Pages

Tuesday, November 29, 2011

Bekwoh, Gelombang Merah dan mimpi

                                                                                                                                                                                                                               
STADIUM  Putra Bukit Jalil hampir dipenuhi warna merah pada 26 November lalu. Justeru, tidak menghairankan apabila Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek   yang baru pulang bersama kontinjen Sukan SEA  di Indonesia berjenaka; “Saya rasa gerun masuk stadium kerana terkenangkan suasana di Jakarta ketika pasukan Harimau Muda berentap dengan Garuda Muda. Lautan merah. Semuanya baju merah dan kelihatan ganas.

“Tapi di Bukit Jalil ini  puak kita. Himpunan merah. Gelombang Merah anak Kelantan di perantauan,” jenakanya dalam loghat Kelantan.

“Kami kumpulan yang makan budu dan keropok lekor,” celahnya lagi. “Anak Kelantan dan Terengganu berentap di padang bola, tapi mempunyai hati yang sama.  Justeru, orang Terengganu akan sokong Kelantan untuk menjayakan pembangunan,” tutur Shabery  yang turut memberi keizinan stadium digunakan untuk Majlis Bekwoh Anak-Anak Kelate anjuran  Biro Pengundi Luar UMNO Kelantan.  Beliau juga menaja basikal untuk cabutan tiket bertuah.

Majlis yang dihadiri hampir 5,000 orang termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan   Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek
Hussin.

   Turut hadir tokoh kelahiran Kelantan termasuk Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa; Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifli Mohd Zin;  Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan   Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

‘Bekwoh’ dalam loghat Kelantan bermaksud kenduri,  lazimnya diadakan secara terbuka membabitkan pelbagai anggota masyarakat.

Dalam konteks tradisional, bekwoh dianjurkan secara muafakat dan hadirin pula tidak terbatas kepada mana-mana pihak.

Bagaimanapun dalam konteks majlis di Stadium Bukit Jalil  anjuran ahli UMNO, tentunya  kehadiran 5,000 orang belum mencukupi untuk menandakan Gelombang Merah bakal melanda Kelantan. Dianggarkan tidak kurang 80,000 perantau Kelantan di Lembah Klang. Kenapa yang datang terlalu kecil bilangannya? Apakah kerana jamuan makan gulai kawah percuma yang tidak cukup, persembahan  nyanyian Jay Jay yang masih setia dengan Rindu Bayangannya? Apakah kerana persembahan Halim Yazid dengan dikir ‘anak tupai’ dan jenaka Sabri Yunus ketika persembahan tinju Siam?

Semuanya sukar ditelaah. Dilaporkan   Gelombang Merah semakin terserlah di Kelantan. Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Negeri Cik Siti Wan Kembang memberi petanda positif.  Rakyat Kelantan berbaju merah dengan rela hati menyambut pemimpin mereka di Kota Bharu dan Pasir Puteh.

 UMNO Kelantan akan bekerjasama dengan UMNO Terengganu bagi memastikan Barisan Nasional (BN) dapat merampas kembali negeri Cik Siti Wan Kembang  pada Pilihan Raya Umum ke-13 selepas 21 tahun diperintah PAS.

 Mustapa  berkata, keupayaan BN Terengganu merampas kembali negeri itu pada Pilihan Raya Umum 2004 daripada PAS perlu diteladani.

     “BN akan buat perubahan besar di Kelantan jika menang pilihan raya umum nanti. Kita akan selesaikan masalah air yang sehingga kini belum dapat diatasi walaupun kerajaan Pusat sudah menyalurkan RM550 juta pinjaman tanpa faedah kepada kerajaan PAS Kelantan bagi tujuan itu,” katanya.

 Bagaimanapun politik Kelantan terlalu kaya dengan drama dan intrignya. Isu cah keting dan dalang di kalangan ‘rakan’ sendiri sering berulang pada paksi yang sama.
Sejak 1990 PAS mentadbir Kelantan dengan selesa kerana kalangan ahli UMNO sendiri yang mencipta masalah.

Apakah Gelombang Merah bakal mengubah suasana politik Pantai Timur atau  sejarah 21 tahun kekal berputar di atas  paksi yang sama?

Majlis  anak Kelantan di perantauan perlu dipergiatkan tanpa campur tangan politik. Bagi orang kebanyakan, politik sering menyulitkan, apatah lagi terlalu banyak ucapan propaganda dan bombastik! - Berita Harian, 29 November 2011

Wednesday, November 23, 2011

Rumah usang itu menceritakan segala-galanya

RUMAH kayu yang dibina pada akhir dekad 50-an masih teguh berdiri, walaupun tiang dan lantai kerap bertukar  dimamah waktu dan gigitan anai-anai.

Terletak di pinggir jalan antara Kota Bharu dan Kuala Krai, rumah kayu yang ruang tamunya mampu memuatkan 60 orang bersila di lantai pernah mencatat sejarah kelahiran UMNO Cawangan Batu Lapan di kawasan Parlimen Nilam Puri  yang dikuasai PAS sejak puluhan tahun.

Nama Tan Sri Asri Muda sebagai Ahli Parlimen Nilam Puri,  Presiden PAS, Menteri Besar Kelantan dan Ketua Pembangkang di Parlimen cukup menggerunkan sesiapa saja untuk menubuhkan cawangan UMNO, apatah lagi berdepan risiko kafir mengkafir. Sesiapa saja yang bercita-cita menubuhkan cawangan UMNO di kubu kuat PAS pasti dianggap menerima bala. Ada majlis kenduri ahli UMNO tidak dihadiri pihak lawan. Ada juga kes kematian diboikot ketika pengebumian jenazah.

Pada dekad 60-an, ramai yang percaya PAS adalah Islam dan Islam adalah PAS. UMNO  musuh PAS, sekali gus didakwa musuh Islam.

Ketika atuk bersara sebagai sarjan polis dengan nombor anggota 932 menjelang Januari 1969, tidak ramai yang setuju hasrat menubuhkan cawangan UMNO kerana dirasakan usaha itu sia-sia.

Bagaimanapun rumah kayu yang   ruang tamunya mempunyai dua meja panjang dan 16 kerusi  menjadi saksi bersejarah.  Di situlah penduduk kampung bermesyuarat. Di situ juga tempat membincangkan kempen  pilihan raya atau persiapan ke Perhimpunan Agung UMNO setiap tahun.

 Rumah kayu itu pernah menjadi saksi kehadiran tokoh negara menjelang Pilihan Raya Umum 11 Mei  1969. Ruang tamu itu juga menyambut  kedatangan Tan Sri Khir Johari, Tun Sardon Jubir, Tan Sri Ghazali Jawi dan Tengku Ahmad Rithaudeen Ismail  untuk berceramah dan mengajak penduduk Nilam Puri melihat masa depan lebih cerah.

Keputusan pilihan raya tentunya tidak memihak kepada UMNO dan Perikatan kalah teruk di Kelantan kerana pelbagai faktor tempatan ketika itu. Namun bagi ahli kecil  UMNO, perjuangan parti perlu diteruskan.
Ketika PAS menyertai Barisan Nasional pada 1973, rumah kayu itu juga menyaksikan kehadiran ramai ahli PAS untuk bertukar fikiran bersama ahli UMNO tempatan. Asri dan Presiden Berjasa, Datuk Wan Hashim Wan Ahmad juga pernah singgah pada tarikh berlainan.

Bagi ahli kecil, peluang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur  bagaikan menyambut lebaran. Ramai yang seronok  kerana setiap tahun akan dapat melihat wajah tokoh negara seperti Tun Razak Hussein, Tun Dr Ismail Abdul Rahman  dan Tan Sri Ghazali Shafie. Ramai yang juga yang teruja untuk menemui Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Musa Hitam yang dianggap tokoh muda UMNO ketika itu.
Bagi ahli biasa, naik bas selama 12 jam dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur menerusi hutan dan pantai di Pahang dan Terengganu cukup menyeronokkan. Ketika itu belum ada  laluan Kota Bharu ke Gua Musang yang kerap diserang hendap pengganas komunis.
Justeru, apabila tiba di Kuala Lumpur dan ditempatkan di hotel tiada bintang di Jalan Chow Kit tentunya melelahkan. Bukan saja bilik hotelnya kecil dan tandas di luar kamar, tetapi bilangan penghuninya 10 orang di ruang yang sempit.
Pada dekad 60-an dan 70-an, tempat persidangan UMNO bukan di dewan gah seperti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).  Ibu pejabat UMNO di Medan Tuanku   agak kecil dan tercorot.  UMNO hanya bersidang di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan segala kesederhanaan, ahli UMNO dari kampung  tetap bersemangat menghadiri persidangan. Bagi pemerhati pula, peluang ke Kuala Lumpur dianggap durian runtuh kerana dapat melihat pemimpin  berucap atau kalau lebih bernasib baik, dapat bergambar. Lazimnya pada malam akhir persidangan, perwakilan dan pemerhati diundang menghadiri majlis makan malam  sama ada anjuran presiden parti mahupun  ketua perhubungan UMNO di kediaman mereka.
Ketika itu isu korporat, politik wang, suaka siasah mahupun perebutan jadi  calon belum ketara. Bagi ahli  kecil dari desa, memadai UMNO kuat, maka Melayu juga kuat.

Namun hari ini, selepas 11 Mei 1946 berlalu begitu jauh,  alur dan arus UMNO  juga semakin kencang. UMNO kini berada di tengah laluan globalisasi yang menuntut ahlinya bersikap matang dan lebih terbuka. Bagaimanapun UMNO jangan sampai melupakan naluri desa yang pernah membantunya menjadi parti yang cemerlang sejak 1946.

Hari  ini amat sedikit perwakilan UMNO yang naik bas ke Kuala Lumpur, semata-mata untuk menghadiri persidangan. Mereka naik pesawat atau memandu kereta mewah ke PWTC. Mereka tidak lagi tidur di hotel tanpa bintang di Jalan Chow Kit. Mereka menginap di kamar mewah.

Sesekali ketika pulang ke  Kelantan, rumah pusaka yang pernah menjadi tempat berkumpulnya ahli UMNO sejak 1969 terasa menghidupkan zaman lampau. Sayangnya masa sudah berubah dan atuk sudah lama dipusarakan di Madinah.  Hanya lambang UMNO termasuk sebuah jam lambang parti yang masih ada di ruang tamu. Di sisinya dua meja panjang dan 16 kerusi tempat bermesyuarat dulu kekal bisu. Apakah segala-galanya sudah berubah? - Berita Harian, 23 November 2011

Sunday, November 20, 2011

PPSMI: Jangan biarkan kesilapan berganti kesilapan

KETIKA calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bertungkus lumus mentelaah pelajaran, masih ada yang berdegil mempertahankan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Terbaru   mereka berkumpul di Melaka pada 12 November lalu dengan alasan ‘mempertahan kepentingan dan masa depan pelajar berbahasa Inggeris’.

Perhimpunan   yang bermula pada jam 8 pagi itu diadakan di pekarangan Stadium Tun Fatimah di Bukit Serindit, Melaka,  diketuai oleh  Mak Chee Kin.

"Kita berterima kasih kepada pihak kerajaan, terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menangguhkan pelaksanaan (pengajaran sains dan matematik) dalam Bahasa Malaysia untuk beberapa tahun lagi,” tuturnya sambil berharap kerajaan menarik balik keputusan yang dibuat sebelum ini.

Hampir  1,000 orang menghadiri perhimpunan secara aman itu.  Ada yang   kononnya bersimpati kepada masa depan kanak-kanak  jika  tidak mempelajari subjek  Sains dan Matematik dalam bahasa penjajah. Ada juga yang dengan lantang mengugut  kerajaan jika  tidak meneruskan  PPSMI. 
Semuanya membuktikan kesilapan mereka menanggapi keperluan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang wujud ribuan tahun di wilayah nusantara ini.

Beberapa pertubuhan lain pula mula mengadakan kempen secara terbuka  mempertahankan PPSMI. Ada yang mengirim memorandum kepada pembesar negara tanpa melihat masalah sebenar yang dihadapi di sekolah.

Seorang pendidik mengadu banyak masalah ketika pelaksanaan PPSMI. Kekurangan tenaga mahir mengajar dua subjek penting dalam bahasa Inggeris begitu ketara.

“Masalah murid dari latar belakang  berbeza juga menjadi penghalang. Sepatutnya  pengajaran subjek bahasa Inggeris dipertingkatkan,  bukan mencabul Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris,” tegasnya. 

Kajian pula menunjukkan PPSMI memberi kesan buruk kepada pelajar di luar  bandar  sejak 2003.
 Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan kedudukan pelajar Malaysia dalam subjek Sains merosot ke tangga 21 daripada tangga ke-20 pada 2003, sementara mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 ke tangga ke-20 pada 2007.

Kajian sebuah universiti tempatan pula menyatakan murid senang mempelajari sesuatu subjek dalam bahasa yang mudah difahami, iaitu bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda di SJK Cina dan SJK Tamil.

Peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2008  merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar. Bagi subjek   Matematik, pencapaian murid bandar merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus, manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.

Kajian Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) pada Februari 2009  terhadap 553   guru dan 15,089 pelajar dari kawasan bandar dan luar bandar, termasuk Sekolah Kebangsaan Orang Asli, banyak mendedahkan sesuatu yang terselindung sebelum ini. Ramai guru belum layak mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, apabila 39.3 peratus guru (74) sekolah rendah dan 25.3 peratus guru (93) sekolah menengah gagal dalam Penilaian Tahap Profisiensi Bahasa Inggeris. Apakah guru yang tidak mahir berbahasa Inggeris mampu menggunakan bahasa itu  ketika mengajar dua subjek penting?

Bayangkan betapa silapnya dasar yang diperkenalkan sebelum ini!
Jika masalah dan halangan sudah begitu ketara, amat nyata PPSMI tidak perlu wujud dan wajar dijadikan sejarah hitam sistem pendidikan negara. 

Malangnya ada kalangan Melayu sendiri yang masih jahil   mempertahankan dasar memudaratkan generasi muda kita.

Sepatutnya isu pendidikan dibincang dan dikaji menerusi saluran akademik, sarjana bahasa dan ilmuwan. PPSMI sudah menjadi   titik hitam dalam sejarah pendidikan negara. Kesilapan yang dilakukan oleh pembuat dasar negara sebelum ini sewajarnya diperbetulkan, bukan meneruskan kesilapan dengan kesilapan yang lain.

Jika negara maju seperti China, Jepun, Korea dan Russia boleh berbangga dengan pencapaian subjek  Sains dan Matematik menerusi bahasa mereka sendiri, kita perlu mencontohi mereka dan bukannya dengan sinis menyatakan bahasa Inggeris diperlukan untuk sebuah dunia tanpa sempadan.

Sebagai bangsa yang sudah setengah abad merdeka, kita sepatutnya mempunyai kemerdekaan untuk berfikir dan bertindak supaya memberi kesan positif kepada generasi masa depan. Meminggirkan bahasa Melayu bukan saja kesannya dari segi pendidikan, malahan sejarah kewujudan bangsa Melayu di rantau ini. Mahukah kita seperti Red Indian yang bahasa ibundanya diperlekehkan oleh bangsa sendiri? - Berita Harian, 19 November 2011
   

Sunday, November 13, 2011

Kelantan, ulama, krisis air dan kerenah pengotor

Isu bekalan air bersih belum berkesudahan, sikap pengotor jadi budaya masyarakat
 
KELANTAN tidak pernah reda dengan isu. Hujan lebat, tengkujuh akhir tahun, pengambilan tanah rakyat, Bazar Tok Guru, krisis bekalan air tercemar dan kemelut politik, cukup menjanjikan  polemik pelbagai pihak.

Bagi mereka yang mahukan kelainan suasana, Kelantan atau Tanah Serendah Sekebun Bunga sentiasa dilihat dari dua sisi berbeza. Negeri Serambi Makkah dan tanah budaya. Kelantan ada banyak pondok pengajian agama dan  ulama tersohor. Kelantan juga  kaya dengan warisan dikir barat, wayang kulit, mak yong, menora, bagih, wau bulan dan tari inai. 

Kelantan berjaya melahirkan seniman tersohor seperti Seman Wau Bulan, Dollah Baju Merah, Khatijah Awang dan Sasterawan Negara Dr S Othman Kelantan.

Kelantan juga mempunyai peminat bola sepak  fanatik  yang  sanggup berhabis duit menempah tiket perlawanan  di tempat lawan membabitkan  pasukan Red Warriors. Ada juga yang sanggup membawa mercun ke stadium semata-kata fanatik kenegerian.

Anak Malaysia  pertama yang menjadi pemain bola sepak profesional di Australia berasal dari Kelantan. Nama Dali Omar tercatat sebagai striker tersohor pada zamannya.

Bagi negeri yang mempunyai penduduk  1,313,014 dengan  95 peratusnya berbangsa Melayu, Kelantan dianggap wilayah Melayu yang paling kukuh strategi politiknya.  Mendominasi perhatian di wilayah seluas  14,922 kilometer persegi dianggap kejayaan.  Berjaya menguasai tampuk kerajaan negeri dianggap sebagai penguasaan wilayah Melayu yang dominan, sekali gus menerajui negeri yang kaya dengan sejarah ulama dan sistem pondok.

Pendidikan Islam bermula pada akhir abad  ke-18 dan Syeikh Abdul Halim muncul ulama terpenting.  Muridnya terdiri daripada penduduk tempatan dan ada dari  luar Kelantan termasuk Thailand dan Kemboja. Masyarakat  Islam Nusantara banyak berhijrah ke Kelantan untuk mendalami ilmu agama hingga menimbulkan istilah serambi  Makkah.

Kelantan dipercayai di antara negeri yang mula mewu judkan sistem pondok. Pondok pertama didirikan pada 1820  oleh Abdul Samad Abdullah (Tok Pulai Chondong), diikuti  Pondok Tok Bachok (1900), Pondok Haji Abdul Malik Tumpat  (1907), Pondok Haji Yusuf Pulau Ubi, Geting Tumpat (1908),  Pondok Kubang Pasu Kota Bharu (1900), Pondok Sungai  Budor, Pondok Kampung Banggol, Pondok Tuan Padang dan  Pondok Tok Semian yang diasaskan oleh Wan Abdul Samad  Mohd Salleh atau lebih dikenali Tuan Tabal.
 Sekolah Pondok Terusan di Pasir Tumbuh  Kota Bharu melahirkan Tok Guru Kenali -- ilmuwan Islam  yang terkenal di dunia Melayu.

Bagaimanapun isu pondok dan ulama sering dipolitikkan.   Ada   yang tidak dapat membezakan  antara ibadat dan fahaman kepartian.  Akhirnya yang rugi adalah rakyat apabila fahaman siasah menjadi medan perseteruan menjejaskan   pembangunan prasarana.
Hari ini isu bekalan air  bersih belum berkesudahan. Air keruh, bekalan terputus dan tidak dirawat sempurna menjejaskan kehidupan rakyat.

Ada yang menggelarkan air keruh yang keluar menerusi batang paip sebagai ‘air tok guru’. Perdebatan dan cadangan sudah lama kedengaran namun tiada penyelesaian. Justeru, tidak hairan  apabila 30 peratus penduduk Kelantan  masih bergantung kepada  sumber  air bawah tanah seperti telaga tiub tidak dirawat, berdepan risiko bahaya.

Syarikat utiliti juga menggunakan 40 peratus daripada sumber berkenaan untuk disalurkan kepada pengguna, manakala selebihnya hak milik persendirian. 

Ketika tengkujuh melanda Pantai Timur sekarang, takungan air di kawasan awam dan parit semakin ketara. Longkang tersumbat dan aliran tersekat berpunca sistem perparitan tidak dirawat. Banyak sampah yang menghalang aliran air, sekali gus menakung air di tanah lapang.  Sikap pengotor dan membuang sampah di merata tempat tidak sepadan dengan negeri yang dikaitkan dengan serambi Makkah. Apakah Islam membenarkan sikap pengotor?

          Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr  Ng Yen Yen yang juga berasal dari Kelantan  pernah menegur tandas awam di negeri itu kotor. Tentunya teguran itu tidak memeranjatkan, kerana sikap pengotor  masih menjadi budaya sebahagian besar penduduk. Kenapa ulama dan ustaz yang kerap berceramah tidak tarbiah penduduk supaya bersikap bersih rohani dan jasmani? - Berita Harian, 10 November 2011
  

Monday, November 07, 2011

PPSMI bom jangka bangsa Melayu

APA saja yang dikaitkan dengan Melayu mudah dipandang sinis dan prejudis. Ketika kerajaan dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sedang menyemarakkan kempen ‘Cintailah Bahasa Kita’, ada pihak yang kembali lantang bersuara supaya pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dikekalkan.
Anehnya mereka berbangsa Melayu dan dengan lantang membuat ugutan jika kerajaan tidak melayan tuntutan aneh itu.

Mereka menggunakan perkataan ‘pilihan’ kepada pelajar supaya terus menggunakan bahasa penjajah untuk dua subjek penting itu. Bagi mereka, bahasa Melayu kurang lengkap untuk mempelajari Sains dan Matematik, selain bertujuan memenuhi nilai globalisasi yang begitu banyak dicanangkan sekarang.

Apabila kerajaan bertegas untuk memansuhkan dasar Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), mereka pula mengugut dengan kenyataan keras: “Kami akan buat keputusan menerusi peti undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti!”

Tindakan mereka mudah dimengertikan. Hari ini apa saja yang dikaitkan dengan Melayu amat mudah disensitifkan. Ia berlaku rentetan keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac 2008 yang agak drastik –  Barisan Nasional (BN) hilang majoriti dua pertiga di Parlimen, di samping lima negeri termasuk Kelantan ditadbir pakatan pembangkang.

Apabila kuasa Melayu lemah, pihak lain senang melakukan pelbagai strategi dan helah untuk terus mengusutkan keadaan. Mereka menggunakan Melayu sendiri untuk menuntut pelbagai hak dan tujuan semata-mata untuk kepentingan peribadi.

Isu pendidikan tentunya sensitif kerana membabitkan generasi masa depan negara. Mempolitikkan isu pendidikan tentunya bom jangka yang bakal meledak pada bila-bila masa. Ia bukan saja perjuangan segelintir pertubuhan Melayu yang kononnya prihatin terhadap dasar pendidikan untuk anak mereka, tetapi akhirnya akan dimanipulasikan oleh pihak lain, termasuk ahli politik.

Hari ini isu bahasa seperti juga agama terlalu mudah memancing emosi. Keputusan pilihan raya yang membabitkan proses pembuangan undi dalam tempoh sehari sudah memberi kesan hampir tiga tahun. Pelbagai pihak sudah terlalu megah memperjuangkan hak asasi mereka termasuk isu bahasa yang sepatutnya dibincang membabitkan pakar pendidikan, ilmuwan bahasa dan sarjana.

Mengekalkan bahasa Inggeris untuk dua subjek utama bakal mencabar wibawa bahasa Melayu yang ditutur setengah bilion penduduk dunia. Usaha mencabar bahasa Melayu mulai ketara sejak dekad 70-an apabila pihak tertentu mencanangkan penubuhan Universiti Merdeka yang dikatakan memberi keadilan kepada bahasa tertentu di Malaysia.

Perjuangan mereka berterusan dalam sektor pendidikan, sastera dan isu agama. Novel Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein tidak terkecuali menjadi mangsa apabila timbul dakwaan membabitkan isu kaum. Aneh, karya yang dihasilkan lebih 40 tahun lalu baru sekarang dipertikaikan kerana meyakini keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 menunjukkan kuasa Melayu lemah di negaranya sendiri. Lebih malang lagi apabila pihak tertentu merestui perjuangan 'merosakkan'  Interlok sehingga menimbulkan bantahan Gabungan Penulis Nasional (GAPENA), Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan DBP.
Bagaimanapun suara politik sering mengatasi lidah budayawan dan sasterawan!
Begitu juga isu agama yang membabitkan kepentingan Melayu dan Islam. Sudah ada pihak yang berani ke masjid semata-mata bersedekah pada Ramadan walaupun tanpa menutup aurat di ruang solat. Ada pihak tertentu yang menaja Melayu daif dengan pelbagai sumbangan semata-mata untuk menunjukkan umat Islam lemah dan perlu dibantu.

Gerakan memurtadkan penganut Islam sudah lama bertapak di Asia Tenggara. Dr Hamka dalam bukunya Tasauf Moden dan Lembaga Budi mendedahkan usaha berterusan pihak tertentu sejak dekad 30-an lagi. Mereka ke luar bandar dan kawasan pedalaman untuk mencari Melayu daif yang akhirnya terperangkap antara survival hidup atau agama. Menerima bantuan pendakyah asing mempunyai risiko tersendiri membabitkan ummah.

Hari ini apa yang disebut gerakan menyesatkan umat Islam menjadi bualan umum. Bukan saja isu bahasa dan sastera, malahan agama anutan bangsa Melayu menjadi polemik ramai sehingga berlangsung majlis Himpunan Sejuta Umat di Shah Alam, baru-baru ini. Semuanya kerana Melayu tidak bersatu, longlai ekonomi dan semakin kalut cara berpolitik mereka. Keserabutan yang timbul mendorong pihak lain mengambil kesempatan untuk bersuara dan mengugut. Isu pendidikan dan novel Interlok mendedahkan ada pihak lain di belakang mereka. Begitu juga isu murtad membabitkan bangsa Melayu tidak boleh dipandang ringan. Melayu akan terus layu jika terus terperangkap dengan mainan pihak lain! - Berita Harian, 5 November 2011