SEORANG bakal pembeli kereta keluaran Proton (Perusahaan Otomobil Nasional) terpaksa singgah di tiga premis jualan untuk membuat tempahan.
Kedai pertama yang disinggahinya amat mengejutkan. Dia bukan saja tidak dilayan dengan sewajarnya, bahkan kakitangan jualannya sibuk dengan ‘tugas’ masing-masing. Ada yang duduk di meja sambil menulis catatan. Ada juga yang sibuk berbincang dan menjeling bakal pelanggan mereka sekilas pandang.
Pelanggan tersebut merasakan dirinya tidak dilayani sepatutnya, berlalu begitu saja tanpa sebarang urusan jual beli dan sebut harga.
Di kedai kedua pula, pelanggan tersebut bagai terhenyak. Jurujual dan keraninya sibuk memesan makanan kerana jam 12 tengah hari adalah waktu makan. Walaupun bakal pelanggan itu meminta katalog dan sebut harga dilayani, namun urusan memesan makanan lebih diutamakan. Pelanggan tersebut terpaksa melupakan hasrat seketika kerana menghormati waktu rehat pekerja wakil jualan Proton.
Hanya di kedai ketiga, bakal pelanggan itu boleh bersabar untuk duduk dan berbincang dengan seorang jurujual, itupun sesekali diganggu deringan telefon daripada bakal pembeli lain. Mungkin juga bakal pelanggan itu tiada pilihan lain kerana kereta Proton adalah jenama nasional yang dibanggakan, selain sesuai dengan peruntukan kewangan yang tidak seberapa.
Apa yang dialami oleh bakal pelanggan itu hanya secebis pengalaman di kedai wakil jualan Proton yang kini hampir tiga dekad berada di pasaran. Bukan semua kedai jualan Proton melayani pelanggan sedemikian rupa, tetapi angkara segelintir premis, boleh menimbulkan tanggapan kurang wajar.
Dalam kes begini, amat wajar Proton menilai semula layanan khidmat pelanggan mereka. Tidak salah mereka belajar daripada pengalaman wakil jualan kereta luar negara, terutama produk Jepun yang sentiasa mesra pelanggan.
Banyak wakil jualan kereta Jepun sentiasa mengejar pelanggan, bukan menunggu pelanggan di kedai. Mereka bukan saja memberi perkhidmatan ketika urusan jual beli, malahan khidmat selepas jualan. Mereka sentiasa utamakan kepuasan pelanggan, hatta selepas urusan pendaftaran kenderaan pun, jurujual masih bertelefon mengenai kualiti kenderaan mereka.
Ada juga sesetengah wakil jualan kereta asing yang bukan saja menghubungi pelanggan mengenai tarikh servis kenderaan, juga menyediakan khidmat membayar cukai jalan dan insurans walaupun tempoh jual kenderaan sudah empat tahun berlalu. Mereka sanggup mendahului pembayaran cukai jalan dan insurans, sebelum pelanggan datang membayarnya. Urusan perkhidmatan memadai dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel saja.
Jenama Proton mula dikenali pada 1983 apabila mendapat arahan secara langsung daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengutamakan industri automotif sebagai pemacu ekonomi negara.
Idea bernas Dr Mahathir menjadi kenyataan apabila Proton mengeluarkan Proton Saga pada September 1985 di kilangnya di Shah Alam.
Berasaskan teknologi Mitsubishi Motors, Proton Saga menjadi pilihan rakyat Malaysia kerana modelnya yang cantik dan harga berpatutan berbanding kenderaan import.
Pada Januari 1989, Proton Saga dijual 100,000 unit. Angka ini terlalu luar biasa untuk sebuah industri automotif yang amat muda di sebuah negara dunia ketiga.
Jenama Proton mula meledak ke seluruh dunia termasuk ke Britain yang selama ini amat gah dengan kenderaan mereka.
Pada 1993, model Proton Wira diperkenal. Sebanyak 220,000 unit terjual dalam tempoh dua tahun. Proton Perdana model pertama dikeluarkan pada 1995 untuk sasaran cita rasa mewah. Proton Waja dilancar awal 2001 dengan reka bentuk tempatan pertama sepenuhnya.
Sementara itu, Proton Saga versi baru (Proton BLM) dilancar 18 Januari 2008, sebagai kesinambungan Proton dalam industri kenderaan tempatan. Sehingga 3 Ogos 2008, Proton menghasilkan tiga juta kenderaan sejak 1985, membabitkan eksport ke United Kingdom, Afrika Selatan, Australia, Singapura, Brunei, Indonesia, Nepal, Sri Lanka, Pakistan, Bangladesh, Taiwan , Cyprus dan Mauritius.
Mengikut statistik, sebanyak 14,706 Proton dieksport sehingga 2006.
Proton juga berjaya memperkenalkan enjin Campro dengan kerjasama Lotus. Nama Campro ialah kependekan bagi Cam Profile (Profil Sesondol). Enjin ini digunakan pada Proton Gen-2 diikuti Satria Neo, Waja dan Persona. Enjin ini membuktikan kemampuan Proton membina enjin yang berkuasa dan mematuhi piawaian emisi yang ketat.
Enjin Campro DOHC asas dikeluarkan dalam dua sesaran enjin iaitu 1.6L (S4PH) dan 1.3L (S4PE). Ketika peringkat pembangunannya, enjin ini dipasang pada Proton Waja. Enjin ini digunakan pada Proton Gen-2.
Kecemerlangan Proton menepati tradisi kualiti yang diutamakan pimpinan negara. Jenama yang hebat dan model menepati cita rasa pelanggan sentiasa menjadi tumpuan massa.
Proton terus melangkah dengan gah di jalan raya kita dengan pelbagai model menarik. Kehebatan ini perlu diiringi khidmat pelanggan terbaik. Proton mesti bersedia menawan hati pelanggan untuk lebih teruja di pasaran.
No comments:
Post a Comment