(Berita Harian tidak siar rencana ini)
Pelbagai acara diadakan pada sambutan Maal Hijrah selama dua hari itu termasuk forum agama, nasyid, sukaneka, jualan produk Islam serta kaunter khas Tabung Haji, derma darah, pemeriksaan gigi percuma dan gerai makanan.
Masjid itu juga aktif kegiatan keagamaan setiap malam dengan kuliah Maghrib mermbabitkan tokoh agama berwibawa serta kuliah Subuh setiap pagi minggu.
Sebagai kawasan urban yang dihuni pelbagai status sosial masyarakat dan 80 peratus penduduk beragama Islam, Cheras Jaya pesat membangun dari segi kemudahan asas. Kemudahan pendidikan, klinik, kawasan industri, dewan komuniti, pusat beli-belah di kawasan berdekatan – mendorong pelbagai lapisan ekonomi menjadi penghuninya. Di samping deretan rumah kos rendah dan sederhana, ada kediaman semi-D dan banglo agam yang dihuni pelbagai sektor pekerjaan. Ada peguam, tokoh politik, arkitek, akauntan, jurutera, pegawai tinggi tentera, pensyarah, wartawan, guru, ahli korporat, pemandu teksi, pengawal keselamatan, pekerja kilang dan ahli agama menjadi penghuninya. Merekalah yang menggerakkan Masjid Taman Cheras Jaya dengan pelbagai kegiatan bermanfaat.
Malangnya kemurnian masjid yang boleh memuatkan 2,000 jemaah itu tidak pernah mendapat publisiti sebelum ini. Hanya apabila Anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching hadir dan senaman di kawasan itu, ia menjadi tumpuan ramai. Seolah-olah penghuninya kurang kesedaran agama dengan menjemput bukan Islam berpakaian ‘seksi’ yang dikatakan ‘mencemarkan’ kesucian pusat ibadat umat Islam.
Tanggapan itu tidak benar sama sekali kerana wakil rakyat memakai pakaian sukan yang lazim dipakai oleh kebanyakan wanita ketika bersenam. Tidak timbul isu pakaiannya ketat atau mendedah aurat.
Dari segi sejarah perkembangan Islam, kehadiran penganut agama lain di kawasan masjid bukan perkara baru. Nabi Muhammad SAW juga menjadikan masjid sebagai pusat pertemuan pelbagai kaum dan agama. Ada di antara mereka bukan saja berada di kawasan halaman, bahkan di ruang solat umat Islam. Bapa saudara Baginda , Abu Talib bin Abdul Mutalib juga pernah berbincang bersama Nabi Muhammad di masjid walaupun beliau masih terikat dengan kepercayaan tradisi bangsa Arab dan enggan menerima agama wahyu yang dibawa oleh anak saudaranya sendiri. Baginda tidak pernah melarang penganut agama lain medekati masjid kerana Islam adalah agama dakwah yang disebar menerusi tunjuk ajar dan tidak memandang rendah kepada pihak lain.
Dr Hamka menerusi tiga bukunya -- Tasauf Moden, Peribadi dan Sejarah Islam, berulangkali menyebut fungsi masjid bukan sekadar pusat ibadat, tetapi juga dewan komuniti yang mempukuhkan hubungan sesama Islam, di samping membawa penganut agama lain mendekatinya.
Beliau menyarankan masjid menjadi tempat berhibur bersama anggota keluarga dan masyarakat, bagi membentuk suasana harmoni selaras ajaran Islam. Hamka menyarankan masjid sebagai tempat tumpuan anak muda, bukan sekadar untuk beribadat, bahkan pusat pertemuan, kegiatan riadah dan acara sosial.
Sasterawan Negara, Abdullah Hussain menerusi novel Imam pula menyarankan masjid sebagai lokasi riadah yang boleh membentuk sahsiah generasi muda. Remaja bukan saja boleh bersenam dan bergembira, malah menghormati masa solat untuk berjemaah di masjid.
Apa yang berlaku sekarang, terlalu banyak sikap prejudis dan salah faham terhadap fungsi masjid yang mendorong pihak tertentu memandang sinis terhadap kegiatan membabitkan bukan Islam di masjid. Isu politik dikaitkan dengan kegiatan sosial, hingga menimbulkan polemik yang tidak sepatutnya.
Kerajaan, khususnya jabatan yang berkaitan dengan keagamaan wajar mengeluarkan pandangan dan garis panduan khusus mengenai kawasan ibadat. Sehingga kini tiada garis panduan membabitkan bukan Islam di kawasan masjid dan ruang solat. Ada yang keliru apabila dikatakan masjid sebagai kawasan larangan berpolitik, sedangkan pada masa sama ada pihak yang menjadikan mimbar untuk mengumumkan peruntukan dan isu politik.
Ketika isu kafir mengkafir meletus ekoran ‘Amanat Haji Hadi’ pada awal dekad 1980-an, timbul juga isu menggunakan masjid untuk mesyuarat cawangan parti siasah. Persoalannya, sebelah pihak tak dibenarkan berpolitik, pihak yang lain pula bebas menggunakan masjid untuk mencari pengaruh?
Pelbagai isu membabitkan Islam dan penganut agama lain masih kabur. Bolehkah wanita bukan Islam mendekati masjid tanpa menutup kepala? Bolehkah bukan Islam berucap dengan memetik ayat al-Quran dan hadis di khayalak ramai? Bolehkah seorang tokoh bukan Islam dikaitkan dengan pimpinan Umar Abdul Aziz? Bolehkah bukan Islam menyebut kalimah Allah?
Semuanya masih kabur kerana tiada garis paduan yang lengkap. Mufti, jabatan agama Islam negeri, Jabatan Kemajuan Islam, Yayasan Dakyah Islamiah, Majlis Fatwa Kebangsaan dan kementerian terbabit perlu duduk semeja membincangkan isu membabitkan Islam supaya tidak menimbulkan hal yang remeh seperti sekarang.
Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, amat wajar garis panduan dikeluarkan supaya isu agama tidak dikaitkan dengan mana-mana pertubuhan siasah.
Ahli agama perlu bebas berijtihad dan mengeluarkan fatwa tanpa terikat dengan kedudukan kerusi dan kepentingan peribadi. Sudah sampai masanya ahli agama bersuara mengenai isu membabitkan Islam dan penganut agama lain kerana konsep 1Malaysia mengutamakan kebijaksanaan dan kewarasan semua pihak.
Sebagai ahli Jemaah Masjid Taman Cheras Jaya, penulis rasa hairan; perlukah isu sensasi dan sensitif dijelmakan lagi sedangkan kita sudah menjenguk tahun baru 2011 dengan kedewasaan akal dan minda?
No comments:
Post a Comment