dr Haji Abdul Malik Karim Amrullah) yang pernah berpengalaman mendekati Chairil sekadar menyatakan kekaguman terhadap penulis berkenaan.   Dalam bukunya ‘Kenangan-kenangan hidup -  autobiografi sejak lahir 1908 sampai 1950’, Hamka mencatatkan Chairil manusia aneh, hebat dan tiada siapa yang mampu tinggal serumah dengannya pada waktu yang panjang.   Kekaguman dan kekuatan seseorang mungkin kerana usia mudanya. Usia tuanya akan mematangkan karya atau tidak menghasilkan karya lagi. Ada polemik yang mengatakan Chairil mungkin tidak menulis pada usia 50 tahun kerana cita rasa sudah berubah, keperluan kehidupan harus  mengikut zaman dan mungkin puisi hanya sebahagian daripada tinggalan lampau kehidupannya.
 
 Banyak penulis Malaysia yang melahirkan karya malar segar pada usia muda tidak mampu mengulangi ketika era tuanya.   Baha Zain tidak lagi mampu melahirkan kumpulan  puisi sehebat  ‘Perempuan dan Bayang-Bayang’ atau ‘Dari Kertas Catatan Tengah Malam’ yang menjadi perhatian panel sastera sejak dekad 1970-an. Keadaan sama juga dialami A Latiff Mohidin yang dianggap perenung  alam menerusi ‘Sungai Mekong’ dan Kembara Malam’, tapi kini puisinya semakin menyepi.   Kita mempunyai ramai karyawan besar sejak dekad 1950-an. Usman Awang jika masih ada mungkin gagal melahirkan ‘Uda dan Dara’ atau ‘Pak Utih’ ketika situasi semasa yang tidak mengizinkan. Pak Sako mungkin tidak lagi  mampu melahirkan karya sinikal ‘Anak Mat Lela Gila’  atau A Samad Said secara jujur harus mengakui betapa ‘Daerah Zeni’ dan ‘Hujan Pagi’ tidak sehandal ‘Salina’ yang dianggap karya malar segar Malaysia.

   Banyak penulis yang datang dan pergi. Pada dekad 1980-an,   kehadiran Awang Abdullah, Marsli NO, Ujid Darmawan, Swanlerd Propoul, Nawawee Muhammad, Gunawan Mahmud dan Daeng Ramli Akil memberi gambaran mereka di antara karyawan penting yang bakal memeriahkan situasi sastera mutakhir.   Malangnya sehingga kini hanya Marsli yang masih bertenaga dan yang lainnya semakin terpinggir atau meminggirkan diri. Dalam kalangan generasi 1990-an, hanya nama Rahimidin Zahari, SM Zakir dan beberapa rakan mereka yang masih menjadi tumpuan massa. Yang lainnya kian terpencil atau memencilkan diri. Ada beberapa alasan yang menyebabkan seseorang penulis kreatif berhenti menulis. Ada isu peribadi kerana tidak berminat lagi atau alasan kesibukan tugas selain berkeluarga. Bagaimanapun kes yang menimpa Faisal Tehrani juga boleh menjejaskan tumpuan dan minat beliau untuk terus berkarya.  Saya secara peribadi mentelaah beberapa karya  Faisal. Karya, catatan dan pemikirannya menjadi tumpuan ramai. Novelnya dianggap visi baru selepas dua Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan Datuk Shahnon Ahmad meneroka pemikiran kritis dan kreatif.  Faisal menerusi novel  ‘Perempuan Nan Bercinta’ dan  ‘Sebongkah Batu Di Kuala Berang’; kumpulan cerpen  ‘Tiga Kali Seminggu’,  drama pentas ‘Karbala’  dan kumpulan puisi ‘Ingin Jadi Nasrallah’ mempunyai idea yang tersendiri dan wajar diwacanakan.  Karya berkenaan diragui  kerana dianggap bertentangan dengan pemikiran massa di negara ini. Jika benar penulis berkenaan terbabit dalam penyebaran ajaran Syiah, beliau perlu dikenakan tindakan. Jika tiada bukti, Faisal wajar dibenarkan berkarya kerana kaedah kajian hasil kreatif tidak sama dengan matematik atau sains.

 Isu Syiah memerangkap penerima Anugerah Seni Negara pada  2006 ini. Adakah benar beliau penganut Syiah atau sekadar mengemukakan latar belakang Iran dalam karya sebagai suatu kelainan berbanding karya tempatan yang lain? Dalam konteks semiotik, Faisal dan Iran ada hubungan tersendiri. Kewujudan ‘Tehrani’ pada hujung nama mungkin membawa maksud Teheran iaitu ibu negara Iran. Hanya Mohd Faizal Musa yang memahami maksud nama samarannya.

Saya akui  Faisal mempunyai pengaruh yang tersendiri terutama dalam kalangan generasi muda. Novel  ‘1515’, ‘1511H Kombat’, ‘Perempuan Politikus Melayu’, ‘Detektif Indigo’, ‘Advencer Si Peniup Ney’, ‘Bedar Sukma Bisu’ dan ‘Cinta Hari-Hari Rusuhan’ menjadi kesukaan generasi muda. Pemikiran dan persoalan yang ditampilkan dalam karya berkenaan dibincang dan diperdebatkan.  Kita menentang sebarang unsur Syiah dalam masyarakat kerana boleh menjejaskan keharmonian umat Islam. Bagaimanapun, Faisal perlu diberikan keadilan. Pihak yang mendapati karya beliau bertentangan dengan nilai tempatan wajar memberi penjelasan. Huraikan bab mana yang mengandungi unsur Syiah. Perjelaskan ungkapan yang dikaitkan dengan Syiah sehingga dianggap mengancam kebebasan beragama dan merosakkan akidah umat Islam.

Kita bimbang penulis berbakat hilang di tengah jalan kerana kekangan yang ada.  Sehingga kini tiada kajian yang boleh memuktamadkan punca seseorang penulis boleh meninggalkan bidang yang mereka perjuangkan ketika usia mudanya.   Paling pasti karya sastera tidak banyak mendatangkan rezeki berbanding genre lain. Penyair A Ghafar Ibrahim (AGI) ketika ditemui di Universiti Teknologi MARA kampus Puncak Perdana, Shah Alam mengeluh: ‘Nasib pelukis mengatasi penyair. Karya mereka bernilai ribuan ringgit. Harga sebuah puisi terlalu rendah!’ Beliau merujuk kepada Razak Abdullah yang kebetulan berada di bilik kuliahnya. Razak pelukis berjaya dan nilai lukisannya ribuan ringgit!

Kenyataan AGI mengingatkan saya kepada beberapa teman yang jarang lagi kelihatan karya mereka.  Sri Diah,  Sharifah Abu Salem,    Nawawee Mohammad,    Abdullah Shuib, Ahmad Fadzlillah Muhamad, Aminah Mokhtar, Arwai AR, Asimo S,  Chulan Chin,  Jamilah Alias, Jahara Alias, Lee Cheong Beng, Mohd Azlan Sulong, Mahad A Bakar, Mohamad Daud Mohamad, Mohd Nasruddin Dasuki, Naapie Mat, Nur Dzahirdi, Ong Boon Teck, Othman Hashim, Pena Mutiara, Ruslan Madon Wanrazuhar dan ramai lagi hanya sesekali muncul. Mereka hampir ditenggelami waktu dengan alasan yang tersendiri. Jika keadaan ini berulang, saya bimbang penulis muda yang karya mereka disiarkan DS ketika ini ada yang hilang dan pergi entah ke mana. Mereka hilang tidak sempat menjadi karyawan besar di Malaysia. Saya harap kebimbangan ini tidak menjadi kenyataan!     - Dewan Sastera, April 2014

Tuesday, April 08, 2014

Negara bangsa sekadar utopia tidak berkesudahan

Retorik siasah tidak semestinya berlandaskan realiti. Ada yang mendakwa pembentukan negara bangsa tercapai menjelang 2020 apabila semua pihak hidup secara harmoni dan bersatu hati dalam pelbagai isu.

Konsep negara bangsa tidak mudah dicapai. Ia bukan  dibentuk oleh pentadbir, birokrat dan penceramah politik, jauh sekali daripada aktivis ekonomi yang menjana keuntungan tanpa melihat realiti sosiobudaya negara ini.

Negara bangsa ialah suatu konsep atau bentuk kenegaraan yang memperoleh pengesahan politiknya dengan menjadi sebuah entiti berdaulat bagi   bangsa sebagai sebuah wilayah yang berdaulat.
Negara ialah entiti politik dan geopolitik, manakala bangsa ialah entiti budaya dan etnik.  Istilah negara bangsa menandakan bahawa kedua-duanya (negara dan bangsa) sebagai sama, dan ini membezakannya dengan bentuk kenegaraan yang lain, yang  wujud sebelumnya. Jika berjaya dilaksanakan, ia membuktikan  rakyatnya berkongsi satu bahasa, budaya dan nilai --- yang bukan  ciri-ciri negara yang  wujud sebelumnya.  Negara bangsa juga akan melaksanakan tuntutan terhadap penentuan nasib sendiri dan autonomi bagi setiap bangsa, yang menjadi fokus utama fahaman nasionalisme.

