Pages

Wednesday, June 13, 2012

Politik sastera lahir penulis jahil

PENYAIR Leo AWS baru saja menerbitkan kumpulan puisi ke-23 yang diberi judul Waktu Kaumulakan dan Gurindam Rakyat, memuatkan karya peribadi di samping tokoh lain termasuk Dr Rajiee Hadi, Dr Ibrahim Ghaffar dan Aladin Mohamad.

 Sebahagian besar karyanya diterbitkan sendiri menerusi syarikat Pustaka Dewan Puisi kerana beliau yakin tiada pihak yang sudi melayani bentuk puisi yang dihayatinya.

 Leo mula berkarya sejak awal 1970-an, namun nama jarang diperkatakan kerana puisinya dianggap ‘asing’ daripada kebanyakan karya tempatan.

 Penyair T Alias Taib menganggap karya Leo sebagai ‘cerpuisi’  kerana adunan puisi dan esei yang agak ketara. Dia berkarya secara prosaik dan santai. Ada ketikanya, ungkapannya tidak melebihkan tanggapan yang ditemui dan menukang bait karya seada-adanya.

 Penyair Zahari Hasib juga sering dianggap prosaik dan menggunakan ungkapan yang dianggap ‘biasa’ sebagai pengucapan seni. Zahari membawa imej realis yang kaya dengan kejutan pada bait akhir karyanya.
 Begitu juga Wadi Leta SA, Hilmi Rindu, Awang Abdullah, Puzi Hadi,  Daeng Ramli Akil, Marsli NO dan Nawawee Muhammad yang menemui gaya tersendiri dalam berkarya.

 Pengalaman bertahun-tahun seseorang penulis boleh mendewasakan mereka, namun suasana di Malaysia berlainan sekali.

 Karya mereka tidak  dianggap besar kerana tabii  seseorang penulis dianggap terhormat apabila berada di Kuala Lumpur,  atau setidak-tidaknya berada dalam lingkaran kelompok yang ada kaitan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau badan penulis yang sering sorak-sorai dengan publisiti.

 Isu politik sastera sudah lama kedengaran. Sejak dekad 60-an, dakwaan kelompok dan kabilah seni sudah kerap kedengaran. Pengkritik Mohd Affandi Hassan  pernah menegur golongan yang menguasai DBP dan grup penulis yang dianggap terbaik walaupun mutu karyanya boleh dipertikaikan.

 Penulis yang dianggap HB Jassin Malaysia, Yahaya Ismail pula  pernah mempertikai   karya  memenangi Hadiah Sastera Malaysia  (kini Hadiah Sastera Perdana)  yang dianggap rendah mutu berbanding sorak-sorai seni yang tidak berkesudahan.

 Pada dekad  80-an, sekumpulan penulis muda yang lahir dengan  gaya tersendiri namun asing pada pandangan pengkritik dan pengkaji seni. Nama Marsli NO, Azim Salleh,   Ismaily Bongsu, Pyanhabib, Napie Mat, Lee Cheong Beng dan Awang Abdullah dianggap mewakili kelompok berkenaan. Namun karya mereka jarang diperkatakan secara serius, kerana penelaah sastera lebih mesra untuk memperkatakan generasi  90-an hingga ada yang merasakan sikap luar biasa ini sebagai mengelirukan fakta perkembangan sastera tanah air.

 Kewujudan Minggu Penulis Remaja  sering dikaitkan sebagai landasan untuk memencilkan kelompok 80-an dan pengkritik lebih seronok memperkatakan karya yang kebetulan menjadi anak didik mereka sepanjang Minggu Penulis Remaja.

 Memang diakui Minggu Penulis Remaja berjaya melahirkan bakat baru, namun apabila segelintir pembimbing menjadikan ruang untuk membina kelompok dan kabilah sendiri, semangat melahirkan sasterawan terbaik boleh dipertikai.

 Keadaan ini mendorong suasana politik sastera yang     tidak berkesudahan. Ada sesetengah pembimbing  digelar ‘ayahanda’ yang kononnya jujur membantu generasi baru.  Perasaan saling menghormati antara pembimbing dan bakal penulis menjadikan suasana saling bergantung yang akhirnya ada kelompok penulis dijulang,  pada masa sama meminggirkan grup lain.

 Jangan terperanjat jika sehingga kini kita gagal melahirkan generasi pelapis yang berbobot. Jangan kaget jika majalah yang khusus untuk kegiatan sastera sekadar  2,000 edaran saja. Kenapa karya penulis yang sama disiarkan Dewan Sastera saban tahun?

 Jangan terperanjat jika Indonesia, Thailand dan Filipina lebih  tinggi pengucapan seninya kerana memiliki barisan penulis yang berwibawa dan berdaya tahan.

 Kita sekadar meriah dengan sorak-sorai dan santai seni. Kita meriah dan seronok dengan acara baca puisi dan selingan ringkas yang akhirnya tidak ada apa-apa.

 Ketika segelintir penulis yang  merasakan terpinggir masih mencari karya sejati dalam arena kesusasteraan tanah air, jangan terperanjat apabila kita menemui badut seni yang   melahirkan karya dangkal, jahil  dan daif. Sastera kita kekal lesu dan layu kerana segelintir   golongan seni sendiri yang mahukan keadaan begitu.
 Pengkritik dan sarjana sastera pula bagai tidak melihat masalah sebenar yang melingkari sastera Malaysia. Mereka sekadar mengadunkan teori yang diceduk daripada  buku tanpa melihat realiti permasalahan politik sastera tempatan.

Mungkin kita berbangga mempunyai sedozen Sasterawan Negara dan puluhan pemenang Sea Write Award. Hebat sangatkah karya mereka untuk berdepan kerenah dan politik sastera Malaysia? - Berita Harian, 13 Jun 2012

No comments: