Pages

Wednesday, January 01, 2014

Kuala Lumpur malu daulatkan kesenian

Benarlah kata seniman, Kuala Lumpur kurang seni dan   budaya. Kuala Lumpur juga terlalu asing bagi pencipta seni bina apabila banyak bangunan yang menggapai awan tidak mempunyai ciri warisan tempatan.  Kecuali Menara Bumiputra, Menara Telekom, Menara Berkembar Petronas dan beberapa lagi, tidak banyak bangunan yang menggambarkan seni bina  tempatan.

  Lebih malang apabila banyak nama premis yang tidak menggambarkan ciri asal penduduk Nusantara.  Empire Tower,  Menara Multi Purpose,  Capital Square Condominiums,  Wisma Goldhill, Menara Keck Seng, Park View Service Apartment - tidak menggambarkan kewujudannya di Lembah Klang. Namun hakikatnya, inilah Kuala Lumpur, kota yang megah dengan nama tapi segan untuk mendaulatkan karya ke tahap  sepatutnya.

  Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur pernah menjanjikan penyediaan ruang selesa untuk seniman berkarya pada 1987. Beliau membayangkan Dataran Merdeka yang ketika itu dalam proses pembinaan akan memberi ruang kepada seniman berkarya.  Ketika itu gerakan seniman jalanan hampir memeriahkan Kuala Lumpur setiap malam minggu.
 
Baca puisi, aksi spontan teater di bawah tiang lampu dan persembahan  Sani Sudin bersama Kopratasa yang menyanyi dan berceloteh menarik perhatian ramai. Tepian pasar budaya dan Jalan Chow Kit dihidupkan oleh Pyanhabib, Khalid Salleh, Halim Yazid, Ladin Nuawi, Siso dan Imuda dengan aksi spontan. Mereka di antara seniman jalanan yang akhirnya membesar dengan karya seni  menarik.

  Hari ini ruang untuk berkarya hampir  tidak ada lagi. Malahan seniman yang berhajat membuat persembahan jalanan diarahkan membayar  kepada Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL).

 Banyak juga acara sastera secara formal anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan DBKL juga tidak ada lagi. Pengucapan Puisi Kuala Lumpur yang mengundang penyair ternama dunia sudah dua dekad berlalu. Ia mampu bertahan beberapa tahun dan kini hanya menjadi sisa kenangan. Begitu juga Baca Puisi DBKL yang dianjurkan di Jalan Raja Laut hanya bertahan seketika. Majlis yang digerakkan oleh penyair Abdulaziz HM kini hampir dilupakan masyarakat kota raya.

  DBP juga yang suatu ketika memperkenalkan penataran sastera  bertujuan pendedahan sasterawan muda ke Indonesia hanya berjalan beberapa tahun. Program berkenaan berjaya memberi pendedahan kepada beberapa penulis muda berkenalan dengan tokoh kesenian di Jakarta tapi malangnya berakhir tanpa tindakan susulan.

  Ketika Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang menjawat Penasihat Sastera Maybank (1991-2001), beliau menggerakkan program baca puisi bulanan dengan mengundang ramai penyair terkenal tempatan dan luar negara termasuk WS Rendra. Program berkenaan mendapat sambutan ramai kerana pembabitan badan korporat dalam bidang kesenian  dianggap sesuatu yang mustahil di negara ini. Majlis ini juga berlalu tanpa upaya meneruskan aktiviti seni.  Persoalan yang timbul ialah apakah acara seni memerlukan pembabitan tokoh politik sebagai penggerak?

 Ketika itu ada individu yang berkuasa meminati karya seni, justeru, acara kesenian menjadi tugasan negara. Hari ini keadaan sudah berubah apabila banyak majlis diadakan bagi mengisi jadual kegiatan semata-mata.

  Kita berharap jaminan  Timbalan Perdana Menteri,  Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa  kerajaan terus memberi penekanan kepada perkembangan industri kreatif yang dijangka menjana pendapatan sebanyak RM16.1 bilion menjelang akhir tahun ini tidak mati di tengah jalan. Kita akui  industri kreatif  berada di landasan  kukuh apabila meraih pendapatan  RM7 bilion yang memberi sumbangan RM1.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lalu.

  Bagaimanapun karya seni tidak seharusnya digandingkan dengan perkiraan untung dan rugi semata-mata. Ia harus dimartabatkan sebagai penggerak minda dan pengasuh jiwa manusia menjelang 2020.
 
Kemajuan seni tidak bermakna jika Kuala Lumpur gagal menempatkan diri sebagai kota seni terkemuka di rantau ini. Jika kota raya terdekat seperti Bangkok, Jakarta dan Hanoi dikenali dengan kegiatan seni, Kuala Lumpur harus berubah daripada kota batu yang kaku dan bisu kepada ruang untuk menyuarakan isi hati warganya. Hal ini boleh dicapai jika ada iltizam. DBP, DBKL, badan korporat  dan Kementerian Wilayah perlu kaji isu ini bagi memastikan Kuala Lumpur berkembang dari segi ekonomi dan kemanusiaan. - Berita Harian, 31 Disember 2013

1 comment:

Motto Fax said...

Kuala Lumpur kota untuk kapitalis, bukan seniman, jANGAN RISAU, yang beri makan KL adalah tauke, bukan pelukis atau penulis