Pages

Friday, October 30, 2009

Dari Kampung Batu Lapan ke bilik berita Jalan Riong

SURAT DARI DESA

anak kecil itu
berlari di batas bendang
memburu keciap
menuba haruan
ia tidak pernah mengeluh
pada matahari yang tua di balik bukit
atau menjadi silu
pada hujan dan awan
tak pernah juga ia berduka
meski ayahnya petani kecil
yang setiap lima tahun dipaksa
memilih wakil
mewakili desanya

ia masih leka di batas bendang
antara sempilai dan haruan
kerana ia tidak terfikir
untuk bertanya
apakah nasib anak tani
dulu, kini dan selamanya
tetap sama
dan esoknya

ketika ia menjadi remaja
ia masih berdiri di pinggir sawah
mengintai perubahan musim
ketika lima tahun silih berganti
ia masih leka di batas bendang
kerana kehidupan
memaksa berada di dalam lingkaran sendiri

SAJAK di atas antara karya awal saya pada akhir 1979, pernah beberapa kali dihantar kepada media cetak tetapi tidak tersiar. Sajak ini juga, termasuk beberapa sajak saya yang lain, sentiasa mengalami perubahan dan penambahbaikan; diperbetulkan dari semasa ke semasa, dilarikkan rima dan ritmanya, hingga kadangkala sesebuah sajak, akan menerbitkan sajak baru. Sebagai sajak baru, ia tetap mempunyai nafas yang lama kerana karya lama hanya ditukar pada warna dan corak baru saja. Sebagai penulis kecil dalam peta persajakan Malaysia, saya bukan yang terbaik dan tidak mempunyai ketabahan yang tinggi dalam penulisan. Namun saya ada pengalaman kreatif yang sesekali sulit untuk diceritakan. Barangkali takdir yang menyebabkan bagaimana 'anak desa' tetap berbisik:

ia masih leka di batas bendang
kerana kehidupan
memaksa berada di dalam lingkaran sendiri

Saya dilahirkan pada 13 Februari 1960 di sebuah kampung tidak jauh dari Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan. Kampung saya tidak mempunyai nama khusus, lalu disebut Kampung Batu Lapan saja, kerana kedudukannya lapan batu dari bandar Kota Bharu. Pengalaman kecil amat memeritkan, namun keperitan itulah yang akhirnya membentuk nama IMLAN ADABI seperti yang ada kini. Meskipun lahir dalam keadaan normal, namun malang menimpa dua tahun kemudian -- 1962 -- apabila saya diserang demam panas dan akhirnya mendapat sakit polio, walaupun pernah diberikan suntikan vaksin pelalian ketika dilahirkan. Penderitaan ini juga yang banyak menjerut nulari saya hingga tanpa disedari memberi kesan terhadap kehidupan masa depannya:

TRAUMA
(20 tahun menghidap polio)
mentari berlalu sayu di ufuk awan
camar melayah angin pulang ke sarang
senja semakin tua, malam kian akrab
malam menurunkan kelam ke dadaku
embun menggerimis merata di halaman
ketukan angin terlalu bising di luar jendela
jalan-jalan yang sunyi berdebu di hatiku
kamarku telah gelap pengap
mataku masih entah di mana
fail rawatanku semarak kembali

Sejak kecil saya sudah didera dengan kesakitan demi kesakitan. Seratus hari resah di perbaringan. Seratus hari hidup saya di dalam wad satu, Hospital Besar Kota Bharu dalam keadaan yang nazak; saya terbaring lesu, minuman disuapkan melalui wayar yang disambung ke lubang hidung. Tangisan tidak kedengaran lagi justeru kesakitan sudah menjadi kelaziman untuk tubuh kecil yang baru berusia dua tahun. Ah, Tuhan, terlalu pedih azab ini dan terlalu berat bebanan ini untuk ditanggung oleh seorang anak kecil baru berusia dua tahun. Ah, Tuhan, inilah azabnya yang Kau limpahkan dengan rahmat yang tersembunyi. Kaki dan tanganku penuh dengan kesan suntikan dan di hujung katil, fail rawatan semakin tebal kerana setiap jam dan detik, dicatat oleh doktor dan jururawat. Ah, masa terlalu menguji anak kecil itu! Saya hanya baring dan baring, tidak mampu bangkit. Badan seperti kain buruk dan terpaksa dipakai lampin sepanjang masa. Ibu tidak banyak berkata-kata ketika itu. Datuk dan nenek tiriku juga saling berpandang sesama sendiri. Apabila genap hari ke seratus, doktor yang merawatku mengakui tidak mampu berbuat apa-apa lagi dan berharap dilakukan ikhtiar lain agar anak kecil yang terlalu kerdil itu boleh bangkit dan berjalan seperti kanak-kanak lain. Berkat doa kepada Allah, pada beberapa detik kemudian, kaki kiri saya boleh bergerak, kepala dan tangan boleh diangkat dan mata dapat menjeling ke kiri dan kanan. Mulut pula dapat menahan lelehan air liur daripada menitis ke dada dan perut. Syukur kepada Allah, berkat izinnya-Nya, saya semakin pulih, kecuali kaki kanan tetap lumpuh sampai kini!

Zaman kecil terus menduga dan mencabar. Ketika kanak-kanak lain beriringan dan berlari di pinggir sawah menuju ke sekolah setiap pagi, saya hanya mampu memandang dengan sayu. Saya tidak mampu ke sekolah. Badan ini terlalu lemah, tidak bermaya mengangkat kaki dan menyandang beg sekolah. Setiap kali bertanya kepada ibu dan datuk mengenai persekolahanku, mereka hanya saling berpandangan. Tiada jawapan melainkan turut menahan nafas yang makin sebak di dada masing-masing.

Daripada kawan-kawan, saya leka mendengar cerita bagaimana keadaan di sekolah, bagaimana suasana di bilik darjah, betapa bengisnya guru disiplin yang asyik memeriksa kuku jari murid-murid yang agak panjang dan kotor, atau ada yang tergelak bercerita tentang seorang guru bahasa Inggeris yang mengajar menggunakan loghat Kelantan. Semuanya hanya daripada kawan-kawan. Hanya kawan-kawan yang bercerita dan berkongsi pengalaman dengan saya meskipun mereka mengatahui, diri ini terlalu sulit untuk ke sekolah dan mungkin selama-lamanya akan kekal di beranda rumah! Pengalaman perit ini akhirnya membentuk jiwa berontak di hati ini. Saya hanya mampu bertongkat secara agak goyah dan sering mendapat demam hampir setiap minggu. Ketahanan badan ini untuk melawan penyakit terlalu lemah, justeru, tidak mampu belajar di sekolah rendah. Ibu mengerti akan nasib anak bongsu daripada dua beradik ini, lalu mengambil masa senggangnya, untuk mengajar membaca dan menulis dengan mahir. Datuk pula, yang kebetulan mempunyai sedikit kemampuan, mengupah seorang remaja kampung bernama Mahasan Zakaria untuk mengajar bahasa Inggeris dan Matematik di rumah kami setiap Jumaat dan Sabtu. Mahasan ketika itu (1970) sedang menanti keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Malaysia, sebelum melanjutkan pengajian peringkat sarjana di United Kingdom, dan sekembalinya ke Malaysia tiga tahun kemudian, mengajar dan akhirnya menjadi Pengarah di Politeknik Kelantan. Hanya mengambil masa beberapa minggu saja, saya sudah mahir untuk menguasai bahasa Inggeris, boleh mengira dan menulis dengan baik. Namun, dugaan tidak berhenti setakat itu. Saya dihalang ke sekolah oleh Jabatan Pelajaran Kelantan dengan alasan umur sudah melepasi tujuh tahun. Beberapa pegawainya pula agak ragu apakah saya mampu berada di sekolah seperti murid-murid lain atau boleh membebankan guru dan rakan-rakan di sekolah?

Keadaan ini amat meresahkan saya. Ketika itu umur sudah 10 tahun dan fizikal semakin baik, namun dianggap sudah terlewat untuk ke sekolah pada tahun 1970. Jabatan Pelajaran tidak membenarkan budak berusia 10 tahun belajar di darjah satu kerana usianya 'terlalu tua'. Saya menangis mendengar kenyataan Pegawai Pelajaran Kelantan yang menghalang hasrat saya berada di bangku sekolah. Keluarga kami membuat rayuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan, namun usaha ini sekadar mendapat penjelasan 'dalam perhatian'. Keadaan ini menyebabkan datuk saya melenting lalu menghubungi Encik Khir Johari yang ketika itu Menteri Pelajaran. Hanya dua hari kemudian, ketika saya belum bangkit tidur jam lapan pagi, pintu rumah saya di Kampung Batu Lapan diketuk dua lelaki. Mereka adalah pegawai dari Jabatan Pelajaran dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk 'memeriksa' kemampuan saya sama ada boleh bersekolah atau tidak. Tindakan datuk saya yang ketika itu amat rapat dengan Menteri Pertahanan, Tengku Datuk Ahmad Rithaudeen Ismail menghungi Khir Johari sudah berjaya. Kedua-dua pegawai tersebut menghulurkan kertas dan menyuruh saya menulis nama dan apakah mahu sekolah. Soalan yang sesuai untuk kanak-kanak tadika itu terpaksa dijawab dengan tenang, ketika hati semakin memberontak dan benci kepada golongan yang kurang perihatin dan agak jauh untuk bertindak secara manusiawi.

Pada tahun 1971 ketiba berusia 11 tahun, saya berpeluang ke bangku sekolah untuk belajar di darjah lima tanpa menduduki kelas satu hingga empat. Keadaan ini amat menyeronokkan saya kerana berpeluang belajar dan berkawan dengan rakan-rakan lain. Saya gembira kerana dapat menimba kehidupan daripada masyarakat kanak-kanak secara total, tanpa lagi terperap di rumah hingga meresahkan jiwa ini.

Ketika memasuki tingkatan satu di Sekolah Menengah Kadok pada 1973, yang jaraknya dua batu dari Kampung Batu Lapan, saya menjadi murid Arifin Nur yang mengajar subjek Sastera dan Bahasa Melayu (kini 'dipaksa' sebut Bahasa Malaysia). Arifin Nur ketika itu terkenal sebagai pengarah drama pentas terkenal di Kelantan dan dia mengajar kami mengenal novel Musafir yang diangap antara karya terbaik itu. Kesempatan ini mendorong saya mentelaah karya seni secara berhemah dan menjadi ketagih untuk membaca karya-karya penulis terkenal seperti Di Bawah Lindungan Kaabah, Merantau Ke Deli, Tenggelamnya Kapal Van Der Wich, Hartini, Ranjau Sepanjang Jalan dan Salina. Ketika belajar di Sekolah Menengah Ismail Petra (SMIP) Kota Bharu pada 1976, saya sekali lagi bertuah kerana pengarang agama terkenal ketika itu, Abdullah Al-Qari mengajar subjek Agama. Kesempatan ini mendorong saya mentelaah karya-karya beliau secara senyap, seperti juga ketika membaca naskhah drama Arifin Nur sebelum ini. Pengalaman daripada dua guru yang kebetulan mempunyai bakat besar dalam penulisan mendorong saya untuk lebih meneliti dan menilai karya kreatif dan diskriptif secara lebih waras. Tidak lama kemudian, pada 1977, saya mula mengenali Uthman El-Muhammady dan Abdul Aziz HM yang kebetulan baru beberapa tahun pulang selepas menuntut ilmu dari Bengkel Teater Rendra di Jakarta. Uthman El-Muhammady terkenal dengan kekuatan minda dan agamanya hingga mendorong saya lebih berkomunikasi dengannya dan dia sehingga kini masih mengenali dan menghormati saya yang pernah menjadi muridnya 30 tahun lampau. Sementara Abdul Aziz HM yang ketika itu menubuhkan Grup Teater Malini yang terkenal dengan teater mini kata semakin akrab dengan saya. Teater Malini ketika itu disertai oleh ramai penulis muda Kelantan termasuk Moechtar Awang, Kamil Muhammad dan Ladin Nuawi. Moechtar Awang berjaya mencipta nama besar dalam dunia persajakan Malaysia apabila dua kumpulan puisinya Pasrah dan Qaf menduduki tempat kedua Anugerah Puisi Putra selain memenangi Hadiah Sastera Malaysia. Kamil Muhammad pula mula mendapat tempat di media dan pernah menjadi 'lawan' saya dalam beberapa pertandingan bahas di sekolah. Kamil Muhammad menang Hadiah Sastera Malaysia, tetapi malangnya kemenangan Kamil Muhammad, juga Moechtar Awang menyebabkan karya mereka tidak lagi kelihatan sehingga kini. Ladin Nuawi pula yang lebih terkenal dengan gaya tersendiri ketika membaca puisi adalah sahabat yang banyak mendedahkan saya kepada tokoh sastera tanah air. Ladin memperkenalkan saya kepada Sasterawan Negara A Samad Said pada 1985, yang tanpa diduga ketika saya mengakhiri zaman bujang pada 1992, A Samad Said menjadi saksi saya pada majlis akad nikah di Masjid Saidina Osman di Bandar Tun Razak. Ladin juga menjadi teman akrab apabila saya mula bertugas di Kumpulan Karangkraf pada 2 Jun 1986. Ladin memperkenalkan saya dengan beberapa penulis seperti Mohamad Daud Mohamad, Suhaimi Haji Muhamad, Ahmad Razali Yusuf, A Ghani Abdullah, A Rahim Abdullah, Wan Yusuf Hassan dan Marzuki Ali. Ladin juga yang mengajar saya menaiki bas nombor 244 Sri Jaya dari rumah sewa saya di Taman Tun Dr Ismail ke Perhentian Bas Kelang, Kuala Lumpur setiap minggu. Pergaulan dan pengalaman kehidupan menjadikan dunia kreatif saya semakin subur hingga banyak melahirkan karya yang lebih sinikal tentang kehidupan.

Ketika bertugas di Kumpulan Krangkraf juga, saya mula mengenal hati budi Sri Diah dan Sharifah Abu Salem yang banyak melahirkan 'novel popular'. Saya juga mengenal Dr Abdullah Tahir, seorang penulis yang rupa-rupanya pernah mengajar bersama bapa saya di Kelantan pada dekad 70-an. Abdullah seorang yang tidak lokek dengan ilmu dan sikap selambanya memudahkan kami akrab dan banyak menyimpan rahsia bersama. Setiap kali terlepas cakap, Abdullah akan berpesan kepada saya supaya tidak mendedahkan rahsia peribadi kepada isterinya ketika saya tidur di rumahnya hampir setiap malam minggu. Dia bimbang kerana isterinya amat akrab dengan emak saudara saya, Rokiah Zakaria yang juga isteri kepada Dr Alias Muhammad, seorang penulis politik dan ilmiah. Dr Alias Muhammad adalah kawan Abdullah ketika di Kelantan dan pernah mengajar di Universiti Malaya. Dr Alias kini pemilik Mahligai Property di samping menjadi Presiden Persatuan Bekas Wartawan Berita Harian sejak tiga tahun lalu. Sebagai ahli akadamik dan sasterawan, Abdullah juga banyak mengkritik karya saya terutama puisi yang dianggapnya agak romantik dan melankolis serta masih terpengaruh dengan kebanyakan karya tempatan yang lain. Abdullah ketika itu sudah banyak mengkaji tentang realis magis yang menjadi anutan sasterawan Latin dan Afrika. Beberapa buku karya Marques, Kafka dan pemenang Hadiah Nobel yang dimilikinya diberi pinjam kepada saya. Sikap murni banyak membantu proses kreatif saya sehingga berjaya memenangi Hadiah Sastera Malaysia pada 1988. Melalui Abdullah juga saya mula mengenali Nawawee Mohammad yang ketika itu aktif menggerakkan Perkumpulan Penyajak Mutakhir (Penyair). Nawawee seorang yang kreatif dan sinikal serta tekun menukang karyanya. Beliau juga seorang aktivis yang baik hingga membawa ahli Penyair bertandang ke rumah tokoh sastera tanah air seperti Keris Mas, Usman Awang dan Mohd Affandi Hassan untuk bertukar pengalaman seni. Kunjungan tersebut bukan sekadar makan-makan tetapi mendekatkan kami tentang ilmu dan proses kreatif sasterawan terbilang tanah air. Saya masih ingat Keris Mas bersuara mengenai karya seni dan bagaimana genre puisi dan cerpen bersuara untuk mencerdikkan minda masyakatnya. Penulis yang melahirkan Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur itu juga bercerita zaman lampaunya yang idealis. Usman Awang pula lebih banyak meningkah mengenai seni yang harus menggerakkan kehidupan awam. Bagi Usman, seni tidak bererti jika sekadar terjebak dalam situasi sepi dan sunyi. Mohd Affandi Hassan pula tidak seperti yang saya kenal melalui tulisannya yang keras dan tegas, rupa-rupanya mempunyai sikap peneliti yang baik dan menghormati ahli Penyair yang bertandang ke rumahnya. Mohd Affandi Hassan bagi saya seorang yang praktikal dan mahu sastera Malaysia berdepan dengan realiti global yang sebenar. Penyair juga kerap melakukan pertemuan 'bedah karya' setiap bulan di Tasik Perdana dan Tasik Titiwangsa. Saya kerap juga menghadiri majlis tersebut dan kesannya amat baik sebagai pemangkin proses kreatif penulis baru seperti saya ketika itu. Lain-lain penulis muda yang turut hadir ialah Abdullah Shuib, Ahmad Fadzlillah Muhamad, Aminah Mokhtar, Arwai AR, Asimo S, Awang Abdullah, Chulan Chin, Gunawan Mahmood, Jamilah Alias, Jahara Alias, Lee Cheong Beng, Mohd Azlan Sulong, Mahad A Bakar, Mohamad Daud Mohamad, Mohd Nasruddin Dasuki, Naapie Mat, Nur Dzahirdi, Ong Boon Teck, Othman Hashim, Pena Mutiara, Ruslan Madon, Roslan Mamat, Ujid Darmawan, Wanrazuhar, Zahari Hasib dan ramai lagi. (Lihat tulisan Nawawee Mohammad dalam Dewan Sastera, Disember 2006). Pertemuan ke arah 'bedah karya' itu semakin berjaya apabila ramai di kalangan kami berjaya menempatkan karya ke Dewan Sastera dan media ternama yang lain. Namun malangnya, suatu hari ketika saya tiba di pejabat, tokoh Wartawan Negara, Tan Sri A Samad Ismail menjerkah saya; "Semalam kau ke mana?". Saya dengan jujur berkata: 'Bedah karya' di Tasik Perdana. Pengarang Tembok Tidak Tinggi itu tergelak dan dengan wajah sinis menempelak: "Bedah karya atau bedah kain perempuan?". Kami tergelak dan saya amat mengenali A Samad Ismail yang selama setahun mengajar saya dalam bidang kewartawanan.

Ketika era 'bedah karya' di bawah pohon di pinggir tasik itu juga mencambahkan idea awal untuk melakukan gerakan yang lebih besar. Jika pada dekad 50-an, ada Asas 50 yang menggerakan karya penulis muda Malaysia dan Singapura, dirasakan pada dekad 80-an, satu usaha untuk memurnikan kegiatan penulis muda yang agak tidak teratur ketika itu.. Perbincangan demi perbincangan diadakan sesama aktivis muda.

Suatu hari deringan telefon di meja pejabat saya bertalu-talu. Sebaik mengangkatnya, terdengar suatu suara: "Imlan, petang nanti gua mahu lu datang CM (Central Market). Lu jangan tak datang, nanti gua sembelih lu...!

Pyanhabib sedikit tegas bersuara. Ketika saya ke Central Market petang itu, kenalan di kalangan penulis muda sudah jenuh di sebuah restoran mamak di tingkat satu. Antara mereka termasuk Hanafiah Samad, Rahimi Haron, Mohamad Daud Mohamad, Ladin Nuawi dan ramai lagi. Pyanhabib mengangkat tangan ke arah saya dan menepuk bahuku berkali-kali. Pertemuan demi pertemuan diadakan seterusnya membabitkan bilangan penulis muda yang semakin ramai. Kami juga kerap berkumpul di Rumah Anak Alam di Padang Merbok Kuala Lumpur, untuk merumuskan usaha menjayakan Perhimpunan Penulis Muda Malaysia 1987. Meskipun kemampuan kami terbatas, namun usaha mengadakan majlis tersebut berjaya diadakan berkat sokongan moral beberapa pihak termasuk Sasterawan Negara A Samad Said yang banyak bertanya khabar dan berhujah dengan kami. Perhimpunan Penulis Muda Malaysia 1987 juga membuka jalan untuk menggerakkan majlis pertemuan sastera yang lain hingga menyebabkan kami bersatu untuk membentuk barisan pelapis sastera tanah air.

Saya ketika itu juga mula diundang untuk baca puisi dan mengadakan ceramah sastera di seluruh tanah air. Boleh dikatakan setiap minggu jadual hidup saya padat dengan acara seni dan terpaksa membagikan masa dengan penuh hemat, agar tidak membebankan tugas sebagai editor sastera di akhbar Watan ketika itu. Ketika di Watan juga saya mula mengesan beberapa nama muda yang mempunyai potensi untuk berkembang seperti Hamizun Shah, Zainal Rashid Ahmad, Nasurry Ibrahim dan ramai lagi. Saya melihat potensi mereka dan selalu teringat pesan A Samad Said bahawa petugas media harus bijak mengesan bakat yang sedang menjadi. Saya juga secara berani mula merombak bentuk cerpen yang bakal disiarkan dengan mengutamakan karya-karya surealis dan realis magis. Saya banyak memberi ruang kepada cerpen Abdul Aziz HM, Marsli NO, Daeng Ramliakil dan Zainal Rashid Ahmad yang mempunyai kekuatan dalaman. Bagaimanapun suatu hari, A Samad Ismail yang datang ke pejabat saya, dengan tersenyum menegur; "Cerpen bentuk apa yang kau siarkan.Aku tak faham. Aku yakin orang kampung juga tak faham!" Saya memekakkan telinga dan terus berdegil menyiarkan cerpen-cerpen sedemikian yang saya yakin mempunyai estetika seni yang boleh dipertanggungjawabkan.

Bagaimanapun hayat saya di Kumpulan Karangkraf semakin goyah apabila Watan dijual kepada pihak lain yang mempunyai 'alasan' untuk membetulkan perjalanan media. Watan sejak zaman Subky Latiff lagi terkenal dengan laporan yang tidak disenangi pemerintah, justeru, sekumpulan 'pemodal', bagai mendesak, untuk membetulkan Watan ke landasan yang tepat. Apabila tiada lagi Watan, pada 1994, saya beralih ke Jalan Riong, untuk menjadi wartawan Berita Harian sehingga kini. Sebagai media perdana yang lebih mengutamakan isu nasional dan global, skop pemikiran saya juga semakin berubah. Saya banyak mengkaji dan menghayati setiap kejadian dan menafsirkannya sesuai dengan keupayaan peribadi. Peristiwa Perang Teluk pada awal dekad 90-an menjadi pemangkin perubahan politik dunia yang kian mendesak. Tahun 1990 juga menyaksikan Kelantan kembali dirampas kekuasaan politiknya oleh Pas melalui pakatan Angkatan Perpaduan Ummah yang dinaungi Pas dan Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah. Perubahan suasana dalam dan luar negara banyak memberi ilham serta kekuatan minda untuk saya melihat kehidupan jagat yang semakin tercabar dan dicabar. Ketika Amerika Syarikat semakin timbul sebagai kuasa tunggal global, runtuhnya Tembok Berlin menandakan bukan sekadar berakhirnya Perang Dingin dan goyahnya pakatan Warsaw yang diketuai Soviet Union, tetapi juga menelajangi sikap bobrok manusia sejagat. Gorbachev yang menggantikan Leonid Breznev di Moscow bukannya menambahkan kekuatan Blok Timur, sebaliknya menjadi budak suruhan Amerika Syarikat. Keadaan lebih tenat apabila Boris Yeltsin berkuasa di Kremlin yang semakin melemahkan perimbangan kuasa politik dunia hingga banyak negara komunis di Eropah seperti Jerman Timur, Poland, Yugoslavia, Checoslavakia dan Romania bergolak. Rakyat semakin celik dan menuntut kebebasan dan hak asasi manusia. Soviet Union pula semakin lemah hingga banyak wilayahnya pecah. Dunia terus dikuasai oleh Amerika Syarikat. Saya luahkan hal ini dalam sebuah puisi:

SAHABATKU AMERIKA
...sahabatku amerika
antara mimpi ngeri george w bush
dan igau tony blair
siapakah peniup serunai perang paling nyaring
jika kebenaran sekadar senjata propaganda
cnn, cnbs, bloomber, bbc, afp, ap dan reuters
tanpa kau sedar wtc ranap sekelip mata
dan resah pentagon pagi 11 september 2001
hanya sekadar perasmian perseteruan sejagat
yang tidak bisa dimaafkan lagi...

Sebagai petugas media, saya banyak menafsir setiap kejadian dari sudut nurani. Saya melihat perbezaan ketara antara tugas wartawan dan sasterawan. Yang satu melaporkan setiap kejadian seada-adanya, yang satu lagi melihat dari sudut sisi yang songsang. Kedua-duanya menggunakan medium tulisan namun bentuknya berbeza. Insiden 1987 dalam politik nasional kita amat berkesan di hati ini. Ketika Tengku Razaleigh Hamzah mencabar Datuk Seri (kiri Tun) Dr Mahathir Mohamad untuk jawatan Presiden Umno, yang terserlah adalah kerakusan insan politik untuk mempertaruhkan ego dan gengsi masing-masing. Kedua-duanya ayam laga paling berani dalam sejarah politik nasional dan mempunyai reputasi kuat di kalangan bangsa Melayu. Siapa pun yang menang, tentunya tidak mampu menewaskan sepenuhnya pihak yang kalah. Perseteruan dua insan akhirnya menjadi wabak hingga meleret ke ceruk desa dan ke kamar mahkamah. Akhirnya Umno (asal) yang ditubuh pada 1946 diharamkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Isu ini menarik minat saya:

TRAGEDI
(kematian umno 1946)
"maaf, maafku telah tumbuh untukmu
jendela yang kubuka kututup kembali
kembang yang kususun kuramas pula
kartu pos yang kutulis kucakar kini
karcisku untukmu
menjadi debu menggaring angin"

"maaf, aku bukannya pendeta
yang jatuh di lutut sejarah
tikar yang kau hampar telah kugulung
kemenyan yang kau bakar telah kuhembus
cerana yang kau susun telah kuselerak
santapan yang kau hidang telah ku tinggal"

"maaf,
akulah lelaki itu
semakin kenal erti perseteruan"
kuala lumpur, 1998

Pada masa sama juga keadaan politik tanah air semakin hangat. Kaum tertentu sudah berani mencabar ketuanan Melayu secara terbuka. Sebuah komponen Barisan Nasional secara angkuh mempersoalkan hak ketuanan Melayu di samping menuntut kaumnya juga diberi status Bumiputera. Keadaan ini menyebabkan suasana dalam negaara agak pada pada akhir 1987 hingga mendorong kerajaan mengadakan Operasi Lalang dengan alasan untuk 'menyelamatkan' iklim negara.

SKETSA DIKTATOR
menggenggam tenang di dasar malam
melepas ribut meniduri bintang
kata-kata menjadi kaca
menusuk jiwa
melukakan segalanya
tiap yang putih menjadi hitam
tiap yang hitam menjadi akrab
tiap yang akrab menjadi nanah
membunuh peradaban
barangkali tak perlu bertanya
tentang esok yang belum pasti
ini malam hangatnya lidahmu
menjilat api
dan kau makin leka
di persada kuasa
kota bharu-kuala lumpur

Sebagai petugas di bilik berita, saya banyak berdepan dengan pengalaman kehidupan yang sulit untuk dicatat. Pernah beberapa isu sensitif menjadi mainan yang tidak enak. Pernah juga beberapa wartawan dipanggil ke kantor tertentu untuk disoal siasat. Apa yang dicatatkan oleh A Samad Said dalam novel Hujan Pagi banyak persamaan dengan realiti dunia persuratkhabaran masa kini. Kebetulan pula Samad juga pernah menjadi warga Jalan Riong, seperti saya kini.

MAINAN DEMOKRASI
atas nama demokrasi
tuan menjerat seribu merpati
menghiasinya
di sangkar besi

tuan pun bilang;
inilah kebebasan
bebas pada batasnya
atas nama demokrasi
tuan mencipta kakak tua
agar bisa berkata;
inilah kehidupan
bersemarak dengan nyanyian
lalu malam pun tidak malam
siang pun tidak siang
kerana permainan ini
serunya terlalu panjang

Saya juga tidak mampu membisu apabila sistem kehakiman dipermainkan hingga menyebabkan ada yang menjadi mangsa. Isu pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas banyak menimbulkan polemik pelbagai pihak. Begitu juga isu nasional lain selepas itu:

TUN SALLEH ABAS
atas nama kebenaran
ia menjadi lilin
hangus sebelum musim
tujuh langit menunduk lesu
menatap keadilan

kian gerhana
hari ini putihnya menjadi kelam
kerana tuhan menguji imannya
namun seabad nanti
sejarah berkata sendiri
bahawa kebenaran
adalah musuh diktator

Bangunan Parlimen
Jun 1988

Hari ini selepas jenuh berjalan, saya melihat ke belakang dengan penuh kesilauan masa depan. Hari lepas yang suram dan malap membentuk cahaya dalam proses kreatif.. Dari Kampung Batu Lapan saya bertongkat ke bilik berita di Jalan Riong dengan pelbagai iklim dan cuaca kehidupan. Tidak sesia kehidupan ini. Tidak kosong pengalaman ini, selagi nafas kita sedia untuk memurnikan keadaan! Amin. - Dewan Sastera, September 2007

No comments: