Pages

Tuesday, July 16, 2013

Ramadan mengingatkan sawah, persekitaran desa

Ada yang terpaksa memandu  selama dua jam gara-gara kesesakan luar biasa pada petang hari pertama Ramadan Rabu lalu. Perjalanan sejauh 20 kilometer yang lazimnya 45 minit  pada waktu puncak menjadi 120 minit kerana ramai yang bersesak  di jalan raya seawal jam lima petang.

  Lembah Klang bagai berpesta setiap kali Ramadan. Umat Islam mahu segera pulang untuk berbuka puasa bersama keluarga. Bukan Islam juga turut bersesak di jalan raya untuk mencari juadah enak. Tidak kira agama, bangsa dan keturunan, bazar Ramadan menjadi tumpuan ramai kerana mitos makanan yang dikatakan sedap, lazat dan berpatutan harganya. 

  Ada juga merungut kos perbelanjaan meningkat semata-mata menunaikan ibadat puasa yang dianggap bulan paling mulia bagi umat Islam. Amalan puasa, kesesakan jalan raya dan kenaikan harga barang sudah lazim di Malaysia. Hanya bulan puasa dianggap detik terbaik untuk menikmati juadah enak, memilih restoran terkenal atau ke bazar Ramadan.

  Hanya Ramadan mengingatkan sesetengah dalam kalangan kita kepada masjid sepanjang bulan. Hanya malam Ramadan difikirkan tazkirah, zikir dan wirid kerana selama 11 bulan sebelumnya, ramai yang sibuk dengan urusan duniawi dan ke masjid hanya untuk solat Jumaat.

  Hanya Ramadan mengingatkan kita kepada zakat harta kerana urusan pembersihan pendapatan jarang difikirkan pada hari dan bulan yang lain.

Hanya Ramadan yang kerap mengingatkan kita kepada kampung halaman, saudara mara dan teman yang sudah lama kita tinggalkan. Bulan puasa memberi nostalgia zaman kecil dan remaja, sebelum merantau ke tempat jauh. Di sinilah subur kembali gambaran sawah kontang, perdu getah yang kian tua atau menyimpul  ingatan ke kampung nelayan – mengira camar di pinggir pantai sambil menanti saat berbuka puasa bersama orang tua.

 Hari lampau sudah berlalu dan kita yang menjadi ketua keluarga pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB)  harus menerima hakikat perubahan masa dan persekitaran.  Melayu hanya lapan peratus penduduk Kuala Lumpur ketika rusuhan kaum 13 Mei 1969. Kini jumlah mereka 30 peratus hasil pertumbuhan ekonomi dan kewujudan kawasan urban. Banyak taman perumahan baru dibina yang menyediakan kuota khas untuk Melayu dan Bumiputera. Agihan ekonomi dan dasar pengkorporatan yang dijayakan Tun Dr Mahathir Mohamad dua dekad lalu membentuk generasi Melayu baru untuk berdaya saing di kota besar ini.

  Melayu baru walaupun didakwa masih bertunjangkan akar tradisi, namun cara berfikir dan bersosial ikut berubah. Tradisi muafakat semakin terhakis kerana persepsi kini lebih terarah kepada faktor kejayaan ekonomi, gelaran, pangkat dan kemampuan bersaing pada peringkat global.

  Suasana Ramadan dan lebaran di Lembah Klang turut  berubah walaupun imej Melayu masih kekal dengan budu, cencaluk, gulai kawah, petai dan sambal belacan. Majlis buka puasa yang dulunya terbuka untuk semua penduduk desa dan jiran tetangga, kini berubah wajah di kota besar seperti Kuala Lumpur. Hanya tetamu yang dijemput boleh  menghadiri majlis buka puasa kerana istilah Melayu baru mempunyai jati diri berbeza dengan apa yang wujud di kampung halaman.

 Justeru, apabila hampir lebaran, suasana kampung hidup bagai pelangi mengapung awan. Dentuman meriam buluh, anyaman ketupat dan kesegalaan yang ada di desa menambat hati perantau kembali ke kampung walaupun Ramadan baru seminggu.

 Hanya di kampung, perantau akan mengingatkan perasaan bersama dan nilai murni yang hampir tercabar di Kuala Lumpur.  Pusat beli-belah sudah sebulan membuat promosi Syawal walaupun Ramadan hanya seminggu. Budaya perayaan begitu ketara kerana sistem kini lebih menumpukan hal remeh-temeh seperti cara berpakaian, hubungan sosial dan urusan kewangan hingga mengabaikan fadilat Ramadan yang sepatutnya menjadi amalan umat Islam.
 
Berbeza dengan beberapa negara Arab yang mengutamakan Ramadan sebagai perayaan jiwa Muslim, kita di Malaysia menyambut puasa dengan tafsiran tersendiri.   Prof Dr Hamka dalam buku yang dihasilkan pada dekad 1930-an, Tasauf Moden, menyatakan orang berpuasa tidak semestinya sembahyang, sedangkan orang sembahyang akan berpuasa kecuali keuzuran. Ia membawa maksud sembahyang menjadi tonggak amalan lain termasuk puasa bagi mengukuhkan ibadat seseorang. Insan yang berpuasa mungkin kerana adat semata-mata,  bukan kerana ibadat kepada Ilahi.

  Pandangan klasik ini perlu dinilai dalam mengukur kualiti kehidupan masa kini yang lebih terdedah kepada media sosial dan cabaran ummah yang kian menggugah. Moga Ramadan ini menginsafkan kita semua! - Berita Harian, 16 Julai 2013

No comments: