Pages

Monday, November 07, 2011

PPSMI bom jangka bangsa Melayu

APA saja yang dikaitkan dengan Melayu mudah dipandang sinis dan prejudis. Ketika kerajaan dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sedang menyemarakkan kempen ‘Cintailah Bahasa Kita’, ada pihak yang kembali lantang bersuara supaya pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dikekalkan.
Anehnya mereka berbangsa Melayu dan dengan lantang membuat ugutan jika kerajaan tidak melayan tuntutan aneh itu.

Mereka menggunakan perkataan ‘pilihan’ kepada pelajar supaya terus menggunakan bahasa penjajah untuk dua subjek penting itu. Bagi mereka, bahasa Melayu kurang lengkap untuk mempelajari Sains dan Matematik, selain bertujuan memenuhi nilai globalisasi yang begitu banyak dicanangkan sekarang.

Apabila kerajaan bertegas untuk memansuhkan dasar Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), mereka pula mengugut dengan kenyataan keras: “Kami akan buat keputusan menerusi peti undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti!”

Tindakan mereka mudah dimengertikan. Hari ini apa saja yang dikaitkan dengan Melayu amat mudah disensitifkan. Ia berlaku rentetan keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac 2008 yang agak drastik –  Barisan Nasional (BN) hilang majoriti dua pertiga di Parlimen, di samping lima negeri termasuk Kelantan ditadbir pakatan pembangkang.

Apabila kuasa Melayu lemah, pihak lain senang melakukan pelbagai strategi dan helah untuk terus mengusutkan keadaan. Mereka menggunakan Melayu sendiri untuk menuntut pelbagai hak dan tujuan semata-mata untuk kepentingan peribadi.

Isu pendidikan tentunya sensitif kerana membabitkan generasi masa depan negara. Mempolitikkan isu pendidikan tentunya bom jangka yang bakal meledak pada bila-bila masa. Ia bukan saja perjuangan segelintir pertubuhan Melayu yang kononnya prihatin terhadap dasar pendidikan untuk anak mereka, tetapi akhirnya akan dimanipulasikan oleh pihak lain, termasuk ahli politik.

Hari ini isu bahasa seperti juga agama terlalu mudah memancing emosi. Keputusan pilihan raya yang membabitkan proses pembuangan undi dalam tempoh sehari sudah memberi kesan hampir tiga tahun. Pelbagai pihak sudah terlalu megah memperjuangkan hak asasi mereka termasuk isu bahasa yang sepatutnya dibincang membabitkan pakar pendidikan, ilmuwan bahasa dan sarjana.

Mengekalkan bahasa Inggeris untuk dua subjek utama bakal mencabar wibawa bahasa Melayu yang ditutur setengah bilion penduduk dunia. Usaha mencabar bahasa Melayu mulai ketara sejak dekad 70-an apabila pihak tertentu mencanangkan penubuhan Universiti Merdeka yang dikatakan memberi keadilan kepada bahasa tertentu di Malaysia.

Perjuangan mereka berterusan dalam sektor pendidikan, sastera dan isu agama. Novel Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein tidak terkecuali menjadi mangsa apabila timbul dakwaan membabitkan isu kaum. Aneh, karya yang dihasilkan lebih 40 tahun lalu baru sekarang dipertikaikan kerana meyakini keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 menunjukkan kuasa Melayu lemah di negaranya sendiri. Lebih malang lagi apabila pihak tertentu merestui perjuangan 'merosakkan'  Interlok sehingga menimbulkan bantahan Gabungan Penulis Nasional (GAPENA), Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan DBP.
Bagaimanapun suara politik sering mengatasi lidah budayawan dan sasterawan!
Begitu juga isu agama yang membabitkan kepentingan Melayu dan Islam. Sudah ada pihak yang berani ke masjid semata-mata bersedekah pada Ramadan walaupun tanpa menutup aurat di ruang solat. Ada pihak tertentu yang menaja Melayu daif dengan pelbagai sumbangan semata-mata untuk menunjukkan umat Islam lemah dan perlu dibantu.

Gerakan memurtadkan penganut Islam sudah lama bertapak di Asia Tenggara. Dr Hamka dalam bukunya Tasauf Moden dan Lembaga Budi mendedahkan usaha berterusan pihak tertentu sejak dekad 30-an lagi. Mereka ke luar bandar dan kawasan pedalaman untuk mencari Melayu daif yang akhirnya terperangkap antara survival hidup atau agama. Menerima bantuan pendakyah asing mempunyai risiko tersendiri membabitkan ummah.

Hari ini apa yang disebut gerakan menyesatkan umat Islam menjadi bualan umum. Bukan saja isu bahasa dan sastera, malahan agama anutan bangsa Melayu menjadi polemik ramai sehingga berlangsung majlis Himpunan Sejuta Umat di Shah Alam, baru-baru ini. Semuanya kerana Melayu tidak bersatu, longlai ekonomi dan semakin kalut cara berpolitik mereka. Keserabutan yang timbul mendorong pihak lain mengambil kesempatan untuk bersuara dan mengugut. Isu pendidikan dan novel Interlok mendedahkan ada pihak lain di belakang mereka. Begitu juga isu murtad membabitkan bangsa Melayu tidak boleh dipandang ringan. Melayu akan terus layu jika terus terperangkap dengan mainan pihak lain! - Berita Harian, 5 November 2011

No comments: