Pages

Tuesday, April 08, 2014

Usia 40 tahun sepatutnya mematangkan Kuala Lumpur

Sejak 1974 hingga sekarang terlalu banyak sejarahnya. Kuala Lumpur akan berusia 40 tahun sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari lalu. Empat dekad lalu penduduk Kuala Lumpur hanya  sejuta orang tapi kini tidak dipastikan angka sebenar penduduknya. Jumlah pendatang --  halal atau haram --  menjadi sebahagian  statistik kehidupan kota yang pesat membangun.

Jumlah penduduk Lembah Klang (termasuk beberapa kawasan di Selangor) seramai lapan juta orang menggambarkan Kuala Lumpur seperti Jakarta, Bangkok dan Manila yang tidak kalah menerima perubahan. Penghuninya sudah reda dengan kehidupan yang pelbagai di kota besar ini. Mereka sanggup membayar tol untuk memasuki kesesakan kota raya  pada waktu puncak tanpa bersungut  lagi.

Lazimnya Kuala Lumpur dilihat dari sudut positifnya. Pembinaan bangunan tinggi seperti Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur dan Menara Telekom Malaysia mencerminkan kekuatan ekonomi bagi sebuah bangsa yang hampir 57 tahun merdeka.

Deretan kediaman mewah dan taman perumahan ala kondominium menggambarkan Kuala Lumpur atau jiran terdekatnya Selangor dan Putrajaya semakin hebat. Pencapaian ekonomi dan isu sosial sentiasa merantai kehidupan di kawasan urban.

Jika kejayaan diukur kepada pendapatan lumayan, ia tidak semestinya tepat untuk melihat keamanan dan kemakmuran kota besar seperti Kuala Lumpur.

Masih ramai  gelandangan yang merintih dan memerlukan kediaman selesa. Hampir setiap minggu sejak enam bulan lalu program dapur jalanan diperkenalkan pihak tertentu untuk memberi makanan percuma kepada golongan yang menghuni kaki lima jalan. Ada pro dan kontranya. Ada yang mengalukan tindakan memberi makan kepada golongan yang tidak mempunyai pekerjaan, kediaman dan ahli keluarga. Tidak kurang juga yang membantah program dapur jalanan seolah-olah mengiktiraf  gelandangan  mendapatkan  makanan percuma, selain tempat  tidur   tidak menentu dan tidak ada pekerjaan yang tetap.

Matlamat penubuhan Wilayah Persekutuan semata-mata kerana urusan pentadbiran. Kuala Lumpur  ibu kota Persekutuan, Labuan diisytihar Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa (IBFC) manakala Putrajaya  pusat pentadbiran Persekutuan. Matlamat berkenaan tidak salah kerana sebagai sebuah negara pesat membangun Malaysia memerlukan pusat kewangan dan pentadbiran  yang strategik serta berdaya saing.

Bagaimanapun ramai cendekiawan dan ilmuwan seni yang bertanya sejauh mana Kuala Lumpur mampu menjadi kota berbudaya dan menghargai jati dirinya.

Mungkin silap sejarah apabila ramai kalangan kita yang menerima Yap Ah Loy (14 Mac 1837 - 15 April 1885)  sebagai pengasas Kuala Lumpur. Dia hanya kapitan Cina yang datang ke Kuala Lumur semata-mata untuk berniaga. Dia hanya pendatang yang  tidak pernah berusaha memajukan kawasan persekitaran Sungai Gombak dan Sungai Klang. Hanya secara kebetulan ekonomi kawasan berkenaan berdaya maju kerana ada  sistem pasaran untuk menjual dan membeli, lalu namanya disebut sebagai peneroka Kuala Lumpur. Sungguh aneh dakwaan berkenaan kerana sebelum dia datang dari China, Kuala Lumpur sudah diduduki oleh kaum Melayu dengan aktiviti sara diri yang masih tradisional.

Kesilapan menerima hakikat sejarah memberi kesan terhadap komposisi kaum di Kuala Lumpur. Menjelang  13 Mei 1969, ada pihak yang berani menyuarakan Kuala Lumpur milik mereka dan Melayu hanya layak di luar bandar. Kesan ketegangan kaum dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan  memberi kesan yang mengubah citra Kuala Lumpur. Kuala Lumpur sudah menggamit perubahan pesat. Ia bukan sekadar  kota kewangan tapi menjadi tumpuan Melayu untuk menuntut ilmu dan akhirnya bertugas di Lembah Klang.  Perubahan pesat menjelang akhir dekad 1980-an berjaya menghasilkan golongan yang diistilahkan Melayu baru yang turut menjadi pemain penting sektor pentadbiran dan perusahaan.

Hari ini selepas 40 tahun, Kuala Lumpur bukan lagi kota yang perlu difikirkan mengenai agenda pembangunan, tapi bagaimana meneruskan kelangsungan perpaduan kaum. Pelbagai isu yang timbul wajar ditangani kerana kepelbagaian kaum dan agama mudah tersentuh dengan isu kecil hatta pembinaan pusat ibadat yang tidak mengikut pelan asal pun boleh dipolitikkan. Inilah Kuala Lumpur yang memerlukan kewarasan berfikir semua pihak.

No comments: