Pages

Wednesday, October 31, 2012

Sandy ujian getir Amerika Syarikat

Sehingga petang semalam, 13 orang disahkan mangsa korban Taufan Sandy di Amerika Syarikat (AS) dan seorang di Kanada. Seramai 200 pesakit di sebuah hospital di New York terpaksa dipindahkan kerana banjir. Pada masa yang sama, bekalan elektrik terputus di 13 negeri yang menyebabkan lebih enam  juta penduduk  terjejas.

 Pelabuhan New York pula diancam gelombang besar yang bukan saja menyukarkan kegiatan penduduk, bahkan melumpuhkan aktiviti ekonomi dan  pentadbiran. Beberapa bandar raya besar dari Washington hingga ke Boston yang kepadatan penduduk 50 juta orang  membuat persiapan rapi menghadapi Sandy.

Rakyat AS trauma  kerana  tidak pernah mengalami bencana  dahsyat, selain Taufan Katrina   pada 2005 dengan nilai  kerugian AS$108 bilion.  Kerugian angkara Sandy dijangka berganda ketika Presiden Barack Obama dan lawannya, Mitt Romney meramalkan bencana Oktober adalah amaran paling keras buat AS.

 Sandy  memaksa pasaran saham AS, Wall Street, ditutup buat  kali pertama dalam tempoh 27 tahun berikutan masalah cuaca. Ia turut memberi kesan penurunan  pasaran  saham di Madrid, Greece, Tokyo, Sydney dan Hong Kong. Sebanyak 284,000 harta benda awam  bernilai AS$281 bilion berisiko musnah,  7,000 penerbangan batal dan 67 penduduk terbunuh di Caribbean yang menghadap pantai AS.

  Taufan kategori satu itu juga mengancam aktiviti perniagaan, menyebabkan banjir dan memutuskan bekalan elektrik. Pusat Ribut Kebangsaan AS (NHC)  meramalkan suasana tidak menentu  berterusan beberapa hari.  Sembilan negeri   mengisytiharkan darurat manakala Obama memberi amaran  bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Penganalisis cuaca berkata, Sandy yang  jarang melanda  dan luar biasa dianggap ribut super hybrid  mungkin menyebabkan hujan sehingga 25 sentimeter di beberapa kawasan, selain salji sehingga semeter di Pergunungan Appalachian dari  Virginia Barat hingga Kentucky. Taufan itu dijangka membawa angin maksimum berterusan 140 kilometer sejam dan berada kira-kira 615 kilometer di tenggara New York.

Rakyat AS yang selama ini mendakwa  kuasa besar dunia terpaksa akur dengan kuasa   lebih agung. Jika era Perang Dingin pada 1950-an hingga 1980-an, AS terbabit secara langsung dalam perang di Vietnam dan Semenanjung Korea, kini mereka mula menyedari mitos AS sebagai penguasa  tunggal dunia sudah tercabar. AS juga terbabit secara langsung dalam konflik di Asia Barat sehingga penubuhan negara  Israel.

 New York yang  pernah  dianggap pusat kegiatan Pakatan Atlantik Utara (NATO) ketika berdepan ancaman blok komunis Eropah Timur yang dikenali Pakatan Warsaw, kini lumpuh.  Sejarah keagungan lampau kini tidak bermaya  berdepan ancaman taufan yang lebih dahsyat daripada kekuatan ketenteraan dan ejen risikan.

 Jika AS boleh mendabik dada dengan serangan hendap untuk menangkap  bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein dan membunuh  Osama Ben Laden di bumi asing, kini mereka terpaksa berdepan ancaman cuaca yang dahsyat di tanah air sendiri. Nasib AS dijangka hampir sama dengan sekutu utama, Jepun yang mengalami  gempa bumi dan  ancaman Tsunami pada Mac 2011.  Sandy yang disifatkan sebagai ‘kejutan Oktober’  berbahaya turut menjejaskan perancangan kempen kedua-dua calon  presiden. Obama  dan pesaingnya dari Republikan  terpaksa menangguhkan rancangan kempen di negeri  yang menjadi laluan taufan gergasi  itu, sekali gus menjejaskan strategi  sejak berbulan lalu dalam menghadapi persediaan terakhir seminggu sebelum hari pilihan raya sebenar.

   Obama bersama bekas presiden,  Bill Clinton dilaporkan ke Florida tetapi terpaksa menangguhkan acara di Virginia, Ohio dan  Colorado untuk memantau perkembangan  dari Rumah Putih.
Rakyat berdepan bahaya

   Beliau menyatakan kebimbangan  terhadap rakyat AS yang bakal berdepan  bahaya dan secara  tersirat bukan mengenai masa depan politik beliau sendiri.

   “Keutamaan saya ialah  memastikan semuanya memuaskan untuk keluarga dan  bersedia. Ia akan meletakkan sedikit  beban kepada mereka yang terbabit  secara langsung kerana saya tidak   mampu  lebih banyak  berkempen dalam beberapa hari  akan datang,”  kata Obama kepada  pekerja kempen di Florida.   Romney membatalkan kempen di  Virginia, satu daripada negeri yang  diramalkan dilanda taufan.

 Jika  Sandy  terus mengancam, mungkinkah pilihan raya presiden diteruskan minggu depan, atau rakyat AS sekali lagi mencipta sejarah penangguhan pilihan raya kali pertama, selepas mencipta sejarah empat tahun lalu kerana memilih kulit hitam sebagai penghuni Rumah Putih selama empat tahun? -Berita Harian, 31 Oktober 2012
 

Tuesday, October 30, 2012

Usain Bolt dari Myanmar

 Kanak-kanak memanggilnya Usain Bolt. Ada yang memanggil Usain Bangla. Tapi dia tidak kisah. “Nama saya Husin, buku Usain,” tuturnya tergelak. “Saya bukan Bangladesh, saya   Myanmar!”
Kami mengenalinya sejak lima tahun lalu. Dia datang ke taman perumahan setiap  tiga minggu. Berbasikal sambil menggalas mesin pemotong rumput. Hampir setiap rumah dijelajahi dengan harapan ada rezeki. Dia hanya  mengenakan bayaran RM30 untuk memotong rumput dan membersih kebun yang dipenuhi pokok pisang, mangga, cempedak, serai dan nangka. Ketika perayaan Aidiladha, dia turut membantu melapah daging korban untuk diagihkan kepada orang ramai.

 “Saya sudah 20 tahun di Malaysia. Rasa selamat di sini. Sesekali terasa mahu pulang,” air matanya mula tergenang. “Saya rindukan isteri dan enam anak. Mereka masih ada di Myanmar. Masih hidup, tapi terseksa,” tuturnya semakin lemah.

Minggu kedua Ramadan lalu kami telefonnya. Tiada jawapan. Hanya menjelang Syawal baru dapat dihubungi. Husin kelihatan lesu dan sedih. “Saya kena tahan. 10 hari dalam penjara kerana dituduh pendatang haram,” tegas pelarian Rohingya itu.

 Sepanjang 20 tahun, 16 kali Husin ditahan dan kemudian dilepaskan. Husin menganggap sebagai takdir, seperti juga nasib puak Rohingya yang tidak diiktiraf oleh negaranya sendiri.
 Kira-kira 15,000 Rohingya berlindung di Malaysia berstatus pelarian di bawah kawalan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). Kebanyakan mereka seperti Husin   bekerja memotong rumput, mencuci kereta, mengutip barang  lusuh dan menjadi buruh di kilang haram.

 Status pelarian menghalang mereka mendapatkan permit pekerjaan   sah. Mereka dilarang kerja di pusat beli-belah mahupun kilang besar. Berbanding warga Bangladesh dan India yang bebas mencari rezeki pelbagai sektor, pelarian Rohingya hanya mengharapkan nasib untuk hidup. Anak mereka tidak bersekolah kerana tidak mempunyai dokumen sah. Malah, mereka sering ‘diganggu’ kerana status   diragui.
 Walaupun pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerap bersuara mengenai nasib Rohingya, keadaan tidak banyak berubah. Kerajaan sendiri tidak dapat berbuat apa-apa kerana terikat dengan piagam. Sebagai negara anggota Pertubuhan Negara Asia Tenggara (ASEAN), Malaysia dilarang campur tangan masalah dalaman anggota ASEAN sendiri.

 Etnik Rohingya beragama Islam. Tapi tiada negara Islam yang berusaha pembantu mereka. Kajian menunjukkan Rohingya sebagai mangsa  paling malang di dunia. Kekejaman terhadap mereka mengatasi nasib yang dialami Bosnia-Herzegovina di Balkan dan kaum Yahudi ketika era Adolf Hitler.

Kumpulan etnik ini mengalami pembersihan etnik secara bersistematik oleh kerana dasar pemerintahan Yangon yang enggan mengiktiraf sebagai rakyat Myanmar.

Junta tentera dan kumpulan etnik lain mahu menghalau mereka keluar dari bumi Myanmar. Puak lain di Rakhine, negeri di wilayah barat Myanmar, melancarkan serangan terhadap etnik Rohingya. Kanak-kanak dan orang tua menderita kebuluran kerana kekurangan makanan. Junta pula memukul, mengugut dan membunuh kumpulan etnik ini tanpa sebab. Ada juga laporan mengatakan wanita dan perempuan muda dirogol.
 Sehingga kini kita tidak nampak bantuan dari negara Islam yang menguasai minyak di Asia Barat. Mereka lebih ghairah menjaga kepentingan sendiri, di samping menjalin hubungan rapat dengan kuasa besar dunia.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pula bagai hilang suara mengenai isu Rohingya. Pada sidang  tergempar di Makkah   Ramadan lalu mereka sekadar membincangkan isu Syria. Mereka terlupa nasib manusia seperti Husin yang sepatutnya mendapat hak sebagai warga dunia, serta peluang pekerjaan, kesihatan dan kemudahan sosial.

 Selagi tiada pihak berusaha melihat isu Rohingya sebagai keperluan siasah dunia, etnik minoriti Myanmar ini akan terus diterajang, dibakar dan disembelih untuk kepuasan pihak lain.
 Memang kita akui Myanmar kononnya ada pejuang asasi yang menang Hadiah Nobel Keamanan. Tapi kita hairan Aung San Suu Kyi sering mengelak  membicarakan pembunuhan Rohingya. Beliau gagal mengkritik Kerajaan Thein Sein yang menghantar lebih 800,000 etnik Rohingya ke kem pelarian di sempadan Bangladesh.

  Nasib mereka tentu  kekal misteri, seperti juga nasib Husin   yang tidak berkesudahan dirundung malang.  Husin tentu tercatat dalam statistik mangsa kekejaman paling dahsyat pada era teknologi digital.  - Berita Harian, 30 Oktober 2012

Tuesday, October 23, 2012

Semangat Red Warrios

Gadis yang bertugas di sebuah stesen minyak di Raub pada 12 Oktober lalu  menegur: “Encik  nak ke  Stadium Shah Alam?”  Penulis tergamam dan geli hati. Gadis berkenaan mengintai  beberapa  cenderamata Red Warriors dalam kenderaan. Pada masa sama, konvoi kenderaan persendirian dan bas yang mengibarkan bendera Kelantan memenuhi jalan raya dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur melalui Gua Musang, Lipis, Raub dan Bentong.
 
Malam itu pertandingan pusingan kedua separuh akhir Piala Malaysia di antara Kelantan dan Selangor. Bayangkan apabila Kelantan menang dan ke pertandingan akhir pada 20 Oktober lalu yang ‘memaksa’ konvoi dari Kelantan sekali lagi ke Stadium Shah Alam dalam tempoh seminggu  bagi menyokong  Red Warriors menjuarai Piala Malaysia, selepas bergaya menjulang Piala FA dan Liga Super.

 Sokongan dan sifat fanatik penyokong Kelantan diakui  paling hebat di negara ini.  Ada yang  sanggup menempah penerbangan semata-mata untuk menyokong anak buah Tan Sri Annuar Musa bertarung  pada pusingan awal piala AFC di Hanoi, Vietnam.

 Seorang kenalan yang juga usahawan sanggup menempah tiket penerbangan ke mana saja  Red Warriors beraksi. Jika tiket penerbangan habis, dia sanggup memandu  bersama rakan ke sesuatu destinasi dan kembali ke Kota Bharu sebaik saja perlawanan berakhir.

 Di beberapa jalan utama di Kota Bharu, gambar pemain bola sepak Kelantan boleh dilihat di mana-mana saja. Malah, syarikat telekomunikasi terkemuka menggunakan wajah pemain Red Warriors pada kad prabayar bagi memberi peluang peminat mengumpul wajah dan aksi mereka.

 Pakaian rasmi pasukan bola sepak Kelantan boleh dilihat    di majlis kenduri, kematian atau  di masjid. Tidak terkecuali juga ketika lepak di pasar malam Wakaf Che Yeh atau membeli-belah di Rantau Panjang dan Pengkalan Kubur.  Ia menggambarkan perasaan bersatu hati dan semangat cekal   rakyat Kelantan terhadap pasukan negeri walaupun berbeza fahaman  kepartian.

 Lebih aneh, Red Warrios juga boleh meredakan seketika sengketa  ahli UMNO dan PAS. Jika pada majlis politik ahli kedua-dua parti  bertelagah, malah tidak bertegur sapa, bola sepak meredakan pergeseran mereka semata-mata kerana kesukanan yang dianggarkan lebih waras daripada berpolitik.

 Bagaimanapun, ada kalangan ahli UMNO Kelantan yang silap tanggapan  untuk membezakan sokongan terhadap Red Warriors dengan kepartian. Menyokong pasukan bola sepak bukan bermakna sokongan terhadap UMNO atau PAS. Kita boleh lihat beberapa slogan, sepanduk dan bendera kepartian yang dibawa ke stadium menggambarkan isu politik masih belum reda di Tanah Sekebun Bunga itu.

 Ketika perlawanan separuh akhir di Stadium Shah Alam baru-baru ini, sepanduk ‘Kami Mahu Royalti Minyak’ menjadi tumpuan ramai yang boleh dikaitkan dengan parti yang menguasai Kelantan ketika ini. Bagaimanapun slogan ‘Gelombang Merah’ yang dikaitkan dengan UMNO Kelantan  jelas terpapar ketika malam final Piala Malaysia.

 Pada beberapa perlawanan lain, bendera parti pembangkang turut dibawa ke stadium walaupun Red Warrios digerakkan   ahli UMNO. Ia menggambarkan politik dan sukan tidak dapat dipisahkan. Sokongan terhadap bola sepak bukan bermakna sokongan terhadap pihak yang menggerakkan kejayaan sukan itu sendiri.  UMNO dan PAS akan   terus bergasak untuk merebut sokongan rakyat Kelantan.

Sebagai  negeri yang penduduk Melayu lebih 90 peratus, Kelantan sentiasa kaya dengan keindahan alam, keunikan budaya, syurga beli-belah dan sengketa politik yang kekal. Alangkah baiknya jika rakyat bersatu hati menggunakan pendekatan menyokong Red Warriors  dalam perspektif lebih luas.  Sengketa tidak membawa manfaat apatah lagi apabila Melayu masih berada di persimpangan jalan. Memenangi tiga piala bola sepak dalam satu musim bukan menggambarkan kemajuan  dalam bidang kesukanan, pendidikan, pencapaian ekonomi dan perpaduan bangsa.

 Ramai anak Kelantan   berjaya  dalam pelbagai sektor, namun  rakyat negeri itu  juga yang mengisi rumah setinggan, menjadi gelandangan di Jalan Chow Kit dan marhaen di kawasan urban. Sudah sampai masanya anak Kelantan melihat ke depan, mengintai perubahan dan memaknakan citra perpaduan seperti yang diidamkan. -  Berita Harian, 23 Oktober 2012

Sunday, October 21, 2012

Seni Perang calon Presiden AS

Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan pencabar daripada Parti Republikan, Mitt Romney, wajar berterima kasih kepada Sun Tzu kerana menghasilkan karya agung Art of War yang boleh dimanfaatkan menjelang Pilihan Raya Presiden pada 6 November depan.
Art of War menghuraikan strategi menawan musuh dan potensi mengubah hala tuju dunia. Politik sebahagian daripada seni peperangan terbuka yang menganjurkan wataknya berjuang untuk kelangsungan hidup.

Matlamat Demokrat atau Republikan bukan sekadar menguasai politik AS, malah ‘berperang’ menguasai dunia dengan pelbagai cara.
Sun Tzu memberi bayangan apa saja boleh dijadikan senjata kerana ia sebahagian seni peperangan itu sendiri.

Justeru, tidak menghairankan apabila debat Obama dan Romney pada 17 Oktober lalu menggunakan pelbagai isu untuk menonjol kekuatan peribadi dan menidakkan kemampuan pihak lawan. Bagai di medan perang, pekerjaan dan pengangguran menjadi isu debat, selain insiden serangan terhadap kedutaan AS di Libya ekoran filem dakyah jahat Innocence of Muslims karya Nakoula Basseley.

Dunia bagai tidak percaya AS yang selama ini dianggap simbol kebebasan wanita masih dihantui isu diskriminasi jantina. Gaji wanita lebih rendah daripada lelaki dan kedua-dua tokoh saling berhujah untuk membantu wanita mendapat pengiktirafan seperti lelaki. Apa yang Obama lakukan selama empat tahun pentadbiran di Rumah Putih?

“Kamu gagal ubah nasib wanita dan kamu sukar meyakinkan pengundi wanita,” hujah Romney, seolah-olah dirinya pejuang wanita sejati.

Seseorang yang belum berkuasa mempunyai kemampuan untuk mempertikai pihak lawan dalam pelbagai aspek. Isu China yang dianggap kuasa utama menjelang 2020 bagai menghantui ego AS. Kini China berada di tempat kedua sebagai kuasa ekonomi dunia di belakang AS. Jepun di tempat ketiga diikuti beberapa negara Kesatuan Eropah.

Romney berjanji menghukum China mengenai isu mata wang. Bagaimanapun ditempelak oleh Obama bahawa mentadbir negara berbeza dengan membangkang apa yang dilakukan pihak lain.
Debat pusingan kedua selama 90 minit memihak kepada Obama yang jauh lebih bersedia daripada Romney. Jika dua minggu lalu di Denver, Colorado, presiden kulit hitam pertama AS gagap menjawab selaran lawannya, kini beliau lebih tenang dan bersedia.

“Persembahan Presiden lebih baik malam ini berbanding di Denver. Ia sengit tetapi saya beri kelebihan kepada Obama,” kata profesor politik di Kolej Claremont McKenna, John Pitney.
Obama menunjukkan persembahan meyakinkan dengan mengecam pelan Romney memulihkan ekonomi dan memberi reaksi kepada kritikan cara beliau menangani serangan ke atas kedutaan AS di Libya, bulan lalu.

Stesen televisyen AS memberi reaksi segera selepas perdebatan di Universiti Hofstra, Washington yang memihak kepada Obama. Tinjauan CBS News menunjukkan 37 peratus responden yakin Obama memenangi perdebatan itu, berbanding 30 peratus kepada Romney, manakala 33 peratus berpendapat tiada pemenang.

Selain itu, 55 peratus menganggap Obama memberi jawapan mengikut soalan, manakala 49 peratus beranggapan sama mengenai Romney. Tinjauan Cable News Network (CNN)/ORC mendapati 46 peratus mengakui Obama menang dan 39 peratus memihak Romney.

Felo kanan Institut Keusahawanan AS, Karlyn Bowman, berkata walaupun tiada pemenang mutlak, Obama kembali beraksi.

  Menjelang tiga minggu hari pengundian, kedua-dua tokoh bakal menemui perwakilan tempatan di beberapa negeri bagi menentukan sokongan setempat.

Sesiapa saja terpilih ke Rumah Putih selepas 6 November nanti, tidak akan memeranjatkan dunia. Dasar AS terhadap politik serantau dan Asia Barat dijangka tidak berubah.

Obama dan Romney akan mengekalkan dasar menyokong kewujudan negara Yahudi di Asia Barat. Hal ini tidak memeranjatkan kerana ejen Zionis berada di kedua-dua pihak.

Begitu juga isu Rohingya dan Myanmar dijangka tidak berubah kerana yang penting bagi AS adalah Aung San Suu Kyi berkuasa sebagai ejen Barat di Asia Tenggara, bukan membantu umat Islam Rohingya sebagai warga sah di Myanmar.

Dasar AS di Eropah juga dijangka kekal walaupun situasi ekonomi Eropah Barat terus merudum. AS hanya bimbang kebangkitan Moscow yang kini semakin ghairah menjadikan Russia kembali bersaing dalam arena politik dunia.

Russia dan China antara watak penting di belakang pimpinan Iran dan Syria sekarang. Krisis di Semenanjung Korea juga tidak menampakkan penyelesaian.

AS bimbang seni peperangan yang dicetuskan Sun Tzu memberi kesan kepada Washington sebagai penguasa tunggal dunia. Ini sebahagian Art of War yang dibincang penganalisis politik dunia.
Obama dan Romney tentu gusar AS berdepan cabaran lebih getir pada masa depan.
‘Seni perang’ calon Presiden Amerika. -  Berita Harian, 20 Oktober 2012

Tuesday, October 16, 2012

Ustazah seksi di majlis ceramah

 Majlis yang awalnya santai, lancar dan tenang tiba-tiba diganggu pengumuman daripada lelaki berkopiah putih berbelang hijau: “Hadirin diminta masuk ke premis bangunan. Permit yang kita peroleh sekadar pertemuan dalam dewan. Hadirin  dilarang berada  di jalan raya!”

Beberapa petugas  bermotosikal meninjau kawasan ceramah dan berbincang dengan jawatankuasa cawangan sebuah parti politik supaya majlis lancar dan jalan raya tidak sesak.
 Premis ceramah yang sepatutnya memuatkan 100 orang melimpah kepada 200 hadirin. Suasana sesak dan bau hangit.  Ada yang terpaksa berdiri atau duduk di atas simen kerana tidak cukup kerusi. Ada kanak-kanak lima tahun yang merengek mahu pulang kerana tidak tahan   suasana bingit penceramah yang lantang bercakap soal  hudud  dan citra  politik baru. Ada juga yang melaungkan takbir berulang kali apabila dirasakan sesuatu hujah berjaya menaikkan semangat.

 Penulis harus akui  suasana tempat ceramah politik  sering mengundang pelbagai tafsiran. Lazimnya majlis sekadar  untuk kegiatan penerangan  keahlian tetapi akhirnya terbuka kepada semua pihak  yang ‘sudi’ mendengar  tarbiah isu semasa.  Ada juga majlis memperalatkan artis ‘lanjut tempoh’  semata-mata untuk meraih perhatian penduduk taman perumahan. Sudah jadi trend  memperalatkan   nama artis untuk  memancing  khalayak. Walaupun pada beberapa majlis mencatatkan lima nama artis  pernah jadi idola ramai,  yang hadir cuma seorang  dipanggil ‘ustazah’  kerana sudah bertudung dan bercakap mengenai Islam. 

 Ada desas-desus mengatakan penceramah mendapat komisen hasil titik peluh mereka. Jika ramai yang hadir, komisen yang diperoleh semakin meningkat. Kehebatan seseorang penceramah bukan kerana kemampuan intelektual dan hujah yang cerdik, tetapi bersandarkan sejauh mana lawak jenaka seseorang boleh diterima umum. Justeru, jangan hairan   ada majlis ceramah diiringi kutipan derma ikhlas. Jangan terperanjat apabila kehadiran seseorang tokoh disenangi   menentukan  jumlah hadirin di sesuatu kawasan.
 Kita sedia maklum  hadirin majlis ceramah bukan mengharapkan idea bernas untuk   pembangunan negara. Mereka memadai terpukau dengan intonasi suara yang menarik serta mampu berjenaka, termasuk memperlekehkan saingan politik. Harus kita akui politik ada kalanya zalim terhadap politikus.  Politik jarang mengampunkan lawan, justeru majlis ceramah menjadi landasan terbaik  menyerang pihak lain.

 Sehingga kini tiada kajian khusus mengenai bentuk ceramah dan kesan terhadap pendengar dan pengikut. Ceramah politik sudah membentuk tradisi lisan tersendiri sejak prakemerdekaan. Jika dulu  nasionalis menggunakan perhimpunan umum untuk menggerakkan semangat menentang penjajah, kini ia  sebahagian daripada wahana mendapatkan mandat rakyat.
 Kita tidak pasti sejauh mana majlis ceramah  membantu pendidikan politik kenegaraan  kerana bentuk majlis itu sendiri sentiasa dikaburi unsur sentimen, propaganda yang kaya dengan drama dan intrignya.
 Tentu tidak adil  mengharapkan penceramah   jujur dalam ucapannya. Politik memang  kejam terhadap pesaing.  Memadai ceramah untuk memancing hadirin mendengar hujah tanpa diberi kesempatan    mempertikaikan apa  diperkatakan.

Ketika media baru dianggap  saingan kepada akhbar, majalah dan sebaran am lain, ceramah kekal berakar umbi dalam masyarakat.  Tradisi lisan yang kita bentuk dalam cerita penglipur lara  diterjemahkan dalam bentuk moden yang lebih agresif dan kreatif. Jika dulu tradisi lisan sekadar berceritera mengenai feudal dan kesetiaan kepada istana, kini ia mengambil bentuk tersendiri dalam masyarakat.
 Tradisi lisan bentuk moden sebahagian budaya politik kepartian yang menjadi tuntutan ramai. Ia hampir dipercayai sebagai pembawa suara kebenaran walaupun latar belakang penceramah  sendiri tidak sunyi daripada khilaf dan salah.
 Penulis  akui kerap menghadiri majlis ceramah politik sejak akhir-akhir ini kerana ingin mengenali  sistem tanda dan isyarat masyarakat Malaysia. Politik kepartian dan majlis ceramah memberi tanda baca tersendiri. Gerakan siasah tidak selamanya statik kerana  rakyat juga mahir membaca kaedah semiotik yang kekal misteri. Politik  seperti juga sastera sentiasa kaya dengan watak dan perwatakan! - Berita Harian, 16 Oktober 2012

Monday, October 15, 2012

Islam mangsa kelemahan sendiri

Kita sering berbangga sebagai umat Islam dan yakin agama Allah yang terbaik. Tapi kita tidak pernah bertanya kenapa umat Islam masih mundur? Dari segi politik dan ekonomi, negara yang majoriti penduduk Islam sentiasa diancam rusuhan kaum, pergolakan kepartian dan kebangkitan rakyat. Banyak negara Islam di Afrika dan Asia Selatan menghadapi masalah kebuluran, kemiskinan dan wabak penyakit.

  Jika Islam dianggap terbaik dan pedoman hidup manusia, kenapa kita tidak maju seperti Jepun dan Korea Selatan? Adakah kekayaan dan keselesaan hidup untuk pihak lain dan umat Islam mengharapkan ganjaran akhirat semata-mata? Sikap jumud, ekstremes agama dan kurang ilmu menjadi punca umat Islam ketinggalan.

  Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam bukunya The Challenge (Menghadapi Cabaran, 1976) menegur kelemahan ummah menjadi punca pihak lain berkuasa dan umat Islam ketinggalan. Mereka sekadar bersuara dan beremosi, tapi gagal melaksanakan perjuangan Islam.
Sengketa sesama sendiri.

  Sikap berpuak dan sengketa sesama sendiri menjadikan Islam lemah. Jika sebuah filem yang kononnya memburukkan Nabi Muhammad SAW dibantah di seluruh dunia, apa tindakan umat Islam seterusnya? Sekadar tunjuk perasaan di depan kedutaan Amerika Syarikat (AS) tidak ke mana. Barat, Yahudi, Zionis dan ideologi mereka sudah lama menjajah  dengan pelbagai cara.

  Umat Islam lemah selepas Perang Salib adalah bukti kekurangan diri sendiri. Umat Islam tidak bersatu walaupun penganutnya ramai. Dianggarkan 1.5 bilion umat Islam daripada tujuh bilion warga dunia. Sebanyak satu bilion di Asia, 400 juta di Afrika, 44 juta di Eropah dan enam juta di AS.
  Setiap lima manusia di dunia ini seorang adalah Islam. Setiap seorang Hindu ada dua umat Islam, setiap seorang Buddha ada dua umat Islam dan setiap seorang Yahudi ada beratus umat Islam. Tapi kita gagal dan pihak lain sentiasa mendahului dalam pelbagai bidang. 

   Ketika kita bercakap mengenai 2020 dan kerjasama ummah, umat Islam mati atau cedera parah dalam kebangkitan politik di Asia Barat. Rejim bertukar tapi nasib negara Islam kekal. Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagai tidak berdaya mengatasi isu kelaparan, penyakit, pendidikan dan  penghinaan berterusan.

  Terdapat 57 negara anggota OIC dengan memiliki 500 universiti. Purata sebuah universiti untuk setiap tiga juta umat Islam. Kita masih kalah berbanding AS yang mempunyai 5,758 universiti dan India ada 8,407. Pada 2004, penyelidik Universiti Shanghai Jiao Tong membuat kajian   kedudukan akademik universiti   dunia. Tiada satu pun universiti negara Islam   di puncak 200 terbaik. Yang dianggap cemerlang adalah pusat pengajian di AS, Britain dan Eropah Barat yang akrab dengan Zionis.

  Malahan Universiti al-Azhar yang dianggap pusat kecemerlangan pengajian Islam bukan institusi pendidikan terulung. Justeru, jangan terperanjat kadar celik huruf di Mesir dan Libya masih rendah. Malah, mereka hanya mempunyai 20 peratus penduduk yang mampu menikmati media baru.
  Kajian Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) pula mendapati tahap celik huruf di negara maju ialah hampir 90 peratus dan 15 negara mempunyai 100 peratus celik huruf. Berbanding negara Islam yang purata  celik huruf  sekitar 40 peratus dan tiada negara yang mempunyai 100 peratus celik huruf.

  Keadaan ini menggambarkan tahap ilmu umat Islam masih rendah walaupun mereka mungkin membanggakan tradisi intelektual pada era kebangkitan Islam dulu. Negara majoriti Islam hanya mempunyai 230 ahli sains bagi setiap sejuta penduduk berbanding AS (4,000) dan Jepun (5,000).
  Kajian juga mendapati negara Islam hanya membelanjakan 0.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) sedangkan negara maju membelanjakan hingga lima peratus. 

  Dari segi ekonomi, umat Islam  jauh di belakang. Jumlah terkumpul KDNK tahunan 57 negara ahli OIC  di bawah RM6 trilion. AS  menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai RM36  trilion, China (RM24 trilion), Jepun (RM19 trilion) dan Jerman (RM7 trilion).

   Kelemahan ekonomi dan ilmu punca kita  di belakang. Nakoula Basseley dan Innocence Of Muslims bukan punca Islam lemah. Yang melemahkan Islam adalah diri kita sendiri. -  Berita Harian, 9 Oktober 2012
 

Sunday, October 07, 2012

Debat Obama, Romney

 Siapa bakal terpilih menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) tidak mendebarkan lagi kerana  calon Parti Republikan, Mitt Romney hampir pasti menjadi tarikan dunia.

