Pages

Wednesday, July 24, 2013

Ibu Alvin sepatutnya faham perasaan kaum lain

 Ibu pasangan yang menghina Islam dalam Facebook, Alvin Tan, dilaporkan bimbang mengenai keselamatan anaknya yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh.

Perlakuan sumbang yang akhirnya menjadi isu nasional
 Wanita yang dikenali Puan Tan menyuarakan kebimbangan kepada portal berita bahawa anaknya kini tertekan dan kesal dengan apa yang berlaku.

 Pasangan Alvin, Vivian Lee, kini ditahan di Penjara Kajang sementara menanti perbicaraan  di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan. Mereka didakwa mengikut Akta Hasutan, Akta Penapisan Filem dan juga Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

 Portal berkenaan melaporkan perasaan sayu dan simpati seorang ibu terhadap anak yang kini berada dalam tahanan. Dia melankolis, sayu dan simpatik!

 Malangnya, media berkenaan tidak memaparkan perasaan umat Islam yang marah dan rasa terhina apabila ibadat Ramadan mereka dipersendakan secara keji.

 Dalam masyarakat Melayu, babi adalah binatang kotor, jijik dan najis berat dalam peraturan syarak.
Melayu yang normal dan waras tidak akan menyentuh babi walaupun mungkin ada yang sanggup minum arak, berjudi, berzina, rasuah dan melakukan kegiatan ganas.

 Mitos ketika era darurat mengatakan Parti Komunis Malaya (PKM) menguji kesetiaan ahli Melayu kepada perjuangan komunis dengan menyuruh mereka menyentuh babi.

 Jika enggan, bererti mereka masih Islam dan tidak setia kepada perjuangan pengganas yang bertindak kejam untuk menubuhkan kerajaan secara haram di negara ini.

 Beberapa tahun lalu, ada laporan kepala babi diletakkan di kawasan masjid. Ia menimbulkan bantahan umum tetapi tidak mendorong keganasan. Rakyat Malaysia terkenal sikap waras dan tolak ansur. Mereka kebanyakannya patuh undang-undang dan tidak bertindak emosional walaupun hati terluka kerana kawasan ibadat diceroboh.

 Jika perkara berkenaan berlaku di India, Pakistan dan Iran, keganasan akan meletus yang akhirnya kejadian terpencil di sesebuah daerah akan merebak ke beberapa negeri dan akhirnya menjadi masalah nasional.

 Rakyat Malaysia mempunyai kewarasan yang tinggi. Mereka marah dan bersuara lantang menentang penghinaan terhadap Islam dan ibadat Ramadan tetapi tiada tindak balas fizikal dan menyerahkan kepada pihak berkuasa menjalankan proses undang-undang.

 Bagaimanapun, ibu pasangan berkenaan dan pihak lain yang cuba mencemarkan keharmonian kaum perlu sedar makna toleransi serta saling menghormati.

 Hari ini, terlalu banyak kes yang cuba mempersendakan hak Melayu di negara ini. Bermula dengan seorang lelaki yang membuat isyarat lucah terhadap Raja Permaisuri Agong, perbuatan biadab semakin berleluasa di media sosial. Ada yang mempersendakan institusi beraja dan adat istiadat Melayu. Tidak terkecuali juga ada pihak yang mempertikaikan kontrak sosial yang dipersetujui menjelang 31 Ogos 1957.

Kerenah beberapa ahli politik yang menjadikan isu kaum sebagai landasan perjuangan menyebabkan wujud beberapa kejadian tidak wajar.

 Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei lalu jelas menunjukkan kaum Cina menolak Barisan Nasional (BN) dengan alasan tertentu. BN hanya menang 133 kerusi daripada 222 kawasan Parlimen. Pembangkang yang membabitkan DAP, PAS dan PKR meraih 89 kerusi. UMNO yang menjadi tunjang BN hanya menang 89 kerusi Parlimen dan membentuk sebuah kerajaan yang lemah.

 Kaum Cina menolak penyertaan dalam kerajaan dengan alasan parti mereka tidak lagi diterima dalam kancah politik Malaysia. Sikap MCA dan Gerakan yang bertindak menolak tawaran jawatan dalam Kabinet membuktikan ada sesuatu yang masih menjadi rahsia umum. MCA juga bertindak aneh apabila mengambil tindakan drastik terhadap wakil rakyatnya yang menerima jawatan Exco di Johor.

 Anehnya, MCA bersuara lantang apabila ramai pelajar Cina  lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) gagal mendapat tempat ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA)  minggu lalu. Mereka tidak wajar bersuara demikian kerana pelajar Melayu juga ramai yang gagal ke IPTA walaupun cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan STPM.

 Perkembangan politik pasca PRU-13 turut memberi kesan polarisasi kaum. Isu kaum diperdebat secara terbuka. Kerenah orang politik sudah merebak kepada generasi muda dan media sosial menjadi wahana penampungan suara sumbang mereka.

 Ibu Alvin sepatutnya kesal kerana gagal mendidik anaknya menghormati orang lain, bukannya bimbang keselamatan pasangan seks berkenaan. Belajar memahami dan menghargai hidup bersama lebih penting daripada merintih selepas zuriat sendiri melakukan tindakan yang menyakitkan perasaan orang lain! - Berita Harian, 24 Julai 2013

Tuesday, July 23, 2013

Boikot kurma Iran sekadar picisan

Ada individu yang memboikot kurma Iran pada Ramadan ini  kerana enggan bersubahat dengan fahaman Syiah. Tidak terkecuali juga menuduh Iran keterlaluan kerana fahaman Syiah memusuhi Ahli Sunnah Wal Jamaah (Sunni),  yang menjadi anutan  majoriti umat Islam di seluruh dunia.

 Punca kemarahan segelintir umat Islam adalah berkaitan isu Syria  yang dikatakan mendapat sokongan Tehran bagi membunuh Sunni. Tehran  berdiri teguh di belakang Bashar al-Assad, yang  ditentang secara terbuka oleh rakyatnya sendiri.

 Banyak pihak tidak dapat menerima fahaman Syiah yang berlainan dari segi amalan dan cara hidup. Sejak beberapa dekad  jemaah Iran dipantau rapi ketika mengerjakan haji di Makkah dan Madinah  kerana mereka ada kecenderungan melakukan tunjuk perasaan dan bersikap kasar terhadap umat Islam yang lain.

Seminggu sebelum Ramadan,  media sosial  menyiarkan komen mengenai kurma Iran dengan dakwaan membeli buah berkenaan akan menyokong Tehran mengekalkan kuasa Bashar di Syria, sekali gus mengekalkan Syiah di rantau Teluk Arab.

 Syiah  ialah mazhab kedua terbesar  selain Sunni. Muslim Syiah berbeza dengan apa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW dan ahlul bait kerana menolak hadis yang berlawanan dengan kepercayaan mereka.  Syiah juga menolak kepemimpinan tiga Khalifah Sunni pertama, malah sebahagian mereka menghina  Khalifah  Ar-Rasyidin yang juga sahabat Rasulullah  yang sudah dijanjikan tempat mereka di syurga. 

Ada dua pendapat yang menghuraikan  punca  terhasilnya aliran Syiah. Pendapat pertama mengatakan ketika berlaku Perang Siffin antara Ali Abu Talib dan Muawiyah Abu Suffian. Pandangan ini secara tidak langsung mengatakan  pengikut Ali beraliran Syiah,  manakala pengikut Muawiyah pula Sunni. 

Pendapat kedua pula mengatakan kemunculan Syiah selepas  kematian Husain bin Ali yang cuba  keluar daripada pemerintahan Yazid bin Muawiyah atas panggilan penduduk Iraq yang akan menyokongnya. Namun, mereka mengkhianati,  menyebabkan beliau terbunuh di Karbala.

 Sebagai sebuah negara Islam yang pragmatis, Malaysia tidak terkecuali menjadi tumpuan kumpulan Syiah bertapak di negara ini. Dilema utama ialah kesukaran membendung kegiatan mereka ter-
 utama yang membabitkan penganut  Syiah warga Iran, sesetengah bangsa  Arab, Pakistan, India dan Afghanistan mengamalkan cara hidup mereka di Malaysia. Undang-undang boleh menghalang rakyat Malaysia mengamalkan Syiah, tetapi tidak boleh  menghukum warga asing mengamalkan Syiah di Malaysia.

 Perlembagaan Persekutuan memberi hak dan kebebasan beragama. Pengikut  Syiah dilarang  menyebarkan fahaman itu kepada pengikut Sunni tetapi bebas untuk terus mengamalkannya sesama mereka. Bagaimanapun, tiada  jaminan Perlembagaan diperalatkan untuk menyebar Syiah kepada Sunni yang mendorong kepada dilema umat Islam tempatan.

 Dalam konteks semasa, wajarkah kita memboikot produk Iran tetapi terus menggunakan produk dari negara Barat yang jelas sikap anti-Islam? Kita akui Syiah adalah fahaman yang bertentangan dengan Islam, tetapi golongan sekular, liberalisme, kolonial dan pengamal seks bebas juga mengancam masyarakat.

 Dalam krisis Kebangkitan Arab yang menggerakkan generasi X dan Y menentang diktator di Tunisia, Mesir, Libya dan Syria, tangan ghaib Amerika Syarikat (AS), Britain dan sekutu Barat memainkan peranan bagi memastikan pilihan mereka bertapak di Asia Barat yang kaya dengan minyak. Beberapa negara Arab feudal diperalatkan untuk mengekalkan dominasi Barat, sekali gus mengundang persoalan; kenapa kita boikot kurma Iran, tetapi masih mengunjungi restoran ayam goreng kepunyaan AS? Kenapa kita menggunakan produk tenusu dari beberapa negara Eropah yang jelas mempersendakan Islam menerusi tulisan dan kartun mereka?

Hari ini cabaran umat Islam adalah mengekalkan jati diri mereka. Islam adalah agama suci yang bukan saja untuk beribadat kepada Allah, bahkan sesama ummah. Fardu kifayah mengutamakan persaudaraan sejagat, Islam akan berkembang jika pengikutnya berilmu dan bersedia meneroka perubahan zaman.

 Malangnya, pasca Perang Salib menjadikan umat Islam lemah. Tradisi ilmu dan intelektual yang dicatat dalam kitab klasik Islam dirampas dan diceduk oleh Barat, menjadikan mereka menguasai dunia sejak ratusan tahun.

 Kelemahan umat Islam sekarang adalah sikap mengalah dan jumud. Mereka menerima Islam secara luaran saja. Mengamalkan ibadat puasa dengan berlapar tanpa mengkaji fadilat Ramadan menjadi punca kelemahan ummah. Kurma Iran bukan isu utama masa kini. Paling penting membentuk kecerdikan yang semakin terpinggir. - Berita Harian, 23 Julai 2013 

Monday, July 22, 2013

Snowden serlah ketakutan AS pada China, Russia

SNOWDEN dijangka dedah kecurangan AS terhadap sahabat dan musuh.
Dunia tidak pernah mengenali Edward Snowden sebelum ini kerana operasi yang dilakukan amat rahsia bagi kepentingan Amerika Syarikat (AS).

Namanya tiba-tiba meledak dan hampir menjadi ikon baru apabila menelanjangi nafsu kuasa besar berkenaan untuk terus  menguasai dunia pasca Tembok Berlin diruntuhkan sejak 1989.

  Berakhirnya Perang Dingin yang menamatkan saingan Pertubuhan Atlantik Utara (NATO) dengan Pakatan Warsaw di Eropah Timur bukan bermakna AS berlapang dada terhadap musuh politiknya terutama Russia, China, Iran, Cuba  dan Korea Utara.

  Hari ini krisis dunia bukan lagi persaingan kapitalis dan komunis, sebaliknya menguasai ekonomi dunia ketiga. Penjajahan bentuk baru menular bagi memastikan dominasi kuasa AS dan Barat.

  AS melakukan pelbagai intipan terhadap musuh dan rakan bagi mendapatkan maklumat keselamatan yang didakwa boleh menggugat kekuatan Washington sebagai paksi kekuasaan. Bekas perisik Agensi Perisik Pusat (CIA) itu kini menjadi mangsa buruan AS kerana pendedahan pencerobohan maklumat keselamatan negara asing.

  Lebih mengejutkan, AS bukan sekadar mengintip musuh, bahkan sekutu di Eropah Barat. Ia mendorong Kesatuan Eropah (EU) menuntut penjelasan ekoran laporan majalah Jerman, Der Spiegel bahawa Washington mengintip mereka.

  Pesuruhjaya Tinggi EU, Catherine Ashton kesal tindakan AS mengintip pejabat EU di Washington, Brussels dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Perancis juga  turut memohon penjelasan kenapa AS mengintip negara berkenaan yang terkenal sekutu setia dalam krisis politik di Asia Barat.

  Apa yang didedahkan Snowden kini menjadi bayangan mengerikan di Rumah Putih. Bekas Presiden AS, George W Bush menuduh Snowden  menghancurkan AS. Presiden Barack Obama pula bimbang kepentingan negara berkenaan terjejas kerana banyak lagi maklumat penting bakal terdedah.

Kini Snowden berada di Moscow selepas melarikan diri dari Hong Kong. Tentunya misi  PRISM – menguasai maklumat menerusi internet menjadi maklumat penting Russia dalam usaha mengimbangkan percaturan kuasa sejagat. AS didakwa cuba memperalatkan Microsoft, Google, Yahoo, Facebook, PalTalk, YouTube, Skype, AOL dan Apple sebagai talian maklumat keselamatan. Ia bermakna AS mengintip setiap audio, video, foto, e-mel, dokumen dan daftar komunikasi yang dicurigai.

  Perkembangan politik di beberapa negara di Asia Barat menjadi medan keseimbangan kuasa di antara AS, Barat dengan Russia dan China.

Obama bimbang perubahan rejim di Libya, Tunisia dan Mesir bakal menyemarakkan semula era Perang Dingin. Pergolakan di Syria mengundang persaingan perisik AS dengan Iran, China dan Russia.

  Rampasan kuasa tentera yang menjatuhkan kerajaan Mohamed Morsi di Mesir menggambarkan keraguan AS terhadap rantau Arab yang kaya dengan minyak. Lebih membimbangkan apabila Morsi didakwa pro-Hamas yang menjadi penentang utama rejim haram Israel.

  Pentadbiran singkat Morsi dari 30 Jun 2012 hingga 3 Julai lalu dirancang perisik AS bagi memastikan Asia Barat milik mereka. Washington memerlukan Mesir seperti di bawah pentadbiran Anwar Saddat dan Hosni Mubarak yang dianggap setia terhadap Barat dan menjalin hubungan rapat dengan negara feudal Arab. Tindakan tentera Mesir terhadap Morsi sebahagian daripada perancangan AS dan Israel bagi memastikan kepentingan Barat tidak terjejas.

  Telaga minyak Asia Barat yang terbesar di dunia kembali menjadi medan percaturan kuasa seperti era Perang Dingin. China yang menduduki tempat kedua sebagai gergasi ekonomi selepas AS berusaha menjadi kuasa utama menjelang 2020. Russia yang dianggap lemah selepas kejatuhan Soviet Union di bawah pimpinan Mikhail Gorbachev pada 1989 kini mula menonjolkan taringnya.

  Sistem komunisme yang menjadi ketakutan dunia sejak awal abad 20 kini berganti suasana baru baru di Eropah Timur dan China. Aktiviti ekonomi dan perdagangan bebas di negara komunis kini membimbangkan AS.

  Lebih menakutkan apabila Snowden yang berlindung di Moscow dijangka bertemu Presiden Russia, Vladimir Putin beberapa hari lagi. Tentunya maklumat perisikan AS akan terdedah dan menjadi senjata sulit Russia untuk mengulangi era kegemilangan Soviet Union. AS bimbang pembabitan aktif Russia dan China akan menggugat kepentingan kuasa besar itu pada masa akan datang.

  Hari ini AS mempergunakan perjanjian perdagangan bebas untuk terus menjajah dunia ketiga. Apa yang dikatakan pasaran terbuka lebih memihak kepada dasar buka pintu negara lemah untuk membolehkan Barat menguasai ekonomi dan penjajahan bentuk baru.

  Malangnya banyak pemimpin dunia ketiga yang tidak memahami niat AS. Perdagangan bebas sebahagian daripada senjata bentuk moden. Snowden memberi isyarat kelangsungan AS untuk kekal sebagai penguasa tunggal. - Berita Harian, 21 Julai 2013

Tuesday, July 16, 2013

Ramadan mengingatkan sawah, persekitaran desa

Ada yang terpaksa memandu  selama dua jam gara-gara kesesakan luar biasa pada petang hari pertama Ramadan Rabu lalu. Perjalanan sejauh 20 kilometer yang lazimnya 45 minit  pada waktu puncak menjadi 120 minit kerana ramai yang bersesak  di jalan raya seawal jam lima petang.

  Lembah Klang bagai berpesta setiap kali Ramadan. Umat Islam mahu segera pulang untuk berbuka puasa bersama keluarga. Bukan Islam juga turut bersesak di jalan raya untuk mencari juadah enak. Tidak kira agama, bangsa dan keturunan, bazar Ramadan menjadi tumpuan ramai kerana mitos makanan yang dikatakan sedap, lazat dan berpatutan harganya. 

  Ada juga merungut kos perbelanjaan meningkat semata-mata menunaikan ibadat puasa yang dianggap bulan paling mulia bagi umat Islam. Amalan puasa, kesesakan jalan raya dan kenaikan harga barang sudah lazim di Malaysia. Hanya bulan puasa dianggap detik terbaik untuk menikmati juadah enak, memilih restoran terkenal atau ke bazar Ramadan.

  Hanya Ramadan mengingatkan sesetengah dalam kalangan kita kepada masjid sepanjang bulan. Hanya malam Ramadan difikirkan tazkirah, zikir dan wirid kerana selama 11 bulan sebelumnya, ramai yang sibuk dengan urusan duniawi dan ke masjid hanya untuk solat Jumaat.

  Hanya Ramadan mengingatkan kita kepada zakat harta kerana urusan pembersihan pendapatan jarang difikirkan pada hari dan bulan yang lain.

Hanya Ramadan yang kerap mengingatkan kita kepada kampung halaman, saudara mara dan teman yang sudah lama kita tinggalkan. Bulan puasa memberi nostalgia zaman kecil dan remaja, sebelum merantau ke tempat jauh. Di sinilah subur kembali gambaran sawah kontang, perdu getah yang kian tua atau menyimpul  ingatan ke kampung nelayan – mengira camar di pinggir pantai sambil menanti saat berbuka puasa bersama orang tua.

 Hari lampau sudah berlalu dan kita yang menjadi ketua keluarga pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB)  harus menerima hakikat perubahan masa dan persekitaran.  Melayu hanya lapan peratus penduduk Kuala Lumpur ketika rusuhan kaum 13 Mei 1969. Kini jumlah mereka 30 peratus hasil pertumbuhan ekonomi dan kewujudan kawasan urban. Banyak taman perumahan baru dibina yang menyediakan kuota khas untuk Melayu dan Bumiputera. Agihan ekonomi dan dasar pengkorporatan yang dijayakan Tun Dr Mahathir Mohamad dua dekad lalu membentuk generasi Melayu baru untuk berdaya saing di kota besar ini.

  Melayu baru walaupun didakwa masih bertunjangkan akar tradisi, namun cara berfikir dan bersosial ikut berubah. Tradisi muafakat semakin terhakis kerana persepsi kini lebih terarah kepada faktor kejayaan ekonomi, gelaran, pangkat dan kemampuan bersaing pada peringkat global.

  Suasana Ramadan dan lebaran di Lembah Klang turut  berubah walaupun imej Melayu masih kekal dengan budu, cencaluk, gulai kawah, petai dan sambal belacan. Majlis buka puasa yang dulunya terbuka untuk semua penduduk desa dan jiran tetangga, kini berubah wajah di kota besar seperti Kuala Lumpur. Hanya tetamu yang dijemput boleh  menghadiri majlis buka puasa kerana istilah Melayu baru mempunyai jati diri berbeza dengan apa yang wujud di kampung halaman.

 Justeru, apabila hampir lebaran, suasana kampung hidup bagai pelangi mengapung awan. Dentuman meriam buluh, anyaman ketupat dan kesegalaan yang ada di desa menambat hati perantau kembali ke kampung walaupun Ramadan baru seminggu.

 Hanya di kampung, perantau akan mengingatkan perasaan bersama dan nilai murni yang hampir tercabar di Kuala Lumpur.  Pusat beli-belah sudah sebulan membuat promosi Syawal walaupun Ramadan hanya seminggu. Budaya perayaan begitu ketara kerana sistem kini lebih menumpukan hal remeh-temeh seperti cara berpakaian, hubungan sosial dan urusan kewangan hingga mengabaikan fadilat Ramadan yang sepatutnya menjadi amalan umat Islam.
 
Berbeza dengan beberapa negara Arab yang mengutamakan Ramadan sebagai perayaan jiwa Muslim, kita di Malaysia menyambut puasa dengan tafsiran tersendiri.   Prof Dr Hamka dalam buku yang dihasilkan pada dekad 1930-an, Tasauf Moden, menyatakan orang berpuasa tidak semestinya sembahyang, sedangkan orang sembahyang akan berpuasa kecuali keuzuran. Ia membawa maksud sembahyang menjadi tonggak amalan lain termasuk puasa bagi mengukuhkan ibadat seseorang. Insan yang berpuasa mungkin kerana adat semata-mata,  bukan kerana ibadat kepada Ilahi.

  Pandangan klasik ini perlu dinilai dalam mengukur kualiti kehidupan masa kini yang lebih terdedah kepada media sosial dan cabaran ummah yang kian menggugah. Moga Ramadan ini menginsafkan kita semua! - Berita Harian, 16 Julai 2013

Thursday, July 11, 2013

Morsi mangsa kekejaman raja Arab, AS, Zionis

Arab perlukan revolusi mental bagi meningkatkan kesedaran Islam. 
Ramadan bukan bermakna tanpa pembunuhan. Umat Islam
Mesir gelisah kerana bulan penuh rahmat tiba bersama krisis politik yang dirancang musuh Islam. Dua hari  menjelang Ramadan,  51 penyokong Muhamed Morsi  dibunuh  ketika  solat Subuh dekat tempat pemimpin itu  ditahan.  Dalam kejadian jam 3.30 pagi, semua mangsa ditembak askar sejurus bangun daripada rukuk pada rakaat kedua ketika menunaikan solat depan bangunan Pengawal Republik tidak jauh dari Dataran Raba’ah Al Adawiyah, Madinat Nasr.

  Saksi mendakwa  serangan berlaku secara mengejut menyebabkan ramai tidak sempat menyelamatkan diri. Ada  mayat  ditemui dalam keadaan bersujud. Kezaliman tidak mempedulikan ganjaran bulan mulia yang dinantikan umat Islam sejagat.

  Apa yang berlaku membuktikan musuh Islam sanggup melakukan apa saja semata-mata untuk mencapai cita-cita politik  dan ekonomi  di Asia   Barat. Ada bukti mengaitkan tentera Mesir yang dilatih Amerika Syarikat (AS) dan Israel bertindak kejam kerana tidak mahu pengaruh Morsi merebak di Asia Barat. AS dan sekutu Barat bimbang kejatuhan Hosni Mubarak  pada Februari 2011 bakal mengubah peta politik negara Arab yang kaya dengan minyak. Mereka bimbang pengaruh China dan Russia bertapak di kawasan berkenaan, sekali gus memberi ruang kepada Iran untuk menjadi kuasa  pengimbang di rantau Teluk.

  Tindakan tentera  merampas kuasa membuktikan suara rakyat yang ditentukan menerusi proses demokrasi dinafikan melalui persenjataan. Dunia mengutuk keras tindakan tidak bertamadun itu. Anehnya, negara Arab monarki yang berjiran dengan Mesir mendiamkan diri kerana bimbang kepentingan ekonomi dan politik dengan sekutu Barat terjejas.

 Hari ini, isu hak asasi dan demokrasi sering dilaungkan di negara Arab republik, seolah-olah negara Arab feudal mengamalkan demokrasi tulen sedangkan mereka menyekat hak asasi rakyat, melarang wanita memandu,  keluar mengundi,  malah ada beberapa kes gadis dilarang belajar di pusat pengajian tinggi. Diskriminasi jantina tidak pernah dihebohkan walaupun AS pada suatu ketika melantik wanita sebagai Setiausaha Negara. Hillary   Clinton  tidak pernah menyuarakan isu demokrasi di negara feudal Arab tapi bersuara mengecam isu sama di Myanmar, Mesir, Syria, Tunisia dan Libya.

  Media antarabangsa juga mengamalkan pemberitaan berpilih kerana bimbang negara Arab yang kaya dengan minyak berpihak kepada Russia dan China dalam percaturan politik dunia.
 Ramadan muncul bersama kebimbangan nasib Morsi yang juga tokoh Ikhwan Muslimin yang disegani. Pelbagai agenda reformasi dan transformasi pasca pentadbiran Mubarak dan Anwar Sadat akan terencat ekoran perkembangan sekarang.

   Perkembangan di Asia Barat sentiasa menjadi perhatian massa. Era Perang Dingin meletakkan Asia Barat sebagai milik AS dan Israel dengan alasan bimbang kebangkitan kuasa komunis Asia Timur terutama China pimpinan Mao Zedong. Tohmahan Teori Domino ekoran kejatuhan Vietnam Selatan, Kemboja dan Laos menjadikan pengaruh AS kukuh bertapak dan menguasai telaga minyak di Asia Barat.
   
  Sejarah membuktikan kelahiran beberapa negara Arab selepas Perang Dunia Pertama dilakukan hasil perancangan imperial Anglo-Saxon.  Semenanjung Arab yang dipimpin  pelbagai ketua suku dan ketua kabilah  terperangkap di antara kepentingan peribadi dan naungan kuasa AS. Pegawai tentera British, T E Lawrence memainkan peranan  dalam pembentukan sistem beraja di beberapa negara Arab yang kaya bagi memastikan kepentingan Barat kekal sehingga kini.

  Sumbangan Lawrence yang juga pengamal seks sejenis diakui memberi kesan dalam perimbangan kuasa di Asia Barat. Konsep geopolitik menjadi strategi perimbangan kuasa dunia. Minyak menjadi senjata Perang Arab-Israel 1967 yang akhirnya memberi kemenangan kepada Zionis AS. Ada negara Arab yang mempunyai simpanan minyak  terbanyak selepas Venezuela lebih mengutamakan pelaburan di Barat dengan memanfaatkan pengeluaran minyak 12 juta tong sehari.

  Apa yang berlaku di Mesir bakal merebak di beberapa wilayah lain. Barat bimbang Syria menjadi benteng pertahanan Iran dalam menghadapi perang terbuka di rantau Teluk. Lebih membimbangkan Russia, China dan Korea Utara memerhatikan penuh minat perkembangan di negara Arab selepas menyedari kesan pertukaran rejim di Tunisia, Libya dan Mesir sebelum ini.

  Kita bimbang Ramadan tahun ini akan berkekalan dengan darah di Asia Barat. Israel bukan lagi pengganas utama di sana kerana tentera yang dilatihnya kini  menjalankan peranan menjejaskan perkembangan Islam di Asia Barat. Tarawih, zikir dan doa sepanjang bulan puasa tentunya menjadi cabaran kepada umat yang beribadat di kawasan bergolak. - Berita Harian, 11 Julai 2013

Tuesday, July 09, 2013

So senang to menangi RM38,888

Sebuah syarikat telekomunikasi secara terbuka menggunakan bahasa rojak bagi mempromosi peraduan yang menawarkan hadiah tunai RM38,888 untuk pelanggannya.

‘So senang to menangi’ - slogan promosi yang ditampal di beberapa premis. Tanpa rasa bersalah, usaha merosakkan  penggunaan  bahasa yang betul terus berlaku walaupun ada tokoh yang melaungkan usaha mendaulatkan bahasa Melayu terus diperkasakan.

Kita hairan kenapa sampai kini Malaysia masih payah berbudaya dan berbahasa? Lebih menghairankan apabila   ada tokoh yang bangga mendakwa Malaysia mencapai negara maju lebih awal, iaitu 2018 dan bukan 202  kerana faktor  ekonomi, kejayaan modal insan dan kualiti perkhidmatan bertaraf dunia. Kenapa unsur bahasa, kesopanan, budaya dan kesenian tempatan tidak disebut dalam kerangka pembentukan negara maju?

Jika perkembangan ini dibiarkan,  kita akan terus mengulangi masalah lampau iaitu mengabaikan kepentingan bahasa dan budaya dalam pembangunan negara.

Penggunaan bahasa rojak akan terus berlaku kerana orang yang sepatutnya berkuasa untuk menanganinya masih segan berbahasa Melayu pada majlis rasmi yang dihadiri majoriti bangsa Melayu.

Banyak ucapan dan kertas kerja menggunakan bahasa asing. Jangan harapkan syarikat yang dimiliki kaum lain untuk mempertahankan maruah bahasa Melayu kerana mereka sendiri masih mengagung tradisi dan citra  yang wujud di negara  asal  moyang sendiri. Pelaksanaan program audit bahasa yang dijayakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehingga kini masih misteri. Mampukah DBP menegur orang politik tidak menggunakan bahasa yang betul dalam majlis rasmi? Mampukah penggerak audit bahasa menyemak kertas kerja, teks ucapan  dan minit mesyuarat jemaah menteri yang  sentiasa sukar menghormati bahasa ibunda sendiri?

Sidang Parlimen Ke-13 yang berlangsung sekarang menampakkan kepincangan  berbahasa. Ada Ahli Parlimen termasuk yang bertaraf Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen tidak mampu menggunakan bahasa Melayu dengan sempurna. Mereka bebas menggunakan bahasa pasar kerana tiada peraturan  mewajibkan penggunaan   bahasa Melayu yang sempurna. Syarat menjadi wakil rakyat hanya bertumpu kepada warga Malaysia, tidak dihukum oleh mana-mana mahkamah sivil serta tidak muflis. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya memasukkan syarat tambahan mengenai keupayaan menggunakan bahasa Melayu  bagi memastikan kualiti perbahasan menepati matlamat persidangan di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri. Tanpa menggunakan bahasa yang sempurna akan merencatkan perbincangan secara ilmiah, tertib dan bersopan.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) pula sepatutnya diberi kuasa  untuk mendaulatkan bahasa Melayu. Haramkan penggunaan nama jalan, papan tanda, sepanduk dan iklan yang mengabaikan bahasa Melayu atau ejaan salah. Taman perumahan pula sepatutnya diwajibkan unsur tempatan.    Kita tidak perlu nama yang aneh untuk apartmen dan rumah teres seperti  The Peak, Tivoli Villa, Atmosfera, Vista Millennium,  Casa Prima dan   Park Avenue. 

Kita juga rasa aneh apabila terpaksa menggunakan bahasa penjajah sekadar untuk memesan ayam goreng, kentang dan air bergas di restoran makanan segera. Hinakah bahasa Melayu digunakan di kaunter tiket kapal terbang, pejabat perhubungan pelanggan syarikat perdagangan dan pusat beli-belah?

Usaha merendahkan bahasa Melayu tidak pernah pudar. Kerajaan tidak tegas dan sebahagian besar rakyat pula seakan tidak peduli nilai dan makna jati diri. Syarikat swasta pula lebih mengutamakan keuntungan. 

Pada peringkat nasional, tema hari kebangsaan pernah  menjadi jenaka awam. Pemimpin yang pernah meragui nilai bahasa Melayu untuk subjek Sains dan Matematik mengumumkan ‘Budaya Penentu Kecapaian’ sebagai tema Hari Kebangsaan 1996. Sambutan Maal Hijrah pula berbunyi ‘Budaya Murni Teras Kecapaian’.  Dia keliru menggunakan perkataan ‘kecapaian’ yang membawa maksud kelesuan atau lesu, berbanding ‘pencapaian’ yang menggambarkan hasrat negara untuk maju dan kekal berdaulat.

Hari ini isu bahasa hanya dilafazkan oleh pencinta bahasa dan pelajar. Tiada siapa yang peduli kerana nasib bahasa Melayu semakin dipersendakan. Kewujudan era digital dan teknologi maklumat meletakkan bahasa Melayu jauh di belakang. Bahasa khidmat pesanan ringkas (SMS) membingungkan kita yang dilahirkan sebelum wujud internet dan telefon pintar. Justeru, tidak menghairankan apabila syarikat telekomunikasi ghairah mempromosikan ‘So senang to menangi!’  - Berita Harian, 9 Julai 2013

Sunday, July 07, 2013

Seniman kita sekadar warga tak dihargai

 Apakah Malaysia  tiada  falsafah seni? Apakah kemajuan hanya meletakkan karya  sebagai hiburan dan menafikan fungsi  seni  sebagai pengucapan   dalam masyarakat?

Kita hairan apabila seni lebih dilihat sebagai sorak-sorai,  sedangkan jati diri dan sistem nilai dikesampingkan untuk  ekonomi dan siasah.

Kita mungkin berbangga penyanyi K-Pop, Psy membuat persembahan di Pulau Pinang sempena Tahun Baru Cina, tapi bagaimana nasib seniman kita?

Hari ini kerap kedengaran artis veteran terlantar perlukan bantuan. Seniman Agung, P Ramlee hanya gah berkarya tapi zuriat sendiri hidup menderita. Seniman jalanan pula tidak keruan mencari nasib di Kuala Lumpur. Mereka bergelumang  untuk hidup, mencari rezeki dan mengemis ihsan pihak berkuasa.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula  mengenakan permit ke atas semua penghibur jalanan (buskers) dengan  alasan mengawal tingkah laku mereka. 

 Kuala Lumpur hari ini tidak sama 30 tahun lalu. Kota yang serba gah dan hebat memaksa seniman jalanan dituduh mengotorkan keindahan kota raya.

Dulu ramai yang menjadikan Kuala Lumpur sebagai kota seni. Pyanhabib, Sani Sudin, Ladin Nuawi, Halim Yazid, Imuda, Khalid Salleh dan Kamarul Yusuff memanfaatkan malam minggu dengan membaca puisi di Pasar Budaya dan Jalan Chow Kit.

Pemuzik dan pelukis jalanan memeriahkan  Jalan Bukit Bintang dengan karya ‘segera’ yang jujur menceritakan gelora anak muda di negara sedang membangun.

Hari ini aktiviti kesenian hampir dianggap tabu. Seniman jalanan  bukan saja dipaksa memiliki permit persembahan, bahkan dikenakan bayaran tinggi jika mahu ‘berniaga’ di Pasar Budaya.

Mungkin Kuala Lumpur tidak sama dengan Frankfurt, Bali dan Hawaii dari segi keseniannya. Tapi apa salah membenarkan anak muda berkarya, menghibur dan berceloteh bersama pelancong sebagai medan seni yang interaktif.

Kita harus malu dengan Indonesia kerana membenarkan Bali mempunyai desa budaya di Ubud. Seniman bebas berkarya  tanpa membezakan fahaman siasah dan budaya.   Kampung turis seperti Pengosekan, Penestanan, Padang Tegal dan Tebasaya meletakkan seni di tempat sewajarnya. Kita boleh melihat laman    rumah penduduk dipenuhi kanvas dan pelancong bebas bersantai membancuh warna dan mencalit garis  sketsa.

Kita juga boleh menikmati  pertunjukan legong kraton  di Puri Ubud yang mengembalikan era lampau.

Malangnya kita tidak mempunyai cita rasa yang baik untuk seni. Karya   tradisional seperti dikir barat, makyung, bangsawan, kuda kepang, bagih, main puteri, tari inai, ghazal, dondang sayang, boria dan selampit semakin jauh daripada kita.

Anak-anak hampir tidak mengenali lagi rentak tukang karut dan sang juara, apatah lagi mantera tok dalang yang melagakan patung Rama dan Sita di pinggir sawah.    
         
Kita semakin maju dan mengikut propaganda siasah,  bakal setaraf  Korea Selatan dan Jepun pada 2020. Tapi kedua-dua negara menjadikan seni sebagai asas untuk kemajuan. Tradisi berbudaya dan menghargai bahasa ibunda amat tinggi di Seoul dan Tokyo. Mereka tidak pernah menilai  hanya  bahasa Inggeris sebagai pengucapan utama subjek Sains dan Matematik. Pelajar mereka diajar mengenali kesenian tradisi sebagai asas menjadi manusia kelas pertama.

Malangnya kita mengenali Psy kerana rentak lagu yang pantas  dan terkinja-kinja  tanpa memahami budaya anutannya. seperti juga kita meminati  judo dan  ninja kerana filem, bukan semangat dan falsafah kehidupan di negara matahari terbit itu.

Penggerak pembangunan perlu sedar kemajuan tanpa budaya hanya melahirkan insan tanpa jiwa. Kita tidak mahu menjadi Singapura yang maju pelabuhan dan sektor perkhidmatan, tapi tiada akar umbi.
Kita juga tidak mahu menjadi Taiwan yang terasing di tengah lautan tanpa mempedulikan budaya Tiongkok yang  agung sebelum 1400.

Masanya sudah tiba untuk kita memiliki sebuah kampung seni di pusat bandar raya Kuala Lumpur. Di situlah nanti kalangan seniman berkarya dengan santai dan bebas memenuhi pasaran mereka secara terbuka.

Bukan semua pelancong datang untuk mendongak melihat puncak KLCC apatah lagi  ke Langkawi hanya sekadar melihat ombak dan pasir pantai. Mereka mahu menilai dan menikmati akar umbi kita yang dikatakan santun, penyayang dan berbudi bahasa. Selama ini mereka keliru kerana gagal mengenali kita dengan jelas. Kita pula gagal memberi penjelasan mengenai sejarah Melayu. Kerajaan wajar menyediakan kampung seni yang bakal menyerlahkan jati diri Malaysia dan akar umbi   sejak berzaman. Kampung seni bakal menjadi wahana menilai kewujudan kerajaan Melayu di Asia Tenggara dan kesannya terhadap peradaban, budaya, kesenian dan siasah rantau ini. Mungkin saranan ini sekadar angan-angan! - Berita Harian, 2 Julai 2013

Friday, June 28, 2013

Anwar makan enak, pengikut berpanas luar Parlimen

 Gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim menikmati hidangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas majlis angkat sumpah Ahli Parlimen  tersebar di media baru Isnin lalu.

