BANYAK yang menimbulkan isu Yahudi tanpa memahami keadaan sebenar. Lebih malang, apabila dipolitikkan kononnya sesuatu pihak dianggap ‘sahabat’ Yahudi dan pihak lain pula pejuang Islam.
Ada pihak yang kononnya menentang kezaliman Yahudi, tetapi mempunyai kenalan akrab sebagai penasihat ekonomi dan siasah mereka. Mereka menggunakan wang dari sumber misteri untuk kegiatan hak asasi.
Sama ada ahli politik, persatuan sosial, mahupun pemimpin pelajar, isu Yahudi pernah menghangatkan suasana. Gerakan pelajar pada 1974 dikaitkan perjuangan menentang kapitalis pro-Yahudi yang didakwa melemahkan pemikiran generasi muda.
Keadaan memuncak apabila Ayatollah Khomeini berjaya menjatuhkan Shah Iran pada 1979. Ada dalam kalangan kita yang mendewakan rejim Syiah pejuang sejati kerana menghalang kebangkitan kuasa tunggal Amerika Syarikat pasca Perang Dingin.
\Ketika itu ada ahli politik sanggup menuduh pihak lain sebagai ejen ’asing’ tanpa membezakan makna sebenar Yahudi dan Zionis. Isu kafir mengkafir dan ‘amanat’ seorang ulama yang menuduh pihak lain tidak Islamik kedengaran.
Yahudi berasal perkataan ‘ibri’, ‘abra’, ‘ibrani’ yang bermaksud potong jalan/berpindah. Mereka keturunan Sam (semitik) bin Nuh. Bermula dengan Nabi Ibrahim yang dianggap bapa kepada nabi lain termasuk Nabi Ismail, Nabi Ishak, Nabi Isa dan Nabi Yaakub. Bukan semua Bani Israel berfahaman Yahudi kerana ada yang beragama Islam dan Kristian. Munculnya warga Hungary berbangsa Yahudi, Theoder Herzl’s menimbulkan kemelut sehingga kini. Dia menyarankan bangsa Israel berkumpul dan membentuk Israel raya.
Dari sini lahirnya gerakan Zionis yang dipelopori Moses Hess untuk mengukuhkan negara Israel di Asia Barat.
Hari ini polemik Yahudi dan helah mereka mencatur dunia begitu banyak diperkatakan. Di sebalik sikap jelek yang merobekkan sejarah bangsa Arab dan Islam, Yahudi mempunyai kualiti sebagai kaum yang tekun, pintar dan kreatif. Kerajinan dan kepintaran mereka perlu dikaji, sementara kejahatan dan kerakusan dihindari.
Tiga saintis Zionis baru diumumkan menerima Hadiah Nobel Perubatan 2011 iaitu Bruce Beutler, Jules Hoffmann dan Ralph Steinman kerana kepakaran bidang saraf dan organ. Kehadiran mereka tentunya melengkap senarai Yahudi yang menjadi pencetus dunia baru.
Majalah Time menyenaraikan Albert Einstein sebagai saintis ‘Manusia Abad ini'. Sigmund Freud yang memperkenalkan teori id, ego dan super-ego juga Yahudi. Begitu juga Karl Marx, Paul Samuelson dan Milton Friedman.
Sejarah perubatan membariskan jasa mereka. Benjamin Rubin memperkenalkan jarum suntikan pelalian, Johas Salk (vaksin polio), Gertrude Elion (ubat leukemia) dan Baruch Blumberg (vaksin Hepatitis B)
Dalam tempoh 106 tahun, hampir 200 Yahudi menang Hadiah Nobel berbanding tiga dimenangi umat Islam. Bangsa Yahudi berjumlah 14 juta, sedangkan umat Islam 1.4 bilion. Bayangkan jurang pemikiran mereka dengan kita!
Amerika Syarikat sebagai kuasa utama dunia kerap dinaungi ahli siasah Yahudi. Henry Kissinger, Harold Brown, Robert Rubin, Madeleine Albright dan penasihat Bekas Naib Presiden Al Gore (1993-2001), Michael Chertoff juga Yahudi.
Bekas Presiden George W Bush juga dikaitkan keturunan Yahudi. Tidak hairanlah dia melancarkan kempen memerangi keganasan di Iraq dan Afghanistan semata-mata untuk menjaga kepentingan Zionis di seluruh dunia.
Ketika kita bercakap isu hak asasi dan makna kebebasan, jangan terperangkap helah untuk menghalalkan cara! - Berita Harian, 14 Oktober 2011
No comments:
Post a Comment