Pages

Wednesday, May 11, 2011

Kemala dan maruah sasterawan

“SAYA tidak duga terpilih Sasterawan Negara ke-11,” tuturnya lembut. “Saya jangka  penulis wanita terpilih kerana media terutama Berita Harian agak kerap menonjolkan  penulis wanita yang dikatakan layak menerima anugerah itu.” Dia tergelak seketika dan menyambung: “Syukur!”

Panel memilih   Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah yang dikenali dengan nama penanya, Kemala sebagai Sasterawan Negara kerana  sumbangan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi. Beliau  akan menerima Warkah Penghormatan Negara, wang tunai RM60,000 dan penerbitan 50,000 naskhah atau kos cetakan karya penerima anugerah bernilai maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan dan disebarkan meluas ke  sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

 Ketika ditanya perasaannya, Kemala sekadar tergelak: “Perasaan orang lama. Orang   yang sudah lama menyepi diri dan saya tidak duga kalangan penyair masih mendapat perhatian panel. Sebelum ini hanya Datuk Usman Awang dan Prof Dr Muhammad Haji Salleh yang terpilih. Lazimnya panel lebih melihat kepada novelis sebagai pemenang!”

Kemala mengharapkan karya tempatan dimartabatkan sebagai khazanah negara. Hari  ini banyak  hasil sasterawan terabai dan jika dibincang pun, sekadar pada majlis tertentu yang kesannya tidak seberapa. Mengenai wang yang bakal diterimanya, Kemala spontan menjawab: “Saya akan beramal,   menyimpan untuk bekalan masa depan, bersedekah dan belanja anda makan!”

Kemala yang kita kenali tidak banyak bezanya sejak dahulu. Mempunyai  perawakan serius, tegas pendirian dan ada masanya sinis serta boleh bergurau secara spontan. Puisinya  dikaitkan dengan unsur Islam  dan kemanusiaan sejak dekad 60-an. Banyak diterjemahkan ke bahasa asing seperti  Cina, Urdu, Perancis, Jerman, Belanda, Slovania, Sepanyol dan Serbo-Croatian.

   Judul puisi perseorangan Timbang Terima (1970), Meditasi (1972), Era (1975), Kaktuskaktus (1976), A’yn (1983), Pelabuhan Putih (1989), Titir Zikir (1995), MIM (1999), Ziarah Tanah Kudup (2006), Syurga ke Sembilan (2009) dan Sumsum Bulan Rawan yang akan segera terbit. Puisinya juga termuat sekurang-kurangnya dalam 25 antologi. Kumpulan cerpen perseorangan ialah Anasir (1983), Firuzia, Firuzia (1990) dan Laut Takjub 25 Cerpen Pilihan (2010). Dramanya sebanyak empat  buah iaitu Di Bumi Lain (1976), Malam Perhitongan (1966), Anna (1972) dan Kelonsong (1985). Buku kanak-kanak dua buah iaitu Melor, Melur Si Bunga Melur (1974) dan Lani Anak Tani (1977). Jumlah kajian ilmiah dan esei yang dihasilkannya banyak sekali.

Beliau juga  mendapat  anugerah dan penghargaan dari dalam dan luar negara antaranya Anugerah SEA Write Awards (1986) daripada kerajaan Thailand, Anugerah Pujangga daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (2002) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Kemala adalah  pengasas  Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia (1993) dan tradisi baca puisi di Malaysia yang dimulakan dengan Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur (1986).

 Dalam  kalangan penulis muda, Kemala dianggap sebagai mentor yang tidak jemu mengasuh bakat baru. Beliau  sering memberi bimbingan yang baik. Kami mulai akrab pada Jun 1986 apabila dua sajak saya disiarkan dalam Dewan Sastera dan Dewan Masyarakat. Kemala pernah bertanya kepada penyair keturunan Siam, Swanlerd Propoul mengenai saya yang ketika itu mula mendapat perhatian media. Sebagai pegawai kanan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kemala memegang amanah untuk menilai karya penulis muda dan menyiarkan di majalah terbitan DBP. Bagi kebanyakan penulis muda, majalah terbitan DBP dianggap lambang pengiktirafan sebagai sasterawan generasi baru.

Hubungan akrab kami mendorong DBP memilih saya sebagai  salah seorang pewawancara untuk buku  Jambak: Proses Kreatif Pengarang Melayu. Kemala banyak membantu dan memberi garis panduan untuk saya menulis dan mewawancara novelis  wartawan Malungun (Amir Hamzah Shamsuddin) dan Yahaya Samah. Kedua-duanya nama yang cukup hebat pada dekad 1960 kerana karya mereka sering menjadi tumpuan sarjana ketika itu.

Bagaimanapun saya agak ralat untuk proses kreatif Sasterawan Negara Datuk Usman Awang kerana projek ini gagal disiapkan membabitkan  hubungan tegang antara Usman dan DBP. Ketika peringkat awal, Usman bersetuju untuk menjayakan projek ini dan saya memberitahu Kemala mengenai  peruntukan kewangan dan jangka masa menyiapkan projek penulisan. Bagaimanapun media mula menyiarkan kritikan Usman  terhadap DBP yang dianggap mengabaikan karya  Sasterawan Negara. Usman juga secara sinis membuat kenyataan antara Sasterawan Negara dan sasterawan biasa tiada nilainya di mata ‘tuan besar’ yang menerajui DBP. Keadaan lebih parah apabila DBP pula mengeluarkan statistik perbelanjaan  membabitkan Sasterawan Negara ketika itu. Beberapa angka tuntutan perjalanan dan royalti penjualan karya Sasterawan Negara tidak lagi menjadi rahsia umum   menyebabkan Usman akhirnya semakin menjauh daripada DBP. Ketika penulis ke rumahnya di Kampung Tunku, Petaling Jaya, Usman sekadar melepaskan keluhan kecil kerana tidak mampu meneruskan wawancara proses kreatif  untuk dimuatkan dalam buku Jambak. Dia memberi alasan masalah kesihatan tapi pada wajahnya terserlah perasaan tersinggung yang luar biasa. Saya menghubungi Kemala memberitahu   perasaan Usman dan kengganan Sasterawan Negara meneruskan proses kreatif yang dipersetujui sebelum ini. Saya agak resah kerana sudah mengambil sedikit wang DBP sebagai pendahuluan untuk projek yang akhirnya gagal disiapkan!

Kemala pernah ke rumah saya sebaik mengetahui penulis kemalangan jalan raya pada 29 Februari 2004 dan memberi harapan setiap bencana ada rahmatnya. Sebagai seniman besar yang mempunyai persepsi kemanusiaan dan Islamik, Kemala berbisik: “Anda perlu ingat setiap yang berlaku ada hikmahnya. Anda sakit, tapi jangan lupa untuk terus menulis!”

Kami bergabung tenaga untuk menjayakan majlis baca puisi bagi mengisi tabung kemanusiaan mangsa Tsunami Aceh yang dilanda bencana pada 24 Disember 2004. Kami menggerakkan massa dan bersiaran dalam program Selamat Pagi Malaysia di TV1.  

  Sebagai sasterawan besar yang karyanya dihargai, pemilihan  Kemala dalam senarai Sasterawan Negara tidak akan bernilai seandainya kerajaan tidak menyediakan peruntukan khas untuk mendaulatkan karya sastera sebagai khazanah nasional. Karya yang baik perlu didedahkan menerusi dunia penyiaran terutama di kaca TV  agar masyarakat tidak terus terjerumus    pada hasil seni pinggiran. Kemala, seperti juga Datuk A Samad Said, Datuk Shahnon Ahmad dan sasterawan lain, adalah antara segelintir insan  seni yang terus berjuang menulis walaupun suara penulis kian terasing oleh ledakan politik dan kemelut siasah yang tidak berkesudahan sekarang.

“Saya akan terus menulis,” tutur Kemala mengakhiri perbualan. Dia kini sarjana Tamu di Universiti Putra Malaysia. Dia tentunya mengharapkan karya yang baik menjadi santapan zaman selamanya! - Berita Harian, 11 Mei 2011

3 comments:

Atikah said...

info yang cukup menarik. dan tahniah kepala Dato Dr. Kemala kerana menjadi penerima sasterawan negara ke 11...:)

Anonymous said...

info yang cukup menarik. dan tahniah kepala Dato Dr. Kemala kerana menjadi penerima sasterawan negara ke 11...:)

imlan adabi said...

Kemala tokoh yang hebat. wajar diberi pengiktirafan