Pages

Tuesday, April 26, 2011

Melayu baru, mimpi pun bentuk baru

KESAN langsung kejadian 13 Mei 1969 berjaya melahirkan generasi Melayu baru yang  amat mencabar kehidupan tradisional di luar bandar. Jika sebelumnya Melayu ‘selesa’ dengan kehidupan  di kampung dan pedalaman, menjelang awal dekad 1970-an, mereka berhijrah secara drastik ke kota besar terutama di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

 Pengenalan Dasar Ekonomi Baru dan saranan pemilikan ekuiti 30 peratus Bumiputera  dalam sektor industri berjaya mengubah persepsi Melayu yang sebelumnya  sekadar makan gaji atau bekerja dalam bidang pertanian dan tanah rancangan. Proses perubahan dan penghijrahan berjaya membentuk generasi baru yang mempunyai ciri-ciri pemikiran  berbeza dengan orang tua mereka di desa.
 Dua karya Melayu yang lahir selepas merdeka berjaya menjadi anjakan yang menggugah pemikiran lama. Buku The Malay Dilemma karya Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1970 mengajak Melayu mengubah sikap dan tidak terus selesa dengan hak istimewa Melayu untuk mencapai kejayaan. Bekas Perdana Menteri juga menyarankan supaya Melayu lebih tekun berusaha dan agama tidak diperalatkan untuk menjadi manusia jumud dan ketinggalan dalam pelbagai sektor. Agama menjadi pedoman kehidupan, bukan meluaskan sengketa sesama insan.

 Bekas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Senu Abul Rahman pula melahirkan idea Revolusi Mental yang menegur bangsa Melayu supaya berubah dari segi cara berfikir tanpa meninggalkan jati diri bangsa. Perubahan sikap menuntut kekuatan  ekonomi dan budaya  selaras  kehidupan bangsa besar di dunia.

 Menjelang dekad 1980-an, proses  penghijrahan berjaya membentuk penempatan Melayu yang dilengkapi pelbagai prasarana. Peluang pendidikan, pelaburan dan perusahaan berjaya membentuk Melayu baru yang berdaya saing.  Ciri-ciri tradisional Melayu secara tanpa sedar mulai terhakis. Budaya muafakat, gotong-royong, perasaan bersama dan ciri-ciri kekeluargaan mula dipersoalkan sesetengah pihak.
 Ketika Melayu berdepan cabaran untuk menguasai peluang ekonomi, pelaburan, politik dan pendidikan, mereka juga berdepan krisis identiti untuk mempertahankan jati diri bangsa. Nilai murni yang diwarisi berzaman tercabar dengan ledakan persekitaran baru. Peluang ekonomi yang tercetus hasil Dasar Ekonomi Baru, tidak sedikit melahirkan broker Melayu yang akhirnya selesa sebagai Ali Baba di sektor perusahaan.
 Dalam kalangan ahli politik pula, ruang untuk pembelaan bangsa Melayu dijadikan pentas untuk mengekalkan kuasa atau mempergunakan kuasa untuk kepentingan yang lain. Perseteruan antara kelompok siasah menjadikan Melayu baru lebih selesa bergeser daripada mengutamakan kekuatan dalaman seperti yang dimiliki masyarakat terdahulu.
 Perbezaan ketara antara Melayu baru dengan kaum Cina ialah  cara menanggapi pengikut masing-masing. Kaum Cina sejak 1700  membentuk sistem kongsi untuk menjaga kepentingan kumpulan mereka. Dari sinilah lahirnya istilah ‘kongsi gelap’  apabila ada yang menggunakan cara yang tidak sah untuk meneruskan kehidupan.  Pemodal yang berjaya menikmati hasil bumi di Tanah Melayu membantu kaum   mereka untuk turut  mencapai kejayaan. Isu modal dan peluang pelaburan jarang menjadi rungutan mereka. Berbeza dengan  Melayu baru yang mencipta dan mengaut kekayaan untuk diri dan keluarga. Pengikut mereka akan setia sebagai penyokong tanpa banyak peluang untuk mencipta kekayaan ekonomi. Masalah ini terus berlanjutan dan sampai kini pun kita mendengar peniaga Melayu merungut  kerana tiada peluang   untuk meneruskan perniagaan apatah lagi  untuk bersaing bersama bangsa lain.
 Pembentukan imej Melayu juga memberi kesan dari segi sosial. Kenduri kahwin dan majlis keraian sudah berbeza dengan masyarakat terdahulu. Penulis menghadiri tiga majlis selang beberapa minggu dengan pelbagai situasi yang cukup unik. Majlis meraikan seorang  kenalan yang  baru bergelar ‘datuk’ di sebuah hotel amat menarik dicatat. Tetamu bukan saja dijamu dengan hidangan lazat, bahkan ada konsert ‘live band’, baca sajak, selawat, tayangan slaid, pengkisahan peribadi dan cenderamata istimewa. Tetamu istimewa tentunya bergelar Tan Sri yang menguasai sebuah syarikat pelaburan kerajaan. Dalam dua majlis kenduri kahwin di dewan yang cukup agam, tetamu bukan saja mesti membawa kad jemputan, juga diisyaratkan memakai batik dan memastikan jumlah anggota keluarga yang bakal hadir. Penulis juga dimaklumkan majlis turut dihadiri bekas Perdana Menteri dan bakal dirakamkan untuk tayangan stesen televisyen swasta. Turut hadir  16 wakil wilayah dari Indonesia termasuk yang bertaraf bupati (gabenor).
 Jika dulu majlis keraian dan kenduri kahwin masyarakat Melayu membabitkan kerjasama penduduk setempat dan terbuka kepada semua pihak untuk menjadi tetamu, keadaan kini sudah jauh berubah. Hak eksklusif pengendali majlis lebih diutamakan dan   mereka juga menentukan tetamu yang bakal dijemput. Jika dulu majlis kenduri dimeriahkan oleh suara penanggah, tukang masak, emak andam dan saudara mara, majlis kini sudah bertukar menjadi serius dan formal. Ia semakin kaku dan  bisu. Ia juga mungkin sebahagian daripada citra Melayu baru yang semakin kaku dan bisu menanggapi kehidupan moden di kota yang semakin mencabar.

 Jika ada yang bertanya kesan 13 Mei kepada sebahagian besar bangsa Melayu, jawapannya ialah Melayu sudah berubah. Bukan saja dari segi ekonomi dan politik, juga cara bermimpi dan bersahabat! - Berita Harian, 26 April 2010

No comments: