Pages

Tuesday, January 18, 2011

Interlok mangsa PARIA

AGAK malang sekali apabila sebuah karya besar dipolemikkan oleh segelintir manusia berjiwa kecil semata-mata dikaitkan isu penghinaan kaum. Lebih malang sekali hampir 100 orang yang berkumpul, membakar novel dan potret penulisnya di Klang tidak pernah membaca karya Karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Husain, apatah lagi untuk memahami sistem tanda atau isyarat yang terkandung di dalamnya.

Novel Interlok sudah lama dihasilkan namun tiada siapa pun yang mempolemikkan kerana tidak pernah menghina atau merendah mana-mana kaum dan agama.

Hanya selepas keputusan Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008 yang luar biasa keadaannya, banyak pihak sudah berani bersuara, walaupun kualiti suara mereka boleh dipersoalkan.

Pada hari ini, apa saja isu yang membabitkan Melayu dan kaum lain, dipolitikkan, seolah-olah Malaysia sebuah negara yang baru ada kesedaran untuk bersuara.

Justeru, novel yang sepatutnya dibincang dan diwacanakan secara intelektual, menjadi pembakar semangat, apatah lagi ada tindakan membakar secara terbuka.

Karya Sasterawan Negara sekadar memaparkan nasib pendatang dari India yang terpaksa mencari nasib di Malaysia kerana lingkaran masalah di tanah air asal mereka. Plot utama karya ini adalah perpaduan kaum dan masalah marhaen yang saling menerima antara satu sama lain. Mereka bersatu hati kerana Tanah Melayu adalah tanah air yang didiami secara bersama.

Tiada pun isu penghinaan, apatah lagi merendahkan kaum India dan Cina, selain fakta sejarah yang menjelaskan sistem kasta yang merosakkan hubungan sesama manusia di India.

Novel 426 halaman itu bercerita daripada tiga sudut pandang watak utama - Melayu, Cina dan India - yang menghadapi pelbagai kemelut kehidupan.
Isu yang dipaparkan relevan dengan suasana semasa dan wajar dikekalkan sebagai teks Komponen Sastera dalam Pengajaran Bahasa Melayu (KOMSAS) untuk Tingkatan Lima.

Latar kehidupan di Tanah Melayu sekitar 1910 hingga 1957 banyak mengasuh jiwa manusia untuk sabar dan mengukuhkan perpaduan kaum. Melayu bersatu berjuang untuk menuntut kemerdekaan, kaum Cina dan India pula hadir sebagai pelengkap variasi kemerdekaan daripada British.

Bagaimanapun Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah dan Timbalan Presiden MIC, Datuk S Subramaniam begitu lantang mendesak Kementerian Pelajaran menarik balik buku itu dengan mendakwa Interlok menghina kaum India walaupun tidak dijelaskan bab mana yang mengandungi unsur hasutan. Persekutuan Pertubuhan India Malaysia (PRIMA) juga turut melatah tanpa mengkaji sistem makna dan tanda yang ada dalam sesebuah karya seni.

Penentangan terhadap novel Sasterawan Negara melambangkan pemikiran dan prasangka perkauman lebih teruk di negara ini. Selepas pilihan raya umum lalu, kecenderungan untuk mempolemikkan isu kaum agak keterlaluan. Orang politik amat selesa menjadikan apa saja isu semata-mata untuk kepentingan siasah mereka.

Jika keadaan ini berlanjutan, kita bimbang pada masa depan, apa saja isu dikaitkan dengan politik perkauman kerana ada pihak yang sengaja membahangkan keadaan untuk meraih keuntungan siasah.

Keadaan ini mendorong Seniman Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI) menggesa pelbagai pihak bersikap rasional. Pemimpin PAKSI, Che Shamsudin Othman (Dinsman) berkata ada kecenderungan pelbagai pihak lebih utamakan politik, berbanding kepentingan nasional.

"Berbanding dulu, pemikiran dan sikap prasangka perkauman kita lebih teruk. Isu yang ditimbulkan sekitar novel ini menjadi buktinya.

"Dulu tak apa-apa. Tak ada pembaca yang tersinggung, baik India, Melayu mahu pun Cina; sedangkan kalau nak difikir secara prasangka perkauman, dulu lagi isu ini boleh timbul," katanya sinis.

Pertubuhan Melayu terutama Persatuan Penulis Nasional (PENA), GAPENA dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) juga menafikan adikarya Abdullah sebagai karya sensitif. Dialog Novel Interlok yang berlangsung di Rumah PENA, 8 Januari lalu membuat ketetapan mempertahankan novel karya Abdullah sebagai teks KOMSAS.

Presiden PENA, Mohamad Saleeh Rahamad, berkata ketetapan itu diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selaku Menteri Pelajaran dengan gesaan supaya kemurnian novel itu dikekalkan kerana ia tiada masalah.

"Jika beralah kepada satu tuntutan, bermakna kita mengakui dakwaan mereka yang tidak berasas sama sekali selepas kita berhujah secara intelektual," katanya.

Mohamad Saleeh menyifatkan sebarang campur tangan politik berdasarkan kepentingan peribadi dan perkauman dalam bidang persuratan dan pendidikan secara keterlaluan akan menimbulkan kekeliruan dan pergeseran yang tidak berkesudahan.

"Kesan penarikan balik novel itu juga akan merosakkan kredibiliti karya sastera bertaraf antarabangsa dan sistem pendidikan negara yang dipersetujui secara bersama semasa pembentukan kemerdekaan," katanya.

Setiausaha Satu Gabungan Badan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan, meminta semua pihak tidak mempolitikkan penggunaan Interlok dalam KOMSAS selain menyarankan Jawatankuasa Khas Kementerian Pelajaran menjemput persatuan penulis dan sasterawan membincangkan isu itu.

"Dari aspek akademik, teks ini mempunyai garapan dan fakta yang baik. Provokasi tidak sepatutnya timbul kerana ia sudah digunakan dalam subjek Sastera sekitar 1970-an tanpa masalah," katanya.

Presiden Persatuan eSastera Malaysia (E-SASTERA), Prof Dr Wan Abu Bakar Wan Abas, pula berkata perbincangan mengenai kesesuaian Interlok sebagai teks KOMSAS perlu dibuat secara intelektual.

Kenapa Interlok dipersoalkan selepas lebih 40 tahun di pasaran?

Apakah kerana pilihan raya kecil DUN Tenang pada 30 Januari dan bayangan Pilihan Raya Umum, maka karya besar perlu dikorbankan daripada pembacaan umum? Apakah kewarasan bakal menentukan sebuah karya yang baik bakal disingkirkan oleh pertimbangan yang tidak wajar? - Berita Harian, 18 Januari 2011

No comments: