Lebih 10,000 penonton yang menyaksikan perlawanan bola sepak Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Kota Bharu, Rabu lalu bertafakur sebagai menghormati lapan anggota polis yang terkorban akibat pencerobohan kumpulan pengganas bersenjata di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.
Mereka bersama pemain pasukan Kelantan dan Maziya Sports & Recreation Club dari Maldives, membaca al-Fatihah sebelum perlawanan bermula 8.45 malam yang membuatkan suasana sunyi sejenak.Sikap mereka membuktikan rasional majoriti rakyat Kelantan terhadap isu semasa. Mereka prihatin dan ada yang menitiskan air mata apabila mengenangkan kesedihan keluarga pahlawan yang terkorban demi kedaulatan negara.
Kita yakin sikap rasional ini akan kekal pada hari pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Calon yang dikehendaki rakyat akan berpeluang menang walaupun kali pertama bertanding.
Sepak terajang politik memerlukan analisis lebih teliti. Barisan Nasional (BN) Kelantan yang menggerakkan kempen Gelombang Merah tentunya belajar daripada pengalaman silam. Beberapa nama besar tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008 kerana tidak disenangi pengundi. Latar belakang sebagai Ahli Parlimen bertahun-tahun atau pernah bergelar Menteri dan Timbalan Menteri bukan jaminan untuk kekal mendapat sokongan.
UMNO sebagai parti dominan perlu mengkaji strategi sesuai. Kesilapan 2008 termasuk tindakan seorang pemimpin Pemuda UMNO hadir majlis di Kota Bharu dan meneriak “18 tahun pade doh” (18 tahun cukup dah) jangan diulangi. Cara sedemikian tidak sesuai dengan masyarakat Kelantan yang mengharapkan penampilan lebih sopan.
Beberapa tokoh Pusat juga ke Kelantan dengan pelbagai janji pembangunan yang dianggap penduduk tempatan sebagai ulangan cerita lama. Ketika BN merampas Kelantan pada 1978 ekoran krisis penentangan Kumpulan 20 pada 1977 yang menyebabkan PAS tersingkir daripada gabungan berkenaan, UMNO pernah menjanjikan beberapa program untuk meningkatkan taraf hidup rakyat. Janji lebuh raya selesa dan Pengkalan Chepa sebagai kawasan industri terbesar di Pantai Timur tidak tercapai sehinggalah PAS berkuasa semula pada 1990.
PAS mungkin boleh berterima kasih kepada Nik Aziz yang dianggap tokoh jujur, alim dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah Subuh di Kota Bharu.
Bagaimanapun mentadbir sesebuah negeri bukan berkaitan dengan kealiman dan kejujuran semata-mata. Kewibawaan seseorang pentadbir dan matlamat menjayakan agenda pembangunan memerlukan tenaga mahir. BN lebih mampu menyediakan modal insan terbaik berbanding PAS.
Halangan utama BN adalah rakyat Kelantan sendiri. Sejauh mana mereka menerima UMNO bergantung kepada usaha menarik perhatian massa. Retorik politik bukan cara sesuai untuk menang pilihan raya. Rakyat mahukan isu royalti minyak diselesai secara saksama. - Berita Harian, 8 Mac 2013
No comments:
Post a Comment