JAM tiga pagi ternyata masih muda di sepanjang pantai Port Dickson. Jika sebelumnya, awal pagi adalah detik untuk memintal mimpi atau menanti hari siang dengan segala harapan dan dugaan, malam 2 Oktober sungguh berbeza.
Sepanjang pantai Teluk Kemang hingga pekan Port Dickson, masih meriah dengan kenderaan. Rintik hujan dan manik embun tidak menghalang orang ramai berpusu-pusu ke pelbagai arah dengan acara sendiri. Markas parti pilitik tidak terkecuali keriuhannya. Sasaran tarikh 11 Oktober jadi tumpuan dengan pelbagai andaian dan tekaan.
Kami menapak ke sebuah gerai ikan bakar di tepi pantai sekadar untuk mengisi masa, atau sekadar mengenangkan detik lampau. Sebagai penulis, juga sasterawan kononnya, kami pernah akrab walaupun pernah mengisytiharkan 'bersetuju untuk tidak bersetuju dalam banyak isu'.
Bagan Pinang dan pekan Port Dickson kini jadi fokus bukan kerana diisytiharkan sebagai kota tentera darat, juga pernah hidup dalam beberapa karya sastera dan filem. Nasib Si Labu Labi arahan seniman legenda Tan Sri P Ramlee pernah menyelitkan adegan percutian di Port Dickson. Ito dan Blues Gang juga menyelitkan Teluk Kemang dan Port Dickson dalam lagu Apo Nak Dikato. Beberapa karya sastera tempatan juga turut menyelitkan Port Dickson sejak era Asas 50. Beberapa sasterawan terkenal termasuk Sasterawan Negara Datuk Usman Awang dan grup Anak Alam juga pernah berpuisi di pantai yang landai ini.
Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said yang dihubungi sebelum ini berjanji akan turun ke Bagan Pinang beberapa hari lagi. "Ada pentas untuk saya," tegasnya sambil tergelak.
Beberapa pengunjung leka bercerita mengenai Bagan Pinang dan ikan paus yang dikatakan muncul di Port Dickson ekoran gempa bumi di Padang, Sumatera pada Rabu lalu. Mereka taksub dan mengiyakan laporan Nanyang Siang Pau dan Sin Chew Daily yang meninjau pandangan beberapa pengunjung.
Menjelang Subuh, pesisir pantai semakin ramai pengunjung. Beberapa petugas parti politik semakin ramai memenuhi gerai. Semakin banyak juga isu dan bahan cerita yang dilontarkan. Ada yang menyuarakan keyakinan untuk menang di Bagan Pinang dengan majoriti lebih besar. Ada juga yang bertanya, kita mengundi untuk apa? Pilih wakil rakyat atau wakil parti? Ada juga yang bertanya apakah tidak mungkin ada indeks untuk menilai kelayakan dan kewibawan seseorang calon pilihan raya.
Isu pemilihan calon juga terlalu banyak dibeberkan selepas kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian Azman Mohammad Nor yang mewakili Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Mac 2008. Allahyarham yang bertanding pertama kali, memenangi kerusi berkenaan dengan memperolehi 6,430 undi, menewaskan calon Pas, Ramli Ismail. Beliau menang dengan majoriti 2,333 undi.
Bagan Pinang terletak dalam kawasan Parlimen Teluk Kemang yang mempunyai lima kerusi DUN dengan tiga daripadanya milik pembangkang. Seramai 14,192 pengundi termasuk hampir 5,000 pengundi pos bakal menentukan pilihan mereka.
Beberapa isu sudah mula kedengaran. Tentunya kempen klise seperti meneruskan agenda pembangunan dengan membaiki rumah warga tua dan menabur tar jalan sepatutnya sudah menjadi sejarah.
Zaman memperagakan bakti menerusi bersalaman dengan pengundi di pasar malam dan tangga masjid juga sudah berlalu. Pengundi kini sudah banyak terdedah dengan pelbagai maklumat. Mereka sudah ada pilihan untuk menerima ketokohan seseorang.
Bagan Pinang sepatutnya menjadi medan rebutan siasah yang murni. Kepentingan rakyat, kewibawaan manusia sepatutnya menjadi asas di sebuah negara yang mengamalkan konsep demokrasi.
Bagan Pinang juga dinantikan sebagai ujian kewarasan pengundi untuk memilih parti yang boleh dipercayai, bukan sentimen peribadi dan isu perkauman. Bagi mereka yang mahu merayakan kebebasan bersuara, inilah masanya kita menilai perangai dan fiil manusia melalui peti undi. Tentunya ia kaya dengan drama dan intrignya. Yang menang nanti adalah demokrasi yang perlu kita rayakan bersama.
Ketika berkereta ke bilik hotel awal pagi itu, kami saling menyanggah; kenapa paus tiba-tiba muncul di pantai Port Dickson ketika ini.- Berita Harian, 4 Oktober 2009
No comments:
Post a Comment