BUKAN sedikit sasterawan dan budayawan Indonesia yang sinis terhadap Malaysia. Sutardji Calzoum Bachri pernah melihat negara ini sebagai kecelakaan apabila dasar sebatan terhadap pendatang tanpa izin dilihat menganiaya warga tetangga.
Penyair yang suatu masa dulu membaca sajak sambil meneguk bir mempertikaikan Malaysia yang dianggap mengeksploitasi tenaga kerja asing. Sutardji yang kini bertukar imej alim masih lantang dan sinis terhadap tetangganya. WS Rendra yang terkenal dengan jolokan 'Si Burung Merak' tidak terkecuali melihat 'rusuh demi rusuh' yang berlaku di Malaysia kerana diperintah oleh seorang diktator selama 22 tahun. Ketika hayatnya, Rendra terkenal sebagai sahabat akrab bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan 'teraniaya' oleh perbuatan konspirator atasan di Malaysia.
Beberapa sajak, ucapan dan tulisan mereka berdua amat terang menyerang Malaysia. Pelbagai sisi gelap negara ini dibongkar pada pelbagai majlis ketika suara sinis terhadap Malaysia jarang mereda di Jakarta dan kota lainnya.
Sikap segelintir warga Indonesia terhadap negara ini amat luar biasa. Ada yang mengejek lagu Negaraku ketika pusingan kelayakan Piala AFC Futsal di Jakarta pada Februari lalu.
Ada juga yang menuduh Malaysia sebagai 'malingsia' kerana kerap mencuri hasil seni dan tamadun Indonesia. Ada yang membakar Jalur Gemilang dan tidak kurang juga yang berteriak di luar kedutaan Malaysia di Jakarta sambil membaling telur busuk.
Apa saja isu yang membabitkan Malaysia sering dianggap taboo. Tarian tradisional Bali menjadi isu walaupun yang terbabit dalam promosi tidak tepat adalah pihak lain. Isu pembantu rumah hangat dan bertele-tele walaupun disedari Indonesia perlu mengeksport tenaga kerja untuk survival bangsa sendiri.
Walaupun kewarasan amat dituntut untuk menyelesaikan isu dua hala, sikap segelintir pihak sering meributkan. Hal ini merugikan dan boleh menjejaskan keakraban bangsa serumpun.
Budayawan Emha Ainun Nadjib mempunyai sikap yang jauh berbeza dengan Sutardji dan Rendra. Tulisannya dalam Jejak Tinju Pak Kiai melihat Indonesia yang rapuh dan perlu terus kekal dalam kebudayaan dan masyarakat dunia.
Emha yang lebih dikenali sebagai Cak Nun mengakui Indonesia amat lemah dalam pelbagai sektor dan perlu belajar daripada kejayaan bangsa lain termasuk Malaysia.
Cak Nun hairan isu makanan dan kebudayaan dipersoalkan, sedangkan keturunan Indonesia yang berhijrah ke negara jiran turut membawa jati diri mereka.
Jejak Tinju Pak Kiai adalah koleksi rencana Cak Nun yang diterbitkan Kompas dengan menyorot penghijrahan rakyat Indonesia secara sedar merebakkan kebudayaannya di tanah baru.
Beliau melihat peranan keturunan Jawa, Bugis, Sunda, Minang, Aceh dan lain-lain turut mempengaruhi kebudayaan di Malaysia. "Apa yang disebut di Malaysia adalah eceran gamelan Jawa, bambu angklung Sunda, pantun Riau, cengkok Ambon...
"Secara politik legal, Malaysia sebuah negara berdaulat, mandiri dan mempunyai pentadbiran ekonomi yang baik," tegasnya.
Bagaimanapun pentadbiran masa depan Malaysia berbeza dengan Indonesia, kerana Cak Nun yakin komposisi kaum yang membabitkan keturunan Cina dan India lebih memberi impak kepada Kuala Lumpur untuk membezakan dengan Jakarta.
Mengenai isu budaya dua negara, Cak Nun sinikal menegur kealpaan Malaysia dan Indonesia. "Indonesia yang secara sejarah memiliki hak kultural pada karya selalu santai dan merendah hati menganggap milik bersama. Sementara Malaysia yang secara antropologis cuma 'keponakan' memanfaatkan kebodohan hukum hak cipta nasional untuk mengklaim karya itu sebagai milik mereka sendiri," tegasnya.
Cak Nun yakin Malaysia kini bukan 'keponakan' kepada Indonesia kerana kepesatan ekonomi dan perdagangan yang meletakkan Kuala Lumpur di atas Jakarta.
"Malaysia tidak bersedia diletakkan sebagai 'keponakan'. Mereka berasa induk dari seluruh peradaban Melayu. Acuannya adalah kerajaan Melaka. Mereka memandang Majapahit bahagian daripada Melaka, Jawa, Bugis, Bali... Semuanya di bawah pentadbiran Melaka," katanya.
Perasaan rendah diri menjadi duri dalam daging di hati segelintir rakyat Indonesia. Bermula dengan Memula Moon, Terang Bulan, lagu Rasa Sayang Eh, kebudayaan Bali, batik, sate, orang gaji dan entah apa lagi, ia terlalu mudah untuk membakar semangat khalayak membenci Malaysia dan warganya.
Media juga terus berperanan untuk mendedahkan keburukan sebuah bangsa yang dikatakan gemar mencuri kebudayaan negara tetangganya. Cak Nun melihat Malaysia sebagai induk daripada tamadun kerajaan Melayu, bukan lagi adik kecil kepada Indonesia yang masih bergelut untuk membangunkan ekonomi dan gagal membanteras rasuah dalam pelbagai sektor. - Berita Harian, 29 Jun 2010
2 comments:
Bagus. Saya suka layout begini. Teruskan.
MARSLI N.O
TERIMA kasih Marsli. Saya manfaatkan pengalaman lay out
Post a Comment