Pages

Thursday, September 12, 2013

Siapa lawan Mat Sabu?

Siapa bakal cabar Timbalan Presiden PAS,  Mohamad Sabu atau lebih dikenali Mat Sabu pada  pemilihan parti  November ini?

Sehingga kini hanya nama  Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang kerap disebut layak bertanding jawatan berkenaan berdasarkan statusnya sebagai ulama dalam parti.

  Ada kecenderungan segelintir ahli PAS untuk memilih ulama menjadi regu Datuk Seri  Hadi  Awang untuk sesi 2013 hingga 2015.

Kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat agar ulama dipilih menduduki kerusi kedua dalam parti mendapat reaksi berbeza.

  Kalangan veteran dan ulama menyokong kenyataan berkenaan kerana PAS  dianggap parti yang memperjuangkan Islam. Justeru, ulama wajar mengetuai parti bagi memastikan perjuangan PAS tidak diselewengkan dengan agenda lain.

  Pada pandangan mereka jika sesuatu takdir berlaku terhadap Hadi, pengganti bertaraf  ulama juga bakal meneruskan perjuangan parti. Ia jaminan golongan sekular dan sosialis tidak mencemarkan PAS seperti berlaku terhadap parti lain.

  Bagaimanapun pentadbiran Hadi sejak 2003 penuh berliku. Beliau pernah menjulang nama parti apabila membantu menawan Terengganu selama sepenggal (1999-2004). Hadi juga dianggap pemimpin utama yang membantu menyatukan  pembangkang sebagai alternatif kepada Barisan Nasional (BN) sejak 1998.

  Krisis UMNO dan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Timbalan Presiden UMNO pada 2 September 1998 membuka ruang pergolakan politik tanah air. Hadi bersama Anwar dan veteran DAP, Lim Kit Siang bergabung mewujudkan apa yang dikatakan Pakatan Rakyat bagi menghadapi dominasi politik BN atau sebelumnya Perikatan.

 Bagaimanapun imej Hadi sebagai ulama terjejas kerana PAS gagal menegaskan isu penubuhan negara Islam seperti yang dilaungkan pemimpin terdahulu. PAS hanya melaungkan isu agama dan kalimah Allah untuk pengundi dan penyokong di luar bandar Pantai Timur, tapi bimbang memperjuangkan hukum hudud di depan Pengerusi DAP, Karpal Singh.

  Ada beberapa pemimpin PAS lebih selesa dengan penubuhan negara berkebajikan  bagi menjamin muafakat  pembangkang. Jika Hadi yang dianggap ulama tidak lagi berani menyebut penubuhan negara Islam, apatah lagi pemimpin lain seperti Mat Sabu  dan Khalid Samad yang sentiasa menjadi bualan umum.

 Nik Aziz menyedari situasi genting yang dihadapi PAS sekarang. Memperjuangkan Islam sebahagian landasan PAS sejak dekad 1950 dan ulama perlu meneruskan perjuangan  parti bagi memastikan gerakan PAS kekal di kawasan Melayu di luar bandar terutama di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

 Dengan menyebut ulama wajar menduduki kerusi kedua parti, beliau  seolah-olah memberi isyarat kepada perwakilan PAS agar tidak lagi memilih Mat Sabu. Persoalannya, mampukah Tuan Ibrahim mencabar tokoh yang ada sekarang? Sejauh mana beliau mendapat sokongan daripada  ahli parti yang bukan ulama seperti Khalid, Salahuddin Ayub, Datuk Husam Musa, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Dr Mohd Hatta Ramli?

  PAS kini dalam dilema kerana hala tuju masa depan bergantung kepada perkembangan siasah semasa. Perjuangan agama dan kaum memerlukan pengorbanan tinggi kerana politik Malaysia yang pelbagai bangsa dan kepercayaan sering mempengaruhi pola pengundian setiap kali pilihan raya umum. 

  Memilih tokoh yang dikatakan ulama bukan jaminan PAS kekal relevan kerana situasi politik   menuntut tokoh yang mampu memberi pandangan dan membentuk pandangan umum.

  Tokoh seperti Khalid, Salahuddin, Husam, Mohammad Nizar  dan Dr Mohd Hatta menepati keperluan politik nasional yang memerlukan golongan profesional dan intelektual.

  Bagaimanapun pengaruh PAS di luar bandar perlu diambil kira dan imej ulama kekal berperanan membantu PAS  memenangi banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sejak 1950-an.
Jika bukan Tuan Ibrahim, siapa lagi yang mampu cabar Mat Sabu bagi menggantikan Hadi yang sudah 10 tahun memimpin parti?

 Tokoh PAS yang disebut sebagai pencabar jawatan Timbalan Presiden sehingga kini masih belum memberi isyarat jelas, namun Mat Sabu  sudah bertegas untuk mempertahankan jawatan berkenaan. - Berita Harian, 12 September 2013 

No comments: