Pages

Thursday, September 19, 2013

Ancaman ombak tak kenal benteng politik

Pantai Cahaya Bulan sudah hilang seri.
Tiada lagi puisi dan lagu. Hakisan ombak membadai gila.
Pantai yang dulunya tempat kami berpuisi  sudah hilang seri. Tiada lagi pohon kelapa dan ru rendang. Tiada lagi ombak tenang dan jemari kecil membina istana pasir. Keadaan sudah berubah seperti perubahan  nama Pantai Cinta Berahi kepada  Pantai Cahaya Bulan (PCB).

 Hakisan ombak menjadikan tepian pantai ini kelihatan muram.  Bagi pengunjung, PCB sudah kehilangan tarikan. Ombak semakin laju menerjah pantai. Tempat untuk bersantai dan berenang  tiada lagi. Hanya tinggal beberapa gerai makanan laut  yang kehilangan pengunjung. Peniaga mengeluh kerana PCB tidak lagi menjadi destinasi pelancongan  hujung minggu. Dulu pantai ini sering menjadi medan pertemuan seniman Kelantan. Abdulaziz HM dan Grup Teater Malini sering bersantai, membaca puisi dan berlatih teater.

 Beberapa kilometer dari PCB letaknya Kem Kijang yang menjadi tempat bersejarah penganjuran Hari Sastera Nasional dan Hari Puisi Nasional. Nama Moechtar Awang muncul sebagai pemenang kedua Anugerah Puisi Putra menerusi kumpulan puisi Pasrah pada 1980. Karya itu  ada kaitan dengan nasib nelayan dan petani Kelantan yang pasrah dengan terjahan ombak dan monsun yang ganas.

 Kini segalanya sudah berlalu kerana PCB bukan lagi tempat sesuai untuk dikunjungi.  Pada Oktober tahun lalu, lapis lindung batu hanya separas dada  bagi mengelak  ombak kuat  Laut China Selatan. Keadaan berubah  ketika penulis  tiba di PCB pada  2 September  lalu.  Lapis lindung batu semakin tinggi dan hampir melenyapkan pandangan terhadap laut.

Jika ke pantai tanpa melihat alunan ombak, tentu tidak bererti bagi pengunjung.  PCB dan  Pantai Sabak di Kelantan  mengalami hakisan paling serius, diikuti Pantai Tok Bali dan Pantai Irama. Ia membabitkan  jarak pantai sepanjang 53.3 kilometer yang mengalami hakisan teruk. Empat lokasi itu memerlukan tindakan segera bagi mengelak rumah penduduk dan harta awam hanyut ke laut.

 Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri sudah melakukan beberapa usaha, namun Laut China Selatan sentiasa mencabar. Permukaan muka bumi yang berbeza di antara Pantai Timur dan Selat Melaka memerlukan tindakan lebih drastik. Pantai Timur dipenuhi pasir yang memutih dan senang dibawa ombak ke laut. Pantai Barat pula dipenuhi lumpur dan terjahan ombaknya tidak kuat kerana dihadang oleh Sumatera. Perbezaan muka bumi menjadikan Pantai Timur mengalami hakisan ombak yang luar biasa.

 JPS sudah  membina lapis lindung batu di sebahagian pantai PCB  terutama berhampiran muara Sungai Semut Api. Bagaimanapun, Kerajaan Pusat tidak boleh lepas tangan.  Kita yakin kerajaan negeri di bawah pimpinan PAS tidak mampu mengawal hakisan ombak. Masalah kos dan kelengkapan menjadikan usaha menghalang hakisan sentiasa terbantut. Kerajaan Pusat perlu membantu  melaksanakan tanggungjawab demi kebajikan rakyat walaupun di negeri ditadbir pembangkang.

 JPS Kelantan wajar  menyediakan laporan  masalah berkenaan untuk dibawa kepada Kerajaan Persekutuan. Ia antaranya merangkumi panjang kawasan  pantai terbabit serta jumlah peruntukan bagi membaik  pulih.

 Di Bachok umpamanya, hakisan sudah menghampiri  kawasan Masjid Jajahan Bachok, manakala benteng yang  dibina Kerajaan Pusat dengan kos jutaan ringgit roboh  dilanda ombak tahun lalu. Laporan itu penting bagi  membolehkan kerja membaik pulih  dilaksana segera. Kerajaan negeri juga perlu membuat laporan secara rasmi kepada Pusat dan bekerjasama bagi mengatasi masalah.
Ketepikan perbezaan politik kerana ancaman dari Laut China Selatan tidak pernah mengenal makna siasah. Beberapa tahun lalu, ombak menerjah ke pekan Bachok dan menjejaskan aktiviti perniagaan. Masalah ini perlu diatasi. Jadikan politik untuk menunaikan kebajikan kepada rakyat. Bayangkan betapa hibanya perasaan penduduk  Pantai Sabak, Pengkalan Chepa apabila melihat batu nisan keluarga mereka dihanyutkan ke Laut China Selatan.

 Bayangkan juga nasib Kota Bharu pada masa akan datang jika hakisan ombak secara rakus dan berterusan melenyapkan sebahagian bumi Kelantan. Isu alam sekitar bukan cerita takdir atau nasib. Manusia berhak melestarikan alam   bagi memastikan hakisan tidak berlaku. Gelombang yang kuat pada musim tengkujuh akhir tahun ini dijangka mengubah pesisir pantai. Kita tidak mahu  perbezaan politik dan sikap rakus manusia menyebabkan kawasan kunjungan ramai lesap ditelan ombak.
 Tentunya PCB  tidak seperti kira-kira 30 tahun lalu. Peniaga sentiasa mengintai pelanggan yang tidak seberapa ketika angin semakin kencang. Hakisan ombak berterusan dan Laut China Selatan semakin tidak simpatik! - Berita Harian, 17 September 2013

No comments: