Pages

Tuesday, September 10, 2013

Raden Galo relevan isu semasa

Gerimis Ahad lalu bukan halangan untuk menonton teater Raden Galo di Dewan Sri Budiman, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam. Ternyata  berbaloi kerana pementasan hampir 120 minit  mengingatkan penulis kepada naskhah Hikayat Panji Semirang -  klasik Melayu  yang  menjadi  sumber penting pengkajian bahasa Melayu dan struktur sosial nusantara terutama citra Jawa pada era feudal.

  Hikayat Panji Semirang mengisahkan perihal ketabahan seorang puteri raja yang tidak mendapat perhatian bapanya. Baginda  bertekad meninggalkan istana,  menyamar sebagai  lelaki serta  menghadapi pelbagai rintangan sebelum  bertemu semula dengan keluarganya.

  Penulis pernah  teruja dengan filem klasik  Panji Semerang terbitan 1961 lakonan Seniwati Saadiah dan Aziz Jaafar. Kita yakin teater  Raden Galo adalah  adaptasi  filem Panji Semerang dengan pelbagai improvisasi bagi menyesuaikan dengan suasana pementasan pada malam berkenaan.

  Tahniah Mazlan Tahir kerana berjaya membawa naskhah klasik sebagai projek Diploma Showcase yang dijayakan pelajar Diploma Pengurusan Seni dan Diploma Teater semester 5, Fakulti Filem, Teater & Animasi UiTM. Melalui program ini, semua pelajar akan dinilai oleh pensyarah masing-masing.

  Kesungguhan mereka beraksi hampir melupakan kita pelakon yang berada di pentas adalah pelajar – amatur  yang masih jauh perjalanan seninya. UiTM berjaya menyemai jiwa profesional dalam kalangan pelajar dan pensyarah untuk mengangkat karya besar Melayu dengan dana dan kemudahan terbatas.

  Selama hampir dua jam Raden Galo membawa penonton bukan saja ke zaman lampau, malah memikirkan apa yang sedang berlaku dan mungkin terus berlegar dalam kehidupan manusia.
 
Isu sosial seperti perebutan kuasa, nafsu serakah, kecurangan hubungan suami isteri dan perbuatan sihir – sebahagian daripada mesej yang masih relevan dengan masa kini. Kes pembunuhan dan percubaan menyalahgunakan kuasa menjadikan Raden Galo sebagai karya menarik untuk dinilai.

  Lakonan pelajarnya boleh dianggap mantap dan setanding dengan beberapa artis yang sedang mencipta nama. Rekaan artistik, set, props, kostum, tatarias, kesan bunyi  dan pencahayaan berjaya menghidupkan Raden Galo. Sayangnya saiz pentas yang agak sederhana mengehadkan pergerakan pelakon, bagaimanapun tidak mencacatkan usaha  membuka peluang  kepada pelajar untuk menjayakan pementasan berkualiti.  

  Kemudahan sistem bunyi juga  perlu dipertingkatkan jika UiTM merancang untuk menjadikan Fakulti Filem, Teater dan Animasi sebagai pusat pengajian berdaya saing,  jika berusaha menyediakan artis ala Broadway.

  Memang tidak adil mengharapkan kesempurnaan 100 peratus dalam sesebuah pementasan. Karya teater sentiasa berkait dengan emosi pengarah dan pelakonnya. Proses nilai tambah sentiasa berlaku dan kita yakin Raden  Galo sebahagian daripada upaya yang dimiliki generasi  muda kita.

  Pengalaman berteater di Malaysia tidak banyak berbanding Indonesia dan Thailand. Jangan bandingkan kita dengan Britain, Jepun, India dan China yang sudah dewasa tamadun mereka. Tidak ramai pelajar diasuh berteater sejak kecil.  Jika di Jakarta pengajaran teater diasuh secara terancang di sekolah dasar (rendah), kita hanya menjadikan pementasan sebagai sebahagian daripada kegiatan kokurikulum di sekolah menengah dan rendah.

  Kita jarang memanfaatkan teater tradisional yang sudah lama membudaya masyarakat Melayu. Tradisi bagih, wayang kulit, makyung, menora, main puteri dan tok selampit sepatutnya dimanfaatkan.

  Kita yakin Raden Galo bukan sekadar pementasan sebagai syarat   untuk mendapatkan diploma, bahkan sebagai upaya untuk menilai perasaan bersama dalam kalangan generasi muda.
 
Kegiatan teater memerlukan persiapan rapi. Dana, pengurusan pentas, skrip, pengarah, pelakon dan pelbagai kepakaran bagi menjayakan pementasan. Ia memupuk nilai bersama, semangat bekerja dalam pasukan serta menghayati watak yang bukan milik peribadi masing-masing.

  Ketika Malaysia semakin jauh daripada menghayati tradisi seni dan intelektual bangsa, kita yakin pementasan di Dewan Seri Budiman selama empat malam berjaya memupuk generasi muda dalam kegiatan kesenian.

  Kita harap berteater bukan sekadar untuk mendapatkan diploma bahkan berusaha menjadikan kesenian sebagai wahana memupuk jiwa murni dan insan berdaya saing pada masa hadapan.
  Raden Galo tentunya memerlukan penerusan lebih baik lagi selepas ini. - Berita Harian, 10 September 2013 

No comments: