Pages

Tuesday, January 14, 2014

Sasterawan bukan alat politik

Benarkah sasterawan di haluan sebelah sana dan kerajaan di sebelah sini? Di samping ada karya yang menyuarakan kehalusan akal budi, masih ada sajak, cerpen, drama dan novel yang menentang kerakusan kuasa, korup dan menelanjangi masyarakat bobrok. Apakah karya sedemikian dianggap berada di sebelah sana?

Timbalan Perdana Menteri,   Tan Sri Muhyiddin Yassin, masih yakin karyawan tempatan masih menyokong aspirasi kerajaan membangunkan negara.

Tindakan segelintir sasterawan bukan bermakna ramai yang mengambil keputusan memihak kepada pembangkang. Kehadiran Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad dan Azizi Abdullah sebagai calon PAS dan menyertai pilihan raya tidak semestinya menggambarkan ramai yang berada di sebelah sana.

Seperti juga kehadiran Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dalam majlis anjuran aktivis sosial bukan gambaran sebenar suara penentangan semakin banyak. Masih ramai penulis yang peka kepada hasrat kerajaan   berusaha memajukan sektor kreatif ke tahap yang lebih baik.  Peruntukan tambahan RM5 juta kepada Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) bagi membolehkan lebih banyak karya asli sastera dihasilkan penulis tempatan menjadi bukti kerajaan bersama mereka.

Pada 2011, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluluskan peruntukan RM5 juta kepada ITBM dan sepanjang tempoh dua tahun, ITBM berjaya mencapai sasaran menerbitkan 240 judul buku karya asli penulis tempatan.

  Muhyiddin ketika mengumumkan peruntukan tambahan berkenaan mengakui  kerajaan sudah mengambil pelbagai langkah proaktif, antaranya memberikan tanggungjawab kepada ITBM untuk memperbanyakkan penerbitan buku terutama karya asli penulis muda.

 “Sekiranya ada pihak yang mendakwa golongan sasterawan berada di haluan sana (pembangkang), pemimpin negara berhaluan sini, ia dakwaan yang tidak benar. Saya ingin menegaskan, sasterawan tetap memainkan peranan penting dalam membina Malaysia sebagai sebuah negara  yang maju dan makmur,” katanya.

Kita sedia maklum  industri kreatif  menjana pendapatan sebanyak RM16.1 bilion menjelang akhir tahun lalu.  Pada 2012,  industri kreatif  meraih pendapatan  RM7 bilion yang memberi sumbangan RM1.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Peningkatan berkenaan membuktikan  sumbangan sasterawan dalam pembangunan bangsa tidak diketepikan. Hari ini pembaca karya kreatif bukan lagi sekadar bahan bercetak semata-mata. Teknologi digital dan media baru memudahkan pembaca memuat naik hasil seni secara mudah dan dalam masa yang singkat.

Era sasterawan bernostalgia dengan karya yang diedarkan secara tradisional sudah berlalu. Kesungguhan kerajaan dan ITBM menerbitkan buku penulis tempatan amat dipuji kerana Dewan Bahasa dan Pustaka  (DBP) semakin mengendurkan operasi penerbitan karya kreatif.

 Isu kesusasteraan dan khalayak masih menjadi pertikaian umum. Meskipun semakin banyak majlis sastera diadakan di seluruh negara, karya kreatif yang benar-benar memupuk pembinaan modal insan masih berada pada tahap yang meragukan.

Kehadiran novel popular yang menjadi buruan remaja kurang membantu percambahan minda rakyat Malaysia. Sesebuah karya yang diulang cetak sebanyak lima kali bukan bermakna jaminan mutu. Perjalanan plot, perwatakan, pemikiran dan falsafah dalam sesebuah karya boleh membantu pembentukan minda dan sahsiah diri. Faktor ini kurang terserlah dalam kebanyakan karya popular.
Jika kerajaan sudah bermurah hati menaja pelbagai peruntukan bagi menyemarakkan kesenian tanah air, penulis pula perlu memikirkan karya bagaimana yang boleh membantu pembinaan sahsiah bangsa.

Isu ini bukan baru dan sudah lama diperkatakan karyawan seni dan sarjana sastera. Isu pokoknya adalah persediaan seseorang penulis untuk melahirkan karya berbobot. Anugerah Sasterawan Negara dan Anugerah Penulisan Asia Tenggara bukan gambaran keupayaan yang sepatutnya. Penulis perlu meneroka untuk meraih pencapaian yang lebih tinggi. Hadiah Nobel sepatutnya sudah dimiliki oleh rakyat Malaysia kerana pelbagai kemudahan yang ada. Malangnya kita masih jauh. Paling banyak yang berlaku sekarang adalah sorak sorai mengenai haluan penulis sama ada berada di sebelah sana atau di sebelah sini.  - Berita Harian, 14 Januari 2014

No comments: