Pages

Wednesday, October 19, 2011

Bahasa Melayu masih tanpa jiwa


BAGI pencinta bahasa, perjuangan menegakkan jati diri bangsa  tidak tercapai tanpa mendaulatkan bahasa Melayu. Apa pun halangan pembangunan atau rasionalisasi sektor swasta, bahasa Melayu tetap tonggak yang perlu dipertahan.

Perjuangan bahasa pernah melalui pelbagai lapisan dugaan yang amat perit. Pada era penjajah, pemerintah British meminggirkan bahasa Melayu ke tahap terendah hingga menyebabkan warga tempatan berasa terhina jika berucap di majlis  awam menggunakan bahasa Melayu.
Era selepas merdeka juga tidak jauh berubah apabila segelintir elitis Melayu yang mendapat didikan di London mengetuai pelbagai agensi, sekali gus meminggirkan kedaulatan bahasa kebangsaan,
Bagaimanapun keadaan mula berubah pada dekad 60-an apabila pejuang bahasa  termasuk Tan Sri  Syed Nasir Ismail, Tan Sri Asri Muda  dan Datuk Hassan Ahmad lantang memperjuangkan isu bahasa.
Bermula dengan  Minggu Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan sepanjang dekad 60-an,  kempen ini  melalui perubahan pelbagai nama seperti Gerakan Cintailah Bahasa Kita (GCBK) (1987-1996), Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS) (1996-2005) dan Minggu Sastera (1987-1998). Akhirnya pada  1999, gerakan ini dinamakan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN)    dilancarkan  oleh Tun  Abdullah  Ahmad Badawi yang menjawat  Timbalan Perdana Menteri ketika itu.
Pada  2009, bersesuaian dengan matlamat pelaksanaannya, BBSN   dikenali dengan nama Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) yang bertujuan  memantap, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia.
    BBK juga bertujuan menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan, mengerat dan memperkukuh perpaduan bangsa melalui bahasa kebangsaan.
Ia juga bertujuan     menyemarakkan peranan bahasa kebangsaan sebagai tonggak pembinaan negara bangsa.
Pada  13 Oktober lalu,  Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin   merasmikan  Bulan Bahasa Peringkat Kebangsaan di Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM), Melaka.

Sehingga kini pelbagai acara diadakan untuk memartabatkan BBK di seluruh negara.   
Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia dan Persatuan Seni Khat Kebangsaan mengambil inisiatif menganjurkan Pertandingan Seni Khat Kebangsaan 2011.
Pertandingan bertemakan ‘Rukun Negara’ ini  bertujuan meningkatkan rasa kecintaan terhadap tulisan jawi menerusi keindahan seni khat dan membangkitkan semangat patriotik rakyat melalui penghayatan  prinsip  Rukun Negara.

    Sementara itu kerajaan Perak pula mengarahkan semua jabatan dan agensi kerajaan  menggunakan bahasa kebangsaan dalam semua urusan serta majlis rasmi.

 Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata selain pertuturan, beliau juga meminta pihak berwajib memastikan semua syarikat berkaitan kerajaan, institusi perbankan, kewangan dan insurans turut menggunakan bahasa kebangsaan, selain bahasa Inggeris dalam dokumen rasmi, papan tanda serta borang demi kepentingan pelanggan untuk mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan.

 "Pendekatan ini sebagai tanda dan bukti sokongan kita terhadap kempen menggunakan bahasa kebangsaan. Sewajarnya, sebagai bangsa Malaysia, kita perlu mempertahan dan menghormati bahasa kebangsaan kita sebagai lambang jati diri serta bahasa perpaduan kita," katanya.

 Pelbagai kegiatan wajar disusuri tindakan tegas untuk meletakkan bahasa Melayu ditahap tinggi. Sebelum ini beberapa dasar pendidikan termasuk isu pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris mencabar kedaulatan bahasa Melayu sendiri. Walaupun isu itu hampir berakhir,  timbul pula desas-desus untuk mengembalikan bahasa penjajah dalam sistem pendidikan kita.

Kita harap perkhabaran ini tidak berlaku kerana boleh  menjejaskan  nilai ekonomi bahasa Melayu.

Kita juga merasakan kempen penggunaan bahasa Melayu di papan iklan masih belum berjaya sepenuhnya. Jika ada pun bahasa Melayu diguna pun, ada kesalahan ejaan dan tata bahasa.    Tiada tindakan tegas terhadap pesalah bahasa dan kerajaan perlu memikirkan hal ini.

Pengiklan  pula  masih meyakini  bahasa asing mempunyai nilai ekonomi.
Keadaan ini berbeza dengan apa yang berlaku di Jakarta dan Bangkok  yang mendaulatkan bahasa ibunda mereka.

Dalam hal ini, pelbagai pihak perlu tegas mendaulatkan bahasa Melayu  dan jangan  sekadar ungkapan kosong; ‘Bahasa Jiwa Bangsa!’ -  Berita Harian, 19 Oktober 2011

No comments: