Pages

Tuesday, July 01, 2014

Himpunan sajak IMLAN ADABI


 (Hak cipta terpelihara)
hidup bukan milik kita

percuma saja kau menanti mindok sang puteri
lantaran kalendar mengubah musim untuk suatu keasingan
sesia saja kau menunggu rama dan sita  
kerana serunai kehilangan irama
seperti juga dalang kehilangan kelir


makyung bukan milik kita lagi
seperti juga hidup bukan kita menentukan


bangsal itu tidak bercerita lagi
selepas gong dan gendang
dibungkus disimpan
sang juara tidak lagi
mengalunkan suara
atau mencipta karut 
kerana irama  
sudah menjadi sejarah
untuk hayat sendiri
bangsal itu tidak bercerita lagi
tentang kemungkinan dan harapan
kerana gong dan gendang
sudah menghitung derita
tukang karut
yang merenung bukit
ketika purnama


serunai dan kertok
hanya saksi bisu
sebuah perwayangan
yang belum selesai
 

misteri atau jenaka
selepas berbulan
pesawat yang hilang itu
kekal hilang
si badut pun merumuskan
ia berakhir di lautan hindi

misi menyelamat diteruskan
selepas berhari
wartawan dan media
melapor dan meramal
orang pun semakin tahu
misteri rupanya sebuah jenaka
yang tidak berkesudahan

   kata-kata bukan dosa
kata-kata bukan dosa
justeru anak-anak kami
harus dibiarkan bersuara
harus dibenarkan
menyatakan yang putih adalah putih
bukan sebaliknya
anak-anak kami perlukan peluang
menjadi manusia
bukan haiwan ternakan
suara kami seharusnya bukan dosa
kerana hak asasi kami
adalah kata-kata
bukan dosa


persetankan akta
yang kamu sediakan untuk kami
kerana harga paling tinggi
dalam kehidupan
kewarasan minda
menyatakan apa yang perlu
kami katakan

sandiwara siasah
kau bisa berkata apa saja
tentang angka atau geraf
pencapaian ekonomi
pelan pembangunan
dasar pelaburan
cukai barangan dan perkhidmatan
bantuan rakyat
subsidi perniagaan
atau paling tidak kau ke luar negara
menjana diplomasi
paling tidak wajahmu di media perdana
bersalaman dan bersalaman
ucapan dan ucapan
slogan dan slogan
tepukan dan tepukan
sehingga kau lupakan
kemakmuran ekonomi tidak bererti
jika masih ramai yang tinggal
di lorong belakang pencakar awan
masih ramai yang dahagakan peluang
membina peribadi sebagai manusia
bukan subsidi yang mengajar kami buta hati
bukan pencapaian jika harga barang  meninggi
kami mahukan hak asasi
tanpa diskriminasi
kami mahukan rumah
bukan sandiwara 
kami mahukan tanah
untuk anak kami membina kehidupan
kami mahukan peluang
untuk anak kami berjaya
seperti anak kamu
yang membina masa depan
kami mahukan pengertian
undi yang kami berikan
adalah hak kami
untuk kita wariskan bersama

tidak mungkin kutangguhkan pertemuan
tidak mungkin kutangguhkan pertemuan
kerana langkah ini menjadi titik
pada garisan yang satu
kita sentiasa ke depan
justeru di belakang masa lalu yang mengejek
di depan kemungkinan dan harapan
tidak mungkin kita kembali ke dalam diri
tanpa menikmati makna pertemuan
tidak mungkin kutangguhkan pertemuan
kerana pertanyaan menjadi jawapan
untuk setiap persoalan
kita tidak bisa memangsakan diri
menyediakan jawapan tanpa persoalan


memang banyak liku di sini
 memang banyak liku di sini
lorong dan jalan yang kukenal
seakan tidak kukenali lagi
lopak dan lubang yang menjerumuskan
seakan menghukum kealpaan

tiada maaf  untuk kesilapan
kerana kesilapan dianggap kesalahan
kesalahan sebahagian daripada rutin
kau harus tahu
memang banyak liku di sini
dan kakimu akan terjerumus
untuk akhirnya menerima hakikat
kesilapan menjadi kesalahan buatmu
memang banyak liku di sini
kerana kehidupan
adalah jalanan yang melukakan
sisanya terpercik ke jantung kita
tanpa amaran laluan ini
sentiasa menduga

apakah 50-an sekadar angka
salakan di luar jendela
di antara bukit dan bendang
sepasang arnab menyelak belukar
bagai tahun-tahun kembara
yang singgah di pedalaman peribadi
ketika kau menutup gelanggang
untuk persilatan di luar musim


hujan yang tak jadi turun
bagai rengekan kuda liar
dari lereng kinabalu
angin yang tak jadi luruh
bagai tangisan puteri santubong
yang kukumpul dalam lagu
ketika puisi semakin bertanya
apakah 50-an sekadar angka
untuk kita dekat ke sana?

  puisi yang tertinggal di jalanan
petikan gitar mengembalikan
remajaku penuh curiga
kusebut namamu
ketika petang tak jadi hujan
kemarau mengembalikan
puisi yang tertinggal di jalanan


kekasih, pesta apakah
yang membiarkan merpati
kehilangan sayap
atau sampan kecil itu
kehilangan pantai
untuk selamanya?

bukan sekadar dendangan

seruling dan gendang
yang kaumainkan senja itu
bukan sekadar dendangan
seruling dan gendang
yang kautitipkan malam itu
adalah hayat kita
yang dikumpul
dari tahun kembara
ke musim penuh misteri


bukan sekadar rama dan sita
yang kautemukan di kelir itu
kerana bangsal semakin kusam
ketika mantera dan syair
kehilangan bait
seorang lelaki
termanggu di batas bendang
meraba diri
yang bukan tempat asalnya lagi
bukan sekadar dendangan
kerana kau sudah persiapkan
malam tanpa bulan tanpa bintang
di sebalik bukit
debar sepasang kijang
semakin kencang
mencari jalan pulang

  Dia berserah kepada nasib
dia berserah kepada nasib
yang menentukan kehadiran
seperti angin menerbangkan daun
ke debar kota penuh asyik
dia berserah kepada dirinya
jejak yang menentukan kembara
atau dia tidak perlu putus asa
langkah yang dilalui
sekadar masa dan ruang
selebihnya kekal misteri


memang dia tidak pasti
siapa dirinya sendiri
kerana  esok pasti datang
tanpa sempat bertanya
ke arah mana langkahnya
    
perempuan tua di lorong itu
perempuan tua di lorong itu
hanya kenal sisa
selebihnya deru enjin
salakan anjing
dan malam
membawa kelam ke dadamu


dia tidak pernah kenal erti kemanusiaan
memadai lorong belakang
dan tinggalan lampau
sejarah yang tersasar
di pedalaman jiwanya
dia tahu lorong ini bukan miliknya
dia harus belajar menerima
keadaan seadanya
atau nasib yang menasibkan dirinya
kerana dengan pasti
esok dia bakal berangkat
ke padang yang jauh dari kesibukan
yang mengganggu mimpinya


perempuan tua di lorong itu
tidak pernah peduli
namanya yang sering tertinggal
dalam rangka pembangunan nasional
kerana semalam atau esok
tidak lebih tapak sepatu
derap pejalan kaki
sisanya menjadi hayat kembara

tidak mungkin aku musuhi kamu
tidak mungkin aku musuhi kamu
kota yang dewasa bersama usia
kota yang memberi cinta teruja
kota yang merakam tempo kembara
lelah atau pasrah, duga atau geram
kota ini bukan musuh
kerana kamu menyediakan bahasa
kerana kamu menyediakan budaya
kerana kamu mengadu nasib
yang diaturkan kepada kami
dengan cara kamu
dan kami menerima minda kamu


tidak mungkin aku musuhi kamu
kota yang tidak pernah tidur
kota yang jarang  jujur
kerana di sini aku harus belajar
menafsir hidup dengan kemungkinan
dan kepelbagaian
kerana di sini kita menemui
jalan yang tidak semestinya lurus
seperti juga hidup
yang tidak mudah kita janjikan
tidak mungkin aku musuhi kamu
kerana kamu sebahagian daripada aku
kerana kamu menjadikan aku lebih yakin
percaya pada watak
atau membiarkan masa berlalu
di sebalik puncak KL
atau resah bersama hotel bajet
di lorong belakang chow kit


tidak mungkin aku musuhi kamu
kerana kamu adalah aku
kerana kamu adalah kami

hujan yang turun siang ini
hujan yang turun siang ini
menyimpan rahmat dari awan
juga amaran dari Tuhan
hujan tidak pernah jemu menafsir
langkah yang kita lalui
denai dan sawah
bukit yang menerbangkan daun
atau kita sesekali kembali
ke daerah kenang
melihat jejak
yang ditinggalkan di batas bendang
hari ini hujan adalah catatan
yang lama kita tinggalkan
ketika gerimis menjadi garang
membiarkan senja
merangka kemungkinan dan harapan
mungkinkah malam ini
berwajah manis
ketika al-Fatihah dilafazkan

surat dari desa
anak kecil itu
berlari di batas bendang
memburu keciap
menuba haruan

ia tidak pernah mengeluh
pada matahari yang tua di balik bukit
atau menjadi silu
pada hujan dan awan
tak pernah juga ia berduka
meski ayahnya orang  kecil
yang setiap lima tahun dipaksa
memilih wakil
mewakili desanya

ia masih leka di batas bendang
antara sempilai dan haruan
kerana ia tidak terfikir
untuk bertanya
apakah nasib anak tani
dulu, kini dan selamanya
tetap sama
untuk esoknya


ketika remaja
ia masih berdiri di pinggir sawah
mengintai perubahan musim
ketika lima tahun silih berganti
ia masih leka di batas bendang
kerana kehidupan
memaksa berada di dalam lingkaran sendiri

 
sahabatku amerika
sahabatku amerika  
antara mimpi ngeri george w bush
dan igau tony blair
siapakah peniup trumpet  perang paling nyaring
jika kebenaran sekadar senjata propaganda
cnn, cnbc, bloomberg, bbc, afp, ap dan reuters
tanpa kau sedar wtc ranap
resah pentagon 11 september 2001
hanya perasmian perseteruan sejagat
yang tidak bisa dimaafkan lagi
kau tetap sahabat
kau kecelakaan itu


  Tragedi
(kematian umno 1946)
"maaf, maafku telah tumbuh untukmu
 jendela yang kubuka kututup kembali
 kembang yang kususun kuramas pula
 kartu pos yang kutulis kucakar kini
 karcisku untukmu
 menjadi debu menggaring angin"

 "maaf, aku bukannya pendeta
 yang jatuh di lutut sejarah
 tikar yang kau hampar telah kugulung
 kemenyan yang kau bakar telah kuhembus
 cerana yang kau susun telah kuselerak
 santapan yang kau hidang telah ku tinggal"


 "maaf,
 akulah lelaki itu
 semakin kenal erti perseteruan"
 
 sketsa diktator
menggenggam tenang di dasar malam
melepas ribut meniduri bintang
kata-kata menjadi kaca
menusuk jiwa
melukakan segalanya
tiap yang putih menjadi hitam
tiap yang hitam menjadi akrab
tiap yang akrab menjadi nanah
membunuh peradaban
tentang esok yang belum pasti


ini malam hangatnya lidahmu
menjilat api
dan kau makin leka
menyambar nasib kami

mainan demokrasi

atas nama demokrasi
tuan menjerat seribu merpati
menghiasinya
di sangkar besi
tuan pun bilang;
inilah kebebasan
bebas pada batasnya

atas nama demokrasi
tuan mencipta kakak tua
agar bisa berkata;
inilah kehidupan
bersemarak dengan nyanyian
lalu malam pun tidak malam
siang pun tidak siang 
kerana permainan ini
serunya terlalu panjang

  Tun Salleh Abas
atas nama kebenaran
ia menjadi lilin
hangus sebelum musim
tujuh langit menunduk lesu
menatap keadilan
kian gerhana
hari ini putihnya menjadi kelam
kerana tuhan menguji imannya
namun seabad nanti
sejarah berkata sendiri
bahawa kebenaran
musuh diktator


 
Seperti pasir pantai itu
Kalendar sudah berubah
seperti pasir pantai itu
setia dengan mainan angin


tahun baru akan singgah
menidurkan peribadi
di luar jendela
siapakah yang bakal menggugah
ketika hidup perlu diteruskan
esok mungkin suatu perwayangan
dan kita lagi manis menyebut namu-Mu
di hujung hayat

hanya tali gantung jadi saksi

hanya tali gantung jadi saksi
betapa murahnya kehidupan
seperti sifir bush dan blair
hanya tali gantung yang bercerita
betapa nyawa murah terlalu
kerana globalisasi
formula fikiran fakir
white house dan downing street


hidup yang pandir
memusuhi arus perdana
hanya tali gantung jadi saksi
hidup ini harus cerdik
tidak menentang arus
lalu menatang
penakluk alaf baru


hanya tali gantung
yang tinggal
ketika roh saddam
terlantar di youtube
nyawa murah terlalu
kerana globalisasi
kewarasan di hujung jari

  aku dah jemu cerita kamu
aku dah jemu cerita kamu
tentang kelambu dan cadar basah
tentang moral dan serakah politik
paling penting anak harus membesar
mendewasa dengan akal
bukan budak suruhan
agenda siasah kamu
aku dah jemu cerita kamu
tentang kelamin  luar tabii
justeru yang paling penting
bagaimana kamu memperguna kuasa
agar isteriku bisa tersenyum
harga barangan tidak menggila
aku juga seharusnya tersenyum
kerana kamu mempedulikan rakyat
yang setia menyokong kamu


hidup ini tidak lebih permainan kuasa
jangan biarkan kekuasaan
bersetubuh di hati kami
kerana kami tidak mahu
anak luar nikah seperti kamu
kerana kami ada upaya
mengubah kamu
menjadi rakyat seperti kami
kerana kami tidak upaya lagi
membiarkan kamu terus menggila
dan kami kekal dengan amukan
justeru kamu asalnya seperti kami
cuma bernasib menjadi penguasa
dan akhirnya melupakan kami

  setiap lima tahun
setiap lima tahun
kau datang ke perumahan kami
membawa senyum
menghadiahkan janji


selepas lima tahun
kau masih ke kampung kami
melupakan yang lama
berkisah baru
senyum baru
janji lalu
kami hanya orang kecil
yang akan menunggu kamu
setiap lima tahun
dengan janji baru
dengan usia kita
yang  tidak menjanjikan


kami hanya setia menunggu
janji kamu tentang kematian
akrabnya  tanah kubur 
atau kita harus melupakan barzah
politik hanya  dunia kuasa
atau bertelingkah
mempergunakan kami
demi kebesaran kamu
setiap lima tahun
kami tetap menanti
kesetiaan kami
menanti janji kamu
walau wajah kami
tetap kamu lupakan
ketika menggariskan
rangka pembangunan


 percuma saja kau berikan cinta

percuma saja kau berikan cinta kepada malam, lantaran gelap ia memaksa kamu menerima yang kian jauh tentang perahu, tentang karang, tentang tanjung.  justeru, terlalu gelap cinta itu sia-sia kerana pelayar merempuh muara yang jauh -- tak terjangkau akal menafsirkannya. kekasih, kerana cinta kita rela berjauhan meninggalkan halaman untuk akhirnya menjadi tanggang yang lupa tanah daratan ketika malam semakin merusuh di kalbumu. percuma saja kau berikan cinta itu!

  tidak jemu mencatat pasang surut kehidupan
dia tidak jemu mencatat pasang surut air seperti juga turun naik kehidupan. seperti juga jatuh bangun politikus ketika perwayangan kekal dilakukan. dia tidak kisah matari bangkit atau turun seperti juga bulan yang sedia memberikan malam dan siang. dia tidak pernah   peduli musim menuai atau tengkujuh kerana yang pasti selepas hujan reda, dia akan kekal mencatat lakonan yang belum selesai sehingga dia lupa melakar nasib dirinya sendiri.

selebihnya cerita politikus ke penjara lagi

hanya bahasa dan kata-kata
selebihnya cerita dan ayat songsang 
hanya sidang media atau saman fitnah
selebihnya peristiwa luka yang dirakam


media tak lebih dollah baju merah
berbahasa dan berkata-kata
bercerita dan menyusun ayat songsang


media tak lebih seman wau bulan
memuji mengejek menyanyi menyindir
selebihnya sang politikus ke penjara lagi

   hujan ini dari bumi
‘hujan yang turun ini asalnya dari bumi,’ dia meyakini renungan yang sudah lama dipercayainya. ‘asalnya dari sungai dan kelokan. dari hulu dari muara dari pantai lalu bangkit ke langit. hujan ini sudah kenal nafas alam. dengkur makhluk atau apa saja yang dinamakan kemungkinan dan harapan,’ dia ghairah meyakini. ‘pokok dan lalang sudah lama mengenali hujan. kau juga  mengenali  walaupun lampu sudah dipadamkan,’ dia mengulangi; ‘kau sentiasa kenal hujan kerana kau sebahagian daripada alirannya!’

   hujan ini mengingatkan kau

hujan ini mengingatkan kau yang berteduhan di pulau kecil.  matari yang enggan bangkit dan pasrah pelaut pantai timur mengingatkan kau mainan gelombang yang jelma di mata dan hatimu. masa lalu adalah kepak camar melayah angin ketika tiba-tiba suara talkin memanggilmu berkali-kali di pantai cahaya bulan. nafasmu kian lentur  ketika laut china selatan menerjunkan resah bersama gelombang akhir tahun; esokkah yang datang dengan wajah begis atau kita sekadar mainan masa yang tidak simpatik?

   percuma saja kusebut namamu berkali-kali

percuma saja kusebut namamu berkali-kali di pantai ini kerana kau telah jauh. kau sudah dibawa angin ke pulau karang ke masa lalu yang tumbuh di pedalaman jiwa. kau sudah jadi lumut dan ombak di dalam sana. kau sudah membesar dengan misteri tersendiri. kau mungkin pelaut yang sesat atau nelayan yang pasrah membaca gelombang
percuma saja kusebut namamu berkali-kali kerana kau sudah menjadi ombak yang tidak jemu membaca mainan matari atau bulan yang silih berganti.
Mohamed Bouazizi

aku tak kenal kau
seperti juga kau tak kenal aku
aku tahu namamu selepas kematian
dan kau tidak akan mati

kerana Tunisia melahirkan anak pertiwi
bersuara untuk kemanusiaan
berjuang menentang kekuasaan
semangat meleburkan penindasan
aku hanya tahu kau lahir  29 Mac 1984
riwayatmu tamat  4 Januari 2011
ketika darah panas 26 tahun
mengalir ke kuburmu di Garaat Bennour
kau terus hidup ketika kematian diisytiharkan
kerana kau tidak akan mati
dan tidak mati selama-lamanya
Mohamed Bouazizi
aku lihat kau di tunisia
aku lihat darahmu di mesir
aku lihat jejakmu di libya
aku kenang suaramu di syria
kerana kau model anak muda
yang berani ke jalanan
meredah suara tradisi
menentang kuasa yang ghairah
kerana kau tidak takut kematian
kerana dengan yakin hanya kematian
yang menafaskan perjuangan
kerana dengan bangkit menentang
kekuasaan yang korup bisa dilumpuhkan
Mohamed Bouazizi
saat mereka bercakap soal  demokrasi
atau apa saja  yang kau namakan monarki
kita tidak harus percaya
kerana dunia ini  keghairahan pembunuhan


cerita belum selesai
rama dan sita
yang lama tersimpan
dalam peti
tiba-tiba bersuara
cerita belum selesai
perwayangan masih ada
kita adalah patung
pejuang yang minta dikenang
dalang yang merayu
pementasan dihidupkan semula
gendang dan serunai
gong dan kelir
adalah kehidupan yang bergetar
suara yang merusuh
pedalaman yang abadi
rawana dan hanuman
wak long dan pak dogol
mengembalikan perseteruan
menghalalkan agenda
serakah siasah
adu domba musim  edan


perseteruan yang tiada akhirnya
kita hanya episod cerita yang belum selesai
rama dan sita
menelan jadam pahit
berahi yang tiba-tiba meleburkan
bangsal dan perwayangan
untuk sebuah esok
yang tidak pasti

dengan angkuhnya
kebebasan seharusnya kecerdikan
bukan kebodohan apa lagi keangkuhan
kau memilih yang murah;
‘aku mahu lama di bilik ini. media ini bukan kita punya’
aku mengerti kita harus makan gaji
juga makan hati
samad said mewariskan hujan pagi
lokman, lajis atau gazis manusia yang prinsip
wartawan jati harus makan gaji juga makan hati


‘aku hanya jalankan tugas’ angkuhnya
‘jika tak setuju kau boleh berlalu’
dengan angkuhnya dia menjadi editor
untuk anak dan isteri
untuk diri yang tiada peribadi
‘aku mahu lama di bilik ini’
dia menelan liur. menghembuskan nafas
‘media ini bukan kita punya’



Kolumnis
harus menjadi cerdik untuk kelihatan cerdik
dan aku harus cerdik untuk kolumku
harus cerdik menilai dunia dan kehidupan
kesengsaraan dan keseronokan
tentang kuasa yang naik atau takhta yang tumbang
harus cerdik dengan tulisanku dengan manusiaku
harus menilai keberadaan dan kehilangan
tamadun yang dibina dengan angka dan komputer
menafsir khidmat pesanan ringkas
bertwitter berfacebook berwechat berwhatsapp
kolum harusnya di depan bukan   ke belakang
kolum bukannya sampah penjilat 
kerana kolum adalah minda adalah jiwa
kerana kolum bukan jamban atau sisa
tulisan yang tertulis dan tak tertulis
harus mencari jawapan bukan persoalan

Pengkritik sastera
hanya pandangan bebal
yang kau paparkan
selebihnya tidak ada apa-apa
bagai pelacur chow kit
memperdagangkan berahi
hanya tulisan dangkal
yang kau seranahkan
tentang teori dan ilusi 
selebihnya lebih baik bercakaran
dengan sundal
mendeklamasikan puisi
sambil tangan kiri menurunkan coli
dari badan kekasih
melilitkan ke kepalamu sendiri
sambil berbangga
akulah pengkaji sastera
paling ulung
hanya kejahilan
yang kau tafsirkan
dari puisi, cerpen, novel teater
yang kau songsangkan sendiri
selebihnya kau mengharapkan
pujian sesama sarjana
yang  berfikiran bontot
penelaah seni


turun dan naik dari bengkel ke bengkel
menyusun dan menyelak
kertas kerja demi kertas kerja
hingga akhirnya kau gagal menafsir
dirimu sendiri
dan tidak sempat mengkritik
kehidupan yang berjalan di keningmu sendiri

kita membawa khabar

kita membawa khabar
seperti kita yang menyebarkan
angka kematian dan kemuflisan
kita bercerita soal politik
yang mempolitkkan minda bangsa
atau menjarah pemikiran watan
atau kita memuja berlebihan
tokoh yang tidak pernah ditokohkan
atau kita menyelewengkan tafsiran
tentang   22 tahun
menyimpan fail
kezaliman  siasahnya
memang kita membawa khabar
seperti hujan yang turun ke bumi
alirannya prasangka yang meledak di muara
atau kita membawa khabar
tentang perahu yang lesap di lautan
tentang pesawat yang entah di mana
ketika camar kian lelah
mencari kebenaran
yang tidak lagi benar
kita mencari khabar
yang bukan perkhabaran lagi
kerana khabar yang lunak
adalah khabar yang bukan dari akal
kerana khabar yang ditulis
hanya khabar yang baik
untuk menidurkan kewarasan 


memang kita menyediakan khabar
kita menyiapkan khabar
yang tidak mengabarkan apa-apa

maaf yang arif
maaf yang arif
siapakah yang pakai celana sponsor pagi ini
siapakah yang bulunya paling panjang abad ini
siapakah yang beli ky jelly di  seven eleven malam tadi
siapakah yang menidakkan hak rakyat untuk rakyat
siapakah yang memalsukan kebenaran atas nama keadilan
siapakah yang memasungkan kenyataan untuk pendustaan


maaf yang  tak arif
hukum siapa yang mengatakan  dusta sebagai kebenaran
akta apa yang dikatakan  rakyat tak boleh bersuara
perlembagaan mana yang membiarkan raja berpolitik
lelaki manakah yang arif membiarkan  bontotnya dijilat diliwat
atau yang arifkah yang   tidak arif peraturan zaman
kecundangan dalam pesta  serakah 
manakah kebenaran yang menjadi  piagam yang arif?

yang arif cubalah kita berbahasa

yang arif cubalah kita berbahasa
kerana bahasa kita sudah diparahkan
cubalah kita damaikan kembali
jiwa pejuang bahasa yang kerap lelah
cubalah yang arif fikirkan
hanya bahasa yang mengangkat
yang arif ke kerusi yang arif
hanya bahasa yang mengangkat
ibu ayah yang arif menjadi arif
yang arif
ppsmi  durjana
ngilu menjarah akal bangsa
yang arif cubalah kita berbahasa
kerana bahasalah yang mendewasakan bangsa
kerana bahasalah yang memaknakan cinta
kerana bahasalah yang tidak persiakan akar
kerana akarlah yang menjadikan kita bernegara
bernafas, bercumbu, memesrai keberadaan kita


yang arif
di atas kearifan jiwamu
hukumlah mereka yang mempersenda bahasa
kerana persendaan mencela kewujudan kita
di atas tanah dan bumi sendiri
hukumlah mereka yang arif
hukumlah mereka
yang membunuh
bahasa ibu dan ayah yang arif sendiri


moscow kehilangan senyuman

yang kutemui
derap sepatu
garang AK47
soldadu
kehilangan senyuman
yang kukenang
ideologi berbeza
dan kita bercanggah lidah
antara manusia dan kemanusiaan
antara hidup dan kehidupan
antara tuhan dan keesaan
siang ini kita tak perlu peramah
keadaan memaksa kembali ke dalam diri
atau surut peribadi
hakikat sejarah memaksa kita merindui pushkin
setelah lenin dan marx
mendorong kita meragui kebenaran
seperti moscow yang semakin ketakutan
   

tengkujuh  belum reda menjelang tahun baru
tengkujuh yang tidak pernah reda di hati kekal menyaksikan perubahan musim demi musim dan  akhir tahun pun mengucapkan salam perpisahan. daun kalendarkah yang silih  berganti atau kita kekal pasrah dan mengintai tahun baru dengan persoalan demi persoalan tanpa sebarang jawapan

memang perjalanan mengasyikkan ketika kita semakin jauh terhantar ke pulau yang kian jauh, namun sempatkah kita mengenal bau ombak dan manisnya tengkujuh ketika semakin ramai yang merasai kepahitan hidup? jadam apakah yang mengiringi hayat kita ketika semakin jauh suara seruling ke pedalaman jiwa hingga aku tidak sempat menyapa pada tahun-tahun  yang sudah pergi?
kekasih, sempatkkah kau melihat warkah yang kucatatkan pada sayap-sayap camar ketika laut china selatan makin bergelora  atau kita sebagai saksi bisu dalam rangka sejarah yang tidak ada apa-apa pada tahun baru ini?


catatan perjalanan
siapakah yang datang mengetuk pintu itu berkali-kali ketika senja makin tua di balik bukit dan ombak kian nyaring mengiringi pantai.  engkaukah itu masa lalu yang luka di pedalaman atau aku sengaja melupakan bayangan camar yang singgah pada catatan perjalanan?
hidup adalah peristiwa yang dijalin dari batas sawah, pondok nelayan dan akhirnya pasrah di kota besar ini; akukah yang masih seperti dulu; memesrai puisi dan kehidupan bagai tanggang yang lupa catatan hariannya?
  
Sesekali menulis puisi
Sesekali menulis puisi
deru malamkah yang singgah di jendela
atau kata-kata sudah menjadi ombak
sesekali lelah di lautan luas


Sesekali
terasa kau duduk di pinggir sawah
ketika puisi mengutip kenangan
sesekali
lelah belalang dan keciap
menyuburkan ritma
betapa  desa itu telah lama kutinggalkan
kerana antara kita
saling bersanggah
kerana puisi adalah kata-kata dari hati
hatilah yang sering menyanggah
kerana sayap merpati
sering menjadi mangsa
perseteruan zaman


  Seperti pasir pantai itu

Kalendar sudah berubah
seperti pasir pantai itu
setia dengan mainan angin

tahun baru akan singgah
menidurkan peribadi
di luar jendela
siapakah yang bakal menggugah
ketika hidup perlu diteruskan
esok mungkin suatu perwayangan
dan kita lagi manis menyebut namu-Mu
di hujung rindu
 
 
kerana aku enggan berharap, sajak ini bosan air mata
berbaring di ranjang
dewan bedahan
fail rawatan
jarum suntikan
senyuman jururawat
sapaan doktor
kalimah syahadat
apakah masa lalu
yang kupungut
bertahun-tahun
dalam hayat kembara
kembali bersatu
ketika angin semakin liar
kemarau menyatu
mengembalikan masa kecil
yang kerap setia
dengan kesakitan
dengan kesengsaraan
dan esok bakal datang
dengan wajah yang bengis?
siang ini
aku tidak perlu lagi  berkata-kata 
segala-galanya menjadi sejarah
seperti juga semalam
yang menafsir
kerana esok kita sebahagian
masa lampau yang sukar ditinggalkan
sekarang adalah kemungkinan
hidup atau mati
sebahagian episod
yang tidak mungkin
kita mungkiri
dan sajak ini
bosan air mata
kerana aku enggan berharap


malam ini
aku hanya perenung masa lalu
yang berbaur mencabar
masa depan dengan keghairahan
aku penduga 
kehidupan dan kematian
yang tiba-tiba menjadi perindu
atau hari akan yang memantulkan
kemungkinan dan harapan
atau kita sebenarnya sekadar ombak
mencemburui pantai
atau awan mengintip bintang
ketika purnama
singgah di jendela
dengan suara yang jauh
dengan bisikan yang aneh
dengan rindu yang kian pasti
tanpa sedar
azan dari kubah masjid
mengembalikan subuh
ke pedalaman peribadi
mencari sesuatu yang tidak pasti
tanpa air mata atau harapan
kerana esok terlalu berteka
 
hidup atau mati

hanya ruang dan kemungkinan
hidup atau mati
hanya alamiah


jangan kau biarkan
kematian dalam kehidupan
kehidupan dalam kematian
   
aku mulai sedar
pada usia 54
aku mulai sedar
fail rawatan
sekadar catatan
tentang kelukaan
atau harapan
kesakitan
sebahagian proses
kehidupan
seperti juga
tangisan pertama
yang kau surahkan

pada usia 54
aku harus ingat
alam ini sudah lama
di dadaku
aku harus melihat
ruang berbeza
pada kemungkinan
yang mentakdirkan

 seperti rama-rama
seperti rama-rama
menghiasi padang ilalang
hidup sebenarnya
sayap berterbangan


siang atau senja
sayap akan gugur
seperti sejarah
menasibkan kita
  
Percuma saja kusebut namamu
Percuma saja kusebut namamu malam itu kerana kau telah jauh selepas kapal meninggalkan perlabuhan. Sepi yang tumbuh di pasir pantai bagai keluhan pelaut yang menghitung nasib tanpa jalan pulang.

Bertahun-tahun sajak ini mencari arus angin yang kusebut ketika ombak tidak lagi seperti dulu. Sepi apakah yang datang di pelabuhan  saat aku kehilangan wajahmu atau aku semakin surut ke dalam peribadi menerokai sesuatu yang kian misteri.
Memang percuma saja kusebut namamu kerana kapal yang pergi itu menerjah lautan terbuka tanpa jejak pulang. Seperti pelaut yang mabuk, aku pasrah menatap bulan jatuh di hujung lautan.
  
Bau bir dan pelukan kekasih
Aku seharusnya menemui jalan pulang setelah tahun-tahun kembara yang menyilau sepanjang perjalanan. Bau bir dan pelukan kekasih hanya masa lalu saat kuperagakan masa muda dengan permainan asyik.

Usia 54 bukan perwayangan. Bau itu seharusnya sebahagian masa lalu yang kutinggalkan di padang lepas ketika jendela kututup. Pelukan kekasih seharusnya menginsafkan.

Jangan kotor laman rumah kita
Isteri sering mengingat jangan biarkan laman ini cemar. Anak-anak harus membesar seperti akar menggembur tanah. Daunnya, juga dahannya menunjangi segalanya. ‘jangan kotor laman rumah kita,’ pesannya berkali-kali. Kutatap wajah isteri kupeluk rindu yang menterjemahkan keinginan bersama. Memang, tidak harus laman ini cemar, ulangku berkali-kali ketika kata-kata tidak perlu dilafazkan lagi.

Siang atau malam
Siang atau malam
hanya matari atau bulan
menentukan detik kita
Siang atau malam
hanya cerah atau gelap
mengalih perbezaan hari

aku bangkit
antara siang dan malam
kerana di situ Allahuakbar
nur mengajar naluriku
Aku melangkah
dari pintu terbuka
ke padang yang menterjemahkan
isyarat pedalaman  




hayat sebahagian permainan ombak 

akhir tahun hanya taburan hujan atau doa yang tak sempat dilafazkan. laut china selatan resah  di hujung pangkalan, hanya luka dari perjalanan yang kita lewati; engkaukah itu camar yang kehilangan sayap atau tengkujuh  bersatu di hati  ketika pantai timur tidak lagi memberahikan puisi. usia ternyata tidak menanti, justeru kata-kata menjadi akal, jua rasa

tahun baru sebahagian tradisi kehidupan. peradaban yang singgah atau pergi, kita harus ke hari muka. bagai laut dan pantai yang menerkam atau menyapa, kehidupan sebahagian hujan atau doa yang sekian lama kau lafazkan.


saat mereka mengutip luka yang tertinggal di pasir pantai, catatan bukan lagi saksi sebuah pertemuan kerana esok sebuah keberangkatan. hayat sebahagian permainan ombak -- menduga atau menjawab; mentelaah atau tanpa jawapan, justeru kehidupan, memang begitulah. bak pelaut yang merentang gelombang, memang begitulah, hidup sentiasa berlayar atau menjadi arus ke lautan lepas   
   

Sunday, June 15, 2014

sajak: tengkujuh belum reda menjelang tahun baru


tengkujuh yang tidak pernah reda di hati kekal menyaksikan perubahan musim demi musim dan  akhir tahun pun mengucapkan salam perpisahan. daun kalendarkah yang silih  berganti atau kita kekal pasrah dan mengintai tahun baru dengan persoalan demi persoalan tanpa sebarang jawapan
memang perjalanan mengasyikkan ketika kita semakin jauh terhantar ke pulau yang kian jauh, namun sempatkah kita mengenal bau ombak dan manisnya tengkujuh ketika semakin ramai yang merasai kepahitan hidup? jadam apakah yang mengiringi hayat kita ketika semakin jauh suara seruling ke pedalaman jiwa hingga aku tidak sempat menyapa pada tahun-tahun  yang sudah pergi?

kekasih, sempatkkah kau melihat warkah yang kucatatkan pada sayap-sayap camar ketika laut china selatan makin bergelora  atau kita sebagai saksi bisu dalam rangka sejarah yang tidak ada apa-apa pada tahun baru ini?

Dewan Sastera
Jun 2014

Monday, May 19, 2014

sajak: KERANA AKU ENGGAN BERHARAP, SAJAK INI BOSAN AIR MATA

berbaring di ranjang
dewan bedahan
fail rawatan
jarum suntikan
senyuman jururawat
sapaan doktor
kalimah syahadat
apakah masa lalu
yang kupungut
bertahun-tahun
dalam hayat kembara
kembali bersatu
ketika angin semakin liar
kemarau menyatu
mengembalikan masa kecil
yang kerap setia
dengan kesakitan
dengan kesengsaraan
dan esok bakal datang
dengan wajah yang bengis?


siang ini
aku tidak perlu lagi  berkata-kata 
segala-galanya menjadi sejarah
seperti juga semalam
yang   menafsir
kerana esok kita sebahagian
masa lampau yang sukar ditinggalkan
sekarang adalah kemungkinan
hidup atau mati
sebahagian episod
yang tidak mungkin
kita mungkiri
dan sajak ini
bosan air mata
kerana aku enggan berharap


malam ini
aku hanya perenung masa lalu
yang berbaur mencabar
masa depan dengan keghairahan
aku penduga 
kehidupan dan kematian
yang tiba-tiba menjadi perindu
atau hari akan yang memantulkan
kemungkinan dan harapan
atau kita sebenarnya sekadar ombak
mencemburui pantai
atau awan mengintip bintang
ketika purnama
singgah di jendela
dengan suara yang jauh
dengan bisikan yang aneh
dengan rindu yang kian pasti
tanpa sedar
azan dari kubah masjid
mengembalikan subuh
ke pedalaman peribadi
mencari sesuatu yang tidak pasti
tanpa air mata atau harapan
kerana esok terlalu berteka


- IMLAN ADABI
Hospital Colombia Asia Cheras
23 - 27 Januari 2014


(Berita Harian, 18 Mei 2014)

Sunday, May 18, 2014

Saman media perlu asas yang kukuh

Ada tokoh politik yang mengugut media untuk dibawa ke mahkamah. Apakaah ugutan berkenaan berkesan dan memberi implikasi politik.

Najib Razak dilaporkan mengemukakan saman terhadap portal berita Malaysiakini. Sebelum ini pun Anwar Ibrahim membuat tindakan yang sama terhadap lawan politiknya termasuk media perdana.

Persoalannya, bukan semua hujah yang dikemukakan di mahkamah menarik perhatian hakim. Lebih malang, apabila tindakan saman politik dianggap cara lama mempertahankan diri.

Kita yakin kepada kebebasan bersuara. Media dan penulis perlu ada etika, dan orang politik pula harus bijak mengendalikan suasana.  Jangan kerana marah melulu, nanti dituduh cuba menutup mulut lawan.

Tuesday, May 13, 2014

Terengganu bergolak lagi

Tarikh 13 Mei sepatutnya menjadi teladan kepada semua pihak. Tapi tidak bagi Najib Razak yang menukar pimpinan kerajaan Terengganu, akhirnya menimbulkan keributan apabila bekas Menteri Besar, Ahmad Said dan dua ADUN keluar UMNO dan menjadi ADUN BEBAS untuk sehari dan menyertai semula UMNO kerana alasan memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam.

 Orang yang keluar UMNO akhirnya kembali menyertai parti. Alasan: mereka terkejut pertukaran pimpinan negeri sehingga buat keputusan yang tidak waras.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memantau perkembangan politik di Terengganu selain bersiap sedia menghadapi kemungkinan diadakan pilihan raya negeri.

 Terengganu sebuah negeri yang luas iaitu mempunyai 32 Dewan Undangan Negeri. Buat lawak tidak menguntungkan rakyat.  Terengganu menjadi tumpuan susulan peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar 13 Mei lalu, selain turut mengisytiharkan keluar UMNO dan menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas bagi kerusi Kijal.


Turut mengikut jejak Ahmad ialah Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi).
Berikutan perkembangan terbaharu itu, BN untuk seketika mempunyai 14 daripada 32 kerusi DUN Terengganu, PAS (14), PKR (1) dan Bebas (3).  Roslee pada sebelah petangnya membuat keputusan sebalik untuk kekal dalam BN dan UMNO. Dia mempunyai watak lawak yang sesuai dengan cerita ketuanan Melayu. Ahmad
Said dan Ghazali juga akhirnya akur untuk memperjuangkan UMNO dan berjuang bersama    Adun Seberang Takir,  Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu.

Banyak drama baru akan muncul beberapa jam lagi. Kita harap kepentingan rakyat, Melayu dan Islam tidak diabaikan. Siapa pun yang tadbir Terengganu, hakikat negeri berkenaan sebagai kawasan paling miskin di Malaysia perlu dinafikan.

Rakyat berhak mempersoalkan sejauh mana orang politik akan kekal dengan jenaka mereka dan sejauh mana jawatan dan habuan kewangan boleh mengikat kesetiaan seseorang.

Walaupun kononnya krisis sudah berakhir, kita yakin kesannya masih ada. Ia boleh jejaskan harapan UMNO dan BN pada pilihan raya umum akan datang.



 

Tuesday, April 22, 2014

Datang dan hilang sasterawan Malaysia

Saya pelanggan tetap Dewan Sastera (DS) sejak Januari 1980 hingga Januari 1992. Tempoh 12 tahun cukup mengingatkan saya akan beberapa nama yang begitu besar dalam pelbagai genre kesusasteraan. Ada yang kekal menulis dan ramai juga langsung tidak berkarya.

Tempoh masa 1980 hingga 1992 adalah period pengkaryaan saya. Beberapa sajak saya disiarkan DS dan ada di antaranya yang menang Hadiah Sastera Malaysia (kini Hadiah Sastera Perdana). Sepanjang 1992 hingga Disember 2012, saya tidak membaca apatah lagi membeli DS. Bukan saya memboikot majalah yang pernah digerakkan  oleh Sasterawan Negara Datuk Usman Awang yang akhirnya banyak menyiarkan karya pengarang terbaik Malaysia. Alasan saya berhenti membeli atau membaca DS ada dua sebab. Pertama: Edaran DS amat terbatas di Lembah Klang. Walaupun saya tinggal dan bertugas di tempat yang tidak jauh dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang juga penerbit DS, saya sukar untuk melihat DS berbanding majalah popular yang lain.

Ramai rakan penulis di Kota Bharu dan Kuala Terengganu memaklumkan mereka senang memperoleh DS setiap bulan. Saya rasa ralat dan  perlu ke DBP untuk beli DS sedangkan majalah lain boleh dibeli di mana-mana.  Saya tidak salahkan DS apatah lagi DBP. Masalah pengedaran berpunca daripada kelemahan pihak lain dan DS atau DBP menjadi mangsa keadaan. Alasan ini mendorong saya membuat keputusan yang drastik. Seseorang pengguna harus mendapat bekalan yang dikehendaki secara tepat dan mengikut jadual. Jika DS tidak ditemui pada masa yang ditetapkan, saya masih membaca pelbagai majalah sama ada tempatan atau luar negara. Majikan saya menyediakan peruntukan bulanan untuk karyawan membeli majalah atau buku. Setiap bulan saya perlu membeli bahan bacaan kerana hampir setiap hari saya membaca dan terus menulis. Justeru, ketiadaan DS menjejaskan sedikit pengetahuan saya mengenai perkembangan sastera secara formal.

Kedua, saya perhatikan ramai penulis yang suatu ketika gah menulis dan banyak mendapat sorotan pengkaji dan sarjana sastera, akhirnya menghilangkan diri. Saya hairan kenapa penulis yang tiba-tiba meledak seperti Moechtar Awang yang dua kali menang hadiah penghargaan Anugerah Puisi Putra dengan kumpulan puisi ‘Pasrah’ dan ‘Qaf’ pada awal dekad 1980-an tidak menulis lagi. Selain Moechtar, ramai lagi penulis yang pernah mesra dengan saya seperti Halim Yazid, Roslan Mamat dan Asmui Mustaffa tiba-tiba menghilangkan diri.

Saya suka karya mereka dan saya rasa ketiadaan karya mereka  di DS secara tiba-tiba menjejaskan usaha mencari penulis pelapis 1980-an yang agak rapuh. Saya tak salah DS tapi saya salahkan keadaan yang menyebabkan penulis yang aktif suatu ketika tidak lagi aktif pada masa yang lain.
Tempoh  1980 hingga 1992 adalah detik saya mendekati DS dan berhenti untuk beberapa tahun. Hanya September 2007 saya membeli DS kerana menyiarkan beberapa sajak saya hasil permintaan editor DS ketika itu, iaitu Rozninah Abd Azib. Ada  sajak dan cerpen yang tersiar ketika itu dilahirkan penulis baru yang saya tidak kenali. Saya harus akur dengan perubahan masa dan massa. Penulis datang dan pergi. Kita harus membimbing bakat baru tapi pada masa yang sama perlu dicari punca kenapa ramai penulis yang suatu ketika dulu begitu ghairah berkarya tapi tidak menulis lagi.

Sejak Januari 2013 hingga Disember lalu, saya berkesempatan membaca DS. Ada hamba Allah yang yang sedekahkan DS dan saya bersyukur kerana berpeluang membacanya semula walaupun masih sibuk dengan jadual tugasan termasuk menjadi kolumnis ANALOG yang siarkan Berita Harian (BH) sejak 14 Ogos 2009. Saya terpaksa utamakan kolum berkenaan yang banyak mendapat reaksi ramai. Malahan tulisan kolum tersebut apabila ‘dipindahkan’ ke blog peribadi imlanadabi.blogspot.com sentiasa ada penjenguknya.
Saya dapat rumuskan ramai  penulis silih berganti kerana karya sastera tidak pernah mati. Yang mati adalah semangat untuk terus menghasilkan sajak, cerpen, naskhah teater dan novel.   Bagi sesetengah penulis, perubahan zaman mengubah perwatakan mereka. Jika dulu aktif menulis dan menghidupkan acara seni, sekarang tanggungjawab kekeluargaan lebih diutamakan. Ada yang mati tanpa karya mutakhir, ada juga yang  tidak mati tapi tidak berkarya lagi.

   Mereka terpaksa melihat satu demi satu penulis baru yang muncul dengan pelbagai rencam. Mereka terpaksa akur era seni dirinya sudah lama berlalu kerana karya tidak pernah menanti seseorang untuk tempoh yang lama.   Perubahan masa bagai daun berguguran, seperti juga bait yang menghidupkan karya seni. Masa datang dengan pengalaman  yang akhirnya menggerakkan seseorang untuk berkarya dan pada masa yang lain, akan mengundur dan menyendiri tanpa karya.

   Seperti kata Chairil Anwar (26 Julai 1922–28 April 1949), masa muda kaya pancaroba, justeru usia muda membawa seseorang mencipta nama yang hebat dalam kehidupan.   Seperti Chairil yang mati muda ketika usia 26 tahun, dia sudah membariskan karya berbobot yang sehingga kini masih menjadi kajian sarjana. Digelar sebagai ‘Si Binatang Jalang’ yang diangkat daripada karyanya ‘Aku’, Chairil menulis 96 karya, termasuk 70 puisi. Bersama Asrul Sani dan Rivai Apin, dia dinobatkan oleh HB Jassin sebagai pelopor Angkatan 45, sekali gus pejuang puisi moden Indonesia.

   Ulama dan sasterawan tersohor Hamka (Prof Dr Haji Abdul Malik Karim Amrullah) yang pernah berpengalaman mendekati Chairil sekadar menyatakan kekaguman terhadap penulis berkenaan.   Dalam bukunya ‘Kenangan-kenangan hidup -  autobiografi sejak lahir 1908 sampai 1950’, Hamka mencatatkan Chairil manusia aneh, hebat dan tiada siapa yang mampu tinggal serumah dengannya pada waktu yang panjang.   Kekaguman dan kekuatan seseorang mungkin kerana usia mudanya. Usia tuanya akan mematangkan karya atau tidak menghasilkan karya lagi. Ada polemik yang mengatakan Chairil mungkin tidak menulis pada usia 50 tahun kerana cita rasa sudah berubah, keperluan kehidupan harus  mengikut zaman dan mungkin puisi hanya sebahagian daripada tinggalan lampau kehidupannya.
 
 Banyak penulis Malaysia yang melahirkan karya malar segar pada usia muda tidak mampu mengulangi ketika era tuanya.   Baha Zain tidak lagi mampu melahirkan kumpulan  puisi sehebat  ‘Perempuan dan Bayang-Bayang’ atau ‘Dari Kertas Catatan Tengah Malam’ yang menjadi perhatian panel sastera sejak dekad 1970-an. Keadaan sama juga dialami A Latiff Mohidin yang dianggap perenung  alam menerusi ‘Sungai Mekong’ dan Kembara Malam’, tapi kini puisinya semakin menyepi.   Kita mempunyai ramai karyawan besar sejak dekad 1950-an. Usman Awang jika masih ada mungkin gagal melahirkan ‘Uda dan Dara’ atau ‘Pak Utih’ ketika situasi semasa yang tidak mengizinkan. Pak Sako mungkin tidak lagi  mampu melahirkan karya sinikal ‘Anak Mat Lela Gila’  atau A Samad Said secara jujur harus mengakui betapa ‘Daerah Zeni’ dan ‘Hujan Pagi’ tidak sehandal ‘Salina’ yang dianggap karya malar segar Malaysia.

   Banyak penulis yang datang dan pergi. Pada dekad 1980-an,   kehadiran Awang Abdullah, Marsli NO, Ujid Darmawan, Swanlerd Propoul, Nawawee Muhammad, Gunawan Mahmud dan Daeng Ramli Akil memberi gambaran mereka di antara karyawan penting yang bakal memeriahkan situasi sastera mutakhir.   Malangnya sehingga kini hanya Marsli yang masih bertenaga dan yang lainnya semakin terpinggir atau meminggirkan diri. Dalam kalangan generasi 1990-an, hanya nama Rahimidin Zahari, SM Zakir dan beberapa rakan mereka yang masih menjadi tumpuan massa. Yang lainnya kian terpencil atau memencilkan diri. Ada beberapa alasan yang menyebabkan seseorang penulis kreatif berhenti menulis. Ada isu peribadi kerana tidak berminat lagi atau alasan kesibukan tugas selain berkeluarga. Bagaimanapun kes yang menimpa Faisal Tehrani juga boleh menjejaskan tumpuan dan minat beliau untuk terus berkarya.  Saya secara peribadi mentelaah beberapa karya  Faisal. Karya, catatan dan pemikirannya menjadi tumpuan ramai. Novelnya dianggap visi baru selepas dua Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan Datuk Shahnon Ahmad meneroka pemikiran kritis dan kreatif.  Faisal menerusi novel  ‘Perempuan Nan Bercinta’ dan  ‘Sebongkah Batu Di Kuala Berang’; kumpulan cerpen  ‘Tiga Kali Seminggu’,  drama pentas ‘Karbala’  dan kumpulan puisi ‘Ingin Jadi Nasrallah’ mempunyai idea yang tersendiri dan wajar diwacanakan.  Karya berkenaan diragui  kerana dianggap bertentangan dengan pemikiran massa di negara ini. Jika benar penulis berkenaan terbabit dalam penyebaran ajaran Syiah, beliau perlu dikenakan tindakan. Jika tiada bukti, Faisal wajar dibenarkan berkarya kerana kaedah kajian hasil kreatif tidak sama dengan matematik atau sains.

 Isu Syiah memerangkap penerima Anugerah Seni Negara pada  2006 ini. Adakah benar beliau penganut Syiah atau sekadar mengemukakan latar belakang Iran dalam karya sebagai suatu kelainan berbanding karya tempatan yang lain? Dalam konteks semiotik, Faisal dan Iran ada hubungan tersendiri. Kewujudan ‘Tehrani’ pada hujung nama mungkin membawa maksud Teheran iaitu ibu negara Iran. Hanya Mohd Faizal Musa yang memahami maksud nama samarannya.

Saya akui  Faisal mempunyai pengaruh yang tersendiri terutama dalam kalangan generasi muda. Novel  ‘1515’, ‘1511H Kombat’, ‘Perempuan Politikus Melayu’, ‘Detektif Indigo’, ‘Advencer Si Peniup Ney’, ‘Bedar Sukma Bisu’ dan ‘Cinta Hari-Hari Rusuhan’ menjadi kesukaan generasi muda. Pemikiran dan persoalan yang ditampilkan dalam karya berkenaan dibincang dan diperdebatkan.  Kita menentang sebarang unsur Syiah dalam masyarakat kerana boleh menjejaskan keharmonian umat Islam. Bagaimanapun, Faisal perlu diberikan keadilan. Pihak yang mendapati karya beliau bertentangan dengan nilai tempatan wajar memberi penjelasan. Huraikan bab mana yang mengandungi unsur Syiah. Perjelaskan ungkapan yang dikaitkan dengan Syiah sehingga dianggap mengancam kebebasan beragama dan merosakkan akidah umat Islam.

Kita bimbang penulis berbakat hilang di tengah jalan kerana kekangan yang ada.  Sehingga kini tiada kajian yang boleh memuktamadkan punca seseorang penulis boleh meninggalkan bidang yang mereka perjuangkan ketika usia mudanya.   Paling pasti karya sastera tidak banyak mendatangkan rezeki berbanding genre lain. Penyair A Ghafar Ibrahim (AGI) ketika ditemui di Universiti Teknologi MARA kampus Puncak Perdana, Shah Alam mengeluh: ‘Nasib pelukis mengatasi penyair. Karya mereka bernilai ribuan ringgit. Harga sebuah puisi terlalu rendah!’ Beliau merujuk kepada Razak Abdullah yang kebetulan berada di bilik kuliahnya. Razak pelukis berjaya dan nilai lukisannya ribuan ringgit!

Kenyataan AGI mengingatkan saya kepada beberapa teman yang jarang lagi kelihatan karya mereka.  Sri Diah,  Sharifah Abu Salem,    Nawawee Mohammad,    Abdullah Shuib, Ahmad Fadzlillah Muhamad, Aminah Mokhtar, Arwai AR, Asimo S,  Chulan Chin,  Jamilah Alias, Jahara Alias, Lee Cheong Beng, Mohd Azlan Sulong, Mahad A Bakar, Mohamad Daud Mohamad, Mohd Nasruddin Dasuki, Naapie Mat, Nur Dzahirdi, Ong Boon Teck, Othman Hashim, Pena Mutiara, Ruslan Madon Wanrazuhar dan ramai lagi hanya sesekali muncul. Mereka hampir ditenggelami waktu dengan alasan yang tersendiri. Jika keadaan ini berulang, saya bimbang penulis muda yang karya mereka disiarkan DS ketika ini ada yang hilang dan pergi entah ke mana. Mereka hilang tidak sempat menjadi karyawan besar di Malaysia. Saya harap kebimbangan ini tidak menjadi kenyataan!     - Dewan Sastera, April 2014

Tuesday, April 08, 2014

Negara bangsa sekadar utopia tidak berkesudahan

Retorik siasah tidak semestinya berlandaskan realiti. Ada yang mendakwa pembentukan negara bangsa tercapai menjelang 2020 apabila semua pihak hidup secara harmoni dan bersatu hati dalam pelbagai isu.

Konsep negara bangsa tidak mudah dicapai. Ia bukan  dibentuk oleh pentadbir, birokrat dan penceramah politik, jauh sekali daripada aktivis ekonomi yang menjana keuntungan tanpa melihat realiti sosiobudaya negara ini.

Negara bangsa ialah suatu konsep atau bentuk kenegaraan yang memperoleh pengesahan politiknya dengan menjadi sebuah entiti berdaulat bagi   bangsa sebagai sebuah wilayah yang berdaulat.
Negara ialah entiti politik dan geopolitik, manakala bangsa ialah entiti budaya dan etnik.  Istilah negara bangsa menandakan bahawa kedua-duanya (negara dan bangsa) sebagai sama, dan ini membezakannya dengan bentuk kenegaraan yang lain, yang  wujud sebelumnya. Jika berjaya dilaksanakan, ia membuktikan  rakyatnya berkongsi satu bahasa, budaya dan nilai --- yang bukan  ciri-ciri negara yang  wujud sebelumnya.  Negara bangsa juga akan melaksanakan tuntutan terhadap penentuan nasib sendiri dan autonomi bagi setiap bangsa, yang menjadi fokus utama fahaman nasionalisme.

Dalam konteks semasa kita masih jauh dan mungkin gagal membentuk negara bangsa. Kita hidup dengan kepelbagaian dan kaya dengan kemungkinan yang serba mencabar.
Perbezaan warna kulit, agama, resam, bahasa  dan budaya menjadikan kita saling berbeza. Bermimpi dengan agenda berlainan. Banyak isu yang membezakan pandangan dalam kalangan kita. Kalimah Allah yang suatu ketika dulu bukan sesuatu yang sensitif kini menjadi tabu jika dibahaskan secara terbuka. Isu rumah ibadat  yang dikatakan menjejaskan pembinaan jalan sudah menggamit sensitiviti kaum. Justeru, tidak menghairankan apabila kes murid makan di bilik persalinan sekolah pada Ramadan lalu juga  menjadi isu politik, apatah lagi jika ada yang membangkitkan menu berbuka puasa dengan sup tulang babi.

Moral ceritanya, perbezaan kekal dengan percanggahan yang tidak sepatutnya. Kepelbagaian bangsa dan bahasa yang wujud memungkinkan halangan pembentukan negara bangsa.
Kita berbeza dengan China yang mempunyai penduduk  1.3 bilion. Keadaan kita jauh  berbeza dengan India yang mempunyai penduduk  1.2 bilion atau  Indonesia seramai 280 juta. Negara berkenaan dikenali kerana bangsa dan negaranya. Mereka satu  bangsa dan satu resam walaupun mempunyai pelbagai dialek tempatan. Dunia mengenali China, India dan Indonesia kerana warisan sejarah, identiti dan semangat kenegaraan mereka.

Kita di Malaysia masih bergelut dengan isu kaum dan agama, malah gagal mengatasi masalah ekonomi di kawasan luar bandar dan pedalaman, sekali gus menjadi bom jangka di pentas politik dan akhirnya merencatkan usaha pembentukan negara bangsa.

Hanya  beberapa negara yang boleh dikelaskan sebagai negara bangsa tanpa dipertikaikan.  Portugal walaupun dikelilingi oleh negara  dan  bangsa lain,  bangsa Portugis sudah  bertapak dalam bentuk yang lebih kurang sama sejak 900 tahun   lalu. Iceland walaupun penduduknya boleh dikaitkan dengan etnik Scandinavia, budaya dan bahasa kebangsaannya hanya terdapat di pulau berkenaan  dan tiada kumpulan etnik minoriti merentas sempadan. Malah, tanah daratan yang terdekat terletak jauh ribuan kilometer.

Jepun juga menjadi  contoh tradisi yang menunjukkan sebuah negara bangsa dalam amalan, walaupun  mengandungi beberapa kumpulan etnik minoriti yang lain, jati diri negara bangsa tetap kekal.
Begitu juga Korea walaupun bersengketa sejak Perang Semenanjung  Korea, pembentukan negara bangsa masih kekal walaupun politik memisahkan di antara Korea Selatan dan Korea Utara.
Kita di Malaysia masih samar dan keliru. Di  antara intipati matlamat Wawasan 2020 adalah pembentukan negara bangsa.  Persoalannya, mampukah  tercapai negara bangsa menjelang 2020 ketika semakin ramai yang menunjukkan perbezaan ketara dalam kalangan kita.

Orang politik sentiasa berkerenah dan banyak isu yang tidak sepatutnya ditonjolkan secara terbuka.  Kesan Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008 dan 5 Mei 2013 menunjukkan jurang semakin ketara. Ia menjadi bara yang menakutkan. Polarisasi kaum dan apa yang disebutkan tsunami Cina memberi kesan terhadap pembentukan negara bangsa. Pada peringkat seawal usia pun kita berbeza sekolah, justeru berbeza bahasa dan agama. Dalam kalangan dewasa pula, politik lebih menzalimi cita-cita bersama. Negara bangsa sekadar utopia!

Usia 40 tahun sepatutnya mematangkan Kuala Lumpur

Sejak 1974 hingga sekarang terlalu banyak sejarahnya. Kuala Lumpur akan berusia 40 tahun sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari lalu. Empat dekad lalu penduduk Kuala Lumpur hanya  sejuta orang tapi kini tidak dipastikan angka sebenar penduduknya. Jumlah pendatang --  halal atau haram --  menjadi sebahagian  statistik kehidupan kota yang pesat membangun.

Jumlah penduduk Lembah Klang (termasuk beberapa kawasan di Selangor) seramai lapan juta orang menggambarkan Kuala Lumpur seperti Jakarta, Bangkok dan Manila yang tidak kalah menerima perubahan. Penghuninya sudah reda dengan kehidupan yang pelbagai di kota besar ini. Mereka sanggup membayar tol untuk memasuki kesesakan kota raya  pada waktu puncak tanpa bersungut  lagi.

Lazimnya Kuala Lumpur dilihat dari sudut positifnya. Pembinaan bangunan tinggi seperti Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur dan Menara Telekom Malaysia mencerminkan kekuatan ekonomi bagi sebuah bangsa yang hampir 57 tahun merdeka.

Deretan kediaman mewah dan taman perumahan ala kondominium menggambarkan Kuala Lumpur atau jiran terdekatnya Selangor dan Putrajaya semakin hebat. Pencapaian ekonomi dan isu sosial sentiasa merantai kehidupan di kawasan urban.

Jika kejayaan diukur kepada pendapatan lumayan, ia tidak semestinya tepat untuk melihat keamanan dan kemakmuran kota besar seperti Kuala Lumpur.

Masih ramai  gelandangan yang merintih dan memerlukan kediaman selesa. Hampir setiap minggu sejak enam bulan lalu program dapur jalanan diperkenalkan pihak tertentu untuk memberi makanan percuma kepada golongan yang menghuni kaki lima jalan. Ada pro dan kontranya. Ada yang mengalukan tindakan memberi makan kepada golongan yang tidak mempunyai pekerjaan, kediaman dan ahli keluarga. Tidak kurang juga yang membantah program dapur jalanan seolah-olah mengiktiraf  gelandangan  mendapatkan  makanan percuma, selain tempat  tidur   tidak menentu dan tidak ada pekerjaan yang tetap.

Matlamat penubuhan Wilayah Persekutuan semata-mata kerana urusan pentadbiran. Kuala Lumpur  ibu kota Persekutuan, Labuan diisytihar Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa (IBFC) manakala Putrajaya  pusat pentadbiran Persekutuan. Matlamat berkenaan tidak salah kerana sebagai sebuah negara pesat membangun Malaysia memerlukan pusat kewangan dan pentadbiran  yang strategik serta berdaya saing.

Bagaimanapun ramai cendekiawan dan ilmuwan seni yang bertanya sejauh mana Kuala Lumpur mampu menjadi kota berbudaya dan menghargai jati dirinya.

Mungkin silap sejarah apabila ramai kalangan kita yang menerima Yap Ah Loy (14 Mac 1837 - 15 April 1885)  sebagai pengasas Kuala Lumpur. Dia hanya kapitan Cina yang datang ke Kuala Lumur semata-mata untuk berniaga. Dia hanya pendatang yang  tidak pernah berusaha memajukan kawasan persekitaran Sungai Gombak dan Sungai Klang. Hanya secara kebetulan ekonomi kawasan berkenaan berdaya maju kerana ada  sistem pasaran untuk menjual dan membeli, lalu namanya disebut sebagai peneroka Kuala Lumpur. Sungguh aneh dakwaan berkenaan kerana sebelum dia datang dari China, Kuala Lumpur sudah diduduki oleh kaum Melayu dengan aktiviti sara diri yang masih tradisional.

Kesilapan menerima hakikat sejarah memberi kesan terhadap komposisi kaum di Kuala Lumpur. Menjelang  13 Mei 1969, ada pihak yang berani menyuarakan Kuala Lumpur milik mereka dan Melayu hanya layak di luar bandar. Kesan ketegangan kaum dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan  memberi kesan yang mengubah citra Kuala Lumpur. Kuala Lumpur sudah menggamit perubahan pesat. Ia bukan sekadar  kota kewangan tapi menjadi tumpuan Melayu untuk menuntut ilmu dan akhirnya bertugas di Lembah Klang.  Perubahan pesat menjelang akhir dekad 1980-an berjaya menghasilkan golongan yang diistilahkan Melayu baru yang turut menjadi pemain penting sektor pentadbiran dan perusahaan.

Hari ini selepas 40 tahun, Kuala Lumpur bukan lagi kota yang perlu difikirkan mengenai agenda pembangunan, tapi bagaimana meneruskan kelangsungan perpaduan kaum. Pelbagai isu yang timbul wajar ditangani kerana kepelbagaian kaum dan agama mudah tersentuh dengan isu kecil hatta pembinaan pusat ibadat yang tidak mengikut pelan asal pun boleh dipolitikkan. Inilah Kuala Lumpur yang memerlukan kewarasan berfikir semua pihak.

Tuesday, January 14, 2014

Sasterawan bukan alat politik

Benarkah sasterawan di haluan sebelah sana dan kerajaan di sebelah sini? Di samping ada karya yang menyuarakan kehalusan akal budi, masih ada sajak, cerpen, drama dan novel yang menentang kerakusan kuasa, korup dan menelanjangi masyarakat bobrok. Apakah karya sedemikian dianggap berada di sebelah sana?

Timbalan Perdana Menteri,   Tan Sri Muhyiddin Yassin, masih yakin karyawan tempatan masih menyokong aspirasi kerajaan membangunkan negara.

Tindakan segelintir sasterawan bukan bermakna ramai yang mengambil keputusan memihak kepada pembangkang. Kehadiran Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad dan Azizi Abdullah sebagai calon PAS dan menyertai pilihan raya tidak semestinya menggambarkan ramai yang berada di sebelah sana.

Seperti juga kehadiran Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dalam majlis anjuran aktivis sosial bukan gambaran sebenar suara penentangan semakin banyak. Masih ramai penulis yang peka kepada hasrat kerajaan   berusaha memajukan sektor kreatif ke tahap yang lebih baik.  Peruntukan tambahan RM5 juta kepada Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) bagi membolehkan lebih banyak karya asli sastera dihasilkan penulis tempatan menjadi bukti kerajaan bersama mereka.

Pada 2011, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluluskan peruntukan RM5 juta kepada ITBM dan sepanjang tempoh dua tahun, ITBM berjaya mencapai sasaran menerbitkan 240 judul buku karya asli penulis tempatan.

  Muhyiddin ketika mengumumkan peruntukan tambahan berkenaan mengakui  kerajaan sudah mengambil pelbagai langkah proaktif, antaranya memberikan tanggungjawab kepada ITBM untuk memperbanyakkan penerbitan buku terutama karya asli penulis muda.

 “Sekiranya ada pihak yang mendakwa golongan sasterawan berada di haluan sana (pembangkang), pemimpin negara berhaluan sini, ia dakwaan yang tidak benar. Saya ingin menegaskan, sasterawan tetap memainkan peranan penting dalam membina Malaysia sebagai sebuah negara  yang maju dan makmur,” katanya.

Kita sedia maklum  industri kreatif  menjana pendapatan sebanyak RM16.1 bilion menjelang akhir tahun lalu.  Pada 2012,  industri kreatif  meraih pendapatan  RM7 bilion yang memberi sumbangan RM1.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Peningkatan berkenaan membuktikan  sumbangan sasterawan dalam pembangunan bangsa tidak diketepikan. Hari ini pembaca karya kreatif bukan lagi sekadar bahan bercetak semata-mata. Teknologi digital dan media baru memudahkan pembaca memuat naik hasil seni secara mudah dan dalam masa yang singkat.

Era sasterawan bernostalgia dengan karya yang diedarkan secara tradisional sudah berlalu. Kesungguhan kerajaan dan ITBM menerbitkan buku penulis tempatan amat dipuji kerana Dewan Bahasa dan Pustaka  (DBP) semakin mengendurkan operasi penerbitan karya kreatif.

 Isu kesusasteraan dan khalayak masih menjadi pertikaian umum. Meskipun semakin banyak majlis sastera diadakan di seluruh negara, karya kreatif yang benar-benar memupuk pembinaan modal insan masih berada pada tahap yang meragukan.

Kehadiran novel popular yang menjadi buruan remaja kurang membantu percambahan minda rakyat Malaysia. Sesebuah karya yang diulang cetak sebanyak lima kali bukan bermakna jaminan mutu. Perjalanan plot, perwatakan, pemikiran dan falsafah dalam sesebuah karya boleh membantu pembentukan minda dan sahsiah diri. Faktor ini kurang terserlah dalam kebanyakan karya popular.
Jika kerajaan sudah bermurah hati menaja pelbagai peruntukan bagi menyemarakkan kesenian tanah air, penulis pula perlu memikirkan karya bagaimana yang boleh membantu pembinaan sahsiah bangsa.

Isu ini bukan baru dan sudah lama diperkatakan karyawan seni dan sarjana sastera. Isu pokoknya adalah persediaan seseorang penulis untuk melahirkan karya berbobot. Anugerah Sasterawan Negara dan Anugerah Penulisan Asia Tenggara bukan gambaran keupayaan yang sepatutnya. Penulis perlu meneroka untuk meraih pencapaian yang lebih tinggi. Hadiah Nobel sepatutnya sudah dimiliki oleh rakyat Malaysia kerana pelbagai kemudahan yang ada. Malangnya kita masih jauh. Paling banyak yang berlaku sekarang adalah sorak sorai mengenai haluan penulis sama ada berada di sebelah sana atau di sebelah sini.  - Berita Harian, 14 Januari 2014

Friday, January 10, 2014

Sembang di laman sosial haram?

Ramai yang pernah  berbangga kerana  teknologi maklumat dan media sosial dianggap sebagai pemudah hubungan sejagat. Namun hari ini semakin ramai yang meragui fungsi internet. Kehadiran portal berita, laman sosial dan  ruang sembang (chatting) ada masanya meragukan.

Jika kehadiran internet yang diperkenalkan pada era pentadbiran Ronald Reagan di Amerika Syarikat (1981-1989) dianggap sebagai pencetus  revolusi  komunikasi abad 20, hari ini tanggapan sedemikian boleh dipertikaikan.

Apalah gunanya media sosial jika komunikasi yang sepatutnya menjadi pengerat hubungan sesama manusia menjadi penyebaran maklumat yang tidak tepat.

Penyebaran berita yang mempengaruhi orang ramai bertindak agresif bukanlah maklumat yang sepatutnya menjadi tumpuan massa.

Kehadiran  facebook, twitter, weChat dan whatsApp    yang digunakan oleh pemilik akaun untuk mempersoalkan akidah ummah, mendewakan ajaran Syiah dan memaparkan gambar yang kononnya tercatat  kalimah Allah pada badan haiwan bukanlah sesuatu yang memanfaatkan.

Ada juga yang menyalahi laman sosial untuk bersembang di antara lelaki dan wanita pada bila-bila masa dan di mana-mana saja. Sembang yang keterlaluan kerapnya akhirnya boleh membibitkan perasaan intim di antara satu dengan yang lain. Bayangkan jika seseorang suami menghubungi kekasih gelapnya -- isteri orang menerusi laman sembang. Bayangkan kesannya terhadap institusi kekeluargaan. 

“Keadaan ini berlaku kerana kualiti lelaki masa kini semakin merosot dan wanita semakin berjaya. Lelaki berusaha mendekati wanita yang sudah berjaya,” akui Naib Yang Dipertua PERKIM,  Datuk Nakhaie Ahmad.

Katanya, apabila semakin ramai  wanita berpelajaran tinggi dan mencapai status sosial yang baik, kesan psikologi terhadap kemasyarakatan semakin ketara.

“Kita boleh lihat statistik siswa lelaki yang hanya 30 peratus di pusat pengajian tinggi. Wanita menguasai pelajaran dan akhirnya menjawat jawatan yang tinggi. Lelaki semakin lemah, wanita pula tidak semestinya hebat. Justeru, berlaku sembang di laman sosial.

“Lazimnya wanita berpelajaran selesa dengan pekerjaan mereka tapi tidak semestinya dengan perkahwinan. Wanita berusia yang tidak berkahwin segan untuk berdepan dengan lelaki yang lebih rendah status sosialnya. Akhirnya mereka mendampingi laman sosial untuk mengelakkan kesunyian,” katanya.

Wanita yang berkahwin pula mengalami perasaan sepi apabila suami kerap berjauhan kerana tugasan. Akhirnya hubungan haram dengan lelaki lain berlaku secara sulit menerusi media sosial.

“Wanita berjawatan lazimnya mempunyai pandangan yang bebas dan pergaulan yang tidak terbatas. Mereka terdedah dengan pertemuan lain dan akhirnya terbawa-bawa ke alam maya,” katanya.
Nakhaie  bagaimanapun meragui sebarang fatwa yang boleh mengekang hubungan bebas menerusi laman sosial.

“Masyarakat kita sudah terpengaruh dengan budaya Barat. Apa yang melanda kita adalah ombak besar yang mengganas. Hubungan maksiat di media sosial berpunca daripada kesilapan kita menerima fahaman Barat. Hari ini gejala pluralisme, liberalisme, amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) semakin menjadi barah dalam masyarakat kita. Ajaran Syiah juga dikaitkan dengan seks bebas seperti amalan kahwin mutaah. Sembang di laman sosial sebahagian daripada kesan ledakan kehidupan yang semakin moden.

“Saya tidak yakin sebarang fatwa atau peraturan yang boleh mengekang sembang bukan mahram. Semuanya terletak kepada diri sendiri. Sama ada untuk menjadi lebih baik atau mempunyai kenalan di laman sosial. Lazimnya wanita kurang tahan dengan godaan lelaki,” katanya.

 Bagaimanapun fatwa pemimpin Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang mengharamkan sembang lelaki dan wanita bukan mahram mendapat reaksi mufti Pahang dan Pulau Pinang.
Sejauh mana Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) peka dengan isu yang membabitkan media sosial sekarang? - Berita Harian, 10 Januari 2013

Tuesday, January 07, 2014

Suhaimi penyair surealis, mistik versi Malaysia

Khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Datuk Jaafar Rahim pada Jumaat 3 Januari lalu amat memeranjatkan: “Penyair  Suhaimi Haji Muhammad meninggal dunia di Ipoh”.

Berita berkenaan  menggemparkan ramai teman penyair kerana Suhaimi adalah seniman yang amat komited dengan perjuangan seninya. Beliau secara tiba-tiba menghilangkan diri daripada khalayak sastera selepas bersara di  Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Suara dan kenyataan beliau mengenai persajakan  dan karya surealis tidak kedengaran lagi.

Khabarnya,  Suhaimi menjadi pemandu teksi sebaik saja meninggalkan DBP. Beberapa kenalan yang terserempak dengan beliau mengakui penyair berkenaan selesa dengan tugas barunya. Suhaimi bebas menemui orang ramai dan menilai erti kemanusiaan di jalan raya. Dia bebas dengan karya seni kerana tidak lagi terikat sebagai pegawai kerajaan yang perlu mematuhi etika dan peraturan tugas. Pengalaman berkenaan menyuburkan karya beliau sebagai salah seorang penyair yang membawa aliran surealis di Malaysia.

Penulis pernah  menemui beliau  di Rumah PENA. Suhaimi masih bersahaja, berhujah dengan ilmu dan jarang merendahkan karya penulis lain walaupun karya beliau dianggap melangkaui karya tempatan yang lain. Kami berbual seketika dan Suhaimi mengakui masih berpuisi, akan terus menulis  sajak sehingga akhir usianya. 

Pada dekad 1980-an, nama Suhaimi menjadi kemarahan sesetengah penulis. Beliau didakwa menuduh puisi yang mudah  difahami sebagai ‘sajak tahi’. Dakwaan berkenaan menyebabkan ada penulis yang berjauh hati dengan Suhaimi  walaupun kita akui beliau seorang yang sentiasa bersikap terbuka.

Pengalaman bersahabat dengan Suhaimi banyak mendedahkan perwatakan sebenar. Beliau tidak lokek mencurah ilmu kepada penulis muda dan sedia menjawab kritikan secara terbuka berdasarkan disiplin kesusasteraan itu sendiri.

Kami pernah berhujah di pejabat beliau di bangunan lama DBP bermula jam 3 petang. Perbualan kami berlanjutan sehingga jam 7 malam semata-mata untuk menjelaskan keraguan karya beliau yang dianggap mempunyai imej bercampur.

Penulis mempertikaikan puisi beliau bertajuk Malam Pengantin yang diksinya mengungkapkan ‘...habis malam timbullah malam, kapal tenggelam di daratan’. Fikiran logik tidak dapat menerima ungkapan berkenaan kerana selepas malam akan muncul waktu siang. Mustahil pula sesebuah kapal tenggelam di daratan.

Bagaimanapun Suhaimi  mempunyai hujah tersendiri kerana dalam tafsiran surealisme, seseorang pengantin baru  mahukan suasana malam berkekalan dan tidak menyedari munculnya suasana fajar keesokan harinya.

Beberapa teman menyuarakan  perasaan mereka di media baru sebaik berita kematian Suhaimi tersebar.  Zakaria Ariffin  merakamkan gambar keranda yang membawa jenazah ke perkuburan selepas solat Jumaat.

 Hari ini amat mustahil untuk kita menemui seseorang penyair yang amat komited menerbitkan karya. Suhaimi mempunyai ribuan karya yang sebahagian besarnya diterbitkan oleh DBP dan sesetengah dibiayai sendiri.  Beliau penyair paling banyak mempunyai kumpulan puisi selain Leo AWS,  membuktikan  penyajak kelahiran  Kota Lama, Kuala Kangsar pada 1934 ini  paling prolifik  di Malaysia.

Suhaimi pernah menjadi guru selepas menerima latihan di Maktab Perguruan Sultan Idris (1951-1954). Kemudian bertugas di DBP pada  1975 -1989.
Cerpen pertama terbit di Singapura pada 1950.  Kebanyakan kumpulan sajak terawalnya berunsur surrealisme dan mistikisme dan sukar difahami, termasuk oleh pengkritik sastera. Namun begitu, menjelang  2000,  puisi Suhaimi dilihat cenderung  unsur sufi atau ketuhanan.

Puisi beliau memenangi Hadiah Sastera Malaysia pada  1971 dan 1987. Suhaimi juga memenangi  Hadiah Puisi Berunsur Islam pada 1981. Pada 1987 beliau menerima  Anugerah Penulis Perak  kerana pencapaian dan sumbangan dalam karya kreatif dan nonkreatif.

Suhaimi menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara daripada kerajaan Thailand pada 1995 dan Anugerah Yayasan Kesenian Perak pada  1998.

 Hari ini Suhaimi sudah tiada namun peminat seni masih boleh memahami kehidupan dan pengalaman menerusi kumpulan puisi.  Simfoni Perjalanan, Jalan Ke Kotaku,  Tulisan di Kamar Tidur, Lain Jiwa Lain Wajah, Kelahiran Seorang Anak,  Bunga di Atas Batu,  Bumi Hijau,  Lilin Seinci,  Bulan Purnama,  Menganyam Bulan dan  Menterjemah Bintang sebahagian daripada pengalaman seni Suhaimi. Semoga roh beliau diberkati Allah. - Berita Harian, 7 Januari 2014

Wednesday, January 01, 2014

Kuala Lumpur malu daulatkan kesenian

Benarlah kata seniman, Kuala Lumpur kurang seni dan   budaya. Kuala Lumpur juga terlalu asing bagi pencipta seni bina apabila banyak bangunan yang menggapai awan tidak mempunyai ciri warisan tempatan.  Kecuali Menara Bumiputra, Menara Telekom, Menara Berkembar Petronas dan beberapa lagi, tidak banyak bangunan yang menggambarkan seni bina  tempatan.

  Lebih malang apabila banyak nama premis yang tidak menggambarkan ciri asal penduduk Nusantara.  Empire Tower,  Menara Multi Purpose,  Capital Square Condominiums,  Wisma Goldhill, Menara Keck Seng, Park View Service Apartment - tidak menggambarkan kewujudannya di Lembah Klang. Namun hakikatnya, inilah Kuala Lumpur, kota yang megah dengan nama tapi segan untuk mendaulatkan karya ke tahap  sepatutnya.

  Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur pernah menjanjikan penyediaan ruang selesa untuk seniman berkarya pada 1987. Beliau membayangkan Dataran Merdeka yang ketika itu dalam proses pembinaan akan memberi ruang kepada seniman berkarya.  Ketika itu gerakan seniman jalanan hampir memeriahkan Kuala Lumpur setiap malam minggu.
 
Baca puisi, aksi spontan teater di bawah tiang lampu dan persembahan  Sani Sudin bersama Kopratasa yang menyanyi dan berceloteh menarik perhatian ramai. Tepian pasar budaya dan Jalan Chow Kit dihidupkan oleh Pyanhabib, Khalid Salleh, Halim Yazid, Ladin Nuawi, Siso dan Imuda dengan aksi spontan. Mereka di antara seniman jalanan yang akhirnya membesar dengan karya seni  menarik.

  Hari ini ruang untuk berkarya hampir  tidak ada lagi. Malahan seniman yang berhajat membuat persembahan jalanan diarahkan membayar  kepada Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL).

 Banyak juga acara sastera secara formal anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan DBKL juga tidak ada lagi. Pengucapan Puisi Kuala Lumpur yang mengundang penyair ternama dunia sudah dua dekad berlalu. Ia mampu bertahan beberapa tahun dan kini hanya menjadi sisa kenangan. Begitu juga Baca Puisi DBKL yang dianjurkan di Jalan Raja Laut hanya bertahan seketika. Majlis yang digerakkan oleh penyair Abdulaziz HM kini hampir dilupakan masyarakat kota raya.

  DBP juga yang suatu ketika memperkenalkan penataran sastera  bertujuan pendedahan sasterawan muda ke Indonesia hanya berjalan beberapa tahun. Program berkenaan berjaya memberi pendedahan kepada beberapa penulis muda berkenalan dengan tokoh kesenian di Jakarta tapi malangnya berakhir tanpa tindakan susulan.

  Ketika Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang menjawat Penasihat Sastera Maybank (1991-2001), beliau menggerakkan program baca puisi bulanan dengan mengundang ramai penyair terkenal tempatan dan luar negara termasuk WS Rendra. Program berkenaan mendapat sambutan ramai kerana pembabitan badan korporat dalam bidang kesenian  dianggap sesuatu yang mustahil di negara ini. Majlis ini juga berlalu tanpa upaya meneruskan aktiviti seni.  Persoalan yang timbul ialah apakah acara seni memerlukan pembabitan tokoh politik sebagai penggerak?

 Ketika itu ada individu yang berkuasa meminati karya seni, justeru, acara kesenian menjadi tugasan negara. Hari ini keadaan sudah berubah apabila banyak majlis diadakan bagi mengisi jadual kegiatan semata-mata.

  Kita berharap jaminan  Timbalan Perdana Menteri,  Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa  kerajaan terus memberi penekanan kepada perkembangan industri kreatif yang dijangka menjana pendapatan sebanyak RM16.1 bilion menjelang akhir tahun ini tidak mati di tengah jalan. Kita akui  industri kreatif  berada di landasan  kukuh apabila meraih pendapatan  RM7 bilion yang memberi sumbangan RM1.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lalu.

  Bagaimanapun karya seni tidak seharusnya digandingkan dengan perkiraan untung dan rugi semata-mata. Ia harus dimartabatkan sebagai penggerak minda dan pengasuh jiwa manusia menjelang 2020.
 
Kemajuan seni tidak bermakna jika Kuala Lumpur gagal menempatkan diri sebagai kota seni terkemuka di rantau ini. Jika kota raya terdekat seperti Bangkok, Jakarta dan Hanoi dikenali dengan kegiatan seni, Kuala Lumpur harus berubah daripada kota batu yang kaku dan bisu kepada ruang untuk menyuarakan isi hati warganya. Hal ini boleh dicapai jika ada iltizam. DBP, DBKL, badan korporat  dan Kementerian Wilayah perlu kaji isu ini bagi memastikan Kuala Lumpur berkembang dari segi ekonomi dan kemanusiaan. - Berita Harian, 31 Disember 2013

Tuesday, December 24, 2013

Bersederhanalah sambut tahun baru

Kita bakal sambut tahun baru dengan
 kenaikan harga barang. 2014 untuk kita lebih bersabar.
Kita sudah berada pada penghujung 2013 dengan pelbagai kemungkinan dan harapan yang bakal menjelma pada 2014. Bagi kebanyakan insan, tahun baru adalah permulaan kepada tulisan di buku catatan dengan rangka tugasan yang kian mencabar.

 Setiap tahun apabila Krismas menjelang, perayaan sambutan tahun baru tidak dapat dielakkan. Malaysia bersama masyarakat dunia  tidak terkecuali mengumumkan cuti umum pada 1 Januari setiap tahun bagi meraikan detik baru dalam kehidupan insani.

 Malam tahun baru yang diraikan selepas senja 31 Disember dicatat sebagai  hari terakhir dalam  kalendar Gregorian. Banyak negara Barat menyambut tahun baru dengan majlis pesta atau berkumpul bersama ahli keluarga dan sahabat. Amalan yang memabukkan dilakukan dengan alasan menamatkan kegetiran pada tahun ‘lama’. Amalan berkenaan tidak sesuai dengan masyarakat Malaysia yang berlandaskan  Islam dan budaya ketimuran.

 Negara di kepulauan  Pasifik lebih awal menyambut tahun baru kerana edaran bulan dan matahari lebih cepat. Justeru, amalan setempat di Kiribati dan Samoa yang sesetengahnya masih mengamalkan ateis melakukan pelbagai aksi aneh bagi meraikan tahun baru yang dianggap meriah. Hal ini berbeza dengan penduduk Honolulu, Hawaii yang lambat meraikan pesta tahun baru kerana faktor geografi. Banyak acara baca puisi dan mantera dilafazkan bagi meraihkan peralihan tahun. Peranan seniman, penyair dan pawang  amat berkesan dalam usaha memeriahkan tahun baru di kepulauan Pasifik.

 Kuasa besar ekonomi dunia, Amerika Syarikat (AS) yang mempelopori gaya hidup bebas meraikan tahun baru sejak lebih 100 tahun lalu. Gaya hidup AS yang santai mempengaruhi generasi muda negara lain. Orang ramai membanjiri Times Square untuk menanti detik 12 malam yang turut disiarkan di kaca televisyen. Sejak abad lalu sambutan tahun baru dimulakan dengan tradisi penurunan bola raksasa di Times Square. Pemuzik jalanan, pelukis, penyair dan pelawak membawa aksi tersendiri.  

Kebanyakan  kota besar di Australia pula meraikan malam tahun baru dengan cahaya bunga api. Di Perth, Australia Barat, bunga api diluncurkan dari tongkang di sepanjang Sungai Swan. Di Brisbane, orang ramai berkumpul di sekitar Sungai Brisbane untuk menyaksikan pertunjukan bunga api. 
 Ramai seniman memberi analogi bola sepak dan tahun baru adalah pesta yang menakjubkan di Brazil. Malam tahun baru yang disebut Vespera de Ano Novo adalah perayaan meriah, selain lima kali memenangi bola sepak Piala Dunia. Nama Pele, Ronaldo dan Romario bersemarak dalam puisi dan karya jalanan. Wartawan meramalkan sambutan tahun baru kali ini lebih meriah kerana Brazil bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia 2014. Pesta di sepanjang pantai Copacabana di Rio de Janeiro akan diserikan dengan nyanyian lagu puisi bagi meraikan  sambutan 2014.
  
 Kota besar lain seperti London tidak terkecuali menyerikan sambutan dengan tembakan bunga api di  London Eye, seperti juga tembakan meriam dari Istana  Edinburgh, Scotland. Bagi peminat muzik yang pernah mengalunkan  ‘Auld Lang Syne’ yang sering digunakan sebagai lagu penutup tahun bagi pesta yang dinamakan  ‘Hogmanay’, mereka wajar berterima kasih kepada penyair Robert Burns yang melahirkan puisi indah untuk lagu berkenaan. Lirik puitis menggambarkan kesayuan berpisah dengan tahun lama kerana tahun baru belum tentu menjanjikan kenangan yang lebih manis.

Masyarakat Denmark pula berpuisi dan berpidato ketika meraikan tahun baru. Malam tahun baru yang disebut ‘nytarsaften’ adalah detik kemuncak yang menggambarkan warisan tradisi dan cita-cita masa depan. 

 Bagaimanapun keanehan berlaku di Ecuador yang  memiliki tradisi unik dalam merayakan malam tahun baru. Tokoh yang tidak disukai seperti ahli politik yang dibenci dijadikan model orang-orangan daripada jerami, pakaian usang dan topeng kertas. Model berkenaan dibakar selepas tengah malam sebagai tanda menolak bala. Sekali lagi puisi dan mantera memeriahkan majlis dengan tarian sewang yang bercanggah dengan nilai normal antarabangsa.

 Bagi kebanyakan negara Arab dan Afrika, sambutan tahun baru sering dilagukan dengan nyanyian tradisi, mantera dan syair klasik. Unsur kabilah, suku dan resam tempatan menjadi pengiring semangat menjelang tahun baru.

 Bagaimanapun kita di Malaysia yang mengamalkan sikap sederhana, wajar  2014 diraikan dengan kewarasan. Tidak salah baca puisi atau nyanyian artis terkenal tetapi jangan abaikan resam tempatan. Nilai Islam perlu diamalkan agar 2014 membawa rahmat kepada kita semua. - Berita Harian, 24 Disember 2013
 

Tuesday, December 17, 2013

Tradisi akal sepatutnya dicapai menjelang 2020

Tidak sampai tujuh tahun lagi untuk Malaysia mencapai status negara maju. Apakah kita sekadar  maju dari segi ekonomi tapi masih samar dalam  tradisi intelektual dan budaya membaca?
Apakah 2020 sekadar pencakar langit tapi rakyatnya kurang berbudaya -- tersasar daripada kehidupan akal budi dan tidak mesra tetangga serta pupusnya tradisi muafakat?

Persoalan ini sering dilontarkan dalam kalangan sarjana, budayawan, cendekiawan dan intelektual.
Mungkinkah kita sekadar mengisi poket tapi kosong akal dan perasaan? Segala-galanya masih misteri kerana status negara maju bagi sesebuah negara ketiga jarang memenuhi kriteria yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

 Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)  menetapkan sesebuah negara maju mempunyai budaya membaca yang tinggi dan sektor penerbitan memenuhi keperluan massa.

 Penerbitan judul buku setahun adalah satu peratus daripada jumlah penduduk. Malaysia yang mempunyai 28 juta penduduk sepatutnya memiliki 28,000 judul bahan bacaan. Tapi sehingga kini angka tersebut sukar dicapai. Persoalan lain yang timbul adakah semua bahan bacaan terbitan tempatan memenuhi keperluan minda?

Kita harus akui banyak buku agama diterbitkan, seperti juga banyak novel dan panduan motivasi menjenguk kedai buku dan dewan pameran. Apakah bahan berkenaan memenuhi keperluan intelektual atau sekadar usaha penerbit dan penulis untuk meraih keuntungan segera semata-mata mengesani keghairahan awam untuk membaca?

Sehingga kini isu buku, penerbitan, bahan bacaan dan tradisi intelektual tidak pernah reda daripada polemik. Memenuhi kedai buku dengan bacaan yang kurang bermutu tidak menggambarkan budaya membaca yang sewajarnya. Penerbitan cerita hantu, jin dan jimak cara Islam bukan gambaran tepat untuk mengatakan bahan bacaan berunsur keagamaan semakin didekati rakyat Malaysia. Kualiti bahan bacaan sering dipertikaikan, justeru, tidak menghairankan apabila ada yang sinis setiap kali pesta buku diadakan  setiap tahun.

Dalam masa dua bulan ini ada dua pesta buku diadakan di Lembah Klang. Pada peringkat negeri juga tidak terkecuali pameran buku diadakan, kononnya untuk menggalakkan budaya membaca. Namun lihatlah novel yang bagaimana menjadi santapan minta remaja dan wanita kita? Kaji juga kenapa  plot ala ‘Ombak Rindu’ mendapat perhatian ramai dan penerbit pula meraih keuntungan yang luar biasa walaupun penulisnya masih dinafikan royaltinya.

Banyak penulis yang mendakwa dieksploit oleh penerbit. Novel yang laris kebanyakannya dibayar secara langsai  tanpa perkiraan dari segi ulang cetak. Ada penulis yang merungut apabila penerbit menjualkan naskhah novel kepada pengusaha filem dan akhirnya diadaptasi sebagai skrip. Filem yang laris dengan keuntungan berjuta bukan jaminan penulis novel mendapat royalti atau honorarium. Isu kontrak di antara penulis dan penerbit tidak pernah selesai. Banyak penulis yang mengharapkan wang segera menerusi  royalti tanpa mengkaji terma  sesebuah karya diulang cetak. Isu lebih besar berlaku apabila karya dipindahkan ke medium lain, novel menjadi skrip filem atau drama tanpa jaminan seseorang penulis mendapat hak mereka.

Isu ini menggambarkan hak kreatif bukan  gambaran hak cipta sesebuah karya dan penerbit masih bebas melakukan tindakan yang bertentangan dengan prinsip keikhlasan.
Inilah konflik yang berlaku dalam sektor penerbitan dan akhirnya memberi kesan kepada seseorang penulis  sendiri. Kemelut sebegini tidak berlaku di negara maju tapi kerap berlaku di Malaysia yang bakal melangkah negara  maju tidak lama lagi.

Sehingga kini masih kabur mengenai  jumlah penerbitan buku setiap tahun. Kita yakin  rekod pengeluaran nombor siri (The International Standard Book Number - ISBN) buku yang dikeluarkan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) tidak meliputi karya yang dikeluar golongan persendirian dengan kadar edaran yang rendah. Ada sesetengah penyair dan cerpenis menerbitkan sendiri karya mereka serta diedarkan pada majlis seni seperti Hari Sastera Nasional. Karya yang diedarkan secara kecilan bukan realiti  sesebuah buku dibaca oleh lima orang, yang bermakna karya  diterbitkan 1,000  naskhah akan dibaca oleh 5,000 penelaah. Mustahil tradisi membaca karya yang baik berakar umbi di negara kita, justeru, jangan terperanjat pembentukan negara maju sekadar angka dan graf ekonomi, bukannya pembentukan akaliah dan nilai budi warganya. - Berita Harian, 17 Disember 2013 

Tuesday, December 10, 2013

Faisal Tehrani, JAKIM wajar berwacana

Kita  wajar menerima Faisal Tehrani sebagai penulis kreatif tempatan paling menonjol pada dekad ini. Karya, catatan dan pemikirannya menjadi tumpuan ramai. Novelnya dianggap   visi baru selepas dua Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan Datuk Shahnon Ahmad meneroka pemikiran kritis  menerusi Daerah Zeni, Hujan Pagi, Sutan Baginda, Tok Guru dan Shit.

Faisal menerusi novel Perempuan Nan Bercinta dan Sebongkah Batu di Kuala Berang; kumpulan cerpen Tiga Kali Seminggu, drama pentas Karbala dan kumpulan puisi Ingin Jadi Nasrallah mempunyai idea yang tersendiri dan wajar diwacanakan.  Karya berkenaan diragui  kerana dianggap bertentangan dengan pemikiran massa di negara ini.

Jika benar penulis berkenaan terbabit dalam penyebaran ajaran Syiah, beliau perlu dikenakan tindakan. Jika tiada bukti, Faisal wajar dibenarkan berkarya kerana kaedah kajian hasil kreatif tidak sama dengan matematik atau sains.

Isu Syiah memerangkap penerima Anugerah Seni Negara pada  2006 ini. Adakah benar beliau penganut Syiah atau sekadar mengemukakan latar belakang Iran dalam karya sebagai suatu kelainan berbanding karya tempatan yang lain?

Dalam konteks semiotik, Faisal dan Iran ada hubungan  tersendiri. Kewujudan ‘Tehrani’ pada hujung nama mungkin membawa maksud Teheran iaitu ibu negara Iran. Hanya  Mohd Faizal Musa yang memahami maksud nama samarannya.

 Faisal mempunyai pengaruh yang tersendiri terutama dalam kalangan generasi muda. Novel 1515, 1511H Kombat, Perempuan Politikus Melayu,  Detektif Indigo, Advencer Si Peniup Ney, Bedar Sukma Bisu dan Cinta Hari-Hari Rusuhan menjadi kesukaan generasi muda.

Pemikiran dan persoalan yang ditampilkan dalam karya berkenaan dibincang dan diperdebatkan. Isu Syiah tidak diperkatakan sebelum ini. Untuk lebih adil, karya yang diharamkan wajar didedahkan secara umum. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan   Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu membuat penjelasan secara terbuka agar kontroversi yang melanda Faisal dapat dihuraikan secara terperinci, berhemah dan bertanggungjawab.

Kita menentang sebarang unsur Syiah dalam masyarakat kerana boleh menjejaskan keharmonian umat Islam.  Bagaimanapun Faisal perlu diberikan keadilan. Pihak yang mendapati karya beliau bertentangan dengan nilai tempatan wajar memberi penjelasan. Huraikan bab mana yang mengandungi unsur Syiah. Perjelaskan ungkapan yang dikaitkan dengan Syiah sehingga dianggap mengancam kebebasan beragama dan merosakkan akidah umat Islam.

Isu pengharaman karya bukan sesuatu yang baru di Malaysia. Faisal mungkin pengarang generasi baru pertama yang karyanya diharamkan. Sebelum ini karya Pak Sako diharamkan  British kerana satiranya dianggap menjejaskan kepentingan penjajah. Buku ilmiah Pendeta Za'ba juga  pernah diharamkan pihak berkuasa agama di sebuah negeri kerana sebab yang masih menjadi rahsia umum.

Beberapa karya yang dianggap keterlaluan bebas tersiar sebelum ini walaupun menimbulkan kemarahan umum. Shanon dengan novel Shit  memburukkan pemimpin negara hampir 15 tahun lalu. Yahaya Ismail menerusi cerpen Maharaja Beruk secara keterlaluan membandingkan individu tertentu dengan perangai haiwan yang suka mencakar dan menggigit. Mereka terlepas daripada tindakan pengharaman.

  Kassim Ahmad pernah diharamkan bukunya kerana mengusulkan  penilaian semula hadis. Sajak beliau Sidang Roh menjadi kontroversi kerana diksi ‘...nanti akan padamlah dengan sendiri/ lampu dari menara tinggi/ karena di bawahnya orang kian mabuk/dan Tuhan sudah mati’. Ungkapan ‘Tuhan sudah mati’ dalam konteks sajak berkenaan ditujukan kepada golongan yang ingkar kepada agama dan bukan menggambarkan kehidupan Kassim sendiri.

  Kita harap isu yang melingkari karya sastera tempatan tidak menjejaskan kreativiti, semangat dan keinginan penulis untuk melahirkan karya berbobot.

Jika  Faisal  disahkan berfahaman Syiah, beliau wajar ditarbiah dan dikenakan tindakan berlandaskan perundangan yang ada.  Beliau perlu diberi peluang membela diri dan JAKIM pula wajar memberi penjelasan secara terbuka dan ilmiah bagi mengelak tindakan agensi berkenaan dipertikaikan.
Faisal  mahu mengemukakan isu pengharaman novel ke peringkat antarabangsa termasuk  dirujuk kepada  badan hak asasi  Front Line Defenders serta pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kita harap isu sebenar terserlah tidak lama lagi.

Saturday, December 07, 2013

Mandela, sebuah perjuangan hakiki



MANDELA pejuang yang membayar harga
tinggi demi keyakinan kepada keadilan sejagat.
Dunia bagai berhenti beredar seketika menerima perkhabaran kematian bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela di kediamannya di Johannesburg semalam. Jasa, perjuangan dan kecekalan memperjuangkan kulit hitam sudah sinonim dengan lelaki berusia 97 tahun itu. Kematiannya mengingatkan kita penderitaan beliau yang menghidap  jangkitan paru-paru serta batuk kering ketika berada di penjara selama 27 tahun.

 Beliau membayar harga yang tinggi untuk perjuangan politiknya, sekali gus meragut kebebasan peribadi. Beliau juga menemui kejayaan selepas menumbangkan dasar aparteid bagi hak sama rata kulit hitam. Namun pada masa yang sama beliau terpaksa membayar harga yang tinggi apabila rumah tangganya bersama Winnie Madikizela musnah kerana perbezaan pendekatan siasah.

 Kematian Mandela tercatat dalam khazanah sejarah. Penerima Anugerah Nobel ini adalah Presiden Afrika Selatan pertama yang dipilih secara demokrasi selepas dibebaskan pada 1990. Kematiannya  diumumkan oleh Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma dengan nada yang sebak.

 “Kini beliau pergi dengan aman untuk selama-lamanya,” kata Zuma yang turut bersedih. Pengebumian negara akan dilakukan untuk Mandela dan Zuma mengarahkan semua bendera dikibar separuh tiang mulai semalam sehinggalah pengebumian tokoh negara itu.

 Mandela atau nama sebenarnya Nelson Rolihlahla Mandela dilahirkan pada 18 Julai 1918 di Mvezo, sebuah desa kecil di tepi Sungai Mbashe, di daerah Umtata, ibu kota Transkei (kini sebahagian wilayah Eastern Cape), Afrika Selatan pada 18 Julai 1918.

 Ayahnya, Gadla Henry Mphakanyiswa, adalah Penasihat Pengadilan Tinggi di Thembuland di bawah pemimpin tertinggi David Dalindyebo. Mandela menamatkan pendidikan menengah di Healdtown Methodist Boarding School dan mendapat ijazah Sarjana Muda Perniagaan di Universiti Fort Hare. Sebagai ahli Majlis Perwakilan Pelajar (SRC), beliau  bersama Oliver Tambo menganjurkan mogok sebagai lambang penentangan dasar  aparteid. Ribuan pelajar memberontak dan Mandela akhirnya  dibuang dari universiti berkenaan pada 1940.

 Beliau  kemudian melanjutkan pendidikan melalui program jarak jauh di University of South Africa (UNISA) di Johannesburg. Selepas  mendapat ijazah dalam bidang perniagaan, beliau  mendaftar dalam program LLB (Sarjana Muda Undang-Undang) di Universiti Witwatersrand.

 Pada  1944, Mandela membentuk Liga Pemuda Kongres Kebangsaan Afrika (ANC Youth League). Beliau  dilantik Ketua Sukarela Kebangsaan untuk program yang dikenal sebagai Kempen Penentangan pada 1952. Mandela menjelajah seluruh negara bagi menggerakkan  penentangan terhadap undang-undang aparteid.  Mandela dan  Tambo menubuhkan firma guaman kulit hitam yang pertama di Afrika Selatan, dengan tujuan menentang undang-undang kejam kulit putih.

 Parti ANC diharamkan selepas pemberontakan di Sharpeville pada   1960 dan Mandela ditahan beberapa kali, namun semangat perjuangan tidak padam begitu saja. Mandela masih meneruskan perjuangan dan menjalankan aktiviti bawah tanah sambil memimpin organisasi menuntut kehidupan kebangsaan yang baru, bebas  pengaruh aparteid.

 Umkhonto we Sizwe sayap militer  ANC dibentuk pada tahun yang sama dengan Mandela sebagai pemerintah tertingginya. Di bawah pimpinannya, Mandela  melancarkan sabotaj terhadap rejim kulit putih. Setahun kemudian, Mandela meninggalkan tanah airnya untuk mendalami latihan ketenteraan di Algeria.

 Selepas  kembali, Mandela ditahan dengan alasan meninggalkan negara secara haram dan menghasut   rakyat untuk merusuh. Beliau  didakwa bersalah dan dikenakan hukuman penjara selama lima tahun pada November 1962. Sewaktu di penjara, beliau juga  didakwa dalam perbicaraan Rivonia, atas tuduhan melakukan sabotaj dan dipenjarakan seumur hidup.

 Mandela pernah  mencadangkan semua aktivis masyarakat menjadikan  setiap rumah menjadi pusat ilmu. Pulau Robben tempat beliau  dipenjarakan dijadikan pusat perkembangan ilmu dan Mandela mengadakan kelas pendidikan politik. Beliau tidak pernah berkompromi dari segi prinsip politiknya dan menjadi sumber kekuatan  banduan  lain di penjara. 

 Pada 1970-an, Mandela menolak tawaran pengurangan hukumannya dengan mengiktiraf Transkei sebagai sebuah penempatan  dan bersetuju untuk tinggal di sana.  Pada 1980-an, beliau  enggan menerima tawaran  untuk membebaskannya. Selepas menolak beberapa tawaran bersyarat rejim Afrika Selatan, Mandela hanya  dibebaskan pada 11 Februari 1990. Akibat tentangan hebat  ANC dan tekanan antarabangsa, Presiden FW de Klerk terpaksa akur dan membebaskan semua tahanan politik termasuk Mandela dan juga mengakhirkan pengharaman ANC. Pada 10 Mei 1994, Mandela dipilih sebagai Presiden kulit hitam pertama di Afrika Selatan.

Namanya melonjak dalam kalangan dunia ketiga kerana kejayaan membentuk era politik baru di Afrika Selatan dan Afro-Asia. Mandela berjaya membentuk hala tuju politik baru yang bukan bersandarkan kepada warna kulit.

Dalam konteks antarabangsa, sumbangan beliau diakui ramai. Suara kebebasannya bergema di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan dianggap mewakili benua Afrika dan Asia. Beliau juga lantang menyuarakan kepentingan dunia ketiga dalam persidangan negara berkecuali dan Komanwel.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Mandela negarawan bertaraf dunia yang sukar dicari ganti. "Mandela seorang negarawan keamanan dan sememangnya anak lelaki yang gagah dan pemimpin yang hebat di Afrika Selatan. Moga rohnya bersemadi dengan aman," katanya.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengulas kematian Mandela semalam berkata: "Pemergiannya  suatu kehilangan besar bagi saya dan semua rakyat Afrika. Mandela bukan saja sahabat sejati, tetapi juga pemimpin yang amat dikagumi. Jika  ditanya siapakah pemimpin yang pernah saya jumpa yang paling saya kagumi, tanpa teragak-agak saya akan menjawab, Nelson Mandela," katanya yang pernah menerima kunjungan tokoh berkenaan di Kuala Lumpur pada  Mac 1997.
 Malaysia juga menganugerahkan  Anugerah Keamanan Global Mahathir kepada tokoh besar itu. Malangnya beliau tidak dapat datang ke Kuala Lumpur  kerana keuzurannya. - Berita Harian, 7 Disember 2013 
 

Friday, December 06, 2013

Mandela ke perjalanan jauh

18 Julai 1918 - 5 Disember 2013

Thursday, December 05, 2013

Gema Hati Anak Alam

Pelancaran pameran lukisan Gema Hati di lobi utama Balai Berita, The New Straits Times Press (NSTP), Kuala Lumpur kelmarin mengingatkan kembali era 1970-an dan 1980-an di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

 Jika dulu   bangunan lama di Padang Merbok menjadi tumpuan anak muda berkarya, berwacana, melukis dan mendeklamasikan puisi, kini Balai Berita mengumpul seniman tersohor Anak Alam yang kelibat sesetengah mereka jarang diperkatakan lagi.

 Pameran lukisan  Mazlan Noor dan Hassan Abdul Majid boleh mengingatkan kembali era tiga  dekad lalu apabila calitan warna, garis dan titik mempunyai suara yang tersendiri, lalu bercerita mengenai alam, kehidupan, kesepian dan harapan hari muka.

 Majlis yang  diserikan bicara seni  Dr Siti Zainon Ismail, serta deklamasi puisi oleh  Khalid Salleh,  Pyanhabib,  Marzuki Ali,  Prof Dr Mohamad Hatta Shaharom, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Yassin Salleh dan Ayesha Scott Abdullah berlangsung secara santai tetapi meriah.

Lagu puisi pula  didendangkan oleh  Kopratasa dan  Pak Pandir yang mengisahkan perjuangan Mazlan sebagai pelukis dan seniman bakat alam.

   Majlis  anjuran Media Prima Bhd (MPB) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu,   dirasmikan oleh  Sasterawan Negara (SN) ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan, yang turut berkisah sejarah perjuangan dua pelukis yang pernah menjadi tenaga seni terpenting di DBP.

 Majlis  berkenaan  mengembalikan nostalgia kalangan seniman yang suatu ketika dulu bergabung secara santai, berpuisi, melakar pada kanvas dan akhirnya menjadi gerakan seni yang luar biasa di Malaysia.

 Ada kalangan sarjana yang menafsirkan Anak Alam sebagai gerakan terancang walaupun mereka mengakui  kebanyakan seniman di Malaysia hidup secara mandiri, berjuang tanpa sokongan yang secukupnya daripada birokrat seni atau badan korporat.

 Kita masih ingat laman Padang Merbok di antara medan pertemuan penulis bakat baru  pada 1987 yang akhirnya diterjemahkan dalam bentuk formal yang dikenali Perhimpunan Penulis Muda Malaysia.

 Penulis turut terbabit dalam gerakan berkenaan yang akhirnya mendapat restu daripada Tan Sri Ismail Hussein sebagai Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (GAPENA).  Dua Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan Datuk Usman Awang serta  beberapa rakan di DBP terutama Datuk Johan Jaaffar yang   turut berada di belakang kami untuk  memeriahkan majlis di Padang Merbok.
 Tanpa sokongan rakan di Rumah Anak Alam ketika itu terutama Abdulaziz HM, Khalid, Marzuki dan Ladin Nuawi, mustahil Perhimpunan  Penulis Muda Malaysia tercapai dan mungkin 1987 tidak mencatat sejarah besar dalam konteks kesusasteraan di Malaysia.

 Hari ini Anak Alam sudah menjadi tinggalan sejarah. Sisa lampau  masih tersemat di pedalaman jiwa seniman Malaysia. Tokoh besar seperti  Usman, Siti Zainon, A Ghafar Ibrahim, Dr Ibrahim Ghafar, Khalid,  Abdulaziz HM dan  Pyanhabib sudah meninggalkan kesan yang luar biasa dalam pelbagai genre.  Johan, Dinsman, Sutung Umar RS dan  Ladin  juga turut dewasa bersama Anak Alam dan kini membawa haluan masing-masing.

 Mustahil pameran lukisan Gema Hati mengembalikan era lampau sepenuhnya. Setidak-tidak ia menjadi upaya Media Prima untuk mempertemukan rakan lama yang kini sudah berada pada suasana dan usia yang jauh berbeza.

Kita mengharapkan Anak Alam kembali hidup pada alaf ini kerana kesan perjuangan mereka sukar dinilaikan dengan kata-kata. Semangat, keikhlasan dan jiwa kesenimanan perlu dihidupkan agar Kuala Lumpur bukan sekadar kota batu, bahkan ada ruang untuk seniman berkarya.

 Kita rasa ralat apabila dua bangunan usang di Jalan Padang Merbok diruntuhkan demi melaksanakan misi pembangunan. Ia menyebabkan  seniman bertaburan,  tanpa tempat khusus untuk terus berkarya. Kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan wajar menyediakan tapak untuk lokasi seniman berkarya.

 Kita akui Rumah PENA dan Rumah GAPENA tidak mampu menampung kehidupan seniman berkarya sepenuh masa. Hanya Rumah Anak Alam yang boleh menyediakan ruang tapi malangnya sehingga kini tiada upaya untuk menghidupkan semula. Kita berharap  Gema Hati bukan sekadar mempamerkan  karya, bahkan menjadi gerakan awal untuk menghimpun dan menghidupkan semula Anak Alam dalam bentuk baru. Media Prima, DBP dan badan penulis perlu fikirkan hal ini. - Berita Harian, 5 Disember 2013

Wednesday, December 04, 2013

Kenapa perlu Mao?

Tiada alasan untuk mana-mana pihak memberi cadangan menghidupkan semula Parti Komunis Malaya (PKM) kerana ia tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa. Bukan saja majoriti rakyat Malaysia menolak ideologi komunis, malah masyarakat dunia kini tidak dapat menerima fahaman komunis yang berjuang untuk mendapatkan kuasa melalui kekerasan dan bertentangan dengan sistem nilai sejagat. PKM sebahagian daripada sejarah lampau yang menakutkan dan meninggalkan sejarah hitam di negara ini. Keganasan mereka sejak diasaskan pada 20 April 1930 tidak boleh dimaafkan oleh mereka yang cintakan keamanan. Pengisytiharan darurat dari 1948 hingga 1960 mencatatkan 11,000 nyawa yang terkorban, termasuk 2,500 orang awam. Ia membuktikan fahaman militan PKM tidak lagi sesuai dengan kehidupan rakyat Malaysia. Justeru, kita rasa hairan dengan pandangan yang diluahkan ahli panel pada sebuah forum di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Mereka sepatutnya mengkaji sejarah perjuangan komunis yang menafikan hak awam dan bertentangan dengan nilai kemanusiaan. Paling penting selidik juga kepentingan perpaduan dalam masyarakat yang mempunyai kepelbagaian bangsa, agama dan resam agar tidak menimbulkan masalah keselamatan dan keamanan pada masa depan. Kita tidak mahu ketegangan yang dicetuskan pada era darurat dan Peristiwa 13 Mei 1969 berulang.
Kita yakin pihak berkuasa akan menyiasat pandangan ahli panel berkenaan walaupun sekadar diluahkan pada forum dengan hadirin terhad. Bagaimanapun, kita akui ideologi komunis tidak mungkin terhapus dengan mudah walaupun pertubuhan mereka sudah tidak wujud. Mereka cuba menghidupkan ideologi yang bukan saja bertentangan dengan nilai masyarakat, bahkan menolak fahaman beragama. Hari ini kecenderungan mempersendakan Islam secara terbuka berlaku terlalu kerap seolah-olah ada perancangnya. Tidak terkecuali juga tindakan mempersendakan Raja-Raja Melayu dan menganggap sistem feudal itu sebagai ketinggalan zaman. Kita juga wajar berwaspada dengan golongan yang kononnya memperjuangkan hak asasi dan kedaulatan demokrasi dengan merusuh, menganjurkan demonstrasi jalanan, mengibar Jalur Gemilang secara terbalik atau cuba memperkenalkan bendera baru yang kononnya mempunyai imej Nusantara. Unsur yang sama pernah dilakukan dalam gerakan komunis seperti yang dianjurkan Karl Marx, Vladimir Ilyich Lenin, Mao Zedong dan Ho Chi Minh untuk mempengaruhi massa  di negara masing-masing.  Kita wajar berhati-hati kerana tidak mahu era keganasan lampau berulang, sekali gus meranapkan sistem demokrasi berparlimen dan menjejaskan matlamat menjadi negara maju menjelang 2020.