KETIKA Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengiktiraf pertengahan Mac sebagai Hari Ginjal Sedunia setiap tahun, tidak kurang 30,000 pesakit buah pinggang meninggal dunia setiap hari. Tahun ini, Hari Ginjal Sedunia disambut pada 10 Mac ketika seorang daripada 10 dewasa berdepan pelbagai bentuk kerosakan buah pinggang di seluruh dunia.
Di Malaysia saja, daftar pendermaan organ dan dialisis bagi 2006 meningkat secara dramatik sejak 20 tahun lalu. Setiap tahun lebih 2,500 orang berada pada tahap akhir kegagalan buah pinggang (ESRD), iaitu jumlah yang menyaksikan lebih ramai memerlukan rawatan mesin dialisis. Berbanding 1980, hanya 43 orang memerlukan bantuan dialisis tetapi pada 2006 jumlah itu meningkat 3,152 orang.
Kerosakan buah pinggang adalah masalah yang progresif dan tidak boleh disembuhkan dengan hanya memakan ubat. Rawatan ketika ini ialah dialisis (haemodialisis dan peritoneal dialisis atau dikenali sebagai CAPD), selain pemindahan organ. Suntikan Recormon pada perut pesakit sekadar langkah yang tidak banyak membantu. Rawatan paling berkesan adalah pemindahan organ tetapi ia bukan langkah popular di Malaysia kerana tidak ramai yang sanggup menyerahkan ginjal mereka untuk membantu pesakit.
Di Pulau Pinang saja, kadar rawatan mencecah hingga 181 pesakit dalam sejuta orang. Kajian pada 2006 mendapati ada 14,946 pesakit bergantung pada mesin dialisis di Malaysia. Kebergantungan pada dialisis adalah dua kali ganda, iaitu 52 orang pada 1997 menjadi 104 pada 2003. Sejak itu ia meningkat kepada 110 untuk sejuta populasi.
Kes baru dialisis pada 2006 ialah 3,152, pertambahan lebih 50 peratus daripada jumlah pesakit buah pinggang yang direkodkan pada 2000.
Isteri penulis adalah antara pesakit buah pinggang yang dikesan kesnya pada 8 Februari 2008 dan menjalani rawatan CAPD sebanyak empat kali sehari membabitkan kos lebih RM3,000 sebulan. Bahagian perutnya ditebuk untuk memasukkan wayar bagi proses CAPD dan lengan kirinya dimasukkan sejenis alat untuk memudahkan haemodialisis. Dia menderita sakit dan menghadapi kualiti hidup yang amat berbeza daripada sebelumnya. Sepanjang 2010, hampir 10 kali dia terlantar di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) kerana jangkitan kuman pada saluran wayar di perutnya untuk proses rawatan peritoneal dialisis. Kos rawatannya terlalu tinggi dan dia masih beruntung kerana sebagai kakitangan awam, kerajaan menanggung sepenuhnya kos perubatan. Bayangkan pesakit yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau bergaji rendah, tentunya kehidupan mereka terhimpit kerana kegagalan fungsi ginjal tidak mengenal status ekonomi seseorang.
Pesakit buah pinggang lazimnya menghadapi tekanan hidup yang amat berat. Selain beban perasaan kerana tidak boleh menjalani kehidupan aktif seperti sebelumnya, mereka juga berdepan masalah kesihatan sampingan seperti kerap demam, sakit kepala, batuk, kesejukan, menggigil dan lemah imbangan badan.
Bagi pesakit beragama Islam pula, mereka terpaksa berdepan dengan hakikat tidak dapat menunaikan Rukun Islam kelima, iaitu menunaikan ibadat haji. Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan garis panduan melarang pesakit buah pinggang ke Tanah Suci kerana bimbang komplikasi dan proses rawatan ketika musim haji. Tentunya bagi mereka yang sudah lama menabung di Tabung Haji terpaksa menerima realiti yang pahit ini dengan perasaan berkecamuk.
Mereka juga berharap ada penderma organ yang sanggup membantu meringankan beban hidup. Bagaimanapun di Malaysia, menderma organ bukan budaya yang dipraktiskan walaupun banyak pihak sering mendakwa kita memiliki budaya penyayang dan sering membantu pihak yang menderita. Lebih malang lagi, bangsa Melayu paling ramai tidak berminat menderma organ berbanding kaum Cina dan India. Mengikut statistik yang dikeluarkan Pusat Sumber Transplan Kebangsaan (NTRC) di Hospital Kuala Lumpur pada 2005, sebanyak 64 peratus daripada pengikrar pemindahan organ adalah kaum Cina, diikuti India (22 peratus), Melayu (8 peratus) dan kaum lain tiga peratus. Pada 2005 juga hanya 10 yang tampil menderma organ.
Rakyat Malaysia keturunan Melayu sepatutnya mencontohi rakan mereka di Singapura yang ramai berikrar menderma organ. Mungkin juga kerana negara jiran memperkenalkan Akta Pemindahan Organ Manusia (Hota) yang memasukkan warga Muslim secara automatik sebagai penderma organ.
Tanpa pendermaan organ, pesakit buah pinggang akan kekal menjalani rawatan haemodialisis sepanjang masa dengan penuh debar. Setiap kali ke klinik, perasaan bertambah gundah apabila mendapat tahu rakan yang pernah menjalani rawatan di dalam wad sebelum ini sudah tiada lagi. Bukan seorang dua, malahan terlalu ramai. Inilah dilema yang dihadapi pesakit yang bagai menanti giliran untuknya dengan penuh misteri. - Berita Harian, 22 Mac 2011
No comments:
Post a Comment