Pages

Tuesday, February 19, 2013

Kita jarang bersahabat dengan buku

Tidak banyak kedai buku yang selesa.  Ia lazimnya sesak, padat, panas dan berhabuk. Timbunan buku pada rak pula sekadar tidak jatuh ke lantai. Tiada ruang untuk membuat rujukan, apatah lagi petugas kaunter  lebih lunak bersembang sesama sendiri daripada melayan bakal pelanggan. Ada juga yang melayan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada menyapa pelanggan.

  Keadaan ini jauh berbeza dengan negara Barat di mana kedai bukunya menjadi ruang untuk membaca, menyemak, berbincang atau tempat perbincangan mengenai karya terbaru dan wadah pertemuan penulis dan penerbit sambil menghirup kopi.

  Dari era Pustaka Antara dan Toko Buku Abas Bandung pada dekad 1970-an hingga kini, banyak kedai buku sekadar menjual dan mengharapkan ada pembeli yang datang. Tiada usaha menjadikan kedai buku sebagai ruang rehat dan bersantai minda.

  Penulis hanya selesa berada di sebuah kedai buku di Alamanda, Putrajaya kerana ruangnya  luas, kemas dan mudah mengesan topik dikehendaki. Sofa juga disediakan untuk kita bersantai menikmati buku baru. Tiada teguran petugas kedai jika kita lama membelek halaman buku. Di sesetengah kedai, ada petugas yang menjeritkan pelanggan: ‘Buku perlu dibeli, bukan baca percuma!’

  Minat rakyat Malaysia terhadap buku semakin meningkat. Mereka membaca purata lapan hingga 12 buah buku setahun berbanding hanya dua  buku  lima tahun lalu.

  Statistik juga menunjukkan 3.8 juta orang berkunjung ke perpustakaan di seluruh negara pada 2008 berbanding 2.1 juta pada 2007. Pengunjung turut bertambah sepanjang 2012. Jumlah pinjaman buku di perpustakaan seluruh negara juga meningkat kepada 19.5 juta pada 2008 berbanding 12.6 juta pada 2007. Ini bukti budaya membaca semakin meluas, walaupun masih misteri buku genre apakah yang  menjadi bacaan umum.

 Jumlah penjualan buku juga menunjukkan peningkatan. Jualan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2009 mencatatkan RM27 juta berbanding RM22 juta pada 2008. Angka terus meningkat RM29 juta pada 2012.

  Kita wajar berbangga kerana usaha meningkatkan pembacaan awam semakin berhasil. Perpustakaan Negara dan daerah turut menyemarakkan minat membaca. Setiap tahun tidak kurang 8,000 program membaca dianjurkan dengan jumlah penyertaan semakin meningkat.

  Nilai jualan buku yang mencecah RM2.1 bilion sejak 2009 menunjukkan kemajuan industri berkenaan.  Ia membuktikan industri buku menjadi antara bidang  paling ketara kemajuannya di Malaysia sejak empat tahun lalu.

  Perpustakaan Negara pula merekodkan kanak-kanak berusia sekitar 10 tahun semakin minat membaca berbanding rakan seusia yang terdahulu. Mereka membaca di antara lapan hingga 12 buku setahun.

 Bagi peringkat usia 10 tahun hingga 40 tahun pula, rata-ratanya membaca lapan buku setahun, manakala yang berusia 41 tahun ke atas, sekurang-kurangnya enam buku dibaca setahun.
Kedai buku bagai stor

  Malangnya suasana di kedai buku tidak banyak berubah. Suasana kedai bagai stor barang binaan boleh merencatkan minat membaca generasi muda.

Budaya membaca belum pernah wujud di Malaysia. Ramai kalangan kita membaca untuk lulus peperiksaan, atau membaca untuk menilai sesuatu kejadian berdasarkan bidang tugas masing-masing.

  Kita belum pernah mendengar orang membaca semata-mata menjadikan buku sebagai keperluan hidup.

  Klise budaya membaca perlu dijadikan asas bagi pembentukan negara maju menjelang 2020. Warga Jepun membaca paling kurang 45 buku setahun dan purata rakyat Jerman membaca 30 buku bagi tempoh 12 bulan. Kita masih rendah kadar pembacaan kerana buku masih belum membudaya kehidupan di Malaysia.

  Banyak ruang tamu yang kita singgah memperagakan perabot mewah dan set teater yang canggih. Ruang perpustakaan, jika ada pun, hanya di bahagian terpencil rumah yang jarang dilihat oleh anak pemiliknya sendiri. Buku hampir tidak perlu berada di ruang tamu berbeza dengan masyarakat Barat yang mengutamakan bacaan daripada keperluan lain.

  Kita wajar mencontohi budaya membaca Datuk Seri Michelle Yeoh yang boleh menghabiskan bacaan sesebuah buku dalam masa tiga hari. Pelakon James Bond bersama Pierce Brosnan dalam filem Tomorrow Never Dies (1997) itu mengakui membaca pelbagai genre bagi melengkapkan dirinya sebagai artis antarabangsa.

  Ketika membawakan watak ikon pembangkang Myanmar, Aung San Suu Kyi dalam filem The Lady, Yeoh merujuk lebih 50 bahan bacaan termasuk biografi, The Perfect Hostage: A Life of Aung San Suu Kyi. Beliau juga menggemari buku Memoirs Of Geisha, selain menjadikan The Times, Newsweek dan National Geographic sebagai rutin harian sejak 30 tahun lalu.
 
Soalnya, bilakah rakyat Malaysia bakal menikmati suasana santai di kedai buku? - Berita Harian, 19 Februari 2013

4 comments:

Ratinawati said...

Semuanya terletak pada mentaliti usahawan di Malaysia. Kebanyakan pengusaha kedai buku lebih mengutamakan untung. Mereka hanya memiliki semangat untuk memajukan perniagaan buku tetapi bukan memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat. Jika ada pun usahawan yang mempunyai idea untuk mewujudkan suasana selesa mungkin sedikit saja bilangannya. Apa yang pasti kekangan utama seringkali dikaitkan dengan modal.

Ratinawati said...

Apa yang pasti tidak ramai usahawan berminat untuk mewujudkan satu sudut selesa untuk kegunaan pengunjung ke kedai buku mereka. Kekangan utama modal dan kurang semangat untuk menanam budaya membaca dalam masyarakat. Mungkin terlalu takut mereka akan menanggung kerugian...

imlan adabi said...

masalah kita: masih minda dunia ketiga. Buku bukan teman utama. kalangan wartawan pun boleh dilihat buku bagaimana yang dibaca?

Anonymous said...

salam tuan. jumpa lagi kita.

di malaysia kalau tuan menumpang 100 pengangkutan awam, amat sukar untuk tuan berjumpa hanya seorang sahaja penumpang sedang asyik membaca. tapi apa yang pasti tuan bakal nampak ialah : ada manusia akan sibuk dengan gajet di tangan, atau tidur, atau pun berbual2 kosong. itu semua adalah pemandangan lazim tetapi itulah realitinya.

nampaknya setakat ini amalan membaca belum lagi menjadi budaya yang berakar umbi di tanah air kita. mungkin kebanyakan di kalangan kita terutamanya penuntut, hanya membaca untuk lulus periksa.

jadi statistik yg dihujahkan itu sedikit meragukan saya.