Pages

Tuesday, June 25, 2013

Sasterawan Negara tanpa pengiktirafan

Kita mempunyai sedozen Sasterawan Negara tapi usaha merakyatkan mereka masih kabur. Terbaru Baha Zain (Datuk Baharuddin Zainal)  menerima anugerah tertinggi kesusasteraan yang sehingga kini masih belum jelas sejauh mana masyarakat menerima Sasterawan Negara sebagai aset terpenting.

   Selain wang, rawatan percuma di wad kelas pertama hospital kerajaan dan makalah penghargaan di samping penerbitan karya mereka, tidak banyak yang dihargai terhadap Sasterawan Negara.

   Kecuali Datuk A Samad Said yang sesekali disebut kerana perjuangan bahasa dan gerakan demokrasi, masyarakat hampir tidak mempedulikan karya besar beliau walaupun Hujan Pagi dianggap realis magis tempatan terbaik, mahupun novel Salina yang dikaitkan kejujuran naratif Kampung Kambing ketika musim perang.

   Samad diperkatakan kerana membaca sajak pada majlis pembangkang. Karya beliau semakin tidak dihargai, malah masyarakat tidak memperkatakan sajak beliau dicatat pada kertas tisu dan dipamerkan di Menara Berkembar Petronas.

   Masyarakat hanya memperkatakan novel Shit (1999) karya Datuk Shahnon Ahmad kerana kelantangan beliau menegur aliran berpolitik yang dianggap kotor, jijik dan biadab. Pemikiran Shahnon jarang diperdebatkan secara terbuka dan ilmiah. 

   Ada pihak yang tidak pernah membaca Interlok (1971) karya Datuk Abdullah Hussein mempolitikkan karya berkenaan semata-mata kepentingan kaum. Pihak majoriti mengalah kepada pihak yang hanya menang empat kerusi Parlimen semata-mata kepentingan siasah. Nilai, semangat, falsafah dan jati diri dalam karya Sasterawan Negara dilacurkan kerana politik. Teks sastera di sekolah ditarik balik.  Sastera diperalatkan dan status Sasterawan Negara tidak memberi makna lagi.

   Datuk Usman Awang pernah merungut dan menjadi polemik di Dewan Sastera dua dekad lalu apabila mengeluh Anugerah Sasterawan Negara sekadar gelaran kosong. Karya beliau yang memaparkan perjuangan marhaen di tanah air sendiri tidak diperkatakan, kecuali sesekali dibaca pemimpin pada Perhimpunan Agung UMNO apabila isu kemelayuan ditimbulkan.

   Gelaran tanpa makna menjadikan karya Sasterawan Negara tidak dihargai. Agensi pelancongan dan kementerian terbabit tidak pernah memaparkan sajak atau sketsa sasterawan di khalayak.

 Pelancong dan pedagang asing yang datang ke Malaysia tidak pernah diceritakan mengenai karyawan, melainkan dibawa melawat bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur, berlayar di tasik Putrajaya atau melancong ke Langkawi yang tidak pernah wujud budaya kesenian.

  Stesen penyiaran begitu segan memaparkan karya seni kita. Acara baca puisi dan teater sekadar melepaskan batok di tangga. Karya besar tidak mendapat  tempat di Istana Budaya. Novel Ombak Rindu yang kualitinya amat rendah diperkatakan kerana filem adaptasi pecah panggung.
Kita bagai tiada masa mengkaji Sajak Sejarah Melayu karya Muhammad Haji Salleh atau merenung kegagalan korporat Melayu seperti dicatatkan Keris Mas (Kamaludin Muhammad) dalam novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur.

  Akhirnya  budaya sorak-sorai menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Jika yang tua bernostalgia dengan era lalu yang sudah tiada, generasi muda pula terperangkap dengan media baru. Menjadi rakan kepada individu tidak dikenali menerusi Facebook dan Twitter, lalu berkecenderungan  untuk mempertikaikan kesucian Islam, menghina Rasul dan membuat jenaka terhadap lagu Negaraku. Kita semakin menjarakkan diri dengan tradisi intelektual. Sistem nilai yang kita pegang kurang memesrai semangat dan akaliah nusantara.

   Jika Indonesia gagal menerima Hamka (Haji Abdul Malik Karim Amrullah) sebagai sasterawan besar menerusi Tenggelamnya Kapal Van der Wijck dan Di Bawah Lindungan Kaabah, kita gagal memanfaatkan karya S Othman Kelantan, Kemala dan Anwar Ridhwan sebagai karya genius rakyat Malaysia.

   Jika Jakarta tidak dapat menerima Pramoedya Anantatoer sebagai pengkaji bangsa Indonesia ulung kerana aliran politik, kita juga gagal menafsir makna dan isyarat dalam karya. Pemilihan Sasterawan Negara sebagai adat semata-mata, lalu timbul pelbagai polemik mengenai kelayakan seseorang yang dinobatkan.

   Harap hal ini tidak berulang lagi pada masa akan datang kerana bangsa yang besar sentiasa mengutamakan karya berbobot. Perancis, Russia, Amerika Syarikat, Britain, Jepun dan China sentiasa mengkaji karya seni sebagai ilham pemodenan negara. Di mana mereka sekarang ketika kita masih bergelut soal politik yang tidak berkesudahan, atau terperangkap dalam isu remeh sejak bertahun-tahun. - Berita Harian, 25 Jun 2013

3 comments:

Umar Uzair said...

Komentar yang asyik ni tuan. Memang saya sendiri terkilan dengan pendapat begini. Apakah dunia sastera memang sudah tidak seulung dulu atau malu-malu bersaing dengan dunia seni lain yang glamor. Bak kata ayahnda Kemala; juara otot lebih dinilai tinggi..

imlan adabi said...

Memang begitulah nasib sasterawan. Tiada apa yang perlu dibicarakan lagi. Sasterawan tiada nilai di Malaysia

Anonymous said...

Dikaca mata kebanyakan masyarakat kita sumbangan sasterawan tidak membawa sebarang makna terhadap pembangunan sejagat.

Mereka lebih tersihir kepada peserta siri realiti TV sebagai contoh, yang sebenarnya bertaraf sampah tetapi sayangnya diagungkan.