Pages

Tuesday, March 12, 2013

Alahai FAM...

Skuad Olimpik 1972 
Tiada siapa yang peduli Edson Arantes do Nascimento, sebelum nama glamornya Pele dijulang sebagai O Rei atau Sang Raja kerana membantu Brazil muncul juara Piala Dunia tiga kali iaitu pada 1958 (Sweden),  1962 (Chili) dan 1970 di Mexico. 

  Ketika dunia bertanya mengenai kehebatan di padang bola, Pele hanya menyatakan kegilaan!  “Bola sepak penuh kegilaan. Kegilaan boleh menjulang nama seseorang atau membunuh kerjaya mereka,” tegas Pele.

  Barangkali kerana kegilaan juga mendorong Diego Maradona ‘meminjam tangan tuhan’ ketika membolosi gawang pasukan England ketika Piala Dunia 1986. “Bola sepak penuh dengan tanggapan gila,” nafi Maradona ketika dunia mempersoalkan kewibawaan beliau sebagai penyerang dan mengakui menggunakan tangan bagi membantu Argentina muncul juara selepas 25 tahun kejadian berlalu.

   Hari ini kegilaan sebahagian daripada ciri bola sepak moden. Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan mendapat penajaan terbesar dengan separuh daripada tujuh bilion warga dunia menonton sekurang-kurangnya sekali perlawanan ketika temasya berlangsung.

 Malaysia pula tidak pernah melayakkan diri ke Piala Dunia. Kita hanya mampu dua kali ke Sukan Olimpik iaitu pada 1972 dan 1980 ketika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dipimpin oleh tokoh yang beriltizam tinggi. Malaysia juga menduduki tempat ketiga Sukan Asia 1974 di Teheran, Iran.

 Kita hairan ketika sebahagian besar rakyat gilakan sukan nombor satu negara itu, mutu bola sepak negara semakin lesu. Apa pun jawatan, kaum, agama, budaya dan status sosial, bola sepak tetap menjadi minat ramai. Bola sepak adalah sukan rakyat yang diterima pelbagai kaum dengan pelbagai jadual perlawanan dan penyertaan yang luar biasa. Malangnya, kita hanya menduduki tangga ke-159 dunia pada 12 Februari lalu, setaraf dengan Maldives dan satu mata di bawah Singapura. Nigeria yang tergolong negara miskin mencapai kemerdekaan bersama Malaysia pada  1957 menduduki ranking ke-35 dunia. Apakah kerana miskin mereka berjaya dalam bola sepak? Ramai pemain Nigeria bukan saja bertandang ke Eropah, bahkan menjadi bintang pasukan yang menyertai Liga Malaysia sekarang. Apakah kerana kita hidup selesa mendorong bola sepak menjadi sukan belasahan semata-mata?

  Kita berkali-kali gagal ke Piala Dunia dan mustahil ke Olimpik lagi. Jika ada pegawai FAM yang mengkritik pasukan bola sepak Malaysia, mereka akan digantung tugas kerana melanggar Artikel 88. Pegawai tinggi FAM yang kesal apabila Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa mengkritik skuad kebangsaan, membuat kenyataan media bahawa “Annuar melakukan kesalahan besar kerana mengkritik pasukan sendiri”.

  Alasan berkenaan sebahagian daripada episod lawak FAM yang tidak membenarkan kebebasan bersuara dalam badan sukan itu.  Jika Pele mengatakan bola sepak penuh dengan kegilaan, keadaan di Malaysia pula tidak terkecuali. Tahun ini bukan saja peminat, pemain, jurulatih dan pengadil yang  ke stadium, bahkan sudah ada pihak  tergamak membawa  komando dan kenderaan tentera ke stadium dengan alasan keselamatan.

  Jenaka yang lebih menarik, senjata M16 mengiringi pemain dan pegawai pasukan, menyebabkan penonton tuan rumah bertindak agresif. Malangnya ada pasukan yang didenda kerana kawalan keselamatan yang rendah dan pihak yang membawa komando serta M16 tidak dikenakan sebarang tindakan.
 
Masyarakat berhak mempersoalkan kenapa Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim hanya digantung selama enam bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak dan didenda sebanyak RM18,000 kerana mengkritik mutu pengadilan  Liga Malaysia.

  Keputusan itu jauh berbeza dengan hukuman penggantungan dua tahun enam bulan ke atas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim dan Annuar, mengikut peruntukan sama kerana melanggar Artikel 88.

“Pegawai FAM kata hukuman gantung enam bulan yang dikenakan ke atas Tunku Ismail paling minimum dan tak boleh rayu. Sebelum ini apabila dia jatuhkan hukuman dua tahun enam bulan ke atas saya dan Annuar, dia kata hukuman itu juga paling minimum dan tak boleh rayu. Mana satu hukuman yang paling minimum?” soalnya.

  Jenaka  perlu ditamatkan demi kepentingan bola sepak. FAM perlu dipimpin oleh tokoh yang bersemangat kesukanan. Ahli gabungan perlu bersatu hati membawa saranan supaya Artikel 88 dimansuh. Lebih penting, sukan untuk mereka yang mahukan kejayaan, bukan  jawatan untuk kepentingan yang lain. - Berita Harian, 12 Mac2013

1 comment:

Anonymous said...

Bolasepak tidak pernah gila, tuan. Yang gila ialah pendokong bolasepak itu sendiri.

Di tempat kita, hukuman terpilih ataupun yang bersifat ‘double standard’ membuktikan segala kegilaan yang dimaksudkan.

Pencinta bolasepak tanah air tidak pernah lupa apa yang pernah dilakukan terhadap Allahyarham Datuk Ahmad Basri. Kes Anuar Musa dan Shahidan Kassim hanyalah sekadar pelengkap cerita.

Setahu saya negara kita ini aman makmur, tuan. Jadi apa perlunya kehadiran anggota keselamatan yang lengkap bersenjata masuk kepadang bola?

Menyentuh tentang Anuar Musa, ketokohan beliau kearah memajukan mutu bolasepak di Kelantan khususnya, nampak terserlah hanya setelah diberi ruang oleh YAB Menteri Besar, yang tuan tidak jemu-jemu mengkondemnya.

Nah, sekarang cuba kita terbalikkan cerita.

Katakanlah tokoh BN menjadi Menteri Besar negeri Cik Siti Wan Kembang. Apakah beliau akan bermurah hati untuk menyedekahkan tempat kepada individu yang berkaliber di dalam bidang bolasepak, hanya semata-mata kerana individu itu memikul ideologi yang berbeza?

Tak perlulah pergi jauh.

Keindahan bolasepak sebenarnya ada di Kelantan, di negeri tuan. Sekurang-kurangnya itu semua menjadi penawar kepada sindrom kegilaan yang sedang melanda.

Tetapi sayangnya media arus perdana yang dipacu oleh pihak-pihak tertentu seboleh-bolehnya akan berusaha untuk memadam serta mengkaldaikan segala keindahan tersebut supaya terus nampak buruk.

Itu juga satu bentuk kegilaan.