Pusingan pertama debat beliau bersama  Presiden Barack Obama  membuktikan sekutu setia Israel itu berjaya menguasai pentas. Romney dengan selamba bercakap  menangani krisis ekonomi dan   pengangguran.
 Reputasi  Obama yang mahir berpidato dan berhujah  sejak lima tahun lalu semakin tergugat. Ada ketika dia kelihatan gagap mengutarakan hujah dan mempertahankan pentadbirannya.
 Debat dua tokoh menjadi tarikan sejagat. Seperti tradisi, penyandang Presiden dan pencabar diuji di atas pentas dan rakyat AS bebas menilai ketokohan masing-masing.
 Kita harus akui Obama mempunyai peribadi yang baik sepanjang pentadbirannya. Beliau tidak mempunyai gosip yang menjejaskan pentadbiran seperti dialami Bill Clinton, Richard Nixon dan John Kennedy. Obama tiada hubungan sulit dengan pembantu peribadi  Rumah Putih atau mengintip pihak lawan. Peribadinya dianggap bersih, malah ketika awal pentadbirannya ada yang silap sangka dengan mendakwa beliau seorang Muslim.
 Bagaimanapun, politik bukan sekadar isu  peribadi. Tidak juga sekadar debat dan personaliti kerana politik adalah segala-galanya.  Kelemahan Obama adalah  kurang menonjol sebagai sekutu Zionis walaupun beliau menang pilihan raya empat tahun lalu hasil biaya Yahudi. Beliau juga gagal menangani isu pengangguran yang menjadi beban utama di AS sekarang.

 Romney lebih kelihatan tangkas. Bukan saja kerana melawat Israel untuk menonjolkan sikap mesra Yahudi di Asia Barat, bahkan sedang mereka pelan tindakan menguasai kebangkitan generasi muda Arab di Timur Tengah. Romney juga merangka pelan tindakan menguasai ekonomi Eropah Barat yang berdepan krisis kewangan meruncing.

 Sehingga kini  penganalisis berpendapat, terlalu awal untuk mengatakan Romney memiliki kelebihan ke atas Obama dalam perlumbaan ke Rumah Putih. Tinjauan  Cable News Network  (CNN) mendapati 67 peratus responden beranggapan Romney mengalahkan Obama dan hanya 25 peratus berpendapat sebaliknya. Tinjauan  CBS News menyaksikan lebih dua kali ganda bersetuju  Romney menang.
 Dalam perdebatan yang berulang kali ditayangkan CNN sejak Khamis lalu,  Obama bercakap lebih lama dalam perdebatan 90 minit di Denver,   tetapi pencabarnya lebih berjaya memberi pandangan meyakinkan.  Jika keadaan tidak berubah, pengundian 6 November depan bakal menyaksikan peralihan kuasa di Rumah Putih.

 Pengarah Pusat Politik dan Hal Ehwal Awam di Kolej Franklin dan Marshall, G Terry Madonna   mengakui  Romney mempunyai  banyak alasan untuk  menang  debat ketika Presiden tidak berada dalam prestasi terbaik.
 Madonna yang memantau pilihan raya sejak 1960  yakin peralihan kuasa adalah tradisi berterusan yang membentuk kepemimpinan di AS.
  “Romney tahu apa yang perlu dilakukan  dengan   menyampaikan  mesejnya dan beri keyakinan kepada penyokong Republikan bahawa beliau boleh menang,” katanya. 
 “Beliau masih hadapi cabaran besar. Mungkin beliau akan dahului sokongan di Virginia atau Florida dalam masa dua tiga hari lagi,” kata profesor di Universiti Georgetown, Clyde Wilcox.
  Cuma, di banyak tempat lain, beliau mendahului sokongan termasuk Ohio dan Wisconsin. Jadi, persoalannya sama ada Romney boleh mengatasinya sebelum pengundian bermula.
 Penasihat empat Presiden Amerika, David Gergen, berpendapat keadaan lebih terbuka bagi Romney selepas ini.
 Romney dan Obama meneruskan tradisi debat  yang ditonton hampir  700 juta penduduk dunia.  Debat pertama   pada 26 September  1960 disaksikan  66 juta  rakyat AS  membabitkan   calon Demokrat,  John  Kennedy dan calon Republikan,  Richard Nixon.
 Pemerhati berpendapat  Nixon  kalah dalam debat ini kerana  kurang persiapan diri untuk siaran televisyen. Beliau memakai sut  kelabu  yang     tidak menonjol dibandingkan latar belakang studio  untuk siaran televisyen  hitam putih.
 Debat calon Presiden tidak diadakan pada  1964, 1968, dan 1972.  Pada 23 September 1976, calon Demokrat, Jimmy Carter dan calon Republikan  Gerald R Ford berdebat di hadapan kamera televisyen  dan penonton studio. Debat calon Naib Presiden  juga diadakan antara wakil Demokrat,  Walter Mondale dan wakil Republikan,  Bob Dole.
 Sejak 1976    tradisi debat calon Presiden bagai kewajipan dalam tradisi demokrasi AS.  Ia bukan undang-udang bertulis, tetapi calon perlu berdepan lawan mereka untuk membuktikan kemampuan berhujah dan mentadbir negara. Tokoh yang enggan berdebat dianggap   tak layak dipilih sebagai pemimpin negara.
 Romney dan  Obama  masih ada waktu   membuktikan ketokohan masing-masing. Terpulang kepada media, juga Zionis untuk menentukan kepemimpinan AS.  - Berita Harian, 6 Oktober 2012
 

Tuesday, October 02, 2012

Innocence Of Muslims dedah kelemahan umat Islam

Nakoula Basseley atau dikenali Sam Bacile sepatutnya berterima kasih kepada sebahagian besar umat Islam kerana memberi publisiti percuma kepada filemnya. Innocence Of Muslims hanya filem murahan yang tiada kualiti. Bacile bukan pengarah ternama apatah lagi penulis skrip yang meraih Anugerah Oscar. Dia hanya penyangak yang ada  kes penipuan perbankan.

Tiada siapa  peduli ketika dia memulakan penggambaran Desert Warriors kerana   tiada tarikan magis untuk diperkatakan. Ia sekadar cerita pahlawan padang pasir yang tidak sesuai lagi dengan selera semasa. Malah, wartawan hiburan di California pun menolak undangan sidang media kerana filem yang kemudian ditukar kepada Innocence of Muslims dianggap tiada  isu untuk dipaparkan.

  Innocence of Muslims hanya meletup apabila menerima bantahan umat Islam sejagat.  Bacile dianggap anti-Islam dan menjalankan agenda Yahudi untuk memburukkan Nabi Muhammad SAW. Jika tiada bantahan umat Islam, tiada siapa pun yang kenal Innocence of Muslims  apatah lagi menyebut nama pengarahnya.

 Bacile  tentu gembira kerana  latah umat Islam  menyebabkan filemnya jadi sebutan dunia. Lebih aneh, kemarahan itu menyebabkan umat Islam sendiri menjadi mangsa. Seramai 300 penunjuk perasaan bertempur dengan polis di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kaherah. Bukan Bacile atau  Yahudi yang cedera, tapi umat Islam. Seramai 224  cedera sejak keganasan tercetus.

  Seramai 5,000 merusuh di  Khartoum, Sudan dengan menyerbu Kedutaan Britain dan Jerman. Perusuh  cedera kerana bergaduh sesama sendiri selain bergasak dengan polis.
Lebih parah di Yaman,  ribuan penunjuk perasaan  merusuh menyebabkan seorang maut dan 15 cedera di luar Kedutaan AS.  

  Barangkali yang tidak beruntung bagi pihak AS adalah di Benghazi, timur Libya apabila dutanya, Chris Stevens dan tiga warganya terbunuh.

   Bantahan turut diadakan di  Palestin dengan ribuan  orang berkumpul di Genting Gaza, manakala ratusan yang lain berhimpun di Baitulmaqdis.

  Kumpulan penunjuk perasaan  bertempur dengan polis Israel di Baitulmaqdis. Ada yang  parah dan dipenjarakan rejim Yahudi. Yang untung dalam kes ini ialah Yahudi.

  Di Gaza pula penunjuk perasan mengibarkan bendera Hamas dan pergerakan Jihad Islam serta membakar  bendera AS sambil melaungkan slogan meminta AS dan Israel dihapuskan. Mereka menjadikan isu sebuah filem yang mungkin tidak pernah ditonton untuk menunjuk perasaan. Mereka bagai lupa nasib umat Islam di Palestin, Myanmar dan Thailand yang sentiasa ditindas.

  Moral ceritanya umat Islam mudah sensitif  jika penganut agama lain mencerca mereka secara terbuka. Tapi mereka mudah lupa betapa sesama sendiri bersengketa dan berpuak-puak.   Sejak pasca Perang Salib, tamadun Islam tiada lagi. Umat Islam yang kononnya mempunyai tamadun berabad sudah dipermainkan pihak lain. Banyak negara Islam menjadi bidak catur kuasa asing yang menjadikan fahaman feudal, sosialis, komunis dan kapitalis sebagai fahaman kepartian.

  Akhirnya polemik politik menjadi medan untuk menghina Islam dan hukum Allah itu sendiri. Ada yang mendakwa pejuang Islam tapi secara terbuka merendahkan hudud yang kononnya melahirkan masyarakat  tidak bertamadun, sedangkan syariat Islam memenuhi semua aspek pentadbiran, gerakan siasah, pembentukan akhlak dan tamadun manusia.

  Innocence of Muslims hanya sekelumit cabaran terhadap umat Islam sejagat. Cabaran lebih besar  membentuk jiwa Islam  dalam kalangan ummah sendiri.   Walaupun ada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang kononnya menyatupadukan suara ummah, polemik   di sebalik tabir lebih memeranjatkan. Negara Islam  kaya bagai alpa membantu umat  kebuluran di Somalia dan Sudan.

Mereka juga abai isu Rohingnya walaupun pada masa sama bercakap soal Libya, Syria dan Palestin.
  Lebih lucu ketika Innocence of Muslims diperkatakan, restoran makanan segera dan minuman ringan keluaran Yahudi kekal laris di seluruh dunia.   Yahudi sudah berada di ruang tamu  kita menerusi TV yang menayangkan pelbagai filem dan siaran berita  Barat yang memberi tempat kepada musuh Islam itu. Kita lupa ancaman wujud dalam diri  sendiri! - Berita Harian, 2 Oktober 2012