Pages

Wednesday, June 06, 2012

A Samad Said sasterawan rakyat

ADA kenalan yang bertanya saya  mengenai pendirian Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said; benarkah beliau diperalatkan, atau menjadi alat pembangkang?

Apakah beliau melacurkan taraf Sasterawan Negara semata-mata kerana taksub perjuangan siasah yang dianggap ‘menentang’ arus perdana?

Tidak kurang juga yang mempersoalkan apakah  perhimpunan haram bakal menjadi budaya baru dalam medan siasah negara?

Saya bersahabat baik dengan Samad sejak dekad 80-an dan beliau banyak mentelaah  karya saya di Berita Minggu  ketika itu.

Nama ‘Imlan Adabi’ bersama Khalid Salleh, Abdulaziz HM, Pyanhabib, Marzuki Ali,  Ladin Nuawi, Zaen Kasturi, Marsli No dan Ismaily Bongsu  turut tercatat pada kumpulan puisi Samad berjudul Balada Hilang Peta yang dianggap generasi baru sasterawan Malaysia pada dekad 90-an.

Beliau juga menjadi saksi pernikahan saya pada 1992 dan namanya tercatat pada sijil nikah yang dikeluarkan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI). 

Karya Samad terpancar nilai intelektual dan kemanusiaan yang melayakkan beliau sebagai Sasterawan Negara dan  tidak mustahil suatu hari nanti meraih anugerah lebih tinggi termasuk Hadiah Nobel.
Karya  Salina, Hujan Pagi, Daerah Zeni, Cinta Fansuri, Adik Datang dan Lantai T Pinkie bukan sekadar paparan isu semasa,  juga kekuatan teknik penulisan. Samad menerusi Daerah Zeni dan Hujan Pagi meneroka realis magis yang jarang dilakukan sasterawan tempatan pada dekad 80-an.

Sikap, pandangan dan pendirian Samad mengenai politik amat ketara sejak dekad 50-an lagi. Beliau menentang kekejaman politik dan peperangan seperti tercatat dalam Salina. Samad menegur keserakahan kuasa yang mengawal media  menerusi novel Hujan Pagi. Samad mengandaikan wartawan lebih akrab makan hati di samping makan gaji semata-mata bagi  mengisi dapur  untuk   isteri dan anaknya. Lebih fatal, kalangan penulis sentiasa bernasib malang dalam dua dimensi berbeza. Pada era penjajahan, penulis dan wartawan diancam oleh bangsa penjajah, namun selepas merdeka, penjajahan di kalangan bangsa sendiri yang menilai  dan mengekor setiap tulisan di media dengan pelbagai akta yang menguntungkan pihak penguasa. Hujan Pagi bagai menyerlahkan suara sebenar Samad sejak lebih dua dekad lalu.

Mengkaji karya Samad sejak dekad 50-an akan memberi jawapan terhadap apa yang dilakukannya kini. Samad bukan ahli siasah, tidak juga bersuara menentang mana-mana gerakan politik. Beliau hanya menentang golongan kapitalis yang bersekutu dengan kuasa dan menjadikan kuasa sebagai alat untuk menguasai segala-galanya.

Berbeza dengan Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad, Dr Kassim Ahmad dan Pak Sako yang pernah menyertai gerakan politik, Samad terkecuali dan sebelum ini lebih banyak menyepi daripada bercakap soal kepartian.

Hanya akhir-akhir ini beliau lantang dan hadir di pentas ceramah dengan nawaitu yang masih misteri. Benarkah beliau  sudah berpolitik, atau Sasterawan Negara bersuara kerana seperti kata seniman tersohor Indonesia, WS Rendra: “Sasterawan harus berada di muka, bukan di belakang khalayak!”
Beberapa perbualan peribadi dan khidmat pesanan ringkas kami berdua tidak pernah menyentuh sokongan kepartian. 

Dari segi sejarah, tidak sedikit sasterawan besar yang sentiasa sinis kepada penguasanya sendiri.  Jika Rendra, Hamka dan Sutarji sentiasa sinis terhadap rejim Orde Baru di Indonesia, kita juga tidak kurang dengan suara jerit  seperti   Sasterawan Negara  Datuk  Shahnon Ahmad yang lantang menerusi novel  Shit. 

Beliau juga melahirkan Piem (PM?) yang dianggap kotor dan busuk.   Shahnon juga menghasilkan novel Sutan Baginda yang menggambarkan masyarakat kacau dan manusia lebih mempercayai kerbau daripada sesama insan. Sasterawan Yahaya Ismail yang pernah dianggap sebagai HB Jassin Malaysia juga melahirkan Maharaja Beruk yang dianggap ganas dan menggigit sesiapa saja. Tidak terkecuali suara sinis puisi Dr Kassim Ahmad termasuk Sidang Roh yang menggambarkan masyarakat kacau angkara keteledoran haiwan politik ketika ‘Tuhan sudah mati’.

Pak Sako atau Ishak Haji Muhammad juga tidak terkecuali dengan Anak Mat Lela Gila dan Putera Gunung Tahan yang mengkritik  struktur politik  pada era British dan  pasca penjajahan.

Tentunya Samad akan tetap diperhatikan kerana beliau masih dianggap penting dalam dunia seni Malaysia. Ada pihak yang memberi gelaran ‘sasterawan rakyat’ namun saya anggap beliau lebih mengerti ke mana hala tujunya. Samad  sentiasa kental dengan perjuangannya!- Berita Harian, 2 Jun 2012

No comments: