Hubungan diplomatik antara dua negara mendorong jalinan kerjasama dari segi ekonomi, pendidikan dan hubungan serantau dapat dijayakan tanpa sebarang gangguan. Persefahaman dua hala boleh membentuk kerjasama yang erat ketika era dunia tampa sempadan sekarang menuntut kerjasama pelbagai sektor.
Lazimnya, hampir semua negara membenarkan rakyatnya melawat, bersukan atau menjalankan tugas di negara lain kecuali yang dilarang dalam kes tertentu. Malaysia, umpamanya membenarkan rakyatnya ke mana saja, kecuali Israel yang dianggap sebuah wilayah haram di Asia Barat.
Bagaimanapun dalam hubungan dua hala dengan Indonesia, terdapat terlalu banyak kemelut, apatah lagi sebuah badan bukan kerajaan di Jakarta yang membuat tinjauan umum mendakwa 65 peratus responden mempunyai persepsi negatif terhadap rakyat Malaysia. Sejak awal 2010, beberapa demonstrasi dilakukan di luar kedutaan Malaysia dan ada yang sanggup membakar Jalur Gemilang, membaling najis dan mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya.
BAGI segelintir warga Indonesia, Malaysia adalah msuh yang amat dibenci. Mereka lupa dua juta Mat Indon bekerja di Malaysia dan mengirim wang kepada keluarga di kampung. |
Beberapa kes sebelum ini termasuk isu pembantu rumah, masalah sempadan, penciplakan karya dan perairan maritim – mendorong beberapa tindakan luar biasa. Pelajar Malaysia pernah disekat di laluan awam semata-mata kerana datangnya dari Kuala Lumpur. Media tertentu di Indonesia juga tidak terkecuali memainkan sentiment anti-Malaysia yang didakwa sebagai ‘Malingsia’.
Dalam dua kejohanan sukan yang berlangsung di Jakarta tahun lalu, sebahagian penonton Indonesia bukan saja menghina Jalur Gemilang dan Negaraku, bahkan sanggup bertindak ganas terhadap pemain Malaysia. Pengalaman menjelang final kedua bola sepak Piala Suzuki pada akhir Disember lalu cukup memeritkan. Pemain Malaysia bukan saja terpaksa menaiki kereta perisai ke stadium, malahan diganggu ketika berlatih di padang hingga memaksa mereka sekadar berlarian anak di pinggir kolam renang hotel. Beberapa pegawai pasukan dan penonton Malaysia juga diludah dan dibaling botol ketika lagu kebangsaan dinyanyikan.
Tindakan yang luar biasa ini hanya dilakukan oleh segelintir manusia yang kurang pertimbangannya. Tetapi jika kerap berlaku hal yang sama, timbul juga persoalan kenapa sentiment anti-Malaysia begitu meluas sekali di negara jiran? Ketika pusingan kelayakan Piala AFC Futsal di Jakarta pada awal 2010, keadaan yang hampir serupa juga berlaku. Lagu kebangsaan yang merupakan simbol harga diri dijamin PBB sebagai wakil kehadiran sesebuah wilayah di persada dunia diejek. Jeritan Malingsia kedengaran. Aksi penyokong Indonesia yang tidak menghormati lagu Negaraku ketika pasukan kebangsaan menentang Vietnam, menyebabkan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) didenda AS$5,000 (RM 17,006).
Walaupun Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Andi Malarangeng memohon maaf berhubung kejadian itu, tindakan keterlaluan sudah dilakukan oleh segelintir rakyat jiran dan ia bukan kali pertama terjadi. Ia juga terus berlaku ketika Piala Suzuki dan tiada jaminan bahawa ia tidak berulang lagi pada masa akan datang.
Sentimen anti-Malaysia bermula ketika Presiden Sukarno mengisytiharkan konfrontasi pada dekad 60-an dan reda seketika ketika dasar diplomatik Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Abdul Razak Hussein yang mengambil pendekatan hubungan baik dengan semua jiran di Asia Tenggara.
Bagaimanapun sikap luar biasa segelintir rakyat Indonesia bersemarak kembali apabila tranformasi dasar ekonomi yang dibina oleh Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya meletakkan Malaysia sebagai antara kuasa ekonomi penting di Asia Timur dan ASEAN. Malaysia seiring Singapura, Korea Selatan, Jepun dan China-- dianggap harimau timur yang sedang bangkit. Indonesia ketika itu berdepan isu rasuah, kemiskinan, salah laku pemimpin siasah hingga menyebabkan tiada upaya untuk membangunkan sektor ekonomi dan perindustrian. Keadaan ini mendorong dua juta rakyat Indonesia mencari nafkah di Malaysia, sama ada secara sah mahu pun tampa permit sehingga kini.
Polisi perusahaan dan industri moden memacu partumbuhan ekonomi Malaysia sekitar 6 hingga 8 peratus pada dekad 80-an dan 90-an mendorong perasaan cemburu Indonesia, yang ketika itu amat tradisional ekonominya. Dr Mahathir berjaya memajukan Malaysia secara terancang dan berjaya mengatasi ancaman spekulator mata wang pada 1998. Indonesia pula terus merudum ekonominya yang memaksa Presiden Suharto meminjam wang daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kerana tidak mampu membiayai ekonomi dalam negara. Suharto terpaksa meletakkan jawatan dan anak lelakinya diheret ke pengadilan atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.
Keadaan yang amat kontras ini akhirnya menimbulkan dendam yang luar biasa terhadap Malaysia. Media mula mencipta pelbagai berita yang tidak benar semata-mata untuk memberikan imej hitam kepada Malaysia. Justeru, ungkapan ganyang Malaysia, masalah pembantu rumah, sentimen di padang bola sepak dan entah apa lagi, memberi pengajaran betapa perlunya kewarasan bertindak untuk menjaga hati jiran. Mereka pernah mempergunakan wartawan Terry Friel yang menulis dalam Sunday Age Australia pada 14 Julai 1991, yang antara lain menyebut: “Malaysia bukan negara tetangga yang baik. Ia bukan saja bergaduh dengan Australia, bahkan dengan semua jirannya.” Rencana itu juga menyebut kenyataan seorang menteri yang menggelarkan Dr Mahathir sebagai ‘That Little Sukarno’.
Penyiaran rencana itu pula dirancang ketika menjelang Persidangan Negara Berkecuali di Jakarta. Kenapa tarikh itu dipilih? Kenapa ketika sidang di Jakarta dikaitkan dengan imej buruk pemimpin Malaysia?
Hari ini, kedua-dua negara perlu eratkan hubungan kerana kedudukan ekonomi serantau yang saling bergantung memerlukan tindakan bersama. Sikap tidak waras segelintir rakyat Indonesia sepatutnya dibendung. Indonesia perlu belajar dari sejarah kejayaan masa lalu untuk hadir sebagai penguasa Asia Tenggara yang peting. Kejayaan kerajaan Majapahit perlu digembelingkan dengan kekuatan dan kedaulatan Melaka yang menjadi peneraju penting Nusantara. Ia boleh dijalin menerusi kerjasama erat dan bukan mencari dendam untuk meluaskan jurang. - Berita Harian, 11 Januari 2011
No comments:
Post a Comment