Pages

Monday, July 22, 2013

Snowden serlah ketakutan AS pada China, Russia

SNOWDEN dijangka dedah kecurangan AS terhadap sahabat dan musuh.
Dunia tidak pernah mengenali Edward Snowden sebelum ini kerana operasi yang dilakukan amat rahsia bagi kepentingan Amerika Syarikat (AS).

Namanya tiba-tiba meledak dan hampir menjadi ikon baru apabila menelanjangi nafsu kuasa besar berkenaan untuk terus  menguasai dunia pasca Tembok Berlin diruntuhkan sejak 1989.

  Berakhirnya Perang Dingin yang menamatkan saingan Pertubuhan Atlantik Utara (NATO) dengan Pakatan Warsaw di Eropah Timur bukan bermakna AS berlapang dada terhadap musuh politiknya terutama Russia, China, Iran, Cuba  dan Korea Utara.

  Hari ini krisis dunia bukan lagi persaingan kapitalis dan komunis, sebaliknya menguasai ekonomi dunia ketiga. Penjajahan bentuk baru menular bagi memastikan dominasi kuasa AS dan Barat.

  AS melakukan pelbagai intipan terhadap musuh dan rakan bagi mendapatkan maklumat keselamatan yang didakwa boleh menggugat kekuatan Washington sebagai paksi kekuasaan. Bekas perisik Agensi Perisik Pusat (CIA) itu kini menjadi mangsa buruan AS kerana pendedahan pencerobohan maklumat keselamatan negara asing.

  Lebih mengejutkan, AS bukan sekadar mengintip musuh, bahkan sekutu di Eropah Barat. Ia mendorong Kesatuan Eropah (EU) menuntut penjelasan ekoran laporan majalah Jerman, Der Spiegel bahawa Washington mengintip mereka.

  Pesuruhjaya Tinggi EU, Catherine Ashton kesal tindakan AS mengintip pejabat EU di Washington, Brussels dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Perancis juga  turut memohon penjelasan kenapa AS mengintip negara berkenaan yang terkenal sekutu setia dalam krisis politik di Asia Barat.

  Apa yang didedahkan Snowden kini menjadi bayangan mengerikan di Rumah Putih. Bekas Presiden AS, George W Bush menuduh Snowden  menghancurkan AS. Presiden Barack Obama pula bimbang kepentingan negara berkenaan terjejas kerana banyak lagi maklumat penting bakal terdedah.

Kini Snowden berada di Moscow selepas melarikan diri dari Hong Kong. Tentunya misi  PRISM – menguasai maklumat menerusi internet menjadi maklumat penting Russia dalam usaha mengimbangkan percaturan kuasa sejagat. AS didakwa cuba memperalatkan Microsoft, Google, Yahoo, Facebook, PalTalk, YouTube, Skype, AOL dan Apple sebagai talian maklumat keselamatan. Ia bermakna AS mengintip setiap audio, video, foto, e-mel, dokumen dan daftar komunikasi yang dicurigai.

  Perkembangan politik di beberapa negara di Asia Barat menjadi medan keseimbangan kuasa di antara AS, Barat dengan Russia dan China.

Obama bimbang perubahan rejim di Libya, Tunisia dan Mesir bakal menyemarakkan semula era Perang Dingin. Pergolakan di Syria mengundang persaingan perisik AS dengan Iran, China dan Russia.

  Rampasan kuasa tentera yang menjatuhkan kerajaan Mohamed Morsi di Mesir menggambarkan keraguan AS terhadap rantau Arab yang kaya dengan minyak. Lebih membimbangkan apabila Morsi didakwa pro-Hamas yang menjadi penentang utama rejim haram Israel.

  Pentadbiran singkat Morsi dari 30 Jun 2012 hingga 3 Julai lalu dirancang perisik AS bagi memastikan Asia Barat milik mereka. Washington memerlukan Mesir seperti di bawah pentadbiran Anwar Saddat dan Hosni Mubarak yang dianggap setia terhadap Barat dan menjalin hubungan rapat dengan negara feudal Arab. Tindakan tentera Mesir terhadap Morsi sebahagian daripada perancangan AS dan Israel bagi memastikan kepentingan Barat tidak terjejas.

  Telaga minyak Asia Barat yang terbesar di dunia kembali menjadi medan percaturan kuasa seperti era Perang Dingin. China yang menduduki tempat kedua sebagai gergasi ekonomi selepas AS berusaha menjadi kuasa utama menjelang 2020. Russia yang dianggap lemah selepas kejatuhan Soviet Union di bawah pimpinan Mikhail Gorbachev pada 1989 kini mula menonjolkan taringnya.

  Sistem komunisme yang menjadi ketakutan dunia sejak awal abad 20 kini berganti suasana baru baru di Eropah Timur dan China. Aktiviti ekonomi dan perdagangan bebas di negara komunis kini membimbangkan AS.

  Lebih menakutkan apabila Snowden yang berlindung di Moscow dijangka bertemu Presiden Russia, Vladimir Putin beberapa hari lagi. Tentunya maklumat perisikan AS akan terdedah dan menjadi senjata sulit Russia untuk mengulangi era kegemilangan Soviet Union. AS bimbang pembabitan aktif Russia dan China akan menggugat kepentingan kuasa besar itu pada masa akan datang.

  Hari ini AS mempergunakan perjanjian perdagangan bebas untuk terus menjajah dunia ketiga. Apa yang dikatakan pasaran terbuka lebih memihak kepada dasar buka pintu negara lemah untuk membolehkan Barat menguasai ekonomi dan penjajahan bentuk baru.

  Malangnya banyak pemimpin dunia ketiga yang tidak memahami niat AS. Perdagangan bebas sebahagian daripada senjata bentuk moden. Snowden memberi isyarat kelangsungan AS untuk kekal sebagai penguasa tunggal. - Berita Harian, 21 Julai 2013

No comments: