SEORANG kenalan yang sudah 10 tahun tidak sambut Aidilfitri di kampungnya bercerita: “Tiada apa hendak dirayakan di Kedah, emak sudah lama tiada, rumah tempat membesarkan kami kini dihuni oleh ibu tiri. Jika pulang pun, terasa seperti bertandang ke rumah orang lain!”
Dia yang pernah bertugas di sebuah pejabat akhbar di Lembah Klang lebih selesa berhari raya di Kuala Lumpur saja.
“Saya sudah 25 tahun tinggal di Cheras. Dulu di Kampung Baru. Anak membesar dengan persekitaran kota. Bagi mereka Kuala Lumpur adalah kampung mereka. Mereka sudah biasa dengan kesibukan dan keriuhan kota. Mereka tidak tahu bagaimana kehidupan di desa. Tidak pernah masuk sawah, malah bertempik jika ada pacat dan lintah menyelinap ke betis.”
Ke mana anda pada pagi lebaran?
Matanya berkelip beberapa kali dan seolah-olah berfikir mencari jawapan terbaik. “Saya akan jenguk ke rumah kawan yang tidak balik kampung. Malam raya kami berzikir dan bertakbir di masjid, kemudian membantu isteri memasak dan pada pagi raya membawa keluarga solat sunat Aidilfitri.
Petangnya, bergantung pada keadaan. Ziarah kenalan atau tengok wayang, lepak dan makan di pusat beli-belah. Malamnya tengok TV atau membaca buku!”
Pengalaman kenalan yang pernah menjadi wartawan dan pegawai media ini adalah secoret kehidupan segelintir warga kota yang menyesuaikan diri dengan kehidupan baru dan menanggapi sentimen tradisi kemelayuan. Dia yakin tradisi balik kampung akan kendur 10 tahun akan datang apabila kebanyakan perantau tidak lagi mempunyai orang tua di desa.
Anak mereka yang sudah sebati dengan kehidupan di kota besar akan rasa kekok di kampung kerana persekitaran berbeza. “Ketika itu mereka juga seperti aku yang terpaksa menyerahkan diri kepada suasana kehidupan di perantauan,” tuturnya.
Seorang bekas dekan yang tinggal bersendirian di Kuala Lumpur sekadar menyambut perayaan di masjid dan bilik bacaan di rumahnya. Isterinya sudah lama kembali ke Amerika Syarikat dengan membawa anak tunggal mereka.
“Saya mengkaji al-Quran sekarang kerana sudah lama meninggalkannya,” akuinya yang merasakan dirinya pernah terpesong daripada akar budaya Melayu. “Hanya hari raya ketiga pulang ke kampung seketika kerana majlis kenduri kesyukuran, kemudian kembali ke Lembah Pantai,” tegasnya yang tinggal di sebuah apartmen yang menghala kawasan bukit.
Dia tidak tahu sampai bila harus bersendirian dan menjalani kehidupan bersama buku dan ilmu. Ada masanya dia terfikir bahawa dirinya semakin jauh daripada masyarakat. Pada usia lebih 60 tahun, dia semakin yakin buku dan ilmu ada masanya menjadikan seseorang itu sebagai antisosial!
Bagi kebanyakan Melayu yang dianggap perantau di Kuala Lumpur, balik kampung adalah istilah popular setiap kali menjelang lebaran. Seolah-olah anak bulan Syawal tidak kelihatan di kota besar kerana wajah desa kembali subur setiap kali takbir Aidilfitri.
Mereka terbayangkan suasana desa, wajah ayah ibu dan kampung halaman. Mereka bernostalgia kehidupan masa lalu walaupun sudah mencapai kejayaan dan membina kehidupan selesa di perantauan.
Suasana desa tetap akrab setiap kali lebaran menjelang. Tradisi balik kampung juga menyebabkan jalan raya sesak dan kemalangan maut meningkat setiap kali musim perayaan. Tahun ini dianggarkan 11 juta kenderaan bergerak ke pelbagai arah dari Kuala Lumpur sepanjang seminggu menjelang fajar Syawal dan angka korban kemalangan meningkat berbanding tahun sebelumnya.
Ketika jalan utama di luar Lembah Klang semakin sesak, suasana di Kuala Lumpur kekal lengang. Memandu kenderaan ke Jalan Sultan Ismail dan Jalan Tunku Abdul Rahman terasa tenang. Tiada kesesakan dan hiruk pikuk warganya. Yang ada wajah asing.
Kuala Lumpur seolah-olah menjadi Jakarta Mini atau sebuah daerah di Bangladesh, Burma dan Vietnam. Wajah asing menjadi golongan majoriti di pusat bandar raya. Di pusat beli-belah di Cheras pula, wajah Afrika mendominasi suasana dengan gelagat yang melucukan; fesyen rambut Drogba menjadi pilihan pada petang Syawal pertama! - Berita Harian, 6 September 2011
No comments:
Post a Comment