 Suasana ramah dan santai di dewan berhawa dingin membuktikan kepemimpinan parti sentiasa berusaha merapatkan jurang apabila berada pada majlis rasmi. Anwar dan Najib serta pemimpin negara lain boleh duduk semeja dan berbincang secara spontan. Berbeza dengan pengikut yang tidak rasional semata-mata taksub kepada pemimpin mereka.

 Suasana di dalam Dewan Rakyat berlainan di jalan utama menuju  Bangunan Parlimen.  Lebih 200 peserta perhimpunan haram, iaitu serpihan perhimpunan haram Blackout 505 di Padang Merbok, mencetuskan kekecohan di laluan masuk. Mereka merempuh sekatan polis dan dengan bangga mendakwa sebagai pejuang demokrasi.

 Kejadian didalangi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan beberapa pertubuhan lain yang mempunyai kaitan dengan pakatan pembangkang, dipercayai bertujuan mengganggu majlis mengangkat sumpah Ahli Parlimen.

  Selain tidak menghiraukan amaran bersurai oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad, mereka menghambur kata-kata kesat dan memaki hamun. Dua pegawai dan seorang anggota polis cedera dengan seorang daripadanya nyaris buta diserang. Seramai  32 individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kekecohan itu.

 Moral ceritanya, pemimpin berada dalam keadaan selesa di premis berhawa dingin, sedangkan pada masa   sama pengikut berpanas berjuang di jalan raya – baring di atas tar, menghirup udara jerebu dan bergelut dengan pasukan keselamatan yang cuba mengawal keadaan.

Ia menggambarkan pengikut yang taksub  berjuang kononnya menegakkan demokrasi tidak mengetahui pemimpin mereka berlapang dada di Parlimen sambil bersembang dan menikmati hidangan.

 Pada Sabtu lalu, perhimpunan haram yang dijangka dihadiri 300,000 penyokong pembangkang gagal menepati sasaran. Pemandu selesa mengendalikan kenderaan di kota raya termasuk laluan di Jalan Merbok tanpa   masalah. Hanya segelintir yang taksub dengan berpakaian hitam dan menjeritkan reformasi hadir  untuk membuang masa pada majlis yang tidak berfaedah itu.

 Pada hari ini orang tidak lagi bercakap soal demokrasi atau penipuan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Isu jerebu, kenaikan harga topeng dan masalah kesihatan ekoran ancaman persekitaran lebih diutamakan.

 Sebahagian besar rakyat Malaysia tidak lagi bercakap soal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan dakwat kekal kerana kehidupan berjalan terus dan setiap isu yang dicetuskan beberapa bulan lalu sudah tamat tempoh.

 Sekarang masa terbaik untuk melihat Malaysia yang lebih aman dan santun. Isu remeh-temeh politik tidak lagi relevan. Anwar terpaksa terus bersuara dan berceramah dalam kalangan pengikutnya kerana legasi politiknya akan berakhir  kerana gagal mentadbir negara selepas PRU-13.

 Ramai penyokong sudah menyedari siapa Anwar yang sebenar. Malah ramai kalangan pemimpin PAS yang tidak setuju majlis di Padang Merbok kerana tidak menepati konsep demokrasi itu sendiri. Hak asasi dan kebebasan perlu bermatlamatkan mewujudkan perjuangan yang lebih baik, bukan untuk kepentingan individu.

 Hari ini ramai yang bimbang polarisasi kaum yang muncul sejak 5 Mei lalu. Perasaan kecinaan yang menebal boleh menggugat perpaduan kaum. Kontrak sosial yang dipertahankan menjelang 1957 semakin dicabar secara terbuka. Media baru memberi gambaran Melayu tidak mempunyai apa-apa lagi di negara ini. Persepsi orang Melayu terhadap  tokoh yang dianggap bersubahat dengan pihak lain amat memeranjatkan. Walaupun mungkin ramai yang tidak menyetujui gelagat beberapa pemimpin UMNO, mereka bimbang hak dan kepentingan Melayu semakin terjejas jika Anwar dan pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan pada masa akan datang. Menangani persepsi tentunya tidak mudah. Kebimbangan orang Cina merampas kuasa politik selepas menguasai ekonomi Malaysia menimbulkan suara tidak wajar. Unsur perkauman semakin menakutkan, malah, jika tidak dibendung bakal memberi keadaan yang membimbangkan semua pihak.

 Sekarang masa terbaik untuk berlapang dada dan memastikan perpaduan ummah dikekalkan. Masa untuk kita perjuangkan Islam secara kolektif sudah tiba. Perpaduan ummah perlu dibentuk menerusi  sikap terbuka dan tidak semestinya  gerakan siasah. Politik ada masanya terlalu buta dan sedia membutakan hati pengikut yang taksub. - Berita Harian, 28 Jun 2013
 

Tuesday, June 25, 2013

Sasterawan Negara tanpa pengiktirafan

Kita mempunyai sedozen Sasterawan Negara tapi usaha merakyatkan mereka masih kabur. Terbaru Baha Zain (Datuk Baharuddin Zainal)  menerima anugerah tertinggi kesusasteraan yang sehingga kini masih belum jelas sejauh mana masyarakat menerima Sasterawan Negara sebagai aset terpenting.

   Selain wang, rawatan percuma di wad kelas pertama hospital kerajaan dan makalah penghargaan di samping penerbitan karya mereka, tidak banyak yang dihargai terhadap Sasterawan Negara.

   Kecuali Datuk A Samad Said yang sesekali disebut kerana perjuangan bahasa dan gerakan demokrasi, masyarakat hampir tidak mempedulikan karya besar beliau walaupun Hujan Pagi dianggap realis magis tempatan terbaik, mahupun novel Salina yang dikaitkan kejujuran naratif Kampung Kambing ketika musim perang.

   Samad diperkatakan kerana membaca sajak pada majlis pembangkang. Karya beliau semakin tidak dihargai, malah masyarakat tidak memperkatakan sajak beliau dicatat pada kertas tisu dan dipamerkan di Menara Berkembar Petronas.

   Masyarakat hanya memperkatakan novel Shit (1999) karya Datuk Shahnon Ahmad kerana kelantangan beliau menegur aliran berpolitik yang dianggap kotor, jijik dan biadab. Pemikiran Shahnon jarang diperdebatkan secara terbuka dan ilmiah. 

   Ada pihak yang tidak pernah membaca Interlok (1971) karya Datuk Abdullah Hussein mempolitikkan karya berkenaan semata-mata kepentingan kaum. Pihak majoriti mengalah kepada pihak yang hanya menang empat kerusi Parlimen semata-mata kepentingan siasah. Nilai, semangat, falsafah dan jati diri dalam karya Sasterawan Negara dilacurkan kerana politik. Teks sastera di sekolah ditarik balik.  Sastera diperalatkan dan status Sasterawan Negara tidak memberi makna lagi.

   Datuk Usman Awang pernah merungut dan menjadi polemik di Dewan Sastera dua dekad lalu apabila mengeluh Anugerah Sasterawan Negara sekadar gelaran kosong. Karya beliau yang memaparkan perjuangan marhaen di tanah air sendiri tidak diperkatakan, kecuali sesekali dibaca pemimpin pada Perhimpunan Agung UMNO apabila isu kemelayuan ditimbulkan.

   Gelaran tanpa makna menjadikan karya Sasterawan Negara tidak dihargai. Agensi pelancongan dan kementerian terbabit tidak pernah memaparkan sajak atau sketsa sasterawan di khalayak.

 Pelancong dan pedagang asing yang datang ke Malaysia tidak pernah diceritakan mengenai karyawan, melainkan dibawa melawat bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur, berlayar di tasik Putrajaya atau melancong ke Langkawi yang tidak pernah wujud budaya kesenian.

  Stesen penyiaran begitu segan memaparkan karya seni kita. Acara baca puisi dan teater sekadar melepaskan batok di tangga. Karya besar tidak mendapat  tempat di Istana Budaya. Novel Ombak Rindu yang kualitinya amat rendah diperkatakan kerana filem adaptasi pecah panggung.
Kita bagai tiada masa mengkaji Sajak Sejarah Melayu karya Muhammad Haji Salleh atau merenung kegagalan korporat Melayu seperti dicatatkan Keris Mas (Kamaludin Muhammad) dalam novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur.

  Akhirnya  budaya sorak-sorai menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Jika yang tua bernostalgia dengan era lalu yang sudah tiada, generasi muda pula terperangkap dengan media baru. Menjadi rakan kepada individu tidak dikenali menerusi Facebook dan Twitter, lalu berkecenderungan  untuk mempertikaikan kesucian Islam, menghina Rasul dan membuat jenaka terhadap lagu Negaraku. Kita semakin menjarakkan diri dengan tradisi intelektual. Sistem nilai yang kita pegang kurang memesrai semangat dan akaliah nusantara.

   Jika Indonesia gagal menerima Hamka (Haji Abdul Malik Karim Amrullah) sebagai sasterawan besar menerusi Tenggelamnya Kapal Van der Wijck dan Di Bawah Lindungan Kaabah, kita gagal memanfaatkan karya S Othman Kelantan, Kemala dan Anwar Ridhwan sebagai karya genius rakyat Malaysia.

   Jika Jakarta tidak dapat menerima Pramoedya Anantatoer sebagai pengkaji bangsa Indonesia ulung kerana aliran politik, kita juga gagal menafsir makna dan isyarat dalam karya. Pemilihan Sasterawan Negara sebagai adat semata-mata, lalu timbul pelbagai polemik mengenai kelayakan seseorang yang dinobatkan.

   Harap hal ini tidak berulang lagi pada masa akan datang kerana bangsa yang besar sentiasa mengutamakan karya berbobot. Perancis, Russia, Amerika Syarikat, Britain, Jepun dan China sentiasa mengkaji karya seni sebagai ilham pemodenan negara. Di mana mereka sekarang ketika kita masih bergelut soal politik yang tidak berkesudahan, atau terperangkap dalam isu remeh sejak bertahun-tahun. - Berita Harian, 25 Jun 2013

Monday, June 24, 2013

Hapuskan sekolah vernakular Tamil dan Cina

Sekarang masa sesuai untuk menukar  sekolah vernakular Tamil dan Cina   menjadi sekolah kebangsaan yang mengajar pelbagai bahasa bagi membendung isu perkauman.

Jurang  kaum di sekolah menengah  semakin meluas. Pelajar yang datang dari latar belakang berbeza sukar menerima percampuran di sekolah menengah. Perbezaan cara belajar dan bergaul di sekolah jenis kebangsaan, menyukarkan mereka menerima dasar pelbagai kaum di sekolah menengah.

 Moral ceritanya, pengalaman berbeza menyebabkan mereka sukar menerima konsep perpaduan. Selagi wujud sekolah jenis kebangsaan, perasaan perkauman akan terus terbawa-bawa hingga dewasa.

Apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu bukan memeranjatkan. Pengundi Cina kawasan bandar menyokong DAP dan sekutu mereka dalam pakatan pembangkang. Dianggarkan 95 peratus Cina tidak sokong calon Barisan Nasional (BN) menyebabkan gabungan parti kerajaan itu hanya menang 133 kerusi Parlimen, susut tujuh kerusi berbanding  140 yang dimenangi pada PRU-12. Beberapa tokoh BN yang pernah berjasa kepada kaum Cina menerima kekalahan  tidak sewajarnya.  Hanya 1.5 peratus daripada 30,000 pemilih Cina mengundi bekas Ketua Menteri Melaka,   Datuk Seri Mohd Ali Rustam di kawasan Parlimen Bukit Katil pada 5 Mei lalu. Sokongan itu terlalu kecil kerana kawasan  Parlimen Bukit Katil mempunyai 99,438 pemilih berdaftar dan daripada jumlah itu, 40.75 peratus  pengundi Cina,  sekali gus memberi kemenangan kepada   Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin  dengan majoriti 5,447 undi.

Perasaan kecinaan yang menebal sukar dibendung selagi sistem pendidikan tidak diubah. Sebab itu  Thailand, Filipina,  Indonesia dan Singapura tidak membenarkan sekolah jenis kebangsaan wujud kerana bimbang perkauman menjadi bara yang menakutkan.

Lee Kuan Yew  ketika mengetuai kerajaan Singapura bimbang sekolah vernakular boleh menghancurkan perpaduan nasional. Ketika pelbagai pihak mendesak sekolah Mandarin diperkenalkan di Republik yang majoriti penduduk keturunan Cina, Kuan Yew berkata: “Hanya saya yang boleh mengajar kaum Cina!”

  Menerusi buku  memoir ‘LKY From Third World To First Bab 11 Many Tongue, One Language,’ Kuan Yew memberi amaran kepada  Dewan Perniagaan Cina Singapura yang  menuntut Mandarin  sebagai  bahasa rasmi. 

Beliau bimbang isu sekolah Cina menjadi tuntutan  Kesatuan Guru Sekolah Cina dan Pengurus Sekolah Cina, yang akhirnya menjejaskan hubungan di antara kaum.  Hari ini Singapura mencapai kemajuan hasil perancangan ekonomi dan bukan kerana perpaduan. 

Pengalaman kita di Malaysia amat berbeza. Sikap  tolak ansur menyebabkan sekolah jenis kebangsaan membiak bagai cendawan. Pada 1977, isu Universiti Merdeka meledak dan menguji kepemimpinan Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri. Kerajaan ketika  itu  menolak Universiti Merdeka, tapi hari ini banyak pusat pengajian tinggi swasta yang mengabaikan bahasa Melayu sebagai pengantar utama. Sikap membelakangi cita-cita nasional mendorong pihak tertentu memainkan isu kaum, mempersenda institusi beraja dan mengeluarkan kenyataan hasutan.

Ada rungutan graduan Melayu sukar mendapat tempat di syarikat Cina. Jika mendapat pekerjaan pun mereka diberi gaji dan tugas yang lebih rendah daripada pekerja Cina.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan,  Datuk Mohd Noor Abdullah, berkali-kali mendesak  supaya sekolah vernakular Tamil dan Cina ditukar menjadi sekolah kebangsaan.  Beliau mahu  terma vernakular sekolah jenis kebangsaan ditukar kepada terma baru sekolah kebangsaan atau sekolah kerajaan  bagi menggambarkan imej Malaysia yang sebenar.

 Jika perkauman di sekolah gagal diatasi,   perpaduan akan dicabar sepanjang masa. Selepas 56 tahun merdeka, kita wajar berlapang dada dan utamakan perpaduan nasional. Pendidikan berkesan untuk menyemai perpaduan. Meletakkan murid pelbagai kaum dalam sesebuah bilik darjah akan memudahkan persefahaman nasional. Kita wajar pandang ke hadapan kerana tidak mahu perkauman menjadi bara yang menakutkan. - Berita Harian, 25 Jun 2013

Wednesday, June 19, 2013

Harap tiada tuala wanita di Parlimen

Sidang Parlimen Ke-13 selepas majlis angkat sumpah 222 Ahli Dewan Rakyat Isnin ini bakal menarik perhatian masyarakat. Pertambahan kerusi pembangkang dan pelbagai kerenah politik yang berlaku pasca Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) boleh mendebarkan pemerhati politik. Isu dakwat kekal, polarisasi kaum dan beberapa insiden yang mencabar kewibawaan tokoh tertentu boleh menguji semangat demokrasi berparlimen ala-Malaysia.

 DAP yang memperoleh lebih 70 peratus daripada jumlah kerusi Parlimen  ditandinginya pada PRU-13, mempunyai niat tersembunyi apabila sekali lagi mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang. Kenapa mereka tidak mencalonkan Lim Kit Siang atau anaknya Lim Guan Eng sebagai ketua pembangkang?

 Dengan memenangi 38 kerusi Parlimen membuktikan kekuatan DAP berbanding Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS yang sekadar rakan kongsi tidak bermaya dalam pakatan pembangkang. Reputasi Kit Siang menembusi kubu kuat Barisan Nasional (BN) terutama di Johor membuktikan sokongan pengundi Cina terhadap pembangkang berbanding MCA dan GERAKAN.

 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap sebaik saja BN kembali berkuasa pada pagi 6 Mei lalu menyifatkan tsunami Cina menjadi punca gabungan parti mentadbir kerajaan kalah di beberapa kerusi kawasan bandar.

 Pada 2004, BN memperoleh 198 kerusi Parlimen berbanding pembangkang  hanya memiliki 21 kerusi. Keadaan berubah ketika era pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada PRU-12, 8 Mac 2008 apabila BN hanya menang 140 kerusi Parlimen berbanding pakatan pembangkang 82 kerusi.

Pada PRU-13, BN hanya menang 133 kerusi Parlimen berbanding  pembangkang 89 kerusi. UMNO pula menang 89 kerusi daripada 121 kawasan yang ditandingi. Walaupun UMNO mendakwa semakin mendapat sokongan, hakikatnya kerusi BN kian merosot dan realiti ini perlu dikaji dengan jujur.
 MCA yang selama ini menjadi mitos parti kaum Cina terpaksa berdepan realiti betapa mereka tidak diperlukan lagi dalam kancah siasah di Malaysia.

 Sokongan kaum Cina terhadap MCA merosot sejak PRU-10 apabila hanya menang 14 daripada 140 kerusi Parlimen ketika itu. Pada 2008, MCA hanya menang 15 kerusi Parlimen dan menjunam kepada 3.3 peratus pada PRU-13 apabila hanya menang tujuh kerusi. GERAKAN pula menang satu kerusi Parlimen iaitu di Simpang Renggam.

 Isu perkauman kian banyak diperkatakan walaupun lebih sebulan PRU-13 berlalu. Pelbagai tindak-tanduk termasuk kenyataan dua ahli korporat Melayu yang lupa jati diri menjadi bualan hangat ketika ini.

 Kempen pembangkang yang cuba menganjurkan perhimpunan haram di ibu kota pada 21 Jun ini bakal memanaskan sidang Parlimen nanti. Hingga kini isu setia kawan dan kesetiaan kepada negara kurang ditekankan ketika debat di Parlimen. Sudah sampai masa Parlimen membuat garis panduan lebih tegas agar wakil rakyat tidak menyalahgunakan masa persidangan dengan membuat kenyataan berupa tohmahan. Sekarang bukan masa lagi menimbulkan isu ‘bocor’ dan tuala wanita.

Speaker perlu mendaulatkan Parlimen dengan ucapan bernas dan memenuhi kepentingan awam. Lebih penting etika berbahasa perlu diutamakan kerana pada sidang lalu ada kenyataan kesat yang tidak sewajarnya dilafazkan.

 Sejak merdeka, tidak ada garis panduan penggunaan bahasa Melayu yang standard digunakan ketika persidangan. Telatah  wakil rakyat yang menggunakan bahasa pasar ketika membahaskan titah diraja sepatutnya tidak wujud lagi. Selepas 56 tahun merdeka tidak sepatutnya ada lagi individu tidak fasih berbahasa Melayu. Meremehkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat adalah kecenderungan untuk mempertikai bahasa lingua franca yang menjadi tradisi asal usul rakyat Malaysia.

Sidang Parlimen Ke-13 menjadi penanda aras kesedaran berpolitik. Ketika pelbagai kehangatan dan riuh-rendah skandal siasah diperdebatkan, kita mengharapkan ada wakil rakyat  masih waras dan mengutamakan kepentingan rakyat di dewan mulia itu. Bawalah suara dari akar umbi untuk diperdebatkan, dikemukakan dengan saksama kerana lima tahun mendatang rakyat akan menilai seseorang Ahli Parlimen berfungsi untuk mereka. Wakil rakyat yang menjelajah pedalaman ketika berkempen jangan lupakan asal usul  dan nawaitu perjuangan. Parlimen medan menguji setia kawan perjuangan, bukan untuk melobi jawatan dalam parti! - Berita Harian, 19 Jun 2013

Tuesday, June 18, 2013

Padang Merbok saksi kebangkitan anak muda

Individu bernama Anwar Ibrahim tentunya amat akrab dengan Jalan Merbok kerana di situlah bermulanya sejarah anak muda di ibu kota sejak 1974.

Jalan Merbok yang tidak jauh dari Bangunan Parlimen dan pusat bandar raya adalah medan siswa bertemu dan melepak kira-kira 40 tahun lalu.

Ada juga pelajar yang terbabit demonstrasi isu Baling melarikan diri ke Jalan Merbok bagi  mengaburi tumpuan pihak keamanan.

  Jalan Merbok juga tempat seniman bertemu dan melakar karya seni yang berbobot. Pelukis, penyair, pelakon, aktivis teater, penari, novelis dan cerpenis pernah bersatu hati melakar karya, mencurahkan perasaan muda dengan bauran ilmu yang dikutip sepanjang jalan kehidupan.

  Di situlah wujudnya  Rumah Anak Alam dan Rumah Teater Kreatif  yang  menjadi medan seniman mengasah bakat. Nama besar seperti Usman Awang, Siti Zainon Ismail, A Ghafar Ibrahim, Ibrahim Ghafar, Khalid Salleh,  Abdulaziz HM dan  Pyanhabib melahirkan karya besar di Rumah Anak Alam. Johan Jaaffar, Dinsman, Sutung Umar RS dan  Ladin Nuawi juga pernah dikaitkan dengan Jalan Merbok.

 Mior Hashim Manap  dan isterinya Izaidah Khairan pula melatih anak muda dalam bidang lakonan di Rumah Teater Kreatif.  Kedua-dua bangunan itu sudah tiada  di Padang Merbok  walaupun pernah mencatat sejarah sebagai lokasi Perhimpunan Penulis Muda pada 1987.

  Kami pernah  berkumpul, berbincang dan berdebat  bagaimana mengumpul 1,000 anak muda untuk bersatu dalam suasana seni secara santai. Kami juga mengerah keringat mencari jalan mendapatkan dana bagi menampung acara  bersejarah itu.

  A Samad Said yang dianggap teman anak muda sentiasa membantu memberi nasihat bagi menjayakan Perhimpunan Penulis Muda itu.  Abdulaziz HM, Hanafiah Samad, Kumpulan Kopratasa, Azmi Yusof  dan Nawawee Mohammad  sentiasa memberi pandangan bagi menjayakan majlis bersejarah. Abdullah Tahir, S Othman Kelantan dan Mustaffa Noor sesekali menjenguk aktiviti kami. Mohamad Daud Mohamad, Wanrazuhar, Swanlerd Propoul, Sri Diah dan Roslan Mamat adalah di antara teman yang banyak mengerti impian dan masalah kami menjayakan perhimpunan yang besar itu.

 Hari ini sejarah Padang Merbok hampir malap. Tidak kedengaran majlis besar dan bersejarah dianjurkan di situ kerana kawasan berkenaan sebahagian daripada imej kota raya Kuala Lumpur - kaku, konkrit dan lesu seni.  Rumah Anak Alam dan Rumah Teater Kreatif  hanya tinggalan sejarah yang memeritkan. Janji Datuk Bandar Kuala Lumpur ketika itu untuk mendirikan pusat seni tercanggih sampai kini sekadar aling-aling. Tiada apa-apa yang dilakukan seperti juga acara puisi hanya sekadar syok segelintir penyair untuk bersuara dan merintih, tapi akhirnya tiada apa-apa.
 
  Kawan-kawan yang dulunya leka membaca sajak atau jenuh membancuh warna pada kanvas seperti sudah kehilangan seninya. Sudut teater sudah lenyap, malahan aktivis    yang dulunya bersorak sorai dari Padang Merbok ke Pasar Benteng sudah  bergelar. Ada yang menjadi datuk kerana gelaran, ada juga menjadi datuk kerana bercucu!
 
Pada era gerakan pelajar, ramai siswa yang menggunakan Jalan Merbok untuk melepak dan menggauli anak seni. Walaupun bukan semua menjadi seniman, pengalaman mereka dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti  kehidupan.

  Kini Padang Merbok menjadi sebutan lagi.   Himpunan 22 Jun ini akan menjadi sebutan kerana anak muda bakal menjerit dan bersuara dengan lebih garang. Berbeza dengan kami kira-kira 26 tahun lalu yang galak membaca puisi protes, melukis  dan berteater, kini mereka akan menyuarakan bangkangan terhadap proses Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang diyakini tidak telus.

  Jika dulu lingkungan seni mengikat anak muda untuk lebih santun, kini suara anak muda di Padang Merbok mungkin membawa nawaitu berbeza. Sekarang sudah ada  seruan di media baru supaya berkumpul, duduk dan bantah.  Ada ajakan supaya anak muda jadikan jalan raya sebagai medan bersuara apabila pilihan raya tidak membawa apa-apa makna.

  Tentunya Padang Merbok bertukar wajah apabila semangat dan sentimen dimainkan pihak tertentu. Jika dulu individu bernama Anwar Ibrahim pernah membaca puisi bersama beberapa teman penyair tanah air, kini beliau mungkin bermantera dengan suara yang lebih nyaring.

  Perubahan masa menjadikan seseorang itu semakin berbeza. Pandangan dan sikap berubah apabila kepentingan peribadi menjadi perhitungan utama. Yang tidak berubah adalah Padang Merbok  - ruang yang akan sentiasa mencatat setiap peristiwa dan akhirnya memberi tafsiran peribadi. Padang Merbok kini tidak sama 26 tahun lalu!  - Berita Harian, 18 Jun 2013

Monday, June 17, 2013

Husam ancam pemimpin Kelantan

HUSAM tokoh muda PAS yang cuba dicantas
rakannya di Kelantan
Tindak-tanduk Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang tidak hadir majlis angkat sumpah di Dewan Undangan Negeri (DUN)  Kelantan, tetapi menghadiri perhimpunan pakatan pembangkang  di Ketereh 13 Jun lalu menimbulkan persoalan umum.

  Lebih mengejutkan apabila Speaker DUN, Abdullah Yakub   mengumumkan  Timbalan Pesuruhjaya II PAS  Kelantan itu memohon untuk tidak hadir sepanjang tempoh persidangan DUN kali ini.

  Keputusan Husam menunjukkan beliau  semakin menjauhkan diri daripada pentadbiran kerajaan Kelantan, tapi  pada  masa sama  terus mendekatkan diri dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apakah perasaan Husam terhadap PAS semakin kendur kerana meyakini parti yang kononnya memperjuangkan Islam tidak lagi relevan dan dibayangi beberapa golongan radikal serta fanatik? Mungkinkah Husam akan membuat keputusan drastik apabila memulau majlis angkat sumpah?

  Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN)  Salor, Husam  sepatutnya hadir majlis angkat sumpah jawatan kerana beliau masih berstatus wakil rakyat dan perlu menghargai mandat yang diberikan pengundi.

  Husam  kebelakangan ini  berdiam diri apabila tidak lagi  dipilih menjadi EXCO kerajaan negeri, walaupun sebelum ini beliau dianggap pemimpin muda berwibawa dan bakal menggantikan Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan.

  Pelantikan  Datuk Ahmad Yakob sebagai Menteri Besar dan   timbalannya,  Datuk Mohd Amar Nik Abdullah  bagai membayangi kebangkitan Husam dalam politik Kelantan.

  Husam juga gagal merebut kerusi Parlimen Putrajaya  pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) apabila tewas kepada penyandang yang juga  Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor   dengan majoriti sebanyak 5,438 undi.

  Sejak beberapa tahun lalu Husam dianggap murid setia Nik Aziz dan bakal meneruskan legasi Mursyidul Am PAS itu. Nama Husam juga melonjak apabila beliau dianggap pelopor gerakan menuntut royalti minyak daripada Kerajaan Pusat dan PETRONAS.

 Husam dilaporkan  menjalankan kajian mengenai pelantar minyak di perairan Laut China Selatan yang dianggap mempunyai asas perundangan  untuk menuntut royalti.

  Husam juga mengetuai kempen membina Lebuh Raya Rakyat  dari Kuala Krai ke Kota Bharu  yang sehingga kini masih menjadi rahsia umum. Bagaimanapun sikap berdiam diri  kebelakangan  ini menimbulkan andaian berlaku krisis   politik PAS  Kelantan.

  Ketika  tampil pada perhimpunan pakatan pembangkang di Ketereh,  Husam menegur  pemimpin PAS  yang tidak menyokong himpunan tersebut dengan menganggap mereka  pengkhianat parti.

  Beliau mendakwa mereka adalah pemimpin yang lupa asal-usul dan bukan saja menolak semangat anak muda yang mahukan perubahan tetapi mengkhianati dakwah yang diasaskan oleh pimpinan PAS  terdahulu.

  Husam turut menyindir pemimpin PAS  yang menjadi Ahli Parlimen supaya tidak hanya 'mengayuh basikal siang dan malam' di luar Parlimen sebaliknya rakyat akan menilai mereka pada persidangan Dewan Rakyat.

 “Kalau kita berjaya menghimpun orang Cina sehingga berpuluh ribu tetapi pemimpin PAS  pula tidak ada, ini adalah satu pengkhianatan,” katanya.

  Beberapa tokoh PAS dilaporkan tidak menyenangi ‘projek’ Anwar untuk menganjurkan bantahan terbuka terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dianggap tidak adil dan memihak kepada Barisan Nasional (BN)  pada PRU-13.

 Sumber  memaklumkan hubungan Husam dengan beberapa tokoh tempatan  agak dingin dan boleh menggugat kekuasaan PAS di Kelantan.   Pengguguran nama Husam dalam senarai pentadbiran  dikaitkan konspirasi dalaman yang mungkin menjadi barah dalam daging. Jika selama 23 tahun Nik Aziz berkuasa tanpa sebarang cabaran dari dalam parti, tanda keretakan dalam PAS semakin menonjol. Husam dianggap musuh dalam kalangan pemimpin PAS tempatan walaupun mempunyai ramai pengikut, terutama dalam kalangan generasi muda.

  Ada ahli PAS yang meragui kepemimpinan kerajaan negeri sekarang yang dianggap lembut dan boleh menjejaskan usaha mengekalkan pentadbiran selepas PRU-14.

  Ada pihak yang melihat Kelantan sekarang berbeza dengan era Nik Aziz. Ketiadaan Husam dianggap melemahkan jentera PAS dan pakatan pembangkang. Perkembangan ini diteliti pemerhati politik sama ada UMNO mampu memanfaatkannya menjelang pilihan raya akan datang. - Berita Harian, 17 Jun 2013

Friday, June 14, 2013

Blogger hantu?

Ada penulis blog yang menuduh seseorang sebagai pembunuh dan menggesa dihantar ke neraka. Penulis yang lain pula dengan lantang menggesa jutaan rakyat Malaysia ke Padang Merbok pada 22 Jun ini bagi menuntut kebebasan demokrasi.

 Alasannya;  Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) penuh penipuan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak telus. Dakwat kekal yang tidak kekal. Seramai 40,000 pengundi hantu membabitkan warga Indonesia, Bangladesh dan Filipina. Lampu padam ketika proses pengiraan undi dan macam-macam lagi. Blogger berkenaan memaparkan gambar pegawai kanan SPR dengan catatan lucah.

 Ketika isu penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong dua minggu lalu, ada blogger yang tidak segan menulisnya. Mereka tidak gentar menghina institusi istana apabila ada kenyataan yang dianggap berat sebelah.

 Segala dakwaan di media baru sukar dibuktikan. Malangnya, laporan yang tidak tepat dan tersasar daripada kebenaran berjaya mempengaruhi sebahagian anggota masyarakat.

 Pada hari ini gejala yang ditimbulkan media baru hampir mencorakkan pemikiran generasi muda. Apa saja yang dipaparkan bakal mengundang polemik dan reaksi hangat.

Banyak blog yang tidak beretika menjadi bacaan umum dan menerima pengunjung yang ramai. Fitnah, kata-kata nista dan kecaman menjadi rutin yang membimbangkan.

 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memahami perkembangan ini kerana boleh menjejaskan pemikiran massa. Ketika berucap  pada majlis Malam Wartawan Malaysia 2013 dan Penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia Institut Akhbar Malaysia (MPI)-PETRONAS 2012, Najib  memberi amaran  terhadap pemilik blog dan portal yang menyebarkan maklumat tidak sahih dan fitnah.

 Hak asasi dan kebebasan bersuara sepatutnya dimanfaatkan untuk memberi pandangan bernas dan berimbang. Kritikan sebahagian daripada tradisi ilmiah yang sepatutnya dihargai. Pengkritik boleh bersuara menerusi media baru tanpa menafikan kepentingan fakta dan sensitiviti umum.

 Tradisi internet dan media baru mula bercambah di negara ini pada 1998 walaupun dunia merayakan teknologi maklumat pada era pentadbiran Ronald Reagan di Rumah Putih (1981 – 1989).

Kejadian tunjuk perasaan dan gerakan reformasi ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan dalam parti dan kerajaan pada 2 September 1998 mendapat reaksi di media baru.

Ada yang menimbulkan nama ‘Firaun’ terhadap  pimpinan negara ketika itu kerana didakwa zalim dan menganiaya pejuang Islam seperti Anwar.

 Media baru turut menyebarkan pelbagai dakyah palsu terhadap pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dianggap lemah. Beberapa isu keselamatan termasuk apa yang didakwa penyisihan terhadap kaum India daripada arus pembangunan mendorong tunjuk perasaan penganut agama Hindu di Kuala Lumpur pada 2007.

 Pada era pentadbiran Najib, media baru yang memanfaatkan lesen kebebasan menimbulkan pelbagai kerenah yang menakutkan. Isu agama dan kaum dipaparkan secara tidak bertanggungjawab boleh mengundang padah perkauman.

 Ketika media tradisional kurang menimbulkan isu kalimah Allah dalam Bible versi Melayu, portal berita begitu hangat membuat laporan dan ulasan mengenai kebebasan beragama dan hak demokrasi.

Ucapan pemimpin DAP di Pulau Pinang dipaparkan seolah-olah kerajaan yang dikaitkan dengan Melayu dan Islam cuba memonopoli kalimah Allah dan pihak lain dinafikan haknya. Peranan songsang blogger dan pemilik portal boleh menjejaskan keharmonian yang kita pertahankan. 

 Dengan jumlah pengguna internet  17.5 juta daripada 29 juta penduduk negara ini, aliran maklumat semakin tidak terkawal. Bayangkan jika media sosial menyalahgunakan hak asasi, negara akan menghadapi bencana.

  Hari ini seramai lima juta pengguna jalur lebar, 2.5 juta pengguna jalur lebar tanpa wayar dan 10 juta pelanggan 3G memanfaatkan media baru dalam urusan harian. Mereka tidak wajar disogokkan dengan laporan yang membahayakan kepentingan nasional. - Berita Harian, 14 Jun 2013

Wednesday, June 12, 2013

Persenda Raja, agama, Rasul

Mustahil beberapa kejadian tidak wajar berlaku tanpa perancangan. Belumpun reda isu mempersenda titah Yang di-Pertuan Agong, muncul pula penghinaan lagu Negaraku, menghina Rasulullah SAW, mempertikai pelantikan Ahli Dewan Negara (Senator)  dan sentimen perkauman diucapkan secara terbuka.

  Media baru sering dikaitkan dengan penyiaran tulisan yang mempersenda dan membangkitkan kemarahan umum. Ketika media tradisional dipersoalkan kewibawaan, media sosial menjadi wahana untuk meluahkan pandangan dan perasaan seseorang.

  Memberi pandangan tidak salah kerana kebebasan demokrasi mengiktiraf hak individu bersuara. Menjadi kesalahan apabila luahan perasaan tidak bertanggungjawab boleh memudaratkan kepentingan awam. Pandangan Yang di-Pertuan Agong mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sesuai dengan kedudukan baginda sebagai Raja Berperlembagaan yang bebas daripada campur tangan siasah. Rakyat berhak menerima atau menolak pandangan baginda, tapi jangan mengeluarkan pandangan berbentuk menghina dan meloyakan.

  Kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan perlu dihargai dan penganut agama lain bebas mengamalkan pegangan hidup mereka. Mempersendakan Islam dan Rasul  tidak wajar tapi ia berlaku sejak mutakhir ini gara-gara percanggahan politik yang luar biasa.

  Pasca Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008 yang hanya memberi kemenangan majoriti mudah Barisan Nasional (BN) dengan 140 kerusi Parlimen  menyebabkan ada pihak yang meyakini mereka lebih berhak bersuara dan mengeluarkan pandangan tanpa mempedulikan kepentingan pelbagai kaum.
Mereka mempersenda Islam apabila menimbulkan isu kalimah Allah untuk kitab Bible versi Melayu.

  Kini kebebasan  mereka manfaatkan  apabila sekali lagi menafikan kuasa majoriti  BN  pada PRU-13. Media sosial lebih ghairah menyiarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab. Ada pihak yang sebelum ini dianggap pejuang siber BN kini berpaling tadah dengan mempersenda pemimpin negara. Mereka memanfaatkan internet sebagai jalan mudah menyiarkan tohmahan tanpa  mempedulikan kepentingan massa.

  Dengan jumlah pengguna internet  17.5 juta daripada 29 juta penduduk negara ini, aliran maklumat semakin tidak terkawal. Bayangkan jika media sosial menyalahgunakan hak asasi individu semata-mata untuk menyiarkan pandangan yang  bertentangan kepentingan awam.

  Hari ini seramai lima juta pengguna jalur lebar, 2.5 juta pengguna jalur lebar tanpa wayar dan 10 juta pelanggan 3G memanfaatkan media baru dalam urusan harian.

 Ada cadangan supaya kawalan internet dipertingkatkan. Singapura cuba mengawal selia  dengan memperkenalkan undang-undang terhadap  laman web berita yang mempunyai sekurang-kurangnya 50,000 pelawat diwajibkan mendaftar dengan Lembaga Pembangunan Media, membayar cagaran dan akur dengan arahan kerajaan untuk menarik balik mana-mana kandungan yang dibantah oleh lembaga tersebut.

 Bagaimanapun, cadangan itu dibantah pengguna internet seolah-olah menjadikan media sosial seperti penerbitan akhbar, majalah dan stesen penyiaran. Undang-undang saja tidak memadai kerana kecenderungan mempengaruhi pandangan umum berlaku secara amat luar biasa.

  Isu kaum, politik, pendidikan Cina, perbezaan agihan kek ekonomi dan jurang prasarana  antara penduduk kota dan luar bandar menjadikan kepelbagaian suara timbul. Keadaan lebih hangat apabila agenda politik mengatasi kepentingan kaum, menyebabkan Malaysia tidak pernah sunyi daripada majlis ceramah, himpunan jalanan dan propaganda murahan.

  Kita harus sedar tujuh tahun  mendatang adalah detik mencabar. Menjadi negara maju bukan sekadar bergantung kepada angka dan graf pembangunan ekonomi serta kemudahan asas. Kemajuan hanya diukur dengan sistem nilai dan pegangan akhlak yang baik. Malaysia perlu berkembang tanpa prasangka kaum dan agama.

  Kita menanti tindakan tegas terhadap mereka yang cuba menggugat keselamatan negara. Apakah Akta Hasutan  mampu menangani suara sumbang di media baru atau mengharapkan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998?  Tanpa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), semakin ramai yang nyaring bersuara! - Berita Harian, 12 Jun 2013

Tuesday, June 11, 2013

Sembah derhaka

Sejarah Melayu memberi peringatan hubungan di antara Raja dan rakyat: Maka sembah Demang Lebar Daun; ‘Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itu pun jikalau berlaku pada hukum syarak’.

  Sejak berzaman waadat Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun menjadi panduan pembentukan tatacara Melayu. Rakyat perlu setia kepada Raja. Raja perlu akur kehendak rakyat dan berada di takhta semata-mata menjalankan tugas mengikut kehendak Allah. Raja yang adil disembah dan Raja yang zalim disanggah.

  Mitos Jebat derhaka atau Singapura dilanggar todak sebahagian daripada cerita pedoman bangsa Melayu. Hang Jebat terpaksa menderhaka kerana Hang Tuah setia melulu. Ramai kalangan sosialis dan penganut liberalisme tidak dapat menerima mitos ini. Apakah Hang Tuah tiada akal dan perasaan sehingga sanggup membunuh teman akrab semata-mata kerana kesetiaan?

  Hussein Haniff memberi naratif baru terhadap persetiaan Raja dan rakyat. Filem Hang Jebat yang dihasilkan 1961  dan skrip ditulis oleh Ali Aziz  menelanjangi kelemahan sistem feudal.   Hussein    mengangkat perjuangan rakyat menuntut keadilan walaupun suasana di negeri Melayu masih lagi feudal. Hang Jebat dianggap pencetus reformasi sosial ketika itu  kerana Raja pernah dianggap sebagai keturunan  Sang Sapurba dan mempunyai salasilah  Iskandar Zulkarnain. Kitab  Sulalatus Salatin menyebutkan  semua Raja Melayu ‘diturunkan’,   sementara dalam Tambo Minangkabau, tokoh ini disamakan dengan Maharajadiraja pendiri Alam Minangkabau.

  Kesetiaan rakyat terhadap Raja kekal sejak berzaman. Pendatang dari China yang berdagang di Melaka menerima adat dan institusi beraja pada era kegemilangan Melayu. Mereka tidak pernah menyanggah titah istana kerana matlamat pedagang  mencari keuntungan dan mendapat perlindungan di tanah perantauan.

  Keadaan berubah di Perak  apabila lombong timah menggamit kemasukan pendatang China yang lebih ramai. Mereka bukan sekadar mencari rezeki dan membina penempatan baru, bahkan menubuhkan kongsi gelap sebagai naungan sesama sendiri. Kewujudan Ghee Hin dan Hai San bukan sekadar pelindung, bahkan kumpulan pendesak  yang mahu menguasai Perak dan bumi Melayu.

Mereka bersikap samseng dengan merompak dan membunuh,  menggunakan alasan menjaga kepentingan ahli kongsi.  Sikap menentang persekitaran yang sudah lama wujud di bumi Melayu mengundang dilema kepada penghuni asal. Penguasaan ekonomi dan perniagaan berkekalan sehingga kini. Perjuangan kecinaan menjadi agenda membentuk kuasa politik baru yang kononnya lebih demokratik. Isu pendidikan, taat setia kepada negara dan perkauman menjadi bara yang menakutkan.

  Mitos Jebat derhaka sudah dimiliki pihak lain yang sengaja mempersendakan institusi yang sudah lama wujud. Ada segelintir Melayu  bersubahat menyemak semula hukum-hakam kesetiaan semata-mata kepentingan siasah kepartian. Suara mereka terserlah di media baru dengan mempersenda titah dan mempersoalkan ketuanan Melayu kerana tidak tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan. Agama Islam diperlekehkan dengan menggunakan isu kalimah Allah untuk bible versi Melayu. Mereka sengaja lupa wilayah ini sememangnya milik Melayu berzaman dan mempunyai tatacara  kehidupan yang perlu dipertahankan.

  Kemerdekaan negara pada 1957 tidak menghapuskan kuasa Raja dari segi Perlembagaan. Pemisahan kuasa tiga cabang utama menjadikan institusi beraja lebih diperkukuhkan.  Beberapa peristiwa pasca Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008 membuktikan keutuhan institusi beraja.  Isu pelantikan Menteri Besar (bendahara) di Perlis, Perak, Selangor dan Terengganu menyedarkan rakyat bahawa mereka masih mempunyai Raja.

Selagi semangat  waadat  Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun dipertahankan, hubungan istana dan rakyat  terus berkekalan. Paling penting rakyat pelbagai kaum harus menerima realiti sosial di negara ini yang mempunyai Raja Berperlembagaan. Pihak istana pula wajar menghormati hak rakyat menerusi proses demokrasi. Isu kesetiaan dan penderhakaan sekadar mencabar kesabaran pelbagai pihak jika terus dimainkan dengan tafsiran yang pelbagai.

  Hari ini, perkembangan siasah sering mengelirukan. Tafsiran baru terhadap mitos Jebat derhaka dengan menggunakan istilah ‘sembah derhaka’ sekadar  memberi ruang untuk merosakkan sistem yang sudah lama wujud. Penderhakaan pasti wajar dihukum! - Berita Harian, 11 Jun 2013

Sunday, June 09, 2013

Sasterawan popular atau picisan

 Hampir 56 tahun negara merdeka tetapi karya sastera kita masih entah di mana. Di sebalik sorak-sorai Hadiah Sastera Perdana, Sasterawan Negara atau Anugerah Penulisan Asia Tenggara, kita masih berpolemik mengenai karya popular atau serius. Tidak terkecuali isu kroni dan tohmahan editor pilih kasih. Benarkah hanya kelompok tertentu mendapat perhatian penilai karya?

  Seorang sasterawan membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri dengan rujukan Kes A128323: Sifar Pengaruh: Masalah Sastera Melayu. Sasterawan berkenaan mengadu karyanya tidak disiarkan media sejak bertahun dan menuduh editor hanya memilih karya penulis   sama setiap minggu.

  “Ada ketika bila telah bertahun-tahun karya saya tak lekat, terasa apakah salah saya? Apakah ada kalangan editor ini mahu membunuh tunas sastera di jiwa saya. Apakah hak kita sebagai insan seni yang ingin bersuara di wadah yang lebih bebas terbuka? Di mana saya dapat mengadu?”

  Sasterawan berkenaan mendakwa fahaman politik dikaitkan dengan penyiaran karya dan menuduh perkembangan tidak sihat sedang berlaku di Malaysia sekarang.

 Pada masa sama polemik karya popular dan serius tidak kurang hangatnya. Seorang penulis novel bertanya; “Apakah karya saya terlalu popular dan tidak bermutu?”

  Dia menambah: “Apakah karya popular tidak layak untuk Hadiah Sastera Perdana?”

  Polemik ini sudah lama dibincangkan di Barat. Isu karya popular dan serius dikaitkan sebagai wacana aliran pemikiran berdasarkan perkembangan semasa. Dada atau dadaisme adalah gerakan budaya yang lahir di Zürich, Switzerland, ketika Perang Dunia Pertama (1916-1920). Gerakan ini meliputi seni visual, sastera (puisi, pertunjukan seni, teori seni), teater dan seni  grafik.

   Gerakan ini berfokus pada politik antiperang melalui penolakan pada aturan seni yang berlaku melalui karya budaya antiseni.  Gerakan ini mengilhami kemunculan  avant-garde, gerakan muzik kota, serta kelompok lain seperti surrealisme, nouveau réalisme, pop art dan fluxus.

  Dadaisme ialah aliran pemberontak   antara seniman dan penulis. Ia menolak ungkapan seni adalah sesuatu yang tinggi, mahal, serius dan eksklusif. Mereka membenci corak berfikir ‘seni tinggi’ kerana karya berkenaan hanya untuk  kaum menengah ke atas, bukan golongan bawahan.

  Dari sini lahirnya karya popular atau serius yang akhirnya mentakrifkan karya mudah difahami sebagai popular dan yang serius pula kononnya mempunyai nilai seni yang baik.

  Ada yang mendakwa novel God- father karya Mario Fuzo sebagai karya ‘kaki lima’, sedangkan ia sarat  kemelut sosial pendatang Itali, serta menyerlahkan kerakusan kuasa dan politik yang mendominasi Amerika Syarikat dan Barat sejak Perang Dunia Kedua. Tidak terkecuali juga karya Fuzo seperti Dark Arena (1955), Six Graves to Munich (1967) dan The Sicilian (1984) yang mengangkat isu sejagat ketika Perang Dingin menghantui percaturan kuasa di antara Barat dan Timur.

  Ramai pengkritik menganggap Fuzo sebagai penulis popular, tetapi ahli sosiologi pula mengangkatnya sebagai penelaah sosial yang serius.

 Di Malaysia pula kita masih berbalah mengenai khalayak yang tidak seberapa dan kerenah sasterawan yang mengatasi keupayaan berkarya.

 Sejak era Asas 50 hingga kini, kita mungkin   selesa dengan beberapa karya Usman Awang, A Samad Said, Baha Zain, Johan Jaaffar,  Keris Mas, Arenawati, Anwar Ridhwan dan Zaen Kasturi. Tapi untuk masa depan sastera, kita masih mencari khalayak yang ramai serta karya yang mengangkat minda masyarakat Malaysia.

  Kita sudah banyak dengan karya yang memenangi Hadiah Sastera Perdana atau yang memenangi peraduan peringkat daerah dan persatuan, tapi masih adakah karya sehebat Salina, Ranjau Sepanjang Jalan, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, Daerah Zeni, Sungai Mekong atau Menangguh Kebenaran?

  Banyak kegiatan sastera diadakan pada peringkat nasional dan daerah tetapi hasilnya masih misteri. Khalayak yang hadir majlis baca puisi tidak ramai dan pementasan teater pula  terpaksa bergantung kepada artis popular bagi menarik perhatian penonton.

  Sekali lagi isu popular dan serius menjadi polemik. Artis popular mampu meraih khalayak dan wajar menerima ganjaran setimpal. Penyair hanya gah dan hebat dengan karya serius tetapi tidak dipedulikan khalayak.

  Kita tidak tahu sampai bila nasib sasterawan di takuk lama. Jika karya teater yang baik gagal ke Istana Budaya, jangan hairan puisi dan novel   dibincang pada majlis ilmu saja, akhirnya dilupakan seolah-olah negara kita tidak upaya memiliki karya berbobot. - Berita Harian, 4 Jun 2013

Blackout 505

Seperti yang diduga perhimpunan pembangkang akan diteruskan bagi memastikan hasrat mereka membentuk kerajaan baru tercapai.

Perhimpunan yang dinamakan Blackout 505 itu akan diadakan di beberapa tempat sepanjang Jun bagi menolak keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13  (PRU-13) yang dakwa berlangsung dalam suasana penuh penipuan.
  Mereka berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersetuju untuk melaksanakan tiga tuntutan iaitu:
@   Pegawai kanan SPR letak jawatan.
@ Mengadakan pilihan raya semula di 30 kawasan Parlimen.
@ Menangguhkan sebarang bentuk pindaan undang-undang pilihan raya dan persempadanan semula.

 Mereka mendakwa setengah juta rakyat Malaysia sudah menyertai Blackout 505 di beberapa negeri.
  Sepanjang Jun ini mereka merancang  mengadakan perhimpunan di Kangar  (10 Jun), Sungai Petani (11 Jun), Kota Bharu (12 Jun) dan Batu Pahat (14 Jun). Mungkin beberapa kawasan lagi menjadi perancangan mereka jika tuntutan tidak dilayani pihak berkuasa.

  Kita tidak pasti status perhimpunan berkenaan, sama ada mendapat kebenaran polis atau tidak.

Bagaimanapun pengalaman lalu membuktikan mereka sanggup lakukan apa saja hatta di luar peruntukan undang-undang jika pihak berkuasa tidak membenarkan perhimpunan diadakan.

  Isnin lalu, empat pemimpin pakatan pembangkang -  dua di Perak dan masing-masing seorang di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, didakwa di mahkamah mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung dakwaan terbabit  dalam perhimpunan Blackout 505.

 Kita yakin pihak berkuasa sedang menangani kes ini dengan saksama kerana perhimpunan yang lazimnya didakwa aman, boleh bertukar menjadi ganas jika ada mana-mana pihak menonjolkan isu kaum dan perasaan tidak puas hati secara luar biasa.

  Dari segi demokrasi, perhimpunan dibenarkan untuk menyuarakan perasaan dan mengemukakan idea bagi pertimbangan bersama. Lazimnya, demokrasi disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu bagi memastikan cita-cita peribadi mereka tercapai.

  Sehingga kini kita tidak  nampak jalan penyelesaian selepas keputusan PRU-13 yang memberi kemenangan majoriti mudah kepada Barisan Nasional (BN). Dengan mandat 133 daripada 222 kerusi Parlimen, BN bukan saja teruji setia kawan dalam kalangan ahli komponen sendiri terutama MCA dan GERAKAN yang mempunyai mimpi berbeza, bahkan UMNO perlu berusaha lebih tegas bagi memastikan undi Melayu kembali kepada mereka.

  Bukan semua Melayu berpihak kepada UMNO terutama di kawasan bandar dan urban. Ramai Melayu yang sudah meyakini diri mereka stabil mengambil pendirian memihak kepada pembangkang dengan alasan tertentu.

  Kewibawaan calon dan cara hidup beberapa pemimpin yang tidak mengamalkan pendekatan wasatiyah dipersoalkan secara terbuka, sekali gus memberi sokongan kepada dongeng Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baru yang lebih telus, adil dan saksama untuk semua kaum.

  Sebelum pilihan raya, Anwar sudah mencanang akan membentuk kerajaan baru hasil muafakat PKR, DAP, PAS dan beberapa parti di Sabah dan Sarawak. Malah, pada malam penjumlahan undi pun, Anwar sudah membuat sidang media di sebuah hotel ternama kononnya sudah berkuasa di Malaysia dan bakal mengangkat  sumpah jawatan Perdana Menteri pada keesokan harinya.

 Apabila keputusan tidak memihak kepada mereka, isu pengundi hantu dan kes dakwat kekal yang tidak kekal berkali-kali ditohmahkan. Laporan polis dibuat di beberapa balai polis. Cerita warga Bangladesh dan Indonesia menjadi pengundi hantu disebar meluas di beberapa media baru hingga mempengaruhi kepercayaan massa. Bayangkan keadaan di Malaysia beberapa bulan lagi jika perhimpunan haram gagal ditangani secara saksama?

  Sehingga kini Anwar yang ada pengalaman sejak era aktivis pelajar pada 1974 tidak mungkin mengalah dengan amaran yang diberikan pihak keselamatan. Untuk menyambung sisa politik yang kian goyah, mereka akan meneruskan agenda perhimpunan rakyat untuk membangkitkan kemarahan umum kepada kerajaan dan SPR.

Beberapa blogger pembangkang  ghairah menyeru orang ramai keluar ke jalan raya. Mereka memberi alasan jika pilihan raya gagal memuaskan hati rakyat, jalan raya tempat terbaik  menyalurkan pendapat.

  Agenda perhimpunan bantahan keputusan pilihan raya boleh mengundang suasana buruk terutama aspek keselamatan dan keharmonian awam. Jika kewarasan masih ada, fikirkan kesan buruknya daripada keseronokan memancing kemarahan massa semata-mata untuk kepentingan peribadi. - Berita Harian, 31 Mei 2013

Thursday, May 30, 2013

Pegawai perhubungan politik masih samar

Perlukah jawatan pegawai perhubungan politik di Selangor? Persoalan ini menjadi bualan hangat dalam kalangan ahli PAS yang bimbang tindak-tanduk PKR seolah-olah mahu menguasai ‘segala-galanya’ di negeri  paling maju itu.

  PAS sejak awal lagi curiga dengan tindakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat cuba menjadikan Selangor sebagai taklukannya. Banyak keputusan yang membabitkan kepentingan ramai tidak dibincang bersama PAS kerana PKR dan DAP lebih selesa menentukan keputusan bersendirian.

  Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)   5 Mei lalu,  PAS dan DAP masing-masing memenangi 15 kerusi, sementara PKR pula hanya  14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

 Dari segi status demokrasi,  ahli PAS atau DAP wajar diberi peluang menjadi Menteri Besar berdasarkan kerusi majoriti yang mereka menangi. Bagaimanapun wakil rakyat DAP tidak layak kerana kekangan undang-undang tubuh negeri yang memperuntukkan jawatan berkenaan kepada bangsa Melayu dan beragama Islam. Dari segi Perlembagaan, wakil rakyat PAS layak dilantik Menteri Besar. Persefahaman politik yang sepatutnya dihormati bersama membolehkan wakil rakyat PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua.

  Sehingga kini cadangan jawatan pegawai perhubungan politik di Selangor masih menjadi misteri. Fungsi dan matlamat jawatan berkenaan  dipersoalkan. Apakah ia untuk kepentingan politik pakatan pembangkang atau agenda peribadi pihak tertentu bagi mengaut keuntungan ekonomi di Selangor? 

 Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution yang disebut bakal menyandang jawatan berkenaan  dijangka  bertemu  Abdul Khalid  minggu depan   bagi mengetahui status pelantikan.

   Anwar  pada Kongres Nasional PKR ke-9 hujung minggu lalu mencadangkan supaya Saifuddin diamanahkan berperanan sebagai pegawai perhubungan politik di negeri itu. Antara peranannya meliputi usaha merapatkan jurang antara PKR dan parti politik lain di Selangor dan memastikan urusan politik dipisahkan daripada pentadbiran negeri dan urusan perniagaan syarikat.

  Bagaimanapun, cadangan pelantikan itu mendapat reaksi PAS Selangor apabila ADUN Chempaka, Iskandar Samad turut menuntut  jawatan sama  diberikan kepada wakil PAS. PAS juga mencadangkan salah seorang daripada Naib Presidennya turut dilantik bagi memantau perkembangan politik.

  Kebimbangan PAS ada alasan kerana sepanjang lima tahun pentadbiran PKR di Selangor, banyak jawatan utama tidak diberikan kepada ahli parti berkenaan. Jawatan penting pada peringkat kerajaan tempatan hanya dibolot oleh PKR dan DAP. Tugas PAS sekadar portfolio agama dan istiadat Melayu, sedangkan pelaksanaan program ekonomi dilaksanakan oleh pihak lain yang berkepentingan.

  PAS juga mempersoalkan cadangan Anwar seolah-olah untuk memberi jawatan kepada Saifuddin yang tewas  pada PRU-13. Beliau kecundang   di tangan Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir (Barisan Nasional) di kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu.

 Sehingga kini pentadbiran negeri masih dilihat berperanan seperti biasa. Pengalaman Abdul Khalid di sektor korporat sebelum terbabit politik menjadi aset meneruskan agenda pembangunan di Selangor.

  Bagaimanapun kemajuan Selangor ada kaitan dengan faktor sejarah dan geografi. Kedudukan Selangor sebagai ‘jiran’ Kuala Lumpur dan Putrajaya membantu ledakan ekonomi yang luar biasa sejak dekad 1970-an.

  Fokus pembangunan pasca peristiwa 13 Mei 1969 menjadikan Selangor tumpuan pentadbiran, kegiatan ekonomi dan pelaburan. Proses urbanisasi yang pesat serta pertumbuhan prasarana pendidikan dan kemudahan awam menjadikan Selangor lebih ke depan berbanding Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan.

  Bagaimanapun persaingan kehidupan dan pertumbuhan kawasan urban menjadikan polarisasi kaum semakin meledak. Walaupun ramai ahli siasah yang bermantera mengenai muhibah dan perpaduan kaum, namun isu pendidikan dan peluang kewangan menyebabkan ada pihak   yang gemar bermain api perkauman. Hal ini diterjemahkan menerusi dua  pilihan raya umum terakhir menyebabkan BN hilang banyak kerusi di  bandar besar dan kawasan urban.

  Pengundi Melayu di kawasan pedalaman  di  Selangor masih mengharapkan politik pembangunan dan BN menjadi tumpuan. Ia bukan jaminan kekal kerana situasi akan berubah pada masa akan datang. Dalam hal ini peranan   pegawai perhubungan politik  masih samar, adakah  untuk pupuk perpaduan kaum atau meneruskan legasi pakatan pembangkang di Selangor? - Berita Harian, 30 Mei 2013

Wednesday, May 29, 2013

Menjelang Bersih 4.0

Kongres Nasional PKR kali ke-9 di Petaling Jaya masih belum berpijak di bumi nyata. Mereka masih mendesak demokrasi yang lebih adil dan mendakwa kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)  5 Mei lalu sebagai penipuan.

Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, menuntut agar kerajaan BN bersama dengan parti itu melaksanakan agenda pemulihan demokrasi sebelum mengadakan rekonsiliasi politik.

  Wan Azizah mendakwa tawaran yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung rekonsiliasi politik sebelum ini tidak ikhlas apabila ada pemimpin BN yang meminta agar sesiapa yang tidak berpuas hati dengan sistem pilihan raya supaya berpindah ke luar negara.

  Kita hairan kenapa PKR masih mempertikai keputusan PRU-13 sedangkan PAS dan DAP walaupun membantah, tapi tidak menggerakkan ahli mereka mengadakan protes terbuka.

  Walaupun ada segelintir ahli PAS yang berperangai seperti Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu, tapi majoriti bertindak waras dan menerima kekalahan sebagai adat demokrasi.
 Proses pilihan raya bukan jawapan mutlak kepada keadilan dan pembentukan mandat rakyat. Pilihan raya hanya alat untuk memilih wakil rakyat dan membentuk kerajaan. Kelemahan sistem ciptaan manusia bukan alasan untuk berhimpun secara haram dan mengadakan bantahan hingga menggugat kepentingan umum. Mereka ada saluran sah untuk membuat petisyen, bukannya memainkan emosi massa.

 Perhimpunan pembangkang pada Sabtu lalu di Petaling Jaya bukan penamat kegiatan agresif.  Akan ada susulan tindakan mereka. Dalam hal ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bermuhasabah diri; sampai bila mahu berarak dan berbuat onar sedangkan rakyat melihat masa depan yang lebih penting.

  Apakah ketika muda anda berarak di jalan raya dan pada usia tua pun masih mahu menjadikan jalan raya pentas berpidato, menjerit, mengapikan perasaan massa hingga keadaan di luar kawalan? Anwar perlu sedar zaman sudah berubah dan wajar bertindak secara lebih matang demi masa depan generasi muda Malaysia.

  Tindak-tanduk Anwar sengaja diperlihatkan luar biasa bagi melindungi kemerosotan undi PKR  berbanding PAS dan DAP. Meskipun bertanding paling banyak kerusi pada  peringkat Parlimen iaitu 99 kerusi,  PKR hanya menang 30 kerusi Parlimen dan kalah hampir 70 kerusi yang lain.

  PKR bukan lagi parti yang menguasai kerusi dalam pakatan pembangkang di Dewan Rakyat. Ia perlu melukut di tepi gantang dan mendapat belas ihsan khususnya DAP yang memenangi 38 kerusi Parlimen.

  PAS meskipun hanya mempunyai 21 kerusi Parlimen di dalam Dewan Rakyat,   menguasai jumlah kerusi yang besar di  Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan jumlah keseluruhan 85 kerusi DUN.

  Begitu juga DAP yang mempunyai 95 kerusi DUN di seluruh negara. PKR pula jauh ketinggalan iaitu  hanya 49 kerusi DUN. Keadaan di Selangor membuktikan PKR hanya semut di mata PAS dan DAP, tetapi masih berselera besar dengan menuntut jawatan Menteri Besar di negeri paling maju itu.

  Kita tidak hairan Anwar dan beberapa aktivis jalanan akan meneruskan perjuangan di jalan raya. Sudah kedengaran bisik-bisik untuk menganjurkan perhimpunan BERSIH 4.0 bagi membantah apa yang dikatakan penyelewengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

  Isu dakwat kekal  bertalu-talu dicanangkan. Dongeng Mat Bangla keluar mengundi dijaja di seluruh negara walaupun tidak dibuktikan secara jelas.

Lebih aneh apabila cerita lampu padam di pusat penjumlahan undi di Bentong dinafikan oleh pemimpin DAP sendiri.

 Bertindak tanpa alasan dan menafikan kematangan akan merosakkan kestabilan negara. Ia bukan saja memberi kesan politik, bahkan menjejaskan keselamatan awam dan aktiviti  ekonomi.

  Malangnya sudah ada yang merancang untuk  menghimpunkan jutaan rakyat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur jika tuntutan mereka agar pengerusi dan  timbalan pengerusi  SPR  letak jawatan  tidak ditunaikan. 

 Mereka juga akan  menganjurkan lebih banyak perhimpunan sehingga kerajaan BN  letak jawatan. Perhimpunan #Black505 yang dianjurkan di beberapa negeri sekarang adalah  permulaan kepada perhimpunan BERSIH 4.0 tidak lama lagi.

  Tindakan mereka jelas menguji sejauh mana proses undang-undang dapat dilaksanakan apabila Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sudah menjadi tinggalan sejarah! - Berita Harian, 29 Mei 2013