Pages

Thursday, January 27, 2011

Teori Domino di tanah Arab

"ADA apa-apa soalan?" tutur Ezzat Ibrahim dengan wajah serius. Hanya beberapa saat, sebelum sempat wartawan bertanyakan soalan, dia menambah: "Terima kasih kerana tiada soalan!" Dia berlalu meninggalkan puluhan wartawan di pusat konvensyen di Baghdad dengan langkah tegas, berpakaian tentera, berpistol dan diiring 10 pasukan elit tentera Iraq yang lengkap bersenjata M16. Semuanya kelihatan bengis dan tidak mesra. Wartawan berpandangan sesama sendiri kerana tidak biasa dengan suasana tegang, apatah lagi ketika itu Iraq dan Iran masih berperang kerana pertikaian sempadan. Isu senjata kimia, pembunuhan kaum Kurd menjadi bualan sejagat. Media pula terkongkong dan ada wartawan hilang tanpa jejak. Ternyata Iraq dan banyak negara lain sehingga kini tidak mesra media.

Penulis melihat aksi Timbalan Pengerusi Majlis Revolusi Iraq itu dengan mata sinis kerana mengetahui hubungan rapatnya dengan Saddam Hussein yang terkenal dengan sikap kerasnya. Pengalaman ini dicatat ketika berkunjung ke Baghdad, Basra, Babylon dan menyusuri Shattal Arab pada 29 Mac hingga 4 April 1989. Kononnya Iraq ketika itu mengadakan pilihan raya yang 'bebas' kali pertama dan ramai wartawan asing termasuk dua Ahli Parlimen Malaysia diundang untuk melihat proses demokrasi di Iraq. Pengalaman ini juga penulis catatkan dalam kumpulan puisi Lelaki yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1994.

Sistem demokrasi di Iraq di bawah pimpinan Saddam tidak jauh bezanya dengan proses suara rakyat di beberapa negara Arab di Asia Barat dan Utara Afrika sehingga kini. Hak asasi, suara rakyat dan perjuangan wanita masih di tahap yang rendah. Pilihan raya diadakan untuk anggota tentera menjadi wakil mengundi bagi pihak rakyat. Banyak negara Arab terperangkap antara sistem feudal yang kuku besi dan diktator tentera yang menjalankan peraturan serta sistem hukum menerusi senjata.

Rakyat menjadi mangsa pihak istana yang menggunakan sumber minyak untuk kekayaan peribadi sedangkan prasarana negara tidak dipedulikan. Jika ada apun sistem pilihan raya yang kononnya proses demokrasi, ia sekadar istiadat untuk meraih sokongan negara Barat terutama Amerika Syarikat dan Britain yang sentiasa mendekati Asia Barat kerana menjaga kepentingan Israel di Semenanjung Gaza. Demokrasi tidak bermakna apa-apa apabila rejim tentera yang disokong komando elit sentiasa menghimpit suara rakyat, pada masa sama rakus membunuh penentang dan gerakan pembaharuan. Tradisi memuja pemimpin disemarakkan dan pelbagai ungkapan serta slogan dipergunakan untuk mengekalkan kekuasaan.

Justeru, apa yang berlaku kepada bekas Presiden Tunisia, Zine al-Abidine Ben Ali baru-baru ini bukan sesuatu yang memeranjatkan. Ben Ali seperti juga Saddam menggunakan pengaruh dan kuasa tentera untuk menguasai massa dan akhirnya terpaksa melarikan diri apabila penentangan rakyat berlaku secara mendesak. Bezanya, Saddam tidak sempat melarikan diri apabila dikepung dan dihukum bunuh oleh tentera Amerika Syarikat dan Britain.

Kini timbul pula persoalan, mungkinkah Teori Domino bakal berlaku di negara Arab seperti belakunya ke atas negara komunis di Blok Timur (Eropah Timur) apabila runtuhnya Soviet Union pada 1989?
Media melaporkan penentangan rakyat terhadap beberapa penguasai semakin berleluasa. Mereka sedar -- sama ada feudal mahupun diktator tentera--- masing-masing mempunyai agenda yang sama iaitu memerah hasil bumi dan mengekalkan kekuasaan menerusi sistem diktator. Populasi generasi muda yang berkembang pesat menghadapi harga keperluan utama yang melonjak, angka pengangguran melambung dan peluang pekerjaan terbatas menimbulkan penentangan secara terbuka.

Ada negara Arab yang terkenal sebagai pusat tamadun keilmuwan, tetapi terlalu rendah taraf celik hurufnya. Sebahagian besar rakyat hidup di bawah tahap kemiskinan sedangkan pemimpin mereka yang berusia 82 tahun masih berusaha untuk mengekalkan kekuasaan walaupun sudah berkuasa lebih 30 tahun.
Jika dibandingkan dengan warga Tunisia, penduduk negara itu memiliki tingkat pendidikan dan kenal huruf lebih rendah dan bukan pengguna internet utama walaupun mempunyai sebuah universiti Islam paling berwibawa di dunia
Wartawan BBC, Jon Leyne menyatakan kebanyakan rakyat tidak melihat mereka boleh mengubah kehidupan mereka melalui aksi politik, seperti ikut dalam pemilihan, menjadi aktivis, atau berdemonstrasi.

Aksi bunuh diri pemuda Tunisia, Mohamed Bouazizi, yang nekad membakar diri hingga terbunuh pertengahan Disember menjadi ikon generasi muda Arab untuk menunjukkan jalan keluar kepada pemerintahan diktator di Asia Barat dan Utara Afrika.

BEN ALI antara rejim Arab yang sudah kecundang.
Gerakan penentangan  rakyat dijangka berlaku di Mesir,
Libya, Jordan dan  'telaga minyak'  dunia yang
dikuasai raja pro-Amerika Syarikat.
Rakyat menderita,  pempin  kekal berkuasa.
Di negara yang mengamalkan sistem beraja, pemimpin mereka lebih selesa berdamping dengan Barat kerana kemajuan teknologi cari gali minyak.
Justeru, tidak menghairankan apabila timbul isu membabitkan keganasan rejim Zionis di rantau Teluk, banyak sheikh Arab mendiamkan diri walaupun kawasan zon perang hanya beberapa kilometer daripada negara mereka.

Ketika suara generasi muda semakin mengancam dan menggesa tindakan tegas, pemimpin yang bersekutu dalam Liga Arab masih dibuai dengan tradisi feudal tanpa menghirau nasib rakyat yang memerlukan pembelaan.

Mengabaikan suara generasi muda, tidak mustahil suatu hari nanti ramai lagi Shah Iran, Saddam dan Ben Ali yang akan menjadi mangsa sejarah dengan catatan berlandaskan aliran darah rakyatnya sendiri. - Berita Harian, 27 Januari 2011

No comments: