Lebih 20,000 hadir pada Himpunan Perdana Anok-Anok Klate di Perantauan 2013 di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Ahad lalu. Sebelum ini laungan ‘Gelombang Merah’ dan ‘Tukar’ oleh 10,000 rakyat Kelantan, sebagai simbol kebangkitan rakyat di Kota Bharu.Ia secara jelas gambaran sikap penduduk yang mahu perubahan kerajaan negeri pimpinan PAS sejak 1990.
Hampir 23 tahun PAS mentadbir Kelantan dengan pelbagai kerenah dan drama politik yang menarik. PAS berkuasa kerana UMNO lemah ekoran pemilihan dalam parti pada 1987 di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah bagi merebut jawatan Presiden parti.
Pertelagahan dalaman menyebabkan UMNO diharamkan pada 1988 dan usaha memulihkan semula parti berkenaan menghadapi pelbagai rintangan. Tengku Razaleigh dan Tunku Abdul Rahman Putra berusaha memulihkan UMNO asal tetapi gagal. Dr Mahathir berjaya menubuhkan UMNO baru yang dikatakan mewarisi semangat parti asal tetapi ditentang pelbagai pihak terutama veteran parti.
Tengku Razaleigh akhirnya menubuhkan Semangat 46 mengambil pendekatan bergabung dengan PAS dan DAP bagi mencabar kuasa BN pada 1990.
UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak mungkin tewas di Kelantan pada Pilihan Raya Umum 1990 jika ahli bersatu dan menjadikan perjuangan pembangunan bagi memajukan Negeri Cik Siti Wan Kembang.
PAS berkuasa di Kelantan kerana UMNO lemah dan kesannya dialami oleh rakyat selama 23 tahun. Hari ini, 500,000 penduduk Kelantan berhijrah terutama di Lembah Klang kerana faktor ekonomi dan keselesaan.
Sebahagian mereka menjadikan tempat asing sebagai ‘Kelantan baru’ tanpa mengubah cara penampilan, loghat dan warisan budaya negeri Pantai Timur.
Bagaimanapun, kesetiaan kepada negeri asal tidak boleh dinafikan. Sebahagian besar perantau kembali ke Kelantan pada musim perayaan dan cuti sekolah. Lebih unik sebahagian besar mereka membayar zakat di Kelantan walaupun mencari rezeki di perantauan.
Dari segi politik pula, ramai anak Kelantan lebih cenderung mengundi di negeri kelahiran. Lebih 150,000 perantau dijangka pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini. Mereka adalah 15 peratus daripada jumlah 900,000 pengundi berdaftar di Kelantan.
Suasana sekarang memihak kepada UMNO jika ahli dan pemimpinnya bersatu. Sikap ‘cah keting’ yang sering diperkatakan wajar dihapuskan demi pembangunan Kelantan sendiri.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang juga Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, mengharapkan rakyat memberi peluang kepada BN.
“Rakyat Kelantan tidak sabar tengok perubahan, tunjukkan kemampuan kita, bersatu dan gegarkan Kelantan, kita boleh bawa kejutan besar,” katanya ketika berucap di atas lori di depan bangunan UMNO negeri, sempena Pelancaran Konvoi Gerakan Tukar Kerajaan PAS Kelantan Demi Rakyat (TUKAR) dan Kebangkitan Rakyat.
Harapan Mustapa sepatutnya diterjemah menerusi tindakan. Paling ketara sikap segelintir veteran UMNO masih diragui. Banyak majlis politik dianggap sepi hingga menimbulkan persoalan sejauh mana ‘cah keting’ tidak berlaku.
Dari segi sejarah, UMNO Kelantan berada di puncak pada era Tengku Razaleigh. Beliau bukan saja menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO dan Menteri Kewangan sehingga pertengahan dekad 1980-an, bahkan berjaya menguasai gerakan siasah di Negeri Serambi Makkah itu.
Bagaimanapun, tindakan ‘cah keting’ menyebabkan Tengku Razaleigh tewas dua kali ketika merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO kepada Tun Musa Hitam pada 1982 dan 1984. Ada ahli UMNO Kelantan yang tidak mahu beliau menang jawatan tinggi dalam parti kerana bimbang boleh menjejaskan kepentingan peribadi dengan Pusat.
Pada hari ini, kecenderungan sabotaj parti amat dibimbangi. Pada Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008, ada tokoh UMNO yang sepatutnya tidak kalah tapi tewas kepada lawan yang tidak dikenali umum. Hal sama berulang beberapa kali di Kelantan kerana isu ‘cah keting’ akan menular apabila soal pencalonan, agihan projek dan peluang menjadi rebutan.
Mustapa perlu bersedia menghadapi realiti sebenar masyarakat Kelantan. Bukan semuanya bersama beliau pada majlis rasmi akan mengambil pendirian sama pada hari pengundian.
Tokoh tempatan yang dirasakan tidak sesuai lagi bertanding perlu bersedia memberi tempat kepada muka baru. Jika PAS Kelantan berusaha memilih calon muda yang lebih berwibawa pada pada pilihan raya ini, UMNO wajar meletakkan tokoh yang boleh menang.
Usaha menawan Kelantan akan lebih manis jika isu royalti minyak dapat diatasi secepat mungkin. Ramai jentera penerangan UMNO yang mengeluh apabila mereka gagal menjelaskan secara tepat isu royalti minyak ketika berdepan dengan bakal pengundi. - Berita Harian, 1 Mac 2013

No comments:
Post a Comment