Pages

Tuesday, November 23, 2010

Melayu kumpul pengikut, Cina cipta kekayaan

(Leka rebut kuasa hingga lupa tingkat ekonomi bangsa punca agihan kekayaan tak sekata)

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008 membuktikan dengan jelas perbezaan sistem nilai antara bangsa Melayu dengan kaum lain. Walaupun kedua-dua bangsa mendominasi kedua-dua pihak – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat – namun ia menterjemahkan sistem nilai yang berbeza.

Bangsa Melayu sinonim dengan kedaulatan raja-raja Melayu dan tradisi muafakat sejak berkurun. Bangsa Cina pula sentiasa berusaha dan tekun untuk membangunkan ekonomi dan menggunakan kuasa politik untuk kepentingan perusahaan.

 Melayu di dalam UMNO, PAS dan PKR diyakini masih lagi tebal dengan jiwa tradisional walaupun terpaksa bertindak untuk ‘melegakan’ perasaan rakan mereka dalam gabungan siasah. Jika adapun Melayu yang sanggup menuturkan ‘sembah derhaka’, tindakan mereka sekadar melunaskan kemarahan peribadi apabila hajat siasah tergendala.
Ada juga Melayu yang memegang kuasa sanggup meleburkan bahasa dan adat resam sendiri kerana memikirkan rakan gabungan yang sentiasa mengharapkan sikap terbuka sebelah pihak, sedangkan pihak lain begitu rakus memainkan isu perkauman. Keterbukaan Melayu ada masanya merugikan bangsa sendiri.
Kelemahan ketara bangsa Melayu adalah terlalu ghairah mengumpul pengikut, sedangkan pihak lain bertindak mengambil kesempatan siasah untuk mencipta peluang perniagaan dan perdagangan. Keghairahan mengumpul pengikut juga menjadi dorongan seseorang Melayu untuk kekal berkuasa, mencari pengaruh dan mengumpul penyokong yang kian bertambah. Pada masa sama mereka lupa untuk membantu pengikutnya mempunyai nilai ekonomi, menyebabkan agihan kekayaan bangsa Melayu tidak merata. Hanya segelintir Melayu yang berjaya dan yang terbanyak adalah Melayu yang masih lagi mengharapkan subsidi dan naungan pemerintah untuk berjaya dalam sesuatu bidang. Kesannya, lahirlah Melayu yang berfikiran jumud, taklid dan pengikut pendapat lain tanpa sebarang pertimbangan akal.
Kesibukan mengumpul pengikut juga mendorong Melayu bergeser sesama sendiri kerana menggunakan fomula siasah untuk berkuasa atau mengekalkan kekuasaan. Pergeseran sesama Melayu mendorong pihak lain mengambil kesempatan seperti berlaku pada pilihan raya umum lalu.
Sejak Parameswara membangunkan kesultanan Melayu Melaka pada 1403, tradisi mencipta pengikut dan pengaruh begitu tebal dalam sejarah Melayu. Pihak istana mendapat laba daripada kesetiaan rakyat. Raja dibantu bendahara dan temenggung menguruskan pentadbiran. Rakyat yang setia sentiasa tidak mampu berfikir dan mendapat peluang ekonomi. Kesannya, segelintir mencapai kejayaan dan terbanyak menerima kegagalan hidup.
Berbeza kaum Cina – tidak kira MCA, GERAKAN, DAP – sistem naungan ekonomi berpaksi sejak abad ke-19 ketika penjajah British membawa mereka ke kawasan perlombongan di Tanah Melayu. Pendatang dari selatan China diarah bekerja di kawasan lombong dan bijak mempelajari nilai tempatan menyebabkan mereka selesa untuk terus tinggal di negara ini walaupun penjajah kembali ke British menjelang 1957. Keturunan mereka bijak memanfaatkan kesempatan -- daripada golongan pekerja kepada pencipta pekerjaan.
Kejayaan mempelajari dan menerima nilai tempatan serta diadunkan dengan cara hidup positif, membantu bangsa Cina membina ‘sistem kongsi’ yang mengutamakan kepentingan kecinaan sehingga kini.
Mereka mungkin bergaduh dan bergasak mengenai ideologi politik, namun mustahil untuk mereka meninggalkan perusahaan dan mencipta peluang ekonomi untuk kaum sendiri. Isu pendidikan dan peluang ekonomi sentiasa mendominasi pemikiran kaum Cina kerana mereka sedar kedua-duanya mempunyai paksi untuk menaungi siasah pada masa panjang.
Kita jarang menemui bangsa Cina yang kandas peniagaan kerana sukar menyediakan modal. Sistem kongsi memberi peluang sesiapa saja mencipta kekayaan asalkan rajin berusaha dan tidak segan menerima strategi pengurusan perniagaan yang berjaya.

Berbeza dengan Melayu, isu politik sering menjadi kerenah yang merenggangkan, Subsidi baja padi menjadi duri dalam daging di kawasan pertanian. Bantuan mangsa banjir dinafikan kerana perbezaan fahaman. Pentadbir negeri berbeza dengan Pusat menimbulkan kekalutan sesama sendiri. Isu pengaruh dan kekuasaan peribadi sentiasa menjadi belenggu yang melelahkan. Melayu bergaduh sesama sendiri, hatta di dalam sesebuah pertubuhan pun mereka tidak sekata dan ‘melompat parti.’

Perseteruan demi perseteruan sesama Melayu menjadi opera lunak yang dipertontonkan kepada pihak lain. Melayu bergelut mencari pengaruh dan pengikut, Pihak lain lenang mengaut laba ekonomi kerana kebersamaan berfikir dan bertindak. - Berita Harian, 23 November 2010

No comments: