Pages

Friday, October 30, 2009

Hak asasi Melayu, Umno

HAK asasi sudah menjadi mantera ajaib. Bagi mereka yang sentiasa mengharap, ungkapan hak asasi menyebabkan jiwa mereka luntur dan luhur. Ia sudah dikeramatkan. Bagi ahli politik pula, hak asasi menjadi sebahagian daripada agenda untuk menghalalkan cara.
Leonid Brezhnev menafsirkan hak asasi sebagai paksi kuasa untuk kekal berkuasa. Sebagai Presiden dan Pengerusi Parti Komunis Soviet Union, dia manakrifkan hak asasi sebagai satu cara negara dapat memiliknegarakan semua aset termasuk sumber manusia. Dalam sistem komunis, peribadi tidak wujud lagi kerana sudah menjadi milik negara. Jika ada yang menentang, penentangan dianggap satu dosa dan hukumnya hanya satu: Mati!

Hak asasi pada zaman Mao Tze Tong pula ialah semua orang harus duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi. Tidak ada kasta. Tidak ada kroni, tidak ada marhaen dan bangsawan. Rakyat harta negara, malahan Perdana Menteri China, Chou En Lai pernah berjenaka: Kita harus mempunyai mimpi yang sama dan mimpi kita adalah hak asasi negara.

Bagi negara yang bobrok seperti Indonesia, hak asasi adalah perjuangan rakyat untuk hidup dan mencari rezeki, hatta berhijrah ke negara jiran demi sesuap nasi. Hak asasi tidak membenarkan isu menggayang tetangganya kerana di Pulau Jawa, Sumatera, Bali, Sulawesi dan Borneo tidak putus dirundung derita. Banjir, kemarau, gempa bumi, letusan gunung berapi, taufan dan wabak sentiasa mencengkam.

Hak asasi bagi media di Jakarta, mahupun pimpinan politiknya adalah melihat masa depan lebih baik, bukannya terjebak dengan isu sempadan dan hak cipta seni yang tidak berkesudahan.

Bekas Menteri Luar Indonesia, Adam Malik pernah mengatakan hak asasi adalah apabila setiap rakyat cukup berasnya di dapur. "Kita tidak boleh mengutamakan kebebasan bersuara dan berpolitik segelintir manusia, hingga mengetepikan nasib jutaan bangsa Indonesia," katanya ketika mengunjungi Menteri Luar Malaysia, Tan Sri Ghazali Shafie di Wisma Putra pada Jun 1983.

Di negara ini, takrifan hak asasi cukup lunak dan pelbagai. Apa yang berlaku selepas 8 Mac 2008, ungkapan hak asasi menjadi tabu politik yang luar biasa. Bayangkan, seseorang boleh menggunakan hak asasi untuk menelanjangi imej dan peribadi pihak lawan.

Hak asasi juga lunak diperkatakan, sama ada di pentas ceramah siasah mahupun sidang pertubuhan hak asasi.

Kerana hak asasi juga, ada pihak yang sanggup mempertikaikan kontrak sosial dan hak keistimewaan Melayu. Bagi mereka, memperjuangkan kaum sendiri dan mempertikaikan status Melayu di negara ini adalah hak asasi. Kononnya ada kaum tertentu yang tertindas ekoran dasar kerajaan yang berat sebelah. Berjuang untuk kaum mereka adalah hak asasi. Bagaimanapun jika Melayu bercakap mengenai hak, institusi raja dan Bumiputera, dianggap rasis, perkauman! Melayu tidak boleh bercakap apa-apa kerana dianggap tidak menghormati prinsip sosial yang membentuk asas bernegara di negara ini. Mereka juga boleh melatah walaupun Melayu bercakap mengenai Islam dan larangan Allah. Bagi mereka, yang penting adalah hak asasi dan tidak babitkan kepentingan kepercayaan beragama.

Bayangkan betapa hak asasi sudah menjadi lesen besar yang luar biasa di negara kita hingga dianggap sebagai satu daripada rukun berpolitik selepas Pilihan Raya Umum 2008.

Jika George W Bush menggunakan lesen hak asasi untuk membunuh rakyat Iraq dan Afganistan yang tidak berdosa, hal sama juga semakin menular di negara kita. Mereka belajar bagaimana Amerika Syarikat, Britain dan Israel menghimpunkan bala tentera di Asia Barat semata-mata untuk menjaga kepentingan mereka atas nama hak asasi dan kemanusiaan. Mereka belajar untuk mendesak dan mengasak ketika Melayu semakin lemah dan leka bersengketa. Mereka juga arif menilai kelemahan musuh untuk mencipta permusuhan yang luar biasa.

Justeru, tidaklah menghairankan apabila beberapa perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno 2009 menimbulkan isu ketuanan Melayu dan hak asasi. Ada yang prihatin, ambil iktibar dan arif mengenai keadaan yang berlaku pada hari ini. Mereka sedar, kini sudah ada Melayu sendiri yang sanggup 'sembah derhaka' kepada pihak istana apabila keputusan yang dibuat oleh Sultan tidak menyebelahinya.

Ada juga yang menggunakan kebebasan, demokrasi dan hak asasi untuk mencetuskan suasana tidak menentu. Ada pegawai tinggi syarikat berkaitan kerajaan bertindak di luar hasrat rakyat. Ada yang merasakan hak asasi perlu dirayakan dengan kebebasan berfikir dan membuat keputusan. Kebebasan ada waktunya meragut hak asasi golongan majoriti hasil tindakan segelintir golongan. - Berita Harian, 20 Oktober 2009

1 comment:

Korakora said...
This comment has been removed by the author.