Penerbit utamakan karya picisan ketika kerajaan komited galak rakyat terus membaca
MINAT membaca rakyat Malaysia meningkat sedikit berbanding beberapa tahun sebelumnya. Jika dulu mereka membaca beberapa helai muka surat setahun, kajian terbaru menunjukkan mereka membaca dua buku setahun.
Bagaimanapun data yang dikeluarkan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) amat mengejutkan. Statistik penerbitan menunjukkan penurunan yang mendadak. Pada 2008, sebanyak 16,044 naskhah direkodkan, manakala pada 2009 jumlah penerbitan agak menurun kepada 15,767 naskhah dan 15,756 pada 2010.
Jika minat membaca semakin meningkat dan bahan bacaan yang diterbitkan semakin menurun, apakah mungkin disebabkan pendedahan kepada media baru atau rakyat Malaysia semakin terdedah kepada bahan bacaan dari luar negara?
Persoalan lain yang timbul, apakah bahan bacaan yang paling diminati oleh rakyat Malaysia? Karya serius atau popular? Bacaan ilmiah dan bermutu atau sekadar karya ringan yang tidak banyak membantu pembentukan akhlak generasi Malaysia?
Seperti lazimnya, setiap April dan Mei, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang menampilkan ribuan judul untuk pengunjung. Bagaimanapun bahan bacaan yang bagaimana banyak dipamerkan? Bacaan yang bagaimana pula paling menarik minat rakyat Malaysia?
Persoalan karya serius dan karya remeh sering menimbulkan polemik dalam kalangan ahli kaji sosial. Membangunkan sesebuah bangsa dunia ketiga memerlukan karya yang baik kerana tidak mungkin ilmu dan proses pencelikan akal datangnya daripada karya pinggiran. Bagaimanapun ini yang banyak terjadi sekarang. Karya popular -- novel yang ringan isinya serta buku agama yang tidak berlandaskan kepada sandaran akademik menjadi tumpuan ramai.
Kita terlalu mewah dengan novel cinta dan pergolakan remaja berbanding karya besar seperti Hujan Pagi, Salina, Ranjau Sepanjang Jalan dan Interlok. Kita terlalu banyak buku bercerita masalah jin, jimak dan isu Imam Mahadi berbanding karya yang memaparkan asas pemikiran Islam pada era globalisasi. Lebih malang juga kita terlalu ke depan dari segi penerbitan buku politik yang sekadar tohmahan siasah sedangkan masyarakat sepatutnya didedahkan dengan bacaan bermutu yang bakal mengisi minda mereka sepanjang hayat.
Ketika kerajaan sedang komited untuk menggerakkan penerbitan dan menggalakkan rakyat terus membaca, pihak penerbit pula perlu memberi perhatian kepada karya yang lebih berakal. Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan bekerjasama dengan semua pemain industri buku untuk mencapai sasaran penerbitan sekurang-kurangnya 26,000 judul buku setahun.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata hasil pengeluaran penulisan perlu digembleng kerana kini hanya 16,000 judul buku diterbitkan setahun.
"Yang penting adalah untuk mendapatkan seberapa ramai penulis dan sudah tentu penerbit juga kerana dengan cara itu hasil karya yang dikeluarkan mendapat sokongan dan bermutu," katanya selepas merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2011 ke-30.
Beliau memberi jaminan agensi kerajaan yang terbabit akan terus mengeratkan lagi kerjasama dengan sektor swasta di bawah industri buku untuk membuat 'pemetaan' penerbitan bagi mencapai sasaran tersebut.
Penulis buku tempatan kini boleh memohon modal untuk memulakan penerbitan daripada Dana Penulis yang disediakan PNM berjumlah RM2 juta. Ketua Pengarah PNM, Datuk Raslin Abu Bakar, berkata dana itu diberikan kepada penulis yang menghasilkan karya seratus peratus.
"Penulis boleh menghantar terbitan mereka kepada PNM, jawatankuasa yang diwujudkan akan menilai buku berpandukan syarat yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata penulis yang layak bakal menerima RM25,000 dan PNM akan membeli serta mengedarkan buku tersebut kepada perpustakaan desa di seluruh negara.
Mengenai Kempen Membaca, beliau berkata sebanyak 8,000 aktiviti membaca setahun diadakan di seluruh negara bagi meningkatkan minat membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia. Bagaimanapun bahan bacaan yang dipilih masih menjadi rahsia umum. Membaca tidak semestinya karya yang baik. Justeru, PNM sewajarnya memantau bahan terpilih untuk dibaca pada majlis anjurannya pada masa depan agar semua pihak mendapat manfaat.
Ketika negara kita ghairah berpesta mengenai jualan buku, wajar juga dikaji bahan bacaan yang dicetak rompak daripada luar negara. Banyak buku Hamka terutama Lembaga Budi, Tasauf Moden, Tafsir Azhar, Peribadi dan Kenang-Kenangan Hidup yang diterbit secara meluas dan meragukan.
Ada penulis dari Indonesia yang pernah mempersoalkan isu hak cipta membabitkan karya mereka di Malaysia. Ada yang mendakwa penerbit Malaysia amat mudah ‘mencetak’ wang hasil karya agama dari negara jiran. Isu ini wajar dipantau bagi mempastikan isu hak cipta tidak sampai meledak ketegangan dua negara serumpun. - Berita Harian, 2 Mei 2011
No comments:
Post a Comment