Jika menipu boleh dianggap industri paling mudah untuk mendapatkan wang, tentu ramai yang menjadikan penipuan sebagai kerjaya tetap.
Tanpa memerlukan modal, permit perniagaan dan premis, seseorang boleh menjana keuntungan dengan memperdaya orang ramai termasuk di ruang saf solat di masjid.
Dengan hanya bermodalkan air liur dan bahasa tubuh yang meyakinkan, mereka boleh menjanjikan apa saja termasuk syurga, keberkatan hidup, kekayaan dan panjang umur.
Sasterawan Marsli NO menerbitkan kumpulan cerpen Penipu (1997) yang secara langsung mengolah kehidupan dunia tanpa mempedulikan kesan dan akibatnya kepada peribadi dan awam.
Penipuan hampir menjadi sebahagian budaya kehidupan moden apabila kita menilai hayat dengan ganjaran kewangan serta kesenangan hidup, bukan dosa dan pahala.
Hari ini penipuan diperdagangkan secara terbuka. Ada pihak menjual air jampi bagi mendapatkan keuntungan lumayan.
Dengan berbekalkan ayat al-Quran, hadis dan mantera, air jampi dijual secara terbuka kononnya mengelak bala, mudah dapat jodoh, pendinding, cegah santau, pelalau, gangguan jin dan makhluk halus.
Penjual air jampi yang lazimnya berjubah, berkopiah dan berjanggut memulakan ‘iklan’ dengan ayat al-Quran dan memuji kebesaran Ilahi sebagai pendinding kejahatan yang dihasilkan makhluk halus.
Ada yang terpedaya dengan helah penipuan berlandaskan agama, hingga mendorong sesetengah jawatankuasa masjid membenarkan premis menjadi pusat jualan air jampi.
Akhirnya agama dikaitkan dengan tahyul. Air jampi, mitos kesucian dan kebenaran menjadi agenda memperalatkan agama untuk kepentingan peribadi.
Kita bimbang apabila agama diperdagangkan, seperti juga penipuan, menjadi modal untuk meraih pendapatan segera.
Lebih malang, apabila orang yang bergelar ulama dan lancar menghafaz al-Quran dan hadis, menggunakan nikmat Allah untuk menipu golongan kurang cerdas.
Ada pihak yang menubuhkan pusat rawatan Islam kononnya mengubat gangguan makhluk halus dan jin.
Tidak terkecuali juga haji, kiai dan syeikh yang merawat sakit misteri anak dara, janda dan isteri orang kena dakwa di mahkamah kerana mengambil kesempatan ketika menjalankan rawatan cara Islam secara berdua-duaan di dalam bilik.
Ada juga tauke restoran yang mempamerkan ayat al-Quran dan gambar Kaabah pada dinding kedai makan semata-mata membuktikan keislaman mereka.
Lebih memeranjatkan, ada kawasan rawat dan rehat (R&R) dijadikan lokasi menjual air jampi yang kononnya hasil bacaan doa seorang tahfiz sebuah madrasah di Pakistan.
Tidak memeranjatkan apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi membincangkan isu penjualan air jampi yang kian berleluasa.
Isu ini sepatutnya sudah lama diperdebatkan kerana membabitkan akidah dan penganiayaan awam.
Dari segi sejarah, perkembangan perubatan Islam berlandaskan al-Quran, hadis dan bacaan doa yang membabitkan pasrah kepada Allah.
Tokoh perubatan seperti Ibnu Sina (Abu Ali al- Huseyn bin Abdullah bin Hassan Ali bin Sina) tidak pernah menjual air jampi untuk menyenangkan hati pesakitnya.
Beliau yang dikenali di Barat dengan nama Avicenna seorang pengkaji al-Quran dan sastera sejak remaja sebelum mendalami bidang falsafah, kedoktoran, geometri, astronomi, muzik, syair, teologi, politik, matematik, fizik, kimia dan kosmologi.
Sejarah tidak pernah membenarkan penipu menjadi tokoh penting dalam sesebuah masyarakat.
Akal jumud dalam kalangan kita sendiri yang membenarkan penipuan sebagai kegiatan untuk memperdaya orang ramai.
Hari ini ada Melayu menjadi mangsa perniagaan lembu, lintah, haruan dan kambing yang kononnya mendatang keuntungan lumayan,
Modus operandi hampir sama – ayat al-Quran, imej jubah dan ketayap dipergunakan untuk menunjukkan kebaikan kepada awam.
Selagi Melayu masih mempercayai kekayaan segera boleh dicipta sekelip mata, selama itulah bangsa kita kekal terperangkap dengan sihir air jampi yang diperdagangkan ulama jadian.
Semangat untuk meraih kekayaan segera menjadi punca Dasar Ekonomi Baru gagal menepati sasaran. Puncanya, Melayu masih bertongkat dalam perniagaan. Air jampi dan dongeng ulama menjadi cabaran usaha membentuk negara berpendapatan tinggi selepas 2020. - Berita Harian, 5 Mac 2013
No comments:
Post a Comment