Dalam konteks semasa kita masih jauh dan mungkin gagal membentuk negara bangsa. Kita hidup dengan kepelbagaian dan kaya dengan kemungkinan yang serba mencabar.
Perbezaan warna kulit, agama, resam, bahasa  dan budaya menjadikan kita saling berbeza. Bermimpi dengan agenda berlainan. Banyak isu yang membezakan pandangan dalam kalangan kita. Kalimah Allah yang suatu ketika dulu bukan sesuatu yang sensitif kini menjadi tabu jika dibahaskan secara terbuka. Isu rumah ibadat  yang dikatakan menjejaskan pembinaan jalan sudah menggamit sensitiviti kaum. Justeru, tidak menghairankan apabila kes murid makan di bilik persalinan sekolah pada Ramadan lalu juga  menjadi isu politik, apatah lagi jika ada yang membangkitkan menu berbuka puasa dengan sup tulang babi.

Moral ceritanya, perbezaan kekal dengan percanggahan yang tidak sepatutnya. Kepelbagaian bangsa dan bahasa yang wujud memungkinkan halangan pembentukan negara bangsa.
Kita berbeza dengan China yang mempunyai penduduk  1.3 bilion. Keadaan kita jauh  berbeza dengan India yang mempunyai penduduk  1.2 bilion atau  Indonesia seramai 280 juta. Negara berkenaan dikenali kerana bangsa dan negaranya. Mereka satu  bangsa dan satu resam walaupun mempunyai pelbagai dialek tempatan. Dunia mengenali China, India dan Indonesia kerana warisan sejarah, identiti dan semangat kenegaraan mereka.

Kita di Malaysia masih bergelut dengan isu kaum dan agama, malah gagal mengatasi masalah ekonomi di kawasan luar bandar dan pedalaman, sekali gus menjadi bom jangka di pentas politik dan akhirnya merencatkan usaha pembentukan negara bangsa.

Hanya  beberapa negara yang boleh dikelaskan sebagai negara bangsa tanpa dipertikaikan.  Portugal walaupun dikelilingi oleh negara  dan  bangsa lain,  bangsa Portugis sudah  bertapak dalam bentuk yang lebih kurang sama sejak 900 tahun   lalu. Iceland walaupun penduduknya boleh dikaitkan dengan etnik Scandinavia, budaya dan bahasa kebangsaannya hanya terdapat di pulau berkenaan  dan tiada kumpulan etnik minoriti merentas sempadan. Malah, tanah daratan yang terdekat terletak jauh ribuan kilometer.

Jepun juga menjadi  contoh tradisi yang menunjukkan sebuah negara bangsa dalam amalan, walaupun  mengandungi beberapa kumpulan etnik minoriti yang lain, jati diri negara bangsa tetap kekal.
Begitu juga Korea walaupun bersengketa sejak Perang Semenanjung  Korea, pembentukan negara bangsa masih kekal walaupun politik memisahkan di antara Korea Selatan dan Korea Utara.
Kita di Malaysia masih samar dan keliru. Di  antara intipati matlamat Wawasan 2020 adalah pembentukan negara bangsa.  Persoalannya, mampukah  tercapai negara bangsa menjelang 2020 ketika semakin ramai yang menunjukkan perbezaan ketara dalam kalangan kita.

Orang politik sentiasa berkerenah dan banyak isu yang tidak sepatutnya ditonjolkan secara terbuka.  Kesan Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008 dan 5 Mei 2013 menunjukkan jurang semakin ketara. Ia menjadi bara yang menakutkan. Polarisasi kaum dan apa yang disebutkan tsunami Cina memberi kesan terhadap pembentukan negara bangsa. Pada peringkat seawal usia pun kita berbeza sekolah, justeru berbeza bahasa dan agama. Dalam kalangan dewasa pula, politik lebih menzalimi cita-cita bersama. Negara bangsa sekadar utopia!

Usia 40 tahun sepatutnya mematangkan Kuala Lumpur

Sejak 1974 hingga sekarang terlalu banyak sejarahnya. Kuala Lumpur akan berusia 40 tahun sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari lalu. Empat dekad lalu penduduk Kuala Lumpur hanya  sejuta orang tapi kini tidak dipastikan angka sebenar penduduknya. Jumlah pendatang --  halal atau haram --  menjadi sebahagian  statistik kehidupan kota yang pesat membangun.

