Pages

Wednesday, May 25, 2011

Seniman jalanan terpinggir dalam kemodenan

JALAN Braga di pusat kota Bandung, Indonesia dihubungkan dengan Jalan Asia Afrika, yang menjadi lokasi Persidangan Negara Berkecuali pada 1955. Kawasan ini dipenuhi bangunan lama kesan penjajahan Belanda. Ada pusat beli-belah ternama, namun yang menarik adalah karya lukisan di kaki lima bangunan. Sepanjang 250 meter, lukisan disandarkan pada bangunan tinggalan kolonial untuk tatapan pelancong. Pelukis bebas menjaja hasil karya dan pelancong bebas menawarkan harga yang sepatutnya. Ada juga seniman jalanan menyelinap antara lampu isyarat dan simpang siur kehidupan. Nyanyian, petikan gitar dan tiupan harmonika menggambarkan suara dalaman insan seni yang bebas berinteraksi dengan alam dan pengunjung.

Di Bali pula, alunan seruling dan gendang purba menghiasi sepanjang perjalanan ke Ubud dan Kitamani. Rentak Barong dan Kecak di Tanah Lot sering menggugah jiwa pengunjung. Gemersik biola di Pantai Kuta dan gemalai tarian Bali mengingatkan kita betapa mereka menghargai seniman tempatan.

Di Thailand pula, seniman jalanan bukan sekadar pemuzik dan pelukis, juga pertunjukan gajah dan sihir di pinggir kota Phuket dan Yala. Alunan gemalai Rambong sering mengingatkan kita kepada tradisi Negara Gajah Putih yang masih setia dengan karya rakyat.

Berbeza Malaysia, negara lain amat menghargai karya seni dan seniman jalanan mempunyai ruang untuk menyerlahkan bakat mereka. Malaysia mungkin mencapai taraf negara maju pada 2020, tetapi belum tentu kita mencapai kemajuan dari segi mengiktiraf hasil seni ke tahap global. Kita terlalu banyak bercakap soal transformasi ekonomi dan kemelut siasah. Tapi kita sering lupa untuk menyediakan ruang untuk seniman berkarya, berinteraksi dengan penikmat dan menjadikan hasil seni dan budaya sebagai khazanah negara.
Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) tidak mencatat nama Malaysia dalam senarai negara yang menghargai karya seni. Berbanding jiran terdekat seperti Indonesia dan Thailand, kita terlalu mundur untuk menghargai seniman sebagai harta negara. Kita jangan bandingkan dengan Boston di Amerika Syarikat dan Copenghagen, Denmark yang membiarkan seniman bebas berkarya 24 jam di jalan utama. Kita masih kalah dengan apa yang ada di Filipina dan Vietnam yang membenarkan seniman jalanan berkarya secara santai. Kita mungkin berbangga dengan beberapa pelakon dan penyanyi yang bukan pun bertaraf Asia, tetapi kita sering meminggirkan pelukis, pemuzik tradisional, penggiat teater dan penyair jalanan.

Lebih malang, banyak seniman kita terpinggir daripada perangkaan proses pembangunan ekonomi kerana Malaysia lebih melihat kepada percaturan di bursa saham, projek pembangunan dan pelan transformasi yang tidak berkesudahan. Kita banyak bangunan pencakar langit tapi kita tidak mempunyai ruang untuk seniman kecil berkarya dan mempamer bakat mereka.

Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Elyas Omar pernah menjanjikan Dataran Merdeka sebagai ruang untuk seniman jalanan mempamerkan bakat. Namun selepas 25 tahun berlalu, Dataran Merdeka dan Kuala Lumpur kekal sebagai kota batu yang longlai jiwa penghuninya.

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said pernah menegur birokrat yang ‘kurang visi, kurang rasa dan kurang reti’ namun siapakah yang bakal mendengar keluhan seniman kerana pembangunan negara banyak dikaitkan dengan tokoh korporat dan pelaksana siasah yang tentunya mempunyai pengaruh meluas dalam kalangan masyarakat.

Pada dekad 60-an dan 70-an, seniman mempunyai Rumah Anak Alam yang menjadi medan untuk melahirkan karya dan berinteraksi. Rumah Anak Alam juga membentuk kesepakatan jiwa dalam kalangan seniman. Sasterawan Negara Datuk Usman Awang, Dr Siti Zainon Ismail, A Ghafar Ibrahim, Dr Ibrahim Ghafar, Khalid Salleh, Pyanhabib, Abdul Aziz HM dan Ladin Nuawi menempuh pengalaman kreatif di Rumah Anak Alam. Mior Hashim Manap dan Grup Teater Kreatif juga menjadikan bangunan lama di Jalan Merbok berhampiran Jalan Parlimen untuk latihan teater. Semuanya menjadi sejarah kerana Padang Merbok sudah terlalu sesak dengan pembangunan.

Sekumpulan seniman jalanan termasuk Imuda, Pyanhabib, Ruslan Mamat, Kamarul Yusuf, Sani Sudin, Usop dan Siso mengadakan acara baca puisi di sisi tiang lampu di Pasar Budaya pada awal dekad 80-an. Mereka bergabung tenaga membaca puisi pada hujung minggu. Namun apalah upaya seniman apabila mereka diusir dan disergah oleh penguat kuasa Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur kerana ‘menjejaskan kawasan tumpuan ramai’. Seniman terlalu kecil dan terpinggir di negara ini. Mereka tidak mempunyai upaya untuk melawan kerenah pentadbir yang menganggap kegiatan seni sebagai tidak bermanfaat.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika beroperasi di bangunan lama menyediakan Sudut Penulis untuk seniman berbincang, baca puisi, bersantai dan membedah karya. Namun zaman berubah. Pembinaan bangunan baru turut menyediakan jiwa baru dalam kalangan pentadbirnya. Sudut Penulis tidak wujud lagi. Sasterawan seperti Usman Awang, Datuk Johan Jaaffar, Datuk Baha Zain, A Rahim Abdullah, Sutung Umar RS, Dr Ahmad Razali, Sasterawan Negara Datuk Kemala, Suhaimi Haji Muhammad, Maarof Saad, Jaafar HS, Shamsudin Jaafar dan Zakaria Ariffin sudah lama meninggalkan DBP. Yang ada kini hanyalah pegawai dan pentadbir baru yang tidak mempunyai latar belakang seni. Justeru, DBP semakin formal dan birokratis. Seniman kecil dan terpinggir semakin tidak selesa ke Menara DBP kerana suasananya sudah berbeza. Udaranya tidak seni lagi. Sasteranya sudah milik segelintir golongan. Dan seperti laporan UNESCO, Malaysia semakin kekal sebagai negara yang segan mendekati seniman sendiri! - Berita Harian, 25 Mei 2011

No comments: