Pages

Tuesday, May 31, 2011

OKU masih di lorong yang sama

 KETIKA Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengisytiharkan Tahun Antarabangsa Orang Cacat (TAOC) pada 1981, Malaysia juga tidak terkecuali merayakannya selaras gesaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyelaras dan menghargai sumbangan golongan kelainan upaya (OKU) di sesebuah negara.

Banyak majlis sudah diadakan sejak 30 tahun lampau. Banyak juga istilah yang diguna pakai – orang cacat, golongan istimewa, orang kurang upaya dan kini orang kelainan upaya. Namun sehingga kini, nasib OKU tidak banyak berubah. Kira-kira 90 peratus daripada OKU mempunyai pendapatan di bawah RM1,000 sebulan. Angka ini mengesahkan mereka di antara golongan berpendapatan rendah, walaupun kononnya pelbagai projek perihatin sudah dilakukan oleh kerajaan.

WHO mengandaikan 10 peratus daripada penduduk sesebuah negara terdiri daripada OKU. Ini bermakna 2.7 juta rakyat Malaysia mempunyai pelbagai kecacatan, walaupun hanya segelintir yang mendaftarkan diri di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Peranan kementerian dan jabatan yang diharapkan membantu golongan malang tidak banyak berubah sejak 30 tahun lalu. Seorang OKU mengadu pelbagai kerenah birokrasi apabila bertemu pegawai JKM di Lembah Klang. Dia bukan saja sukar memperbarui kad OKU yang sudah lusuh, bahkan berdepan pelbagai pegawai yang sentiasa sibuk dan tidak sempat melayani, apatah lagi menyelesaikan masalah OKU.

Banyak juga OKU yang mengadu pegawai JKM ‘tiada di pejabat’ walaupun pada tarikh temu janji ditetapkan. Sikap segelintir pegawai JKM boleh menjejaskan usaha kerajaan yang berjanji mempertingkatkan semua prasarana bagi keperluan OKU selaras usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020.

Bagi kebanyakan OKU, memadai kerajaan dan korporat memberi peluang untuk mereka berjaya dalam kehidupan, bukannya sekadar simpati dan wang ihsan. Ramai OKU yang berkelayakan wajar diberi peluang untuk berkhidmat di sektor awam dan swasta. Mereka juga mengharapkan peluang pendidikan dan latihan supaya dapat berperanan memajukan sektor ekonomi dan sosial.

Malangnya minda dunia ketiga yang masih tersisa, menyebabkan ramai OKU yang kurang pendedahan akhirnya mereka kekal dengan status tradisional yang sentiasa memerlukan pembelaan dan sumbangan pelbagai pihak.

Ramai juga OKU yang mengeluh mengenai kualiti pengangkutan awam yang kurang mesra kepada pengguna cacat. Mereka berharap kerajaan bertindak tegas, selaras janji dilafazkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang memberi jaminan kerajaan akan menaik taraf kemudahan pengangkutan awam seperti stesen transit aliran ringan (LRT), stesen bas dan komuter agar lebih mesra OKU.

“Kerajaan dengan kerjasama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mempastikan perancangan tersebut berjalan lancar. Kementerian Pengangkutan akan menyediakan prasarana terutama pengangkutan awam untuk OKU bagi memastikan keselesaan mereka," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Orang Kurang Upaya (OKU), di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis yang ditubuhkan di bawah Akta OKU itu dianggotai beberapa kementerian bertujuan menentukan dasar untuk membantu golongan berkenaan. Sehingga kini, bilangan OKU yang berdaftar di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah 325,189 orang berbanding 283,512 tahun lalu.

Shahrizat berkata, dalam memastikan masa depan golongan tersebut terjamin, pihaknya akan mewujudkan pasukan khas bagi meneliti secara terperinci isu yang menjadi halangan kepada kemajuan pendidikan khas dan intervensi awal yang akan diketuai Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur.

Beliau akan mengesyorkan kepada Kementerian Pelajaran langkah positif yang boleh diambil untuk membantu meningkatkan keupayaan golongan OKU bermula di bangku sekolah. Kementerian juga akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bagi memastikan lebih ramai OKU diserapkan dalam alam pekerjaan memandangkan ada dalam kalangan mereka yang mempunyai potensi dan kelayakan akademik.

"Bagaimanapun cabaran paling getir adalah untuk mengubah pemikiran majikan, keluarga dan OKU itu sendiri supaya lebih positif terhadap potensi mereka," katanya.

Setiausaha Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Kementerian Pengangkutan, Mustapha Zainuddin, berkata pihaknya akan mengeluarkan pelekat yang mempunyai nombor siri sebagai pengenalan kepada kenderaan OKU bermula pertengahan Jun selain garis panduan reka bentuk bas yang lebih mesra OKU. Kini 100 bas dinaik taraf, selain 12 stesen komuter dan lima stesen LRT di sekitar Lembah Klang.

Jika perancangan kerajaan terlaksana, kualiti kehidupan OKU dijangka berubah selaras era tranformasi ekonomi dan pentadbiran yang sentiasa mendahulukan rakyat. Soalnya, sejauh mana pelaksana dasar kerajaan mampu melaksanakannya? Selama 30 tahun, nasib OKU tidak banyak berubah kecuali sedikit pesta setiap kali menyambut slogan propaganda masyarakat penyayang. Apakah OKU memerlukan 30 tahun lagi untuk keluar daripada kepompong kedaifan? Persoalan yang perlu direnungkan bersama! - Berita Harian, 31 Mei 2011

No comments: