Pages

Tuesday, November 29, 2011

Bekwoh, Gelombang Merah dan mimpi

                                                                                                                                                                                                                               
STADIUM  Putra Bukit Jalil hampir dipenuhi warna merah pada 26 November lalu. Justeru, tidak menghairankan apabila Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek   yang baru pulang bersama kontinjen Sukan SEA  di Indonesia berjenaka; “Saya rasa gerun masuk stadium kerana terkenangkan suasana di Jakarta ketika pasukan Harimau Muda berentap dengan Garuda Muda. Lautan merah. Semuanya baju merah dan kelihatan ganas.

“Tapi di Bukit Jalil ini  puak kita. Himpunan merah. Gelombang Merah anak Kelantan di perantauan,” jenakanya dalam loghat Kelantan.

“Kami kumpulan yang makan budu dan keropok lekor,” celahnya lagi. “Anak Kelantan dan Terengganu berentap di padang bola, tapi mempunyai hati yang sama.  Justeru, orang Terengganu akan sokong Kelantan untuk menjayakan pembangunan,” tutur Shabery  yang turut memberi keizinan stadium digunakan untuk Majlis Bekwoh Anak-Anak Kelate anjuran  Biro Pengundi Luar UMNO Kelantan.  Beliau juga menaja basikal untuk cabutan tiket bertuah.

Majlis yang dihadiri hampir 5,000 orang termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan   Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek
Hussin.

   Turut hadir tokoh kelahiran Kelantan termasuk Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa; Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifli Mohd Zin;  Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan   Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

‘Bekwoh’ dalam loghat Kelantan bermaksud kenduri,  lazimnya diadakan secara terbuka membabitkan pelbagai anggota masyarakat.

Dalam konteks tradisional, bekwoh dianjurkan secara muafakat dan hadirin pula tidak terbatas kepada mana-mana pihak.

Bagaimanapun dalam konteks majlis di Stadium Bukit Jalil  anjuran ahli UMNO, tentunya  kehadiran 5,000 orang belum mencukupi untuk menandakan Gelombang Merah bakal melanda Kelantan. Dianggarkan tidak kurang 80,000 perantau Kelantan di Lembah Klang. Kenapa yang datang terlalu kecil bilangannya? Apakah kerana jamuan makan gulai kawah percuma yang tidak cukup, persembahan  nyanyian Jay Jay yang masih setia dengan Rindu Bayangannya? Apakah kerana persembahan Halim Yazid dengan dikir ‘anak tupai’ dan jenaka Sabri Yunus ketika persembahan tinju Siam?

Semuanya sukar ditelaah. Dilaporkan   Gelombang Merah semakin terserlah di Kelantan. Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Negeri Cik Siti Wan Kembang memberi petanda positif.  Rakyat Kelantan berbaju merah dengan rela hati menyambut pemimpin mereka di Kota Bharu dan Pasir Puteh.

 UMNO Kelantan akan bekerjasama dengan UMNO Terengganu bagi memastikan Barisan Nasional (BN) dapat merampas kembali negeri Cik Siti Wan Kembang  pada Pilihan Raya Umum ke-13 selepas 21 tahun diperintah PAS.

 Mustapa  berkata, keupayaan BN Terengganu merampas kembali negeri itu pada Pilihan Raya Umum 2004 daripada PAS perlu diteladani.

     “BN akan buat perubahan besar di Kelantan jika menang pilihan raya umum nanti. Kita akan selesaikan masalah air yang sehingga kini belum dapat diatasi walaupun kerajaan Pusat sudah menyalurkan RM550 juta pinjaman tanpa faedah kepada kerajaan PAS Kelantan bagi tujuan itu,” katanya.

 Bagaimanapun politik Kelantan terlalu kaya dengan drama dan intrignya. Isu cah keting dan dalang di kalangan ‘rakan’ sendiri sering berulang pada paksi yang sama.
Sejak 1990 PAS mentadbir Kelantan dengan selesa kerana kalangan ahli UMNO sendiri yang mencipta masalah.

Apakah Gelombang Merah bakal mengubah suasana politik Pantai Timur atau  sejarah 21 tahun kekal berputar di atas  paksi yang sama?

Majlis  anak Kelantan di perantauan perlu dipergiatkan tanpa campur tangan politik. Bagi orang kebanyakan, politik sering menyulitkan, apatah lagi terlalu banyak ucapan propaganda dan bombastik! - Berita Harian, 29 November 2011

No comments: