PILIHAN raya sebahagian daripada proses demokrasi. Ia membenarkan rakyat bebas membuat keputusan dan memutuskan seseorang layak mewakili mereka, sama ada pada peringkat majlis tempatan, Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.
Lazimnya, negara yang mengamalkan prinsip demokrasi membenarkan pemilihan bebas dan setiap calon berhak mengadakan ceramah, rapat umum, manifesto bagi mengemukakan idea perjuangan mereka.
Bagi yang mahu merayakan proses demokrasi, pilihan raya jalan terbaik untuk memilih tokoh yang berhak untuk memimpin negara. Debat terbuka dan ceramah umum lazimnya menyerlahkan kewibawaan seseorang. Publisiti dan propaganda media sebahagian daripada perayaan proses demokrasi di sesebuah negara.
Bagaimanapun demokrasi tidak terlalu lunak untuk dilaksanakan kerana ada di kalangan pihak yang sudah menikmati kekuasaan, berusaha untuk mengekalkan penguasaan mereka dengan apa cara sekali pun.
Pemikir kekuasaan seperti Firenze Niccolò Machiavelli menulis dalam karyanya De Principatibus (Tentang Kekuasaan) pada 1513 yang menghuraikan bagaimana memperoleh kuasa, memperluas dan menggunakan kuasa untuk menindas musuh politik.
Bagi Machiavelli, kuasa adalah sesuatu yang wajib dipertahankan dan demokrasi menjadi alat untuk mempertahankan kekuasaan. Pemimpin yang hebat sentiasa berjuang untuk menundukkan saingan (dalam parti atau dari luar), menguasai media dan mempengaruhi pemikiran umum.
Pemimpin yang cekap sentiasa pintar menggunakan ruang demokrasi untuk menghalalkan cara termasuk memperkenalkan akta dan undang-undang yang menyebelahi pimpinannya.
Machiavelli mengambil sikap yang keras terhadap penggunaan tentera yang dIupah untuk berperang. Dia percaya tentera sewaan tidak ada gunanya bagi seseorang penguasa kerana mereka tidak berdisiplin, pengecut dan tidak setia.. Motivasi mereka untuk berperang hanya untuk dapatkan upah. Dia juga menekan supaya pengikut sentiasa setia kepada pucuk pimpinan.
Diktator Itali, Benito Mussolini menulis sebuah wacana mengenai Sang Penguasa dan mengakui kelemahan negaranya menjelang awal abad 20 kerana terlalu bergantung kepada tentera upahan di samping prinsip demokrasi yang terlalu bebas. Dia menghayati teknik menguasai minda rakyat termasuk menghukum musuh politiknya. Dia belajar kaedah Machiavelli untuk mengekalkan kekuasaan dan menyerang negara jiran.
Bekas Presiden Amerika Syarikat, Richard Milhous Nixon (9 Januari 1913 – 22 April 1994) kecundang dalam proses demokrasi kerana Skandal Watergate yang mengintip musuh politiknya. Bagi sesetengah pihak, mengintip maklumat dan menggunakan kemudahan pentadbiran bukan kes jenayah. Namun bagi masyarakat Amerika Syarikat, tindakan Nixon bertentangan dengan amalan demokrasi yang membenarkan semua pihak bebas berpolitik, bertindak dan bergerak.
Bagi umat Islam, sistem syura dianggap yang terbaik berbanding amalan demokrasi. Hak golongan majoriti dipertahankan, tetapi pandangan minoriti tidak diketepikan jika mempunyai asas dan landasan yang tepat. Syura bertentangan dengan demokrasi yang mengagungkan hak majoriti dan golongan terkecil kena patuh kepada pihak atasan.
Bagaimanapun kita di Malaysia mengamalkan prinsip demokrasi berasaskan suasana yang ada di Britain sejak berabad lalu. Kita mempunyai sistem tersendiri dan meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara.
Perlembagaan Persekutuan menggariskan hak dan prinsip demokrasi serta mengiktiraf bangsa Melayu sebagai bangsa asal negara ini.
Kontrak sosial dan isu kaum perlu ditangani dengan bijak. Hak pemerintah dan rakyat mempunyai kedudukan tersendiri.
Bagaimanapun wajar juga di kalangan kita mengkaji ungkapan Khalifah Muawiyah yang memberi nasihat kepada Amr al-As ketika berangkat untuk mentadbir Mesir: “Lihatlah kepada keperluan rakyat dan berusahalah untuk menunaikannya. Lihatlah kepada kemelampauan puak yang hina dan berusahalah untuk menghapuskannya. Takutlah kepada orang baik yang lapar dan orang jahat yang kenyang. Sesungguhnya yang akan memberontak ialah orang baik apabila dia lapar dan orang jahat apabila dia kenyang!” (Ibn Muflih, Al-Adab asy-Syar’yyah , 1/202) - Berita Harian, 8 November 2010
No comments:
Post a Comment