Pages

Tuesday, February 12, 2013

Hidupkan semula wacana di Sudut Penulis

Sudut Penulis di Menara DBP: Canggih tapi sepi.
Pertemuan di sebuah pusat beli-belah mengundang Dr Hanafi Ibrahim bertanya: “Kenapa tak datangDewan (Dewan Bahasa dan Pustaka - DBP) lagi?”
Soalan hampir sama disuarakan Datuk Jaafar Abdul Rahim ketika kami bersarapan di sebuah pusat perubatan: “DBP perlu hidupkan semula ‘Sudut Penulis.’ Ramai penulis merindui ruang untuk berwacana.”

Kami mengenang kisah lama ketika era ‘Sudut Penulis’ memeriahkan acara seni dan budaya di bangunan lama DBP.

Sejak dekad 1960-an, ‘Sudut Penulis’ selain ‘Rumah Anak Alam’ adalah medan percambahan idea di kalangan penulis muda dan berwibawa. Ketika itu secara santai acara seni dan dialog budaya  diadakan pada setiap malam minggu atau petang Sabtu.

Di situlah ruang Usman Awang, Keris Mas, A Samad Said, Baha Zain, Kemala  dan Arenawati berbincang, menyapa dan menegur karya penulis muda.

Pada dekad 1970-an dan 1980-an, sebahagian besar sasterawan terbilang tanah air bertugas di DBP. Nama Johan Jaaffar, Dinsman, Jaafar HS, Suhaimi Muhammad, Anwar Ridhwan, Sutung Umar RS, Wan Yusuf Hassan, Salmiah Ismail, Ahmad Razali dan Zakaria Arifin. Mereka mendominasi karya pelbagai genre dan menunjukkan kemampuan berkarya yang luar biasa.

Dari ‘Sudut Penulis’ kami mula mengenal bakat Sabri Yunus, Imuda dan Abon sebagai pelakon teater DBP, sebelum melangkah sebagai pelawak dan pelakon tanah air.

Kami mula mengenal sastera dan kritikan di ‘Sudut Penulis.’ Dr Anuar Nor Arai pernah membingitkan dewan apabila mempertikai sarjana yang bertugas di DBP tidak buat kerja, selain menyusun kertas kerja pensyarah untuk dibukukan dan sekadar berbangga sebagai penyelenggara karya.

Kami mengenal suara tajam Suhaimi Muhammad di ‘Sudut Penulis’ kerana mengkritik sajak yang mudah difahami  sebagai ‘sajak tahi.’

Ketika itu mendorong kami membuka buku kajian sastera untuk mengenal semiotik dan falsafah kesenian apabila Abdullah Tahir membicarakan novel Hujan Pagi karya A Samad Said sebagai realis magis yang banyak dihayati sasterawan Amerika Latin dan Afrika sejak dekad 1960-an.

Kewujudan ‘Sudut Penulis’ amat penting bagi mematangkan karya penulis muda. Kami mengenal sasterawan berwibawa melalui pertukaran idea dan perbincangan di ‘Sudut Penulis.’

Malangnya, ‘Sudut Penulis’ yang ada di bangunan baru sekarang berlainan sekali roh dan semangatnya untuk membantu penulis muda. Sudut Penulis yang asal banyak mendidik kami menjadi sasterawan cekal walaupun ganjaran hasil seni tidak seberapa.

Keadaan berubah pada dekad 1990-an apabila sebahagian generasi sastera meninggalkan DBP, sama ada bersara atau menceburi bidang lain.

Keadaan lebih berubah apabila DBP beroperasi di bangunan baru dengan sebahagian besar kakitangannya bukan kalangan sasterawan dan pejuang bahasa. Semangat dan jiwa ‘Sudut Penulis’ di bangunan lama menjadi lebur walaupun sebuah ruang baru yang lebih  selesa, cantik dan kreatif dibina untuk sasterawan beraktiviti.

Kononnya ‘Sudut Penulis’ di bangunan baru dikhaskan sebagai pusat pertemuan dan interaksi bagi golongan penulis menjalankan aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan.

 DBP mendakwa  penyediaan ruang ini dapat membantu merangsang daya kreativiti penulis untuk melahirkan hasil kerja yang lebih prolifik, kreatif dan produktif. Ini amat penting kerana persekitaran yang kondusif amat diperlukan dalam berkarya.

Bersesuaian dengan matlamat berkenaan, sebuah ruang di Blok Podium, Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) dipilih bagi menempatkan ‘Sudut Penulis’ yang baru. Ruang ini kononnya dilengkapi dengan kemudahan asas seperti komputer, kemudahan akses internet tanpa wayar (wi-fi), meja perbincangan, set sofa dan kafe. Semua kemudahan ini disediakan sebagai kemudahan untuk menggalakkan penulis berkarya dan menjalankan penyelidikan khususnya di DBP. 

Bagaimanapun, sehingga kini kita tidak pasti sejauh mana ‘Sudut Penulis’ versi baru memenuhi keperluan penulis. Berapa banyak acara seni dianjurkan? Berapa ramai sasterawan menghadiri majlis di ‘Sudut Penulis’ itu?

Lebih malang, berapa ramai sasterawan menjenguk Menara DBP sekarang. Kita mengharapkan Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan, bertindak aktif bagi menyuburkan semula kegiatan sastera. Jika dulu teater, baca puisi, forum seni dan dialog sastera kerap diadakan secara berkala dan berselang-seli, kini semakin jarang. Dr Awang walaupun bukan orang seni tapi mempunyai kecenderungan untuk berseni dan mampu menghidupkan era yang ditinggalkan Datuk Hassan Ahmad.

Di samping menjayakan projek audit bahasa yang kini mendapat perhatian Kerajaan, ‘Sudut Penulis’ perlu diberi nafas dan membuka pintu seluas-luasnya kepada sasterawan untuk kembali ke DBP.
Pegawai DBP yang tak kenal sasterawan pula perlu belajar mengenal karyawan seni yang semakin selesa berkumpul di Rumah PENA dan GAPENA sekarang. - Berita Harian, 12 Februari 2013

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Reaksi Mohamad Shahidan, DBP








Kelab Penulis DBP Pemangkin Sastera di Menara DBP

Oleh Mohamad Shahidan



Tulisan Imlan Adabi dengan judul “Sudut Penulis Perlu Bernafas di Menara DBP” dalam Berita Harian, 12 Februari 2013 merupakan harapan seorang penyair yang berada di luar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kepada Ketua Pengarah DBP, Dr. Awang Sariyan agar menyuburkan kegiatan sastera di DBP dengan lebih aktif lagi. Harapannya bertolak daripada imbauannya terhadap DBP pada dekad 1960-an, 1970-an dan 1980-an yang rancak dengan kegiatan sastera dan mengalami kesuramannya apabila berpindah ke bangunan baharu.

Harapan Imlan Adabi sebenarnya mewakili harapan banyak penulis kreatif imaginatif dan pengkritik sastera tanah air. Di samping DBP kembali menjadi pusat pertemuan para penulis untuk berkongsi idea, mengkritik karya-karya penulis dan menjalankan aktiviti sastera, mereka berharap DBP juga mempunyai tokoh-tokoh sastera sehebat Anwar Ridhwan, Kemala, Johan Jaafar, Zakaria Ariffin, Dinsman, Suhaimi Haji Muhammad, Ahmad Razali Haji Yussof dan banyak lagi. Dengan adanya tokoh-tokoh seperti ini, maka menjadi daya penarik kepada para penulis untuk berkunjung ke DBP.

Dr. Awang Sariyan menyedari harapan para penulis yang berada di luar DBP dan mencuba memenuhinya. Satu daripada usaha yang dilakukannya adalah dengan menubuhkan Kelab Penulis DBP. Kelab ini mempunyai dua matlamat yang jelas. Pertama, berusaha untuk memunculkan penulis daripada kalangan warga DBP – daripada tenaga teras utama DBP hinggalah kepada pembantu am rendah. Kedua, kelab ini menjalinkan kerjasama dengan para penulis dan persatuan penulis untuk menyuburkan dunia sastera tanah air di DBP.

Matlamat pertama ternyata lebih sukar daripada matlamat kedua. Penulis tidak dapat dilahirkan dalam masa sehari. Banyak faktor yang mendorong kelahiran seseorang penulis. Galakan untuk warga DBP menulis dalam genre yang mereka minati hanyalah satu daripada faktor yang banyak itu.

Galakan untuk melahirkan dan membanyakkan penulis daripada warga DBP sedang diusahakan oleh Kelab Penulis DBP. Dalam jangka masa yang singkat, beberapa wacana sastera secara dalaman, kursus penulisan mengikut genre, peraduan menulis dan kegiatan sastera sedang dilaksanakan di DBP. Tujuannya adalah untuk menghidupkan suasana penulisan dan kegiatan sastera dalam kalangan ahli Kelab Penulis.

Untuk jangka panjang, kursus dan latihan yang lebih sistematik sedang dirancang oleh Kelab Penulis DBP. Kursus dan latihan ini adalah untuk melahirkan bakal penulis kepada penulis. Menguasai disiplin ilmu dengan lebih mantap lagi dan menguasai bahasa Melayu sebagai alat menyampaikan ilmu tersebut atau retorik penulisan merupakan usaha yang berada dalam perancangan kelab penulis.

Matlamat yang kedua, iaitu menjalinkan kerjasama dengan individu dan persatuan penulis telah pun dan akan dilaksanakan oleh Kelab Penulis DBP. Sejumlah tokoh yang berwibawa dalam teras utama DBP: Bahasa, sastera dan penerbitan serta disiplin ilmu yang lain telah pun dan akan diadakan secara berterusan setiap bulan di Sanggar Tun Sri Lanang. Kerjasama dengan persatuan penulis juga telah dimulakan dengan PENA. Bicara tokoh – dua bulan sekali - merupakan kerjasama yang pertama antara Kelab Penulis DBP dengan PENA. Enam orang tokoh sastera telah dikenal pasti untuk dibicarakan karya mereka di Sanggar Tun Sri Lanang, bermula pada Februari, April , Jun, Ogos, Oktober dan Disember tahun 2013 ini. Sementara kegiatan baca puisi, anjuran bersama PENA, Kelab Penulis DBP dan ITBM telah pun diadakan sebanyak dua kali.

Kelab Penulis DBP senantiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana persatuan penulis untuk menyuburkan kegiatan bahasa, sastera dan penerbitan yang menjadi terus utama DBP. Dengan kerjasama inilah antaranya, maka Sanggar Tun Sri Lanang yang difikirkan lebih sesuai dari sudut penulis dapat memberikan nafas kepada Menara DBP.

2 comments:

Anonymous said...

di para 5 tuan menulis salmiah hassan, tapi saya kuat mengesyaki zurinah hassan. mungkin tuan tersilap taip.

kalau saya tak silap anak alam terletak kat padang merbok. saya pernah kesana. rupa2nya kita tak perlukan tiket sebagai wartawan atau sasterawan untuk berada ditempat yang serasi dengan kita.

berbanding sebelumnya, saya lebih teruja membaca catatan tuan kali ini. nampaknya kali ini tuan tidak menyalak semata2 untuk menggembirakan hati sang penggembala di kandang.

imlan adabi said...

terima kasih kerana membaca tulisan saya. Saya silap menulis salmiah hassan, sepatutnya Salmiah Ismail.