SEORANG penerbit novel bertaraf karya popular kelihatan bangga ketika menceritakan perusahaannya yang bertambah kukuh. “Kami memilih karya yang baik dan digemari ramai. Kami pilih sasaran pembaca dan menyertai pesta buku di Pusat Dagangan Dunia Putra kerana mengetahui sasaran pembaca,” tuturnya. Beliau berjaya menerbitkan berbelas novel setahun yang sebahagian besarnya menceritakan isu remaja, cinta terhalang, dilema rumah tangga dan masalah wanita moden.
Dia menyediakan peruntukan besar untuk kos percetakan, pengedaran, pengiklanan dan bayaran royalti kepada penulis yang berjaya mencapai sasaran jualan tertentu. Dia tidak peduli sama ada karya yang diterbitkan bakal dinilai panel Hadiah Sastera Perdana atau tidak.
Yang pasti, selaku penerbit, dia mahu memberi karya kepada sasarannya dan yakin dapat mencatat keuntungan daripada setiap hasil penerbitannya. Dia tidak pedulikan pengiktirafan panel sastera kerana yang penting karya sampai kepada sasaran.
Di mana saja, isu karya popular atau serius sering bertele-tele. Penulis atau sasterawan sentiasa menjaga kualiti karya dan tidak terjebak melahirkan karya murahan atau popular.
Risikonya amat besar apabila karya serius dan seni sentiasa hilang khalayak kerana cita rasa sebahagian besar rakyat Malaysia adalah membaca karya popular yang boleh ditelaah dalam masa beberapa jam saja.
Seorang teman yang komited melahirkan karya serius dan bermutu akhirnya terpaksa mengalah kerana karyanya terpaksa dijadikan ‘hadiah’ kepada rakan kerana tidak mencatat jualan sepatutnya. Bekas Ahli Parlimen DAP kawasan Menglembu, Fan Yew Teng (mendiang) terpaksa mengalah dan kembali ke arena politik menjelang saat kematiannya kerana tidak dapat melariskan jualan karyanya. Fan juga menjadi panel penulis beberapa majalah antarabangsa bagi melahirkan pandangannya kerana mustahil media tempatan menyiarkan idea di luar pemikiran perdana.
Sepanjang suku pertama tahun ini, ada dua buku yang menjadi tumpuan khalayak tempatan. Karya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berjudul A DOCTOR IN THE HOUSE: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad dilancarkan dan dijual pada 8 Mac lalu.
Karya berharga RM100 senaskhah menjadi bualan umum kerana beberapa isu politik yang dipaparkan sepanjang 22 tahun perkhidmatannya menimbulkan polemik tersendiri. Pro dan kontra isu yang dipaparkan menjadi wacana menarik untuk pengkaji sejarah politik menilai isu siasah dari pendekatan bekas Presiden UMNO itu sendiri.
Bekas wartawan dan Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin atau dikenali Zam menghasilkan Hari Itu Sudah Berlalu yang menceritakan pengalaman pengamal media dalam situasi siasah negara.
Beberapa isu dalaman seperti kejadian menjelang pengharaman UMNO pada 1988 dicatat dengan rapi menerusi perspektif insan di bilik berita. Zam juga mengukir latar konfrontasi Malaysia dan Indonesia serta adegan lucu pertemuan Tunku Abdul Rahman Putra dengan Sukarno di Manila bagi menamatkan krisis dua negara berjiran. Karya memoir kewartawanan ini diadun bersama nota kaki dan fakta yang boleh dipertanggungjawabkan. Pengalaman peribadinya bermanfaat untuk pengamal media dan sarjana politik membuat kajian implisit.
Bagaimanapun isu karya serius dan boleh dipertanggungjawabkan bukan sekadar penerbitan. Apakah ia bakal dibeli dan ditelaah masyarakat?
Jika karya baik tidak laris di pasaran, apakah ada penerbit sanggup berisiko menerbitkan karya sedemikian?
Menyedari hakikat ini mendorong kerajaan memperuntukkan RM2 juta tahun ini bagi membeli secara terus karya dan buku yang ditulis oleh penulis serta membantu mengedarkan karya mereka ke perpustakaan seluruh negara.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, yakin menerusi cara itu peranan orang tengah yang bertanggungjawab mengedar buku dapat dielak, seterusnya membantu penulis menikmati pendapatan lebih baik.
“Kebanyakan penulis kita tidak boleh hidup dengan menulis sebab orang tengah main peranan dan mengambil komisyen lebih. Sebab itu kerajaan membuat perancangan semula dengan kita beli terus buku dan edarkan kepada perpustakaan desa dan dengan cara ini kita dapat menggalakkan penulisan buku dan pada masa yang sama menggalakkan tabiat membaca di kalangan masyarakat,” katanya selepas merasmikan program Mari Membaca 1Malaysia bersama Ikon Membaca yang juga pelakon Datuk Michelle Yeoh di Perpustakaan Negara Malaysia baru-baru ini. - Berita Harian, 4 April 2011
No comments:
Post a Comment