Jumlah penduduk Lembah Klang (termasuk beberapa kawasan di Selangor) seramai lapan juta orang menggambarkan Kuala Lumpur seperti Jakarta, Bangkok dan Manila yang tidak kalah menerima perubahan. Penghuninya sudah reda dengan kehidupan yang pelbagai di kota besar ini. Mereka sanggup membayar tol untuk memasuki kesesakan kota raya  pada waktu puncak tanpa bersungut  lagi.

Lazimnya Kuala Lumpur dilihat dari sudut positifnya. Pembinaan bangunan tinggi seperti Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur dan Menara Telekom Malaysia mencerminkan kekuatan ekonomi bagi sebuah bangsa yang hampir 57 tahun merdeka.

Deretan kediaman mewah dan taman perumahan ala kondominium menggambarkan Kuala Lumpur atau jiran terdekatnya Selangor dan Putrajaya semakin hebat. Pencapaian ekonomi dan isu sosial sentiasa merantai kehidupan di kawasan urban.

Jika kejayaan diukur kepada pendapatan lumayan, ia tidak semestinya tepat untuk melihat keamanan dan kemakmuran kota besar seperti Kuala Lumpur.

Masih ramai  gelandangan yang merintih dan memerlukan kediaman selesa. Hampir setiap minggu sejak enam bulan lalu program dapur jalanan diperkenalkan pihak tertentu untuk memberi makanan percuma kepada golongan yang menghuni kaki lima jalan. Ada pro dan kontranya. Ada yang mengalukan tindakan memberi makan kepada golongan yang tidak mempunyai pekerjaan, kediaman dan ahli keluarga. Tidak kurang juga yang membantah program dapur jalanan seolah-olah mengiktiraf  gelandangan  mendapatkan  makanan percuma, selain tempat  tidur   tidak menentu dan tidak ada pekerjaan yang tetap.

Matlamat penubuhan Wilayah Persekutuan semata-mata kerana urusan pentadbiran. Kuala Lumpur  ibu kota Persekutuan, Labuan diisytihar Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa (IBFC) manakala Putrajaya  pusat pentadbiran Persekutuan. Matlamat berkenaan tidak salah kerana sebagai sebuah negara pesat membangun Malaysia memerlukan pusat kewangan dan pentadbiran  yang strategik serta berdaya saing.

Bagaimanapun ramai cendekiawan dan ilmuwan seni yang bertanya sejauh mana Kuala Lumpur mampu menjadi kota berbudaya dan menghargai jati dirinya.

Mungkin silap sejarah apabila ramai kalangan kita yang menerima Yap Ah Loy (14 Mac 1837 - 15 April 1885)  sebagai pengasas Kuala Lumpur. Dia hanya kapitan Cina yang datang ke Kuala Lumur semata-mata untuk berniaga. Dia hanya pendatang yang  tidak pernah berusaha memajukan kawasan persekitaran Sungai Gombak dan Sungai Klang. Hanya secara kebetulan ekonomi kawasan berkenaan berdaya maju kerana ada  sistem pasaran untuk menjual dan membeli, lalu namanya disebut sebagai peneroka Kuala Lumpur. Sungguh aneh dakwaan berkenaan kerana sebelum dia datang dari China, Kuala Lumpur sudah diduduki oleh kaum Melayu dengan aktiviti sara diri yang masih tradisional.

Kesilapan menerima hakikat sejarah memberi kesan terhadap komposisi kaum di Kuala Lumpur. Menjelang  13 Mei 1969, ada pihak yang berani menyuarakan Kuala Lumpur milik mereka dan Melayu hanya layak di luar bandar. Kesan ketegangan kaum dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan  memberi kesan yang mengubah citra Kuala Lumpur. Kuala Lumpur sudah menggamit perubahan pesat. Ia bukan sekadar  kota kewangan tapi menjadi tumpuan Melayu untuk menuntut ilmu dan akhirnya bertugas di Lembah Klang.  Perubahan pesat menjelang akhir dekad 1980-an berjaya menghasilkan golongan yang diistilahkan Melayu baru yang turut menjadi pemain penting sektor pentadbiran dan perusahaan.

Hari ini selepas 40 tahun, Kuala Lumpur bukan lagi kota yang perlu difikirkan mengenai agenda pembangunan, tapi bagaimana meneruskan kelangsungan perpaduan kaum. Pelbagai isu yang timbul wajar ditangani kerana kepelbagaian kaum dan agama mudah tersentuh dengan isu kecil hatta pembinaan pusat ibadat yang tidak mengikut pelan asal pun boleh dipolitikkan. Inilah Kuala Lumpur yang memerlukan kewarasan berfikir semua pihak.