Ada dalam kalangan rakyat yang jarang menghargai keamanan apatah lagi bercakap soal patriotik. Hanya ketika terdesak, baharu menyedari perlunya sebuah negara yang aman, bebas dan berdaulat.
Ketika berada dalam suasana aman, kita seolah-olah terlupa nilai keharmonian, perpaduan dan saling menyayangi bukan datang sendiri. Ia perlu dipupuk dan dipertahankan dari semasa ke semasa. Apabila sekumpulan pengganas yang menceroboh Sabah di Lahad Datu pada 12 Februari lalu dan Semporna pada Sabtu lalu, tidak ramai yang menduga kesannya berlanjutan sehingga kini, atau mungkin beberapa minggu lagi. Tidak ramai juga yang mempersoalkan soal jati diri dan kedaulatan sesebuah wilayah yang penduduknya dengan rela hati menjadi sebahagian daripada negeri di Malaysia sejak awal dekad 1960-an.
Malangnya ada kumpulan manusia yang kononnya pejuang rakyat mengaitkan isu Sabah dengan sandiwara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13. Mereka menggunakan majlis ceramah untuk menyebarkan dakwaan sandiwara itu sedangkan ribuan isteri dan anggota keluarga tentera dan polis yang terbabit dalam Ops Daulat menitiskan air mata, pasrah berdoa dan mengharapkan insan tercinta kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat.
Apabila lapan anggota keselamatan terbunuh, ceramah politik yang mengaitkan sandiwara masih berleluasa. Dengan nada megah, mereka menyalahkan kerajaan kerana lambat bertindak dan sepatutnya pencerobohan sejak lebih tiga minggu lalu ditangani dengan segera, termasuk menggunakan kekuatan angkatan tentera dan polis sebagai pemantau di luar lokasi bergolak.
Pada hari ini, ujian sebenar jati diri dan kesetiaan kepada negara adalah sikap menyayangi dan saling menghargai nilai kemanusiaan yang kita pertahankan. Kemanusiaan dan amalan demokrasi adalah sebahagian daripada pengisian kedaulatan negara.
Perasaan cintakan pertiwi hanya diuji melalui sikap kita menangani soal kenegaraan secara berhemah dan bersatu hati ketika menghadapi saat genting. Tidak salah kita berpolitik, berhujah, menyelar dan mengkritik sesuatu isu yang dirasakan menjejaskan kepentingan rakyat. Islam sentiasa membenarkan kelainan pendapat dan perbezaan fahaman. Tradisi ijtihad dan percanggahan idea sebahagian daripada ciri kebebasan yang lahir selepas wujud negara berdaulat yang tercetus dalam Piagam Madinah.
Apa pun perbezaan pandangan, isu kedaulatan negara perlu dipertahan bersama walaupun kita mungkin berbeza ideologi dan cara menanggapi sesuatu keadaan. Kedaulatan negara adalah di tangan kita sendiri, apatah lagi berdepan tindakan haram sekumpulan pengganas yang menceroboh Sabah.
Cabul kedaulatan negara lain
Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) amat jelas melarang mana-mana pihak mencabul kedaulatan negara lain. Prinsip kedaulatan menjadi milik sejagat yang disahkan menerusi Konvensyen Geneva.
Setiausaha Luar Filipina, Albert F Del Rosario juga mengakui kumpulan berkenaan sebagai pengganas kerana bertindak di luar batasan perundangan. Mereka bukan saja memalukan negara sendiri dengan menceroboh kedaulatan Malaysia, bahkan bertindak di luar peruntukan undang-undang Filipina.
Perlembagaan Filipina melarang mana-mana rakyatnya menubuh atau membentuk pasukan keselamatan sendiri di samping melarang mereka menceroboh wilayah negara lain walau apa pun alasan yang diberikan. Hubungan serantau dalam konteks ASEAN amat jelas melarang mana-mana anggota mencampuri urusan negara lain.
Sejak ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, ASEAN sentiasa mengutamakan kerjasama ekonomi dan perdagangan dalam usaha mewujudkan suasana menang-menang dalam persekitaran global yang tidak menentu.
Kita harus berbangga kerana Malaysia mempertahan prinsip berkecuali walaupun pada ketika tertentu beberapa jiran bergolak dalam isu keselamatan. Ancaman pejuang Islam di selatan Thailand dan Filipina tidak pernah kita campuri, malah Malaysia dilantik sebagai pendamai isu pejuang Moro.
Apabila isu keselamatan dipolitikkan, semakin ketara penangan politik menghalalkan cara diamalkan pihak tertentu di negara ini. Ketika debaran rakyat menanti keamanan dipulihkan di kawasan bergolak, kerajaan melakukan apa saja bagi memastikan maruah dan kedaulatan dipertahankan.
Tindakan ketenteraan tidak boleh dianggap kezaliman kerana kita mengharapkan Malaysia yang aman dan berdaulat. Kita wajar berdoa Sabah kembali aman dan maruah Malaysia tidak tercalar. - Berita Harian, 7 Mac 2013
No comments:
Post a Comment