Pages

Wednesday, October 26, 2011

Prihal Ah Seng tukang jahit wanita

JIKA seorang tokoh berucap menggunakan bahasa Inggeris pada  majlis rasmi, siapakah yang berhak  menegurnya? Apakah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau pengerusi majlis?

Jika pengacara radio menggunakan bahasa rojak dan disambut pendengar dengan bahasa yang bercampur aduk, apakah Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM)  berkuasa untuk melarang dan mengambil tindakan tegas terhadap stesen penyiaran? Apakah peranan badan penyiaran dan masyarakat terhadap kedaulatan bahasa Melayu yang kononnya Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi di Malaysia?

Persoalan demi persoalan mengenai isu bahasa Melayu tidak pernah reda. Kecelaruan dan sikap rendah diri di kalangan segelintir bangsa Melayu sendiri menyebabkan Bahasa Kebangsaan sering tercabar.

Jangan terperanjat jika petugas kaunter makanan segera bertanya menggunakan bahasa Inggeris semata-mata untuk mengambil pesanan sekadar paha ayam goreng, kentang putar dan air bergas.

Di dalam pesawat nasional pula, pramugari yang seksi menggunakan bahasa Inggeris sebagai ucapan pendahuluan kepada penumpang, disusuli bahasa Melayu sebagai bahasa kedua.

Syarikat pengeluar kereta nasional menggunakan ejaan  salah untuk ‘automobil’  lalu lahir syarikat  Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd. Tiada siapa yang berani menegur sebuah syarikat berkaitan kerajaan menggunakan ejaan salah sejak hampir 30 tahun lalu.

Hari ini isu bahasa Melayu longlai di negaranya sendiri bukan sesuatu yang asing dan aneh. Nilai ekonomi makin merudum kerana sistem pasaran terbuka menginginkan urus niaga pantas dan cepat. Bahasa Inggeris dianggap  bahasa global, tanpa disedari bahasa Melayu sekadar  rintihan segelintir sasterawan dan pencinta bahasa yang tidak mempunyai apa-apa kuasa selain suara dan pena saja!

Pada  13 Oktober lalu,  Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin   merasmikan  Bulan Bahasa Peringkat Kebangsaan di Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM), Melaka. Kita tidak tahu sejauh mana kesannya terhadap kedaulatan bahasa Melayu sendiri. Jika ikut kepada tradisi, majlis tak lebih daripada baca sajak, bersyair, berpantun, pidato, peraduan menulis khat dan kemudian bahasa Melayu kurang mendapat tempat.

  Ketua Bahagian Komunikasi Korporat DBP Abdul Ghapar Abdullah, berkata sikap tidak bangga, tiada kesedaran dan kurang jati diri bangsa menyebabkan usaha   memartabatkan Bahasa Melayu  sebagai Bahasa Kebangsaan terjejas.
Beliau mengakui DBP tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk bertindak terhadap golongan yang mengabaikan bahasa Melayu.

 Beliau berkata, DBP memang bertanggungjawab memastikan penggunaan Bahasa Kebangsaan dengan betul tetapi   tidak mempunyai kuasa untuk menghalang orang ramai daripada tidak menggunakan Bahasa Melayu.
"Contohnya seperti  kempen Ops Sikap yang dilaksanakan polis.  Walaupun pelbagai usaha dan kempen yang dilakukan, kemalangan tetap berlaku dan ia berpunca daripada  sikap pengguna jalan raya.

"Begitu juga dengan DBP yang melaksanakan pelbagai program untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan tetapi orang ramai masih juga menggunakan bahasa rojak," katanya.

 Beliau berkata DBP tidak boleh menghalang dan menguatkuasakan atau mendenda orang yang tidak menggunakan Bahasa Kebangsaan, tetapi apa yang boleh dibuat ialah membantu sekiranya mereka tidak begitu arif  penggunaannya.

Mengambil contoh penggunaan bahasa Kebangsaan yang betul di  papan iklan pula, beliau berkata DBP tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan peraturan kerana yang ada kuasa ialah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).  Jika PBT sendiri tidak arif, lalu wujudlah papan tanda ‘Ah Seng jahit wanita’ seperti yang ada sekarang.

Bagi pejuang dan pakar Bahasa Kebangsaan, Dr Awang Sariyan, sikap dan penerimaan masyarakat terhadap Bahasa Kebangsaan adalah  topik penting yang kerap dibincangkan setiap kali memperkatakan usaha memartabatkan Bahasa Malaysia.

Katanya, proses globalisasi yang sebahagian besarnya melalui perantaraan bahasa Inggeris, menimbulkan keghairahan yang kadangkala berlebihan di kalangan masyarakat untuk mengutamakan penguasaan Bahasa Inggeris dan mengurangkan perhatian kepada penggunaan Bahasa Melayu.

"Budaya berbahasa Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia, termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri tidak cukup mantap kerana adanya anggapan bahawa bahasa Melayu tidak berhubung kait dengan taraf sosial dan pendidikan serta tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi," katanya.

Beliau kesal kerana untuk sekian lamanya  bahasa Melayu masih sekadar ada tanpa usaha mendaulatkannya.
Jika Melayu sendiri longlai dan layu jiwa pada bahasanya, siapa lagi yang mahu diharapkan? -  Berita Harian, 25 Oktober 2011

No comments: