Pages

Tuesday, November 27, 2012

UMNO jangan sekadar hidup mewah

Sebelum melepaskan jawatan dalam UMNO dan kerajaan, seorang tokoh berpesan: “Jagalah UMNO baik-baik. Jangan sampai lupakan akar umbi di luar bandar!” Ungkapan lebih dua dekad lalu itu sepatutnya menjadi pedoman kepada 3.2 juta ahli UMNO di seluruh Malaysia.

  Hari ini parti umat Melayu bersidang lagi. Harapan pemimpin dan perwakilan membawa mesej yang hampir sama. UMNO perlu kekal untuk Melayunya dan dengan akar umbi. Sebarang usaha melupakan akar umbi akan membawa padah kepada UMNO.

  Sejak penubuhan pada 11 Mei 1946, UMNO sentiasa dilihat untuk Melayu.   Sejarah mentakdirkan UMNO parti Melayu yang kekal berkuasa sejak 55 tahun lalu. Sejarah juga yang merakamkan kesepakatan, pengorbanan dan semangat menentang Malayan Union sebagai paksi kekuatan bangsa yang tidak ternilai.

  Namun, sejarah juga yang mencatatkan UMNO bergelora apabila ahlinya berpecah selepas pemilihan parti  1987 kerana pertandingan  jawatan presiden  antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah. Dr Mahathir menang dengan majoriti 43 undi tetapi beliau tidak menang sepenuhnya.

Razaleigh juga tidak kalah sepenuhnya. UMNO berpecah dan masalah parti dibawa ke mahkamah. UMNO diharamkan pada 4 Februari 1988 di bawah Akta Pertubuhan. Sejak itu UMNO dewasa bersama masalah dalaman untuk menguji kekuatan jiwa ahli dan pemimpinnya.

  Sebagai  antara parti yang paling lama berkuasa di dunia, UMNO sentiasa kaya dengan kepelbagaian. Kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) meletakkan Melayu di antara pemain penting dalam pentadbiran dan sektor perusahaan.

 Kuala Lumpur yang dulunya dianggap milik pihak lain berubah wajah selepas peristiwa 13 Mei 1969. Kita wajar berterima kasih kepada sejarah kerana menjadikan rusuhan kaum membentuk Melayu moden yang lebih ampuh dalam pelbagai bidang.

  Sekitar  1980-an dan 1990-an, kewujudan usahawan Melayu agak drastik walaupun gagal memenuhi sasaran 30 peratus DEB. Kewujudan istilah Melayu baru memberi tafsiran  lebih meluas. Melayu baru sepatutnya yang berilmu, berminda taraf dunia dan tauke korporat yang tahan  ujian. Ada yang berjaya dan ramai juga  gagal. Lebih malang, istilah Melayu baru dikaitkan pula dengan politik wang. Lebih mengecewakan, segelintir ahli UMNO  dikaitkan dengan wang untuk menjadi ketua cawangan, perwakilan bahagian dan menjadi ahli majlis tertinggi parti.

  Cita-cita menghayati akar umbi sentiasa dibayangi keperluan lain sehingga ada tohmahan UMNO bukan lagi milik petani, nelayan dan penoreh getah.  Seorang tokoh secara sinis menggelarkan Desawan Joe bukan lagi berkain dan berbaju Melayu, bahkan bergaya moden dengan kenderaan mewah di Kuala Lumpur.

 Imej UMNO sebagai parti kampung secara evolusi menjadi milik korporat dan usahawan pasca DEB. Jika dulu perwakilan UMNO guru lulusan maktab perguruan kini bertukar kepada jutawan muda yang mempunyai ribuan lot saham di Bursa Malaysia. Suara keramat UMNO sentiasa disangsi walaupun masih ada yang berhati luhur  membela Melayu  luar bandar.

  Cabaran terbesar UMNO berlaku pada 2 September 1998 apabila pergolakan dalaman membabitkan isu moral seorang pemimpinnya. Pemuda UMNO ketika itu hampir lumpuh apabila ramai tokoh berpindah kem dan mempertikaikan keputusan pucuk pimpinan parti. Media baru menjadi wadah lebih canggih dan eksklusif melaporkan masalah dalaman.

     Persidangan    kali ini sepatutnya dilakukan usaha mengukuhkan perpaduan Melayu. Lihatlah masalah rakyat dan dekatilah akar umbi. Jika UMNO mahu dipandang gah untuk sekian lama, ahli dan pimpinan perlu wujudkan saf yang kukuh bagi membina benteng parti.
Tradisi intelektual dan muafakat yang sudah lama tertanam di jiwa Melayu perlu disemarakkan. Lebih penting, UMNO jangan sekadar melihat dirinya di bandar.  
    
  Desawan Joe  perlu menjenguk ke  desa, mengenal akar umbi dan menterjemahkan perjuangan dalam bentuk baru. Semangat dan roh UMNO perlu kekal. Lebih penting tradisi membela rakyat perlu tersemat di hati pemimpinnya agar sebahagian Melayu tidak menjauhkan UMNO lagi! - Berita Harian, 27 November 2012

Tuesday, November 20, 2012

Dulu UMNO untuk rakyat, kini?

Bukan mudah ke Kuala Lumpur bagi remaja  kampung akhir dekad 1970-an  kerana  terpaksa merayu kepada orang tua, di samping meneliti wang di poket sendiri. Kemampuan harus ada kerana UMNO ketika itu masih dianggap parti bagi orang kampung yang serba kekurangan. UMNO  dianggotai nelayan, petani, penoreh getah, tukang kebun sekolah,  buruh kasar dan guru lulusan maktab perguruan.

Tidak ramai yang berjawatan tinggi menyertai UMNO lebih-lebih lagi di sebuah negeri yang mempunyai kepentingan siasah berbeza.

 Bagaimanapun, peluang ke perhimpunan agung UMNO adalah pengalaman luar biasa.  Tiada tawaran penginapan hotel lima bintang untuk wakil bahagian dan pemerhati seperti sekarang,  melainkan rumah tumpangan di Jalan Chow Kit untuk berkongsi mimpi dan melepaskan lelah seketika.

 Perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur amat meletihkan. Selama 12 jam berhimpit dalam Morris Minor atau bas uzur yang terpaksa melintasi kawasan pantai di  Terengganu, sebelum meredah  bukit di Pahang dan tiba di Kuala Lumpur ketika matahari sudah lama menghilang. Laluan Gua Musang belum dibuka kerana ancaman pengganas komunis.

 Kuala Lumpur amat asing bagi kebanyakan Melayu ketika itu. Peristiwa berdarah 13 Mei 1969 bagai membuktikan sesuatu yang tidak kena apabila sebuah kawasan yang asalnya tempat bermukim bangsa Melayu sejak 1800 dikuasai pihak lain.

 Bagaimanapun, peluang ke perhimpunan agung UMNO adalah pengalaman unik. Wakil dari Kelantan lazimnya tinggal di Jalan Chow Kit kerana lebih selesa di kawasan sesak itu. Ramai peniaga kecil, pemilik gerai dan buruh kasar berasal dari Kelantan menjadikan Chow Kit sebagai tempat pertemuan, melepaskan lelah dan bersembang sesama sendiri. Loghat Kelantan begitu ketara di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada dekad 1970-an sebelum dikuasai loghat pendatang Indonesia pada 1980-an dan kini.

 UMNO pula tidak mempunyai dewan yang besar untuk bermesyuarat, memadai sekadar meminjam Balai Budaya dan Balai Seminar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi   membincangkan dasar parti dan suara akar umbi.

 Sehingga awal 1980-an, ibu pejabat UMNO di Medan Tuanku dianggap pusat strategi parti. Dari sinilah berkumandang  suara Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein  Onn yang bekerja keras membantu perpaduan Melayu dan menentukan pencapaian dasar membangunkan peniaga Bumiputera.

 Hari ini mungkin sebahagian besar dalam kalangan kita berasa sinis, atau mungkin simpati dengan nasib lampau. Bangunan Ibu Pejabat UMNO di Medan Tuanku hanya premis kecil yang menyimpan pengalaman tersendiri. UMNO tidak lagi bergayut pada lokasi kumuh kerana kini beroperasi di bangunan tersergam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
 
 Ahli UMNO pula bukan lagi kalangan buruh, petani dan nelayan. Ada profesional dan korporat yang lahir pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB)  turut memberi watak berbeza kepada parti itu sendiri. Kehadiran mereka mengubah cara berfikir dan bertindak. UMNO bukan lagi parti orang kampung kerana sudah memiliki kepelbagaian tersendiri. Selera, mimpi dan harapan ahli juga mula berubah dan semakin tercabar.

Tahun ini perhimpunan  diadakan dari 27 November hingga 1 Disember. Tumpuan perwakilan tentulah ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, pada majlis perasmian di Dewan Merdeka pada 29 November ini. Perdana Menteri dijangka memberi amanat penting  dan langkah yang harus diambil bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

 UMNO  kini kesinambungan perjuangan yang diasaskan sejak 11 Mei 1946. Cuma wajah ahli  dan pemimpin agak berbeza, namun semangat ahlinya mustahil berbeza. Ramai yang komited berjuang untuk parti, di samping harus diakui ada  sekadar pencacai yang mahu mendapatkan laba hasil perjuangan mereka.

 UMNO dengan kepelbagaian pengalaman perjuangan ahli dan cabaran zaman harus kekal relevan di mata Melayu.  Sejarah membuktikan kekuatan UMNO adalah asas perjuangan yang bertapak kukuh di luar bandar. Pemimpin perlu sedar sesebuah parti yang meninggalkan tradisi sendiri bakal berdepan dengan masalah. Pengalaman Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008 harus dikenang sebagai  teladan yang amat pahit. Segelintir ahli sendiri meninggalkan parti atau mengambil keputusan tidak keluar mengundi kerana sikap sesetengah pihak dalam parti.
  
Masa depan Melayu tidak semestinya bergantung kepada UMNO semata-mata. Selagi UMNO kekal untuk Melayu dan mendaulatkan bahasa Melayu, agama dan bangsa  di tempat sewajarnya, rakyat akan memihak kepada UMNO. Jika tidak, UMNO akan lebur! - Berita Harian, 20 November 2012         

Tuesday, November 06, 2012

Derita AS tak sama Vietnam, Iraq, Afghanistan

Amerika Syarikat (AS) sepatutnya sedar kuasa ketenteraan dan ekonomi tidak boleh mengatasi kekuatan alam yang dicipta jutaan tahun lalu.

  Imej seorang penduduk New Jersey yang berwajah cemas diselamatkan menerusi jendela sebuah bangunan bagai menyerlahkan kelemahan manusia berdepan unsur alam. Jambatan hanyut, kenderaan tersadai dan kota New York menjadi gugusan pulau kecil diulang tayang berkali-kali bagi menggamit simpati dunia.

  Sehingga kini lebih 100 nyawa terkorban sejak Selasa lalu dengan angka kerugian dijangka RM150 bilion dianggap ‘tragedi’ walaupun kesan tindakan ketenteraan AS di beberapa negara jauh lebih dahsyat daripada itu.

  Hari ini pilihan raya Presiden yang membabitkan saingan sengit dua tokoh. Tapi media Barat yang dikuasai Yahudi berulang kali menayangkan ‘penderitaan’ AS berdepan ancaman dahsyat.

  Taufan Sandy yang kini menjadi mantera wartawan Barat seolah-olah melupakan perhatian dunia terhadap kes pembunuhan tiga rakyat Palestin di Tebing Barat pada 29 Oktober lalu.

  Kita wajar bersimpati dengan rakyat AS yang berdepan bencana.   Bagaimanapun sejarah tetap meletakkan AS antara negara yang banyak menjejaskan wilayah lain. Sejak 100 tahun lalu, AS hanya sekali menerima  ancaman ketenteraan ketika kemuncak Perang Dunia Kedua.

   Selepas serangan tentera Jepun di Pearl Harbor, ledakan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada akhir 1945 membuka tirai kekejaman AS di luar negara. Seramai 140,000 maut di Hiroshima dan 80,000 di Nagasaki. Kesannya lebih dahsyat berbanding Sandy yang dianggap bencana paling buruk sekarang.

 AS pernah dikejutkan dengan serangan World Trade Centre  (WTC) di New York pada 11 September 2001, tetapi kesannya amat minimum berbanding  jutaan bom dan tembakan dilepaskan di Vietnam, Iraq, Afghanistan, Somalia dan beberapa negara yang dianggap sosialis. 

 Sejarah menjadi  saksi kekejaman AS di My Lai, Vietnam pada 16 Mac 1968, apabila platun tentera membunuh ratusan wanita dan kanak-kanak dengan alasan berpihak kepada gerila komunis.

   Bayangkan wanita dan kanak-kanak yang lemah ditembak dan kediaman dibakar secara rakus. Bayangkan juga sebuah Vietnam yang terus menderita  hingga kini walaupun kekejaman berlaku 44 tahun lalu dengan sisa perang yang kekal tidak bertamadun.

 Jutaan umat Islam di Iraq dan Afghanistan dibunuh semata-mata untuk melaksanakan perancangan jahat imperialis neocon (Neo Conservative) dan   Zionis.  Neocon adalah kumpulan sayap kanan Yahudi di AS dan Eropah yang dianggotai bangsa Eropah, Amerika Utara dan Yahudi. Di antara ahlinya adalah bekas Presiden George Bush, ahli Kongres AS dan kebanyakan pemimpin Eropah. Matlamat mereka mentadbir AS bagi pihak Israel untuk menjayakan hasrat ‘Israel Raya' di Asia Barat.  Pemerhati politik menganalisis cita-cita Israel bukan saja di Palestin, bahkan seluruh negara Arab dan Iran.

 AS menggunakan alasan serangan 11 September 2001  untuk mencengkam Asia Selatan yang dianggap satelit kepada China yang kini menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia selepas AS dan mengatasi pencapaian Jepun sejak empat dekad lalu.

Afghanistan ditakluki semata-mata untuk memudahkan AS dan Eropah membina paip bagi menyalur keluar minyak dari negara bekas Kesatuan Soviet di Laut Kaspia.

 AS juga menggunakan khidmat askar upahan seramai 120,000 orang dari pelbagai negara bagi membantu tentera di Iraq yang kononnya mahu menamatkan kekejaman Presiden Saddam Hussein. Askar upahan ini bernaung di bawah syarikat Black Water yang dimiliki Naib Presiden AS ketika era  pemerintahan Bush, Dick Cheney.

 Mereka lazimnya digelar sebagai ‘kontraktor awam’ bagi mengabui mata masyarakat dunia, dibayar gaji AS$1,000 sehari bertujuan membantu AS  dalam peperangan, memberi perlindungan kepada pemimpin boneka, serta melakukan misi pembunuhan orang awam yang dicurigai pengikut Saddam.

Kekejaman di penjara Abu Gharib, Iraq bukan rahsia umum lagi. Tahanan didera, dinafikan hak untuk solat, membaca al-Quran dan dipaksa menjamah daging babi. Falujah, kota seribu masjid  dibom menyebabkan ribuan awam terbunuh.

 Ketika bencana melanda AS sekarang, kita juga wajar melihat kekerdilan manusia berdepan Kuasa Yang Lebih Agung dan Abadi. Mahukah AS berubah selepas ini atau kuasa besar itu menjadi sebahagian daripada sejarah yang bakal dipersendakan? - Berita Harian, 6 November 2012

Wednesday, October 31, 2012

Sandy ujian getir Amerika Syarikat

Sehingga petang semalam, 13 orang disahkan mangsa korban Taufan Sandy di Amerika Syarikat (AS) dan seorang di Kanada. Seramai 200 pesakit di sebuah hospital di New York terpaksa dipindahkan kerana banjir. Pada masa yang sama, bekalan elektrik terputus di 13 negeri yang menyebabkan lebih enam  juta penduduk  terjejas.

 Pelabuhan New York pula diancam gelombang besar yang bukan saja menyukarkan kegiatan penduduk, bahkan melumpuhkan aktiviti ekonomi dan  pentadbiran. Beberapa bandar raya besar dari Washington hingga ke Boston yang kepadatan penduduk 50 juta orang  membuat persiapan rapi menghadapi Sandy.

Rakyat AS trauma  kerana  tidak pernah mengalami bencana  dahsyat, selain Taufan Katrina   pada 2005 dengan nilai  kerugian AS$108 bilion.  Kerugian angkara Sandy dijangka berganda ketika Presiden Barack Obama dan lawannya, Mitt Romney meramalkan bencana Oktober adalah amaran paling keras buat AS.

 Sandy  memaksa pasaran saham AS, Wall Street, ditutup buat  kali pertama dalam tempoh 27 tahun berikutan masalah cuaca. Ia turut memberi kesan penurunan  pasaran  saham di Madrid, Greece, Tokyo, Sydney dan Hong Kong. Sebanyak 284,000 harta benda awam  bernilai AS$281 bilion berisiko musnah,  7,000 penerbangan batal dan 67 penduduk terbunuh di Caribbean yang menghadap pantai AS.

  Taufan kategori satu itu juga mengancam aktiviti perniagaan, menyebabkan banjir dan memutuskan bekalan elektrik. Pusat Ribut Kebangsaan AS (NHC)  meramalkan suasana tidak menentu  berterusan beberapa hari.  Sembilan negeri   mengisytiharkan darurat manakala Obama memberi amaran  bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Penganalisis cuaca berkata, Sandy yang  jarang melanda  dan luar biasa dianggap ribut super hybrid  mungkin menyebabkan hujan sehingga 25 sentimeter di beberapa kawasan, selain salji sehingga semeter di Pergunungan Appalachian dari  Virginia Barat hingga Kentucky. Taufan itu dijangka membawa angin maksimum berterusan 140 kilometer sejam dan berada kira-kira 615 kilometer di tenggara New York.

Rakyat AS yang selama ini mendakwa  kuasa besar dunia terpaksa akur dengan kuasa   lebih agung. Jika era Perang Dingin pada 1950-an hingga 1980-an, AS terbabit secara langsung dalam perang di Vietnam dan Semenanjung Korea, kini mereka mula menyedari mitos AS sebagai penguasa  tunggal dunia sudah tercabar. AS juga terbabit secara langsung dalam konflik di Asia Barat sehingga penubuhan negara  Israel.

 New York yang  pernah  dianggap pusat kegiatan Pakatan Atlantik Utara (NATO) ketika berdepan ancaman blok komunis Eropah Timur yang dikenali Pakatan Warsaw, kini lumpuh.  Sejarah keagungan lampau kini tidak bermaya  berdepan ancaman taufan yang lebih dahsyat daripada kekuatan ketenteraan dan ejen risikan.

 Jika AS boleh mendabik dada dengan serangan hendap untuk menangkap  bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein dan membunuh  Osama Ben Laden di bumi asing, kini mereka terpaksa berdepan ancaman cuaca yang dahsyat di tanah air sendiri. Nasib AS dijangka hampir sama dengan sekutu utama, Jepun yang mengalami  gempa bumi dan  ancaman Tsunami pada Mac 2011.  Sandy yang disifatkan sebagai ‘kejutan Oktober’  berbahaya turut menjejaskan perancangan kempen kedua-dua calon  presiden. Obama  dan pesaingnya dari Republikan  terpaksa menangguhkan rancangan kempen di negeri  yang menjadi laluan taufan gergasi  itu, sekali gus menjejaskan strategi  sejak berbulan lalu dalam menghadapi persediaan terakhir seminggu sebelum hari pilihan raya sebenar.

   Obama bersama bekas presiden,  Bill Clinton dilaporkan ke Florida tetapi terpaksa menangguhkan acara di Virginia, Ohio dan  Colorado untuk memantau perkembangan  dari Rumah Putih.
Rakyat berdepan bahaya

   Beliau menyatakan kebimbangan  terhadap rakyat AS yang bakal berdepan  bahaya dan secara  tersirat bukan mengenai masa depan politik beliau sendiri.

   “Keutamaan saya ialah  memastikan semuanya memuaskan untuk keluarga dan  bersedia. Ia akan meletakkan sedikit  beban kepada mereka yang terbabit  secara langsung kerana saya tidak   mampu  lebih banyak  berkempen dalam beberapa hari  akan datang,”  kata Obama kepada  pekerja kempen di Florida.   Romney membatalkan kempen di  Virginia, satu daripada negeri yang  diramalkan dilanda taufan.

 Jika  Sandy  terus mengancam, mungkinkah pilihan raya presiden diteruskan minggu depan, atau rakyat AS sekali lagi mencipta sejarah penangguhan pilihan raya kali pertama, selepas mencipta sejarah empat tahun lalu kerana memilih kulit hitam sebagai penghuni Rumah Putih selama empat tahun? -Berita Harian, 31 Oktober 2012
 

Tuesday, October 30, 2012

Usain Bolt dari Myanmar

 Kanak-kanak memanggilnya Usain Bolt. Ada yang memanggil Usain Bangla. Tapi dia tidak kisah. “Nama saya Husin, buku Usain,” tuturnya tergelak. “Saya bukan Bangladesh, saya   Myanmar!”
Kami mengenalinya sejak lima tahun lalu. Dia datang ke taman perumahan setiap  tiga minggu. Berbasikal sambil menggalas mesin pemotong rumput. Hampir setiap rumah dijelajahi dengan harapan ada rezeki. Dia hanya  mengenakan bayaran RM30 untuk memotong rumput dan membersih kebun yang dipenuhi pokok pisang, mangga, cempedak, serai dan nangka. Ketika perayaan Aidiladha, dia turut membantu melapah daging korban untuk diagihkan kepada orang ramai.

 “Saya sudah 20 tahun di Malaysia. Rasa selamat di sini. Sesekali terasa mahu pulang,” air matanya mula tergenang. “Saya rindukan isteri dan enam anak. Mereka masih ada di Myanmar. Masih hidup, tapi terseksa,” tuturnya semakin lemah.

Minggu kedua Ramadan lalu kami telefonnya. Tiada jawapan. Hanya menjelang Syawal baru dapat dihubungi. Husin kelihatan lesu dan sedih. “Saya kena tahan. 10 hari dalam penjara kerana dituduh pendatang haram,” tegas pelarian Rohingya itu.

 Sepanjang 20 tahun, 16 kali Husin ditahan dan kemudian dilepaskan. Husin menganggap sebagai takdir, seperti juga nasib puak Rohingya yang tidak diiktiraf oleh negaranya sendiri.
 Kira-kira 15,000 Rohingya berlindung di Malaysia berstatus pelarian di bawah kawalan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). Kebanyakan mereka seperti Husin   bekerja memotong rumput, mencuci kereta, mengutip barang  lusuh dan menjadi buruh di kilang haram.

 Status pelarian menghalang mereka mendapatkan permit pekerjaan   sah. Mereka dilarang kerja di pusat beli-belah mahupun kilang besar. Berbanding warga Bangladesh dan India yang bebas mencari rezeki pelbagai sektor, pelarian Rohingya hanya mengharapkan nasib untuk hidup. Anak mereka tidak bersekolah kerana tidak mempunyai dokumen sah. Malah, mereka sering ‘diganggu’ kerana status   diragui.
 Walaupun pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerap bersuara mengenai nasib Rohingya, keadaan tidak banyak berubah. Kerajaan sendiri tidak dapat berbuat apa-apa kerana terikat dengan piagam. Sebagai negara anggota Pertubuhan Negara Asia Tenggara (ASEAN), Malaysia dilarang campur tangan masalah dalaman anggota ASEAN sendiri.

 Etnik Rohingya beragama Islam. Tapi tiada negara Islam yang berusaha pembantu mereka. Kajian menunjukkan Rohingya sebagai mangsa  paling malang di dunia. Kekejaman terhadap mereka mengatasi nasib yang dialami Bosnia-Herzegovina di Balkan dan kaum Yahudi ketika era Adolf Hitler.

Kumpulan etnik ini mengalami pembersihan etnik secara bersistematik oleh kerana dasar pemerintahan Yangon yang enggan mengiktiraf sebagai rakyat Myanmar.

Junta tentera dan kumpulan etnik lain mahu menghalau mereka keluar dari bumi Myanmar. Puak lain di Rakhine, negeri di wilayah barat Myanmar, melancarkan serangan terhadap etnik Rohingya. Kanak-kanak dan orang tua menderita kebuluran kerana kekurangan makanan. Junta pula memukul, mengugut dan membunuh kumpulan etnik ini tanpa sebab. Ada juga laporan mengatakan wanita dan perempuan muda dirogol.
 Sehingga kini kita tidak nampak bantuan dari negara Islam yang menguasai minyak di Asia Barat. Mereka lebih ghairah menjaga kepentingan sendiri, di samping menjalin hubungan rapat dengan kuasa besar dunia.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pula bagai hilang suara mengenai isu Rohingya. Pada sidang  tergempar di Makkah   Ramadan lalu mereka sekadar membincangkan isu Syria. Mereka terlupa nasib manusia seperti Husin yang sepatutnya mendapat hak sebagai warga dunia, serta peluang pekerjaan, kesihatan dan kemudahan sosial.

 Selagi tiada pihak berusaha melihat isu Rohingya sebagai keperluan siasah dunia, etnik minoriti Myanmar ini akan terus diterajang, dibakar dan disembelih untuk kepuasan pihak lain.
 Memang kita akui Myanmar kononnya ada pejuang asasi yang menang Hadiah Nobel Keamanan. Tapi kita hairan Aung San Suu Kyi sering mengelak  membicarakan pembunuhan Rohingya. Beliau gagal mengkritik Kerajaan Thein Sein yang menghantar lebih 800,000 etnik Rohingya ke kem pelarian di sempadan Bangladesh.

  Nasib mereka tentu  kekal misteri, seperti juga nasib Husin   yang tidak berkesudahan dirundung malang.  Husin tentu tercatat dalam statistik mangsa kekejaman paling dahsyat pada era teknologi digital.  - Berita Harian, 30 Oktober 2012

Tuesday, October 23, 2012

Semangat Red Warrios

Gadis yang bertugas di sebuah stesen minyak di Raub pada 12 Oktober lalu  menegur: “Encik  nak ke  Stadium Shah Alam?”  Penulis tergamam dan geli hati. Gadis berkenaan mengintai  beberapa  cenderamata Red Warriors dalam kenderaan. Pada masa sama, konvoi kenderaan persendirian dan bas yang mengibarkan bendera Kelantan memenuhi jalan raya dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur melalui Gua Musang, Lipis, Raub dan Bentong.
 
Malam itu pertandingan pusingan kedua separuh akhir Piala Malaysia di antara Kelantan dan Selangor. Bayangkan apabila Kelantan menang dan ke pertandingan akhir pada 20 Oktober lalu yang ‘memaksa’ konvoi dari Kelantan sekali lagi ke Stadium Shah Alam dalam tempoh seminggu  bagi menyokong  Red Warriors menjuarai Piala Malaysia, selepas bergaya menjulang Piala FA dan Liga Super.

 Sokongan dan sifat fanatik penyokong Kelantan diakui  paling hebat di negara ini.  Ada yang  sanggup menempah penerbangan semata-mata untuk menyokong anak buah Tan Sri Annuar Musa bertarung  pada pusingan awal piala AFC di Hanoi, Vietnam.

 Seorang kenalan yang juga usahawan sanggup menempah tiket penerbangan ke mana saja  Red Warriors beraksi. Jika tiket penerbangan habis, dia sanggup memandu  bersama rakan ke sesuatu destinasi dan kembali ke Kota Bharu sebaik saja perlawanan berakhir.

 Di beberapa jalan utama di Kota Bharu, gambar pemain bola sepak Kelantan boleh dilihat di mana-mana saja. Malah, syarikat telekomunikasi terkemuka menggunakan wajah pemain Red Warriors pada kad prabayar bagi memberi peluang peminat mengumpul wajah dan aksi mereka.

 Pakaian rasmi pasukan bola sepak Kelantan boleh dilihat    di majlis kenduri, kematian atau  di masjid. Tidak terkecuali juga ketika lepak di pasar malam Wakaf Che Yeh atau membeli-belah di Rantau Panjang dan Pengkalan Kubur.  Ia menggambarkan perasaan bersatu hati dan semangat cekal   rakyat Kelantan terhadap pasukan negeri walaupun berbeza fahaman  kepartian.

 Lebih aneh, Red Warrios juga boleh meredakan seketika sengketa  ahli UMNO dan PAS. Jika pada majlis politik ahli kedua-dua parti  bertelagah, malah tidak bertegur sapa, bola sepak meredakan pergeseran mereka semata-mata kerana kesukanan yang dianggarkan lebih waras daripada berpolitik.

 Bagaimanapun, ada kalangan ahli UMNO Kelantan yang silap tanggapan  untuk membezakan sokongan terhadap Red Warriors dengan kepartian. Menyokong pasukan bola sepak bukan bermakna sokongan terhadap UMNO atau PAS. Kita boleh lihat beberapa slogan, sepanduk dan bendera kepartian yang dibawa ke stadium menggambarkan isu politik masih belum reda di Tanah Sekebun Bunga itu.

 Ketika perlawanan separuh akhir di Stadium Shah Alam baru-baru ini, sepanduk ‘Kami Mahu Royalti Minyak’ menjadi tumpuan ramai yang boleh dikaitkan dengan parti yang menguasai Kelantan ketika ini. Bagaimanapun slogan ‘Gelombang Merah’ yang dikaitkan dengan UMNO Kelantan  jelas terpapar ketika malam final Piala Malaysia.

 Pada beberapa perlawanan lain, bendera parti pembangkang turut dibawa ke stadium walaupun Red Warrios digerakkan   ahli UMNO. Ia menggambarkan politik dan sukan tidak dapat dipisahkan. Sokongan terhadap bola sepak bukan bermakna sokongan terhadap pihak yang menggerakkan kejayaan sukan itu sendiri.  UMNO dan PAS akan   terus bergasak untuk merebut sokongan rakyat Kelantan.

Sebagai  negeri yang penduduk Melayu lebih 90 peratus, Kelantan sentiasa kaya dengan keindahan alam, keunikan budaya, syurga beli-belah dan sengketa politik yang kekal. Alangkah baiknya jika rakyat bersatu hati menggunakan pendekatan menyokong Red Warriors  dalam perspektif lebih luas.  Sengketa tidak membawa manfaat apatah lagi apabila Melayu masih berada di persimpangan jalan. Memenangi tiga piala bola sepak dalam satu musim bukan menggambarkan kemajuan  dalam bidang kesukanan, pendidikan, pencapaian ekonomi dan perpaduan bangsa.

 Ramai anak Kelantan   berjaya  dalam pelbagai sektor, namun  rakyat negeri itu  juga yang mengisi rumah setinggan, menjadi gelandangan di Jalan Chow Kit dan marhaen di kawasan urban. Sudah sampai masanya anak Kelantan melihat ke depan, mengintai perubahan dan memaknakan citra perpaduan seperti yang diidamkan. -  Berita Harian, 23 Oktober 2012

Sunday, October 21, 2012

Seni Perang calon Presiden AS

Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan pencabar daripada Parti Republikan, Mitt Romney, wajar berterima kasih kepada Sun Tzu kerana menghasilkan karya agung Art of War yang boleh dimanfaatkan menjelang Pilihan Raya Presiden pada 6 November depan.
Art of War menghuraikan strategi menawan musuh dan potensi mengubah hala tuju dunia. Politik sebahagian daripada seni peperangan terbuka yang menganjurkan wataknya berjuang untuk kelangsungan hidup.

Matlamat Demokrat atau Republikan bukan sekadar menguasai politik AS, malah ‘berperang’ menguasai dunia dengan pelbagai cara.
Sun Tzu memberi bayangan apa saja boleh dijadikan senjata kerana ia sebahagian seni peperangan itu sendiri.

Justeru, tidak menghairankan apabila debat Obama dan Romney pada 17 Oktober lalu menggunakan pelbagai isu untuk menonjol kekuatan peribadi dan menidakkan kemampuan pihak lawan. Bagai di medan perang, pekerjaan dan pengangguran menjadi isu debat, selain insiden serangan terhadap kedutaan AS di Libya ekoran filem dakyah jahat Innocence of Muslims karya Nakoula Basseley.

Dunia bagai tidak percaya AS yang selama ini dianggap simbol kebebasan wanita masih dihantui isu diskriminasi jantina. Gaji wanita lebih rendah daripada lelaki dan kedua-dua tokoh saling berhujah untuk membantu wanita mendapat pengiktirafan seperti lelaki. Apa yang Obama lakukan selama empat tahun pentadbiran di Rumah Putih?

“Kamu gagal ubah nasib wanita dan kamu sukar meyakinkan pengundi wanita,” hujah Romney, seolah-olah dirinya pejuang wanita sejati.

Seseorang yang belum berkuasa mempunyai kemampuan untuk mempertikai pihak lawan dalam pelbagai aspek. Isu China yang dianggap kuasa utama menjelang 2020 bagai menghantui ego AS. Kini China berada di tempat kedua sebagai kuasa ekonomi dunia di belakang AS. Jepun di tempat ketiga diikuti beberapa negara Kesatuan Eropah.

Romney berjanji menghukum China mengenai isu mata wang. Bagaimanapun ditempelak oleh Obama bahawa mentadbir negara berbeza dengan membangkang apa yang dilakukan pihak lain.
Debat pusingan kedua selama 90 minit memihak kepada Obama yang jauh lebih bersedia daripada Romney. Jika dua minggu lalu di Denver, Colorado, presiden kulit hitam pertama AS gagap menjawab selaran lawannya, kini beliau lebih tenang dan bersedia.

“Persembahan Presiden lebih baik malam ini berbanding di Denver. Ia sengit tetapi saya beri kelebihan kepada Obama,” kata profesor politik di Kolej Claremont McKenna, John Pitney.
Obama menunjukkan persembahan meyakinkan dengan mengecam pelan Romney memulihkan ekonomi dan memberi reaksi kepada kritikan cara beliau menangani serangan ke atas kedutaan AS di Libya, bulan lalu.

Stesen televisyen AS memberi reaksi segera selepas perdebatan di Universiti Hofstra, Washington yang memihak kepada Obama. Tinjauan CBS News menunjukkan 37 peratus responden yakin Obama memenangi perdebatan itu, berbanding 30 peratus kepada Romney, manakala 33 peratus berpendapat tiada pemenang.

Selain itu, 55 peratus menganggap Obama memberi jawapan mengikut soalan, manakala 49 peratus beranggapan sama mengenai Romney. Tinjauan Cable News Network (CNN)/ORC mendapati 46 peratus mengakui Obama menang dan 39 peratus memihak Romney.

Felo kanan Institut Keusahawanan AS, Karlyn Bowman, berkata walaupun tiada pemenang mutlak, Obama kembali beraksi.

  Menjelang tiga minggu hari pengundian, kedua-dua tokoh bakal menemui perwakilan tempatan di beberapa negeri bagi menentukan sokongan setempat.

Sesiapa saja terpilih ke Rumah Putih selepas 6 November nanti, tidak akan memeranjatkan dunia. Dasar AS terhadap politik serantau dan Asia Barat dijangka tidak berubah.

Obama dan Romney akan mengekalkan dasar menyokong kewujudan negara Yahudi di Asia Barat. Hal ini tidak memeranjatkan kerana ejen Zionis berada di kedua-dua pihak.

Begitu juga isu Rohingya dan Myanmar dijangka tidak berubah kerana yang penting bagi AS adalah Aung San Suu Kyi berkuasa sebagai ejen Barat di Asia Tenggara, bukan membantu umat Islam Rohingya sebagai warga sah di Myanmar.

Dasar AS di Eropah juga dijangka kekal walaupun situasi ekonomi Eropah Barat terus merudum. AS hanya bimbang kebangkitan Moscow yang kini semakin ghairah menjadikan Russia kembali bersaing dalam arena politik dunia.

Russia dan China antara watak penting di belakang pimpinan Iran dan Syria sekarang. Krisis di Semenanjung Korea juga tidak menampakkan penyelesaian.

AS bimbang seni peperangan yang dicetuskan Sun Tzu memberi kesan kepada Washington sebagai penguasa tunggal dunia. Ini sebahagian Art of War yang dibincang penganalisis politik dunia.
Obama dan Romney tentu gusar AS berdepan cabaran lebih getir pada masa depan.
‘Seni perang’ calon Presiden Amerika. -  Berita Harian, 20 Oktober 2012

Tuesday, October 16, 2012

Ustazah seksi di majlis ceramah

 Majlis yang awalnya santai, lancar dan tenang tiba-tiba diganggu pengumuman daripada lelaki berkopiah putih berbelang hijau: “Hadirin diminta masuk ke premis bangunan. Permit yang kita peroleh sekadar pertemuan dalam dewan. Hadirin  dilarang berada  di jalan raya!”

Beberapa petugas  bermotosikal meninjau kawasan ceramah dan berbincang dengan jawatankuasa cawangan sebuah parti politik supaya majlis lancar dan jalan raya tidak sesak.
 Premis ceramah yang sepatutnya memuatkan 100 orang melimpah kepada 200 hadirin. Suasana sesak dan bau hangit.  Ada yang terpaksa berdiri atau duduk di atas simen kerana tidak cukup kerusi. Ada kanak-kanak lima tahun yang merengek mahu pulang kerana tidak tahan   suasana bingit penceramah yang lantang bercakap soal  hudud  dan citra  politik baru. Ada juga yang melaungkan takbir berulang kali apabila dirasakan sesuatu hujah berjaya menaikkan semangat.

 Penulis harus akui  suasana tempat ceramah politik  sering mengundang pelbagai tafsiran. Lazimnya majlis sekadar  untuk kegiatan penerangan  keahlian tetapi akhirnya terbuka kepada semua pihak  yang ‘sudi’ mendengar  tarbiah isu semasa.  Ada juga majlis memperalatkan artis ‘lanjut tempoh’  semata-mata untuk meraih perhatian penduduk taman perumahan. Sudah jadi trend  memperalatkan   nama artis untuk  memancing  khalayak. Walaupun pada beberapa majlis mencatatkan lima nama artis  pernah jadi idola ramai,  yang hadir cuma seorang  dipanggil ‘ustazah’  kerana sudah bertudung dan bercakap mengenai Islam. 

 Ada desas-desus mengatakan penceramah mendapat komisen hasil titik peluh mereka. Jika ramai yang hadir, komisen yang diperoleh semakin meningkat. Kehebatan seseorang penceramah bukan kerana kemampuan intelektual dan hujah yang cerdik, tetapi bersandarkan sejauh mana lawak jenaka seseorang boleh diterima umum. Justeru, jangan hairan   ada majlis ceramah diiringi kutipan derma ikhlas. Jangan terperanjat apabila kehadiran seseorang tokoh disenangi   menentukan  jumlah hadirin di sesuatu kawasan.
 Kita sedia maklum  hadirin majlis ceramah bukan mengharapkan idea bernas untuk   pembangunan negara. Mereka memadai terpukau dengan intonasi suara yang menarik serta mampu berjenaka, termasuk memperlekehkan saingan politik. Harus kita akui politik ada kalanya zalim terhadap politikus.  Politik jarang mengampunkan lawan, justeru majlis ceramah menjadi landasan terbaik  menyerang pihak lain.

 Sehingga kini tiada kajian khusus mengenai bentuk ceramah dan kesan terhadap pendengar dan pengikut. Ceramah politik sudah membentuk tradisi lisan tersendiri sejak prakemerdekaan. Jika dulu  nasionalis menggunakan perhimpunan umum untuk menggerakkan semangat menentang penjajah, kini ia  sebahagian daripada wahana mendapatkan mandat rakyat.
 Kita tidak pasti sejauh mana majlis ceramah  membantu pendidikan politik kenegaraan  kerana bentuk majlis itu sendiri sentiasa dikaburi unsur sentimen, propaganda yang kaya dengan drama dan intrignya.
 Tentu tidak adil  mengharapkan penceramah   jujur dalam ucapannya. Politik memang  kejam terhadap pesaing.  Memadai ceramah untuk memancing hadirin mendengar hujah tanpa diberi kesempatan    mempertikaikan apa  diperkatakan.

Ketika media baru dianggap  saingan kepada akhbar, majalah dan sebaran am lain, ceramah kekal berakar umbi dalam masyarakat.  Tradisi lisan yang kita bentuk dalam cerita penglipur lara  diterjemahkan dalam bentuk moden yang lebih agresif dan kreatif. Jika dulu tradisi lisan sekadar berceritera mengenai feudal dan kesetiaan kepada istana, kini ia mengambil bentuk tersendiri dalam masyarakat.
 Tradisi lisan bentuk moden sebahagian budaya politik kepartian yang menjadi tuntutan ramai. Ia hampir dipercayai sebagai pembawa suara kebenaran walaupun latar belakang penceramah  sendiri tidak sunyi daripada khilaf dan salah.
 Penulis  akui kerap menghadiri majlis ceramah politik sejak akhir-akhir ini kerana ingin mengenali  sistem tanda dan isyarat masyarakat Malaysia. Politik kepartian dan majlis ceramah memberi tanda baca tersendiri. Gerakan siasah tidak selamanya statik kerana  rakyat juga mahir membaca kaedah semiotik yang kekal misteri. Politik  seperti juga sastera sentiasa kaya dengan watak dan perwatakan! - Berita Harian, 16 Oktober 2012

Monday, October 15, 2012

Islam mangsa kelemahan sendiri

Kita sering berbangga sebagai umat Islam dan yakin agama Allah yang terbaik. Tapi kita tidak pernah bertanya kenapa umat Islam masih mundur? Dari segi politik dan ekonomi, negara yang majoriti penduduk Islam sentiasa diancam rusuhan kaum, pergolakan kepartian dan kebangkitan rakyat. Banyak negara Islam di Afrika dan Asia Selatan menghadapi masalah kebuluran, kemiskinan dan wabak penyakit.

  Jika Islam dianggap terbaik dan pedoman hidup manusia, kenapa kita tidak maju seperti Jepun dan Korea Selatan? Adakah kekayaan dan keselesaan hidup untuk pihak lain dan umat Islam mengharapkan ganjaran akhirat semata-mata? Sikap jumud, ekstremes agama dan kurang ilmu menjadi punca umat Islam ketinggalan.

  Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam bukunya The Challenge (Menghadapi Cabaran, 1976) menegur kelemahan ummah menjadi punca pihak lain berkuasa dan umat Islam ketinggalan. Mereka sekadar bersuara dan beremosi, tapi gagal melaksanakan perjuangan Islam.
Sengketa sesama sendiri.

  Sikap berpuak dan sengketa sesama sendiri menjadikan Islam lemah. Jika sebuah filem yang kononnya memburukkan Nabi Muhammad SAW dibantah di seluruh dunia, apa tindakan umat Islam seterusnya? Sekadar tunjuk perasaan di depan kedutaan Amerika Syarikat (AS) tidak ke mana. Barat, Yahudi, Zionis dan ideologi mereka sudah lama menjajah  dengan pelbagai cara.

  Umat Islam lemah selepas Perang Salib adalah bukti kekurangan diri sendiri. Umat Islam tidak bersatu walaupun penganutnya ramai. Dianggarkan 1.5 bilion umat Islam daripada tujuh bilion warga dunia. Sebanyak satu bilion di Asia, 400 juta di Afrika, 44 juta di Eropah dan enam juta di AS.
  Setiap lima manusia di dunia ini seorang adalah Islam. Setiap seorang Hindu ada dua umat Islam, setiap seorang Buddha ada dua umat Islam dan setiap seorang Yahudi ada beratus umat Islam. Tapi kita gagal dan pihak lain sentiasa mendahului dalam pelbagai bidang. 

   Ketika kita bercakap mengenai 2020 dan kerjasama ummah, umat Islam mati atau cedera parah dalam kebangkitan politik di Asia Barat. Rejim bertukar tapi nasib negara Islam kekal. Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagai tidak berdaya mengatasi isu kelaparan, penyakit, pendidikan dan  penghinaan berterusan.

  Terdapat 57 negara anggota OIC dengan memiliki 500 universiti. Purata sebuah universiti untuk setiap tiga juta umat Islam. Kita masih kalah berbanding AS yang mempunyai 5,758 universiti dan India ada 8,407. Pada 2004, penyelidik Universiti Shanghai Jiao Tong membuat kajian   kedudukan akademik universiti   dunia. Tiada satu pun universiti negara Islam   di puncak 200 terbaik. Yang dianggap cemerlang adalah pusat pengajian di AS, Britain dan Eropah Barat yang akrab dengan Zionis.

  Malahan Universiti al-Azhar yang dianggap pusat kecemerlangan pengajian Islam bukan institusi pendidikan terulung. Justeru, jangan terperanjat kadar celik huruf di Mesir dan Libya masih rendah. Malah, mereka hanya mempunyai 20 peratus penduduk yang mampu menikmati media baru.
  Kajian Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) pula mendapati tahap celik huruf di negara maju ialah hampir 90 peratus dan 15 negara mempunyai 100 peratus celik huruf. Berbanding negara Islam yang purata  celik huruf  sekitar 40 peratus dan tiada negara yang mempunyai 100 peratus celik huruf.

  Keadaan ini menggambarkan tahap ilmu umat Islam masih rendah walaupun mereka mungkin membanggakan tradisi intelektual pada era kebangkitan Islam dulu. Negara majoriti Islam hanya mempunyai 230 ahli sains bagi setiap sejuta penduduk berbanding AS (4,000) dan Jepun (5,000).
  Kajian juga mendapati negara Islam hanya membelanjakan 0.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) sedangkan negara maju membelanjakan hingga lima peratus. 

  Dari segi ekonomi, umat Islam  jauh di belakang. Jumlah terkumpul KDNK tahunan 57 negara ahli OIC  di bawah RM6 trilion. AS  menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai RM36  trilion, China (RM24 trilion), Jepun (RM19 trilion) dan Jerman (RM7 trilion).

   Kelemahan ekonomi dan ilmu punca kita  di belakang. Nakoula Basseley dan Innocence Of Muslims bukan punca Islam lemah. Yang melemahkan Islam adalah diri kita sendiri. -  Berita Harian, 9 Oktober 2012
 

Sunday, October 07, 2012

Debat Obama, Romney

 Siapa bakal terpilih menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) tidak mendebarkan lagi kerana  calon Parti Republikan, Mitt Romney hampir pasti menjadi tarikan dunia.

Pusingan pertama debat beliau bersama  Presiden Barack Obama  membuktikan sekutu setia Israel itu berjaya menguasai pentas. Romney dengan selamba bercakap  menangani krisis ekonomi dan   pengangguran.
 Reputasi  Obama yang mahir berpidato dan berhujah  sejak lima tahun lalu semakin tergugat. Ada ketika dia kelihatan gagap mengutarakan hujah dan mempertahankan pentadbirannya.
 Debat dua tokoh menjadi tarikan sejagat. Seperti tradisi, penyandang Presiden dan pencabar diuji di atas pentas dan rakyat AS bebas menilai ketokohan masing-masing.
 Kita harus akui Obama mempunyai peribadi yang baik sepanjang pentadbirannya. Beliau tidak mempunyai gosip yang menjejaskan pentadbiran seperti dialami Bill Clinton, Richard Nixon dan John Kennedy. Obama tiada hubungan sulit dengan pembantu peribadi  Rumah Putih atau mengintip pihak lawan. Peribadinya dianggap bersih, malah ketika awal pentadbirannya ada yang silap sangka dengan mendakwa beliau seorang Muslim.
 Bagaimanapun, politik bukan sekadar isu  peribadi. Tidak juga sekadar debat dan personaliti kerana politik adalah segala-galanya.  Kelemahan Obama adalah  kurang menonjol sebagai sekutu Zionis walaupun beliau menang pilihan raya empat tahun lalu hasil biaya Yahudi. Beliau juga gagal menangani isu pengangguran yang menjadi beban utama di AS sekarang.

 Romney lebih kelihatan tangkas. Bukan saja kerana melawat Israel untuk menonjolkan sikap mesra Yahudi di Asia Barat, bahkan sedang mereka pelan tindakan menguasai kebangkitan generasi muda Arab di Timur Tengah. Romney juga merangka pelan tindakan menguasai ekonomi Eropah Barat yang berdepan krisis kewangan meruncing.

 Sehingga kini  penganalisis berpendapat, terlalu awal untuk mengatakan Romney memiliki kelebihan ke atas Obama dalam perlumbaan ke Rumah Putih. Tinjauan  Cable News Network  (CNN) mendapati 67 peratus responden beranggapan Romney mengalahkan Obama dan hanya 25 peratus berpendapat sebaliknya. Tinjauan  CBS News menyaksikan lebih dua kali ganda bersetuju  Romney menang.
 Dalam perdebatan yang berulang kali ditayangkan CNN sejak Khamis lalu,  Obama bercakap lebih lama dalam perdebatan 90 minit di Denver,   tetapi pencabarnya lebih berjaya memberi pandangan meyakinkan.  Jika keadaan tidak berubah, pengundian 6 November depan bakal menyaksikan peralihan kuasa di Rumah Putih.

 Pengarah Pusat Politik dan Hal Ehwal Awam di Kolej Franklin dan Marshall, G Terry Madonna   mengakui  Romney mempunyai  banyak alasan untuk  menang  debat ketika Presiden tidak berada dalam prestasi terbaik.
 Madonna yang memantau pilihan raya sejak 1960  yakin peralihan kuasa adalah tradisi berterusan yang membentuk kepemimpinan di AS.
  “Romney tahu apa yang perlu dilakukan  dengan   menyampaikan  mesejnya dan beri keyakinan kepada penyokong Republikan bahawa beliau boleh menang,” katanya. 
 “Beliau masih hadapi cabaran besar. Mungkin beliau akan dahului sokongan di Virginia atau Florida dalam masa dua tiga hari lagi,” kata profesor di Universiti Georgetown, Clyde Wilcox.
  Cuma, di banyak tempat lain, beliau mendahului sokongan termasuk Ohio dan Wisconsin. Jadi, persoalannya sama ada Romney boleh mengatasinya sebelum pengundian bermula.
 Penasihat empat Presiden Amerika, David Gergen, berpendapat keadaan lebih terbuka bagi Romney selepas ini.
 Romney dan Obama meneruskan tradisi debat  yang ditonton hampir  700 juta penduduk dunia.  Debat pertama   pada 26 September  1960 disaksikan  66 juta  rakyat AS  membabitkan   calon Demokrat,  John  Kennedy dan calon Republikan,  Richard Nixon.
 Pemerhati berpendapat  Nixon  kalah dalam debat ini kerana  kurang persiapan diri untuk siaran televisyen. Beliau memakai sut  kelabu  yang     tidak menonjol dibandingkan latar belakang studio  untuk siaran televisyen  hitam putih.
 Debat calon Presiden tidak diadakan pada  1964, 1968, dan 1972.  Pada 23 September 1976, calon Demokrat, Jimmy Carter dan calon Republikan  Gerald R Ford berdebat di hadapan kamera televisyen  dan penonton studio. Debat calon Naib Presiden  juga diadakan antara wakil Demokrat,  Walter Mondale dan wakil Republikan,  Bob Dole.
 Sejak 1976    tradisi debat calon Presiden bagai kewajipan dalam tradisi demokrasi AS.  Ia bukan undang-udang bertulis, tetapi calon perlu berdepan lawan mereka untuk membuktikan kemampuan berhujah dan mentadbir negara. Tokoh yang enggan berdebat dianggap   tak layak dipilih sebagai pemimpin negara.
 Romney dan  Obama  masih ada waktu   membuktikan ketokohan masing-masing. Terpulang kepada media, juga Zionis untuk menentukan kepemimpinan AS.  - Berita Harian, 6 Oktober 2012
 

Tuesday, October 02, 2012

Innocence Of Muslims dedah kelemahan umat Islam

Nakoula Basseley atau dikenali Sam Bacile sepatutnya berterima kasih kepada sebahagian besar umat Islam kerana memberi publisiti percuma kepada filemnya. Innocence Of Muslims hanya filem murahan yang tiada kualiti. Bacile bukan pengarah ternama apatah lagi penulis skrip yang meraih Anugerah Oscar. Dia hanya penyangak yang ada  kes penipuan perbankan.

Tiada siapa  peduli ketika dia memulakan penggambaran Desert Warriors kerana   tiada tarikan magis untuk diperkatakan. Ia sekadar cerita pahlawan padang pasir yang tidak sesuai lagi dengan selera semasa. Malah, wartawan hiburan di California pun menolak undangan sidang media kerana filem yang kemudian ditukar kepada Innocence of Muslims dianggap tiada  isu untuk dipaparkan.

  Innocence of Muslims hanya meletup apabila menerima bantahan umat Islam sejagat.  Bacile dianggap anti-Islam dan menjalankan agenda Yahudi untuk memburukkan Nabi Muhammad SAW. Jika tiada bantahan umat Islam, tiada siapa pun yang kenal Innocence of Muslims  apatah lagi menyebut nama pengarahnya.

 Bacile  tentu gembira kerana  latah umat Islam  menyebabkan filemnya jadi sebutan dunia. Lebih aneh, kemarahan itu menyebabkan umat Islam sendiri menjadi mangsa. Seramai 300 penunjuk perasaan bertempur dengan polis di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kaherah. Bukan Bacile atau  Yahudi yang cedera, tapi umat Islam. Seramai 224  cedera sejak keganasan tercetus.

  Seramai 5,000 merusuh di  Khartoum, Sudan dengan menyerbu Kedutaan Britain dan Jerman. Perusuh  cedera kerana bergaduh sesama sendiri selain bergasak dengan polis.
Lebih parah di Yaman,  ribuan penunjuk perasaan  merusuh menyebabkan seorang maut dan 15 cedera di luar Kedutaan AS.  

  Barangkali yang tidak beruntung bagi pihak AS adalah di Benghazi, timur Libya apabila dutanya, Chris Stevens dan tiga warganya terbunuh.

   Bantahan turut diadakan di  Palestin dengan ribuan  orang berkumpul di Genting Gaza, manakala ratusan yang lain berhimpun di Baitulmaqdis.

  Kumpulan penunjuk perasaan  bertempur dengan polis Israel di Baitulmaqdis. Ada yang  parah dan dipenjarakan rejim Yahudi. Yang untung dalam kes ini ialah Yahudi.

  Di Gaza pula penunjuk perasan mengibarkan bendera Hamas dan pergerakan Jihad Islam serta membakar  bendera AS sambil melaungkan slogan meminta AS dan Israel dihapuskan. Mereka menjadikan isu sebuah filem yang mungkin tidak pernah ditonton untuk menunjuk perasaan. Mereka bagai lupa nasib umat Islam di Palestin, Myanmar dan Thailand yang sentiasa ditindas.

  Moral ceritanya umat Islam mudah sensitif  jika penganut agama lain mencerca mereka secara terbuka. Tapi mereka mudah lupa betapa sesama sendiri bersengketa dan berpuak-puak.   Sejak pasca Perang Salib, tamadun Islam tiada lagi. Umat Islam yang kononnya mempunyai tamadun berabad sudah dipermainkan pihak lain. Banyak negara Islam menjadi bidak catur kuasa asing yang menjadikan fahaman feudal, sosialis, komunis dan kapitalis sebagai fahaman kepartian.

  Akhirnya polemik politik menjadi medan untuk menghina Islam dan hukum Allah itu sendiri. Ada yang mendakwa pejuang Islam tapi secara terbuka merendahkan hudud yang kononnya melahirkan masyarakat  tidak bertamadun, sedangkan syariat Islam memenuhi semua aspek pentadbiran, gerakan siasah, pembentukan akhlak dan tamadun manusia.

  Innocence of Muslims hanya sekelumit cabaran terhadap umat Islam sejagat. Cabaran lebih besar  membentuk jiwa Islam  dalam kalangan ummah sendiri.   Walaupun ada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang kononnya menyatupadukan suara ummah, polemik   di sebalik tabir lebih memeranjatkan. Negara Islam  kaya bagai alpa membantu umat  kebuluran di Somalia dan Sudan.

Mereka juga abai isu Rohingnya walaupun pada masa sama bercakap soal Libya, Syria dan Palestin.
  Lebih lucu ketika Innocence of Muslims diperkatakan, restoran makanan segera dan minuman ringan keluaran Yahudi kekal laris di seluruh dunia.   Yahudi sudah berada di ruang tamu  kita menerusi TV yang menayangkan pelbagai filem dan siaran berita  Barat yang memberi tempat kepada musuh Islam itu. Kita lupa ancaman wujud dalam diri  sendiri! - Berita Harian, 2 Oktober 2012

Tuesday, September 25, 2012

Hui Yee, Faridah serlah nilai kasih sayang

Tee Hui Yee, 18  dan Faridah Sampik, 57, hanya dua insan yang tidak pernah menjadi idola ramai. Mereka hanya anggota masyarakat yang kebetulan ibu dan anak angkat walaupun berbeza agama dan kaum.

  Tragisnya, ibu dan anak angkat itu dipisahkan takdir 18 September lalu. Anak angkat yang tinggal di Batu Pahat meninggal kerana komplikasi jantung  dan ibu angkat yang tinggal  di Kuala Lumpur menceritakan pengalaman pertemuan terakhir beberapa minggu lalu. 

   “Mummy tidak dapat mesej SMS Tibeh ya...Tibeh datang hendak bermanja dengan Mummy,” adalah antara kata akhir Hui Yee, gadis jantung mekanikal yang menjalani dua pembedahan menerima jantung penderma.

  Hui Yee  memanjakan dirinya sebagai Tibeh sejak bertahun. Panggilan itu juga menimbulkan kasih sayang dan simpati. Faridah hadir memberikan penghormatan terakhir kepada anak angkat di rumah mayat Cina, Jalan Fatimah, Batu Pahat  pada 19 September lalu.

   Kisah gadis ini meruntun hati apabila dia merayu orang ramai menderma jantung pada September 2007 selepas bergantung hidup kepada jantung mekanikal selama setahun. Bagaimanapun tiada siapa yang sudi menderma jantung kerana kebanyakan rakyat Malaysia hanya sekadar simpati di bibir.

  Dia kemudian menerima jantung remaja Melayu dari Perak yang maut dalam kemalangan. Bagaimanapun, sehari selepas menjalani pembedahan 10 jam, dia sekali lagi terpaksa dibedah selepas badannya menolak  jantung berkenaan.

  Hui Yee kemudian menjalani pembedahan kedua hampir tujuh jam selepas menerima jantung penderma baru pada 5 Oktober 2007 dan dibenarkan keluar Institut Jantung Negara  (IJN)  pada 2008.

  Moral ceritanya adalah kasih sayang tidak pernah mengenal rupa, warna kulit, bangsa dan agama. Kasih sayang juga tumbuh di jiwa seseorang hingga sanggup menghadiri majlis kematian tanpa rasa bersalah terhadap persekitaran dan lingkungan adat.

  Faridah dan Hui Yee tentunya model 1Malaysia yang sepatutnya melihat kasih sayang dan perasaan tanpa batasan agama dan kaum. Mereka dalam kesederhanaan hidup masing-masing melihat persamaan ketika kehidupan kian mencabar. Tidak ramai insan seteguh Faridah yang sanggup ke majlis   membabitkan adat dan agama kaum lain. Faridah membuktikan dirinya berbeza daripada kebanyakan warga Malaysia.

  Hui Yee pula mendedahkan sesuatu yang tidak kena kerap berlaku dalam kalangan kita.  Dia pernah menderita bertahun dan merayu pendermaan organ. Tapi malangnya suara Hui Yee  sekadar angin lalu. Dia bukan personaliti terkenal yang boleh menggamit perhatian ramai. Isu derma organ dianggap tabu. Tiada siapa berani melakukan sesuatu yang dianggap ‘gila’ ketika semakin ramai yang mengalami pelbagai penyakit kronik. Dua pertiga   pesakit  dalam senarai menunggu untuk menerima organ meninggal dunia sebelum sempat memenuhi hasrat itu.

  Perangkaan Pusat Sumber Transplan Nasional sehingga Jun lalu, menyenaraikan lebih 15,000 pesakit  bertarung nyawa untuk mendapatkan pelbagai jenis organ.  Angka dan anggaran kematian akibat penyakit kronik semakin meningkat seiring pertambahan bilangan pesakit baru yang mendaftar untuk mendapatkan organ.

  Lebih 4,000 pesakit baru memerlukan buah pinggang setiap tahun, tidak termasuk ribuan pesakit sedang menanti bahagian organ lain seperti injap jantung, jantung, mata, kornea dan paru-paru.
   Pusat Sumber Transplan Nasional menerima antara 30 hingga 40 penderma organ setiap tahun. Jumlah tertinggi direkodkan ialah 47 penderma beberapa tahun lalu.

  Walaupun Melayu kaum majoriti di Malaysia, Melayu juga paling rendah mendaftar sebagai penderma berbanding bangsa lain walaupun senarai tertinggi yang menunggu organ adalah Melayu.

  Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meletakkan Malaysia masih dikategorikan antara negara mencatatkan bilangan terendah rakyat mendaftar sebagai penderma organ, kira-kira 0.7 peratus daripada keseluruhan penduduk 28 juta orang.

  Walaupun Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan menetapkan hukum pemindahan dan pendermaan organ harus, masih ramai yang mengambil sikap tunggu dan lihat. Sampai bila? - Berita Harian, 25 September 2012 

Tuesday, September 18, 2012

The Satanic Verses & Innocence of Muslims

Penulis harus akui terpaksa membawa masuk beberapa karya untuk telaah dan penelitian peribadi. Alasannya, sesetengah peraturan dan hukum hidup di negara kita masih terbelenggu dengan kekangan lama.  Bukan semua hasil kreatif dan intelek boleh beredar dalam masyarakat. Halangan agama, adat, prejudis dan sensitiviti kaum sering dijadikan alasan  menghalang  karya tersebar.
 
Ada  alim seni dan agama menjadi hakim  menentukan  karya boleh diedar secara bebas, sekali gus menentukan sama ada karya yang dianggap haram dan tabu. Mereka seolah-olah penentu dosa dan pahala  karya. Mereka sepatutnya membezakan antara penelaah seni dengan peminat karya.
  Penelaah sentiasa mengkaji karya dan kemungkinan yang terdapat di sebalik jalinan plot dan tema. Peminat  pula lazimnya tergolong dalam kalangan karya popular yang sentiasa melihat seni sebagai wahana hiburan semata-mata.
  Novel The Satanic Verses karya Salman Rushdie yang diterbitkan pada 1988 mengocakkan seluruh dunia. Isunya Rushdie menghina Nabi Muhammad SAW dan sejarah Islam.  Pemimpin agama Iran, Ayatollah Ruhollah Musavi Khomeini (17 Mei 1900 - 3 Jun 1989) memberi arahan bunuh terhadap Rushdie yang dianggap murtad dan merosakkan akidah manusia.   Beberapa ulama dan ahli sebuah parti politik tempatan pula kecoh memperkatakan The Satanic Verses walaupun mereka mungkin tidak mengenalinya sebelum itu.

  Pandangan umum adalah sesebuah karya dianggap haram kerana isu agama semata-mata. Mereka lupa menjadikan seni analisis sebagai landasan untuk mengkaji  karya. Ada yang  menilai  isu dari sudut tertentu dan menafikan pandangan  lain. Pengkaji seni pula  menganalisis  karya berdasarkan sistem tanda dan isyarat. Mereka tidak melihat sudut agama semata-mata, bahkan menilai karya sebagai sebuah dunia tersendiri.

  Membelakangi tradisi pengkajian bakal melahirkan golongan malas berfikir. Ia tidak selaras bagi  bangsa yang mendakwa sudah merdeka. Sikap ini melahirkan kalangan jumud yang sukar menerima pandangan di luar pemikiran perdana.

  Penulis membeli The Satanic Verses ketika berkesempatan ke Asia Barat pada 1989. Ketika itu beberapa kenalan membelinya di Hong Kong, Bangkok dan Singapura yang tidak sensitif mengenai isu agama.

  Prof Madya Dr Abdullah Tahir berbangga kerana memiliki fotostat The Satanic Verses yang diperoleh menerusi seorang teman yang rapat dengan pimpinan negara ketika itu.   Tokoh Kewartawanan Negara, Tan Sri A Samad Ismail meminjam The Satanic Verses daripada penulis yang ketika itu menjadi pelajarnya di sebuah syarikat penerbitan.

  Reaksi Samad amat menarik. Beliau tidak hairan The Satanic Verses dianggap melampau kerana banyak sasterawan Malaysia sudah menelaah cerpen  Langit Makin Mendung yang dihasilkan penulis Indonesia, Ki Panji Kusmin.

  Sehingga kini isu hak cipta dan kebebasan kreatif menjadi perdebatan umum di Jakarta. Ada sarjana yang meragui penulis sebenar Langit Makin Mendung yang diterbitkan Majalah Sastra, pada Ogos 1968. Ada yang mendakwa Ki Panji Kusmin tidak wujud. Ia jelmaan penulis lain. Mungkin WS Rendra, mungkin juga Pramoedya Ananta Toer.  Ada yang mendakwa penulisnya seorang komunis kerana latar belakang karya ketika kemuncak Perang Dingin.
 
Sehingga kini misteri insan bernama Ki Panji Kusmin menjadi rahsia umum.  Penulis menemui cerpen ini di Jakarta yang dimuatkan dalam sebuah kajian pengkritik terkenal Indonesia, HB Jassin (Hans Bague Jassin, 13 Julai 1917 – 11 Mac 2000).
  Keadaan sama  berlaku terhadap beberapa filem besar arahan Steven Spielberg. Karyanya amat dicurigai semata-mata beliau seorang Yahudi. Namun, peminat seni di Malaysia bertuah kerana dapat menonton Saving Private Ryan  dan The English Patient yang suatu ketika amat dicurigai pegawai Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM).
  Bagaimanapun nasib karyanya, Schindler’s List (1993) agak malang kerana isu Perang Dunia Kedua dan penindasan terhadap Yahudi oleh Adolf Hitler dianggap  agenda Zionis. Penulis memperoleh cakera video digital (DVD) Schindler’s List  pada 2011 di Bandung, iaitu selepas 18 tahun filem ini ditonton dan dinilai  peminat dan pengkaji seni seluruh dunia!
 
Kini filem Innocence of Muslims hangat diperkatakan hingga Duta Amerika Syarikat ke Libya, J Christopher Stenvens dibunuh 12 September lalu. Lesen kreatif sekali lagi mencabar kewarasan beragama. Mampukah manusia kreatif bersikap waras kepada agama? - Berita Harian, 18 September 2012

Tuesday, September 11, 2012

Rumah terbuka citra nilai Melayu baru

Masyarakat Melayu lama tidak pernah menyambut Aidilfitri sepanjang Syawal. Mereka paling lama pun sambut hari raya selama tiga hari. Hari keempat Syawal lazimnya mereka ke sawah atau menangkap ikan. Yang menjadi buruh terus membanting tulang dan penoreh memperagakan tulang empat kerat di pinggir bukit.

  Suasana tradisi lebih berpihak mencari makan seadanya. Amalan  bermaafan dan ziarah diamalkan sepanjang masa. Rumah mereka sentiasa terbuka, tidak tertakluk kepada Aidilfitri untuk bersalaman dan bermaafan. Bagi mereka, Syawal hanya sebahagian daripada kesinambungan bulan yang menganjurkan manusia beribadat dan menjalankan tradisi muafakat.

  Hanya pada dekad 90-an, budaya baru terbentuk hasil perkembangan ekonomi dan perubahan cara hidup. Melayu sambut raya selama sebulan.   Tahun ini 16 September yang dianggap Hari Malaysia tepat pada hari terakhir Syawal. Cuti umum tentunya dimanfaatkan untuk majlis rumah terbuka. Mereka menggunakan alasan Syawal untuk menjemput saudara mara dan rakan ke majlis kenduri. Jika tiada Syawal, majlis rumah terbuka tidak diadakan.

 Konsep Melayu moden meletakkan kehidupan sebagai milik peribadi, berbeza suasana tradisi yang wujud sebelum dekad 80-an. Jati diri Melayu berubah mengikut perubahan masa dan tradisi muafakat yang kita kaji dari kitab Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah mulai tercabar.
  Melayu pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB) mengalami perubahan drastik dari segi cara hidup dan sistem nilai. Dasar kerajaan yang mengutamakan agihan ekonomi dan penyusunan semula masyarakat memberi kesan terhadap struktur masyarakat itu sendiri.
  Konsep profesionalisme dikaitkan sebagai ‘penjualan’ tenaga dan kepakaran. Melayu turut terbabit menjual tenaga dan kepakaran untuk mendapat upah. Ahli kapitalis meletakkan pasaran pekerjaan sebagai penentu nilai sosial seseorang. Semakin tinggi kepakaran yang dimiliki mendorong kadar upah yang tinggi.
 Peningkatan ekonomi, taraf hidup dan prasarana tanpa sedar mengubah identiti Melayu dan budayanya. Sistem nilai yang turut berubah menjadikan saingan dalam pasaran pekerjaan lebih utama daripada mengekalkan amalan muafakat dan tradisi gotong-royong.
 Konsep kejiranan mulai terhakis dan kawasan perumahan moden yang dikaitkan dengan perbandaran menjadikan penduduknya lebih tertutup. Jika terdedah pun sekadar menikmati media baru yang terhasil daripada dasar langit terbuka.
  Amalan rumah terbuka pada bazar Ramadan dan Syawal menterjemahkan keunikan Melayu baru. Dulu hidangan Syawal dimasak sendiri oleh isteri dan ahli keluarga bagi meraikan tetamu. Juadah Ramadan disediakan oleh ahli keluarga mengikut kemampuan. Tidak timbul istilah bazar Ramadan atau katering kerana wanita Melayu ketika itu mempunyai masa yang cukup untuk memasak dan berlapang dada menyediakan masakan.
  Tuntutan masa dan perubahan cara hidup kini memaksa wanita turut bersaing ‘menjual’ kepakaran mereka dalam pasaran pekerjaan. Mereka keluar rumah sejak pagi dan kediaman hanya menjadi ‘sarang’ untuk berehat waktu senja dan malam. Perubahan suasana ini menyebabkan bazar Ramadan melata sepanjang bulan puasa dan katering menjadi tumpuan  majlis rumah terbuka Syawal.
  Kita harus akui katering dan bazar Ramadan adalah citra ekonomi Melayu moden. Semakin tinggi kuasa ekonomi di sesuatu kawasan semakin banyak perkhidmatan penyediaan makanan. Kuasa ekonomi mendorong majlis rumah terbuka diadakan sepanjang Syawal. Kuasa ekonomi juga mendorong sesetengah majlis Aidilfitri atau berbuka puasa diadakan di hotel lima bintang sebagai membuktikan kekuatan kewangan penganjur majlis.

  Paradoks pembangunan sering memberi gambaran terbalik. Penulis menghadiri majlis Aidilfitri di sebuah dewan agam. Malangnya, tidak jauh dari kawasan parkir, kalangan gelandangan merayau mencari makan. Mereka juga Melayu. Kontradiksi pembangunan!
  Ketika merayakan Hari Malaysia,  wajar juga kita menilai sistem kehidupan Melayu hari ini. Pencapaian DEB dan kesan kemelut dalaman UMNO pada 1987 berjaya membentuk identiti baru kepada sebahagian Melayu. Politik wang, persaingan kerjaya dan pasaran saham sebahagian daripada keretakan bangsa sendiri.
  Jangan terperanjat jika majlis terbuka Syawal sekadar acara tanpa semangat kemelayuan itu sendiri. Seorang teman secara sinis mengandaikan majlis rumah terbuka untuk tetamu yang dijemput saja! - Berita Harian, 11 September 2012
 

Sunday, September 09, 2012

Hasihin dedah nasib sebenar OKU

Hasihin Sanawi hanya insan biasa yang tidak pernah disebut namanya sebelum ini.  Dia bukan  Datuk  Lee Chong Wei dan ratu terjun, Pandelela Rinong Pamg yang pantas menjadi idola negara kerana memenangi pingat perak dan gangsa pada Sukan Olimpik London 2012.

 Kecekalan, semangat dan harapan  Hasihin jarang dilaporkan media kerana dia hanya  pemanah  orang kelainan upaya (OKU) yang menyertai saingan recurve individu lelaki W1/W2 di Sukan Paralimpik London 2012.

 Hasihin menang pingat perak selepas kalah kepada pencabar dari Itali, Oscar de Pellegrin, dalam pusingan penentuan selepas  terikat kedudukan 5-5, perlawanan lima set peringkat akhir  di Lapang Sasar Memanah Royal Artillery Barrack, London.

 Sebahagian anggota masyarakat sinis dengan pencapaian atlit OKU kerana status fizikal mereka yang dicurigai.

 Bagaimanapun  Hasihin membuktikan kekurangan fizikal ekoran terbabit dalam kemalangan ketika bekerja di sektor pembinaan tidak mencacatkan cita-citanya. Dia meraih pingat perak dan Malaysia mula menyebut namanya, walaupun tiada siapa yang tahu latar belakang kehidupan dan pencapaiannya sebelum ini.

 Memenangi pingat, apatah lagi pada status Olimpik untuk golongan OKU suatu pencapaian luar biasa. Jutaan manusia memerhati perkembangan jaguh paralimpik kita, tetapi malang  nasibnya di Malaysia hanya sekadar ucapan tahniah.

 Hasihin  disahkan tidak akan menerima sebarang pencen sepanjang hayat daripada  kerajaan. Jika Chong Wei menerima RM3,000 sebulan dan Pandelela (RM2,000 sebulan)  di samping pelbagai ganjaran kewangan lain, dia sekadar mengintai dari  jauh. Hasihin hanya boleh berbangga menatap pingat perak yang seakan-akan tidak memberikan apa-apa makna bagi mengubah nasib masa depannya.

 Kerajaan hanya bermurah hati memberi ganjaran RM200,000 tanpa jaminan memberi peluang pekerjaan  demi masa depan  Hasihin.

 Pada hari ini nilai RM200,000 terlalu kecil.  Apakah demikian nasib seseorang OKU  yang berjasa untuk negara tetapi sumbangan terlalu kerdil untuk dinilai?

 Apa yang berlaku kepada Hasihin  hampir sama dialami  2.8 juta  OKU lain. Mereka hanya  warga kecil yang jarang diperhatikan dalam apa bidang sekali pun. Malah, sebahagian besar mereka tersenarai dalam statistik kemiskinan walaupun negara sudah 55 tahun merdeka. Sebanyak  90 peratus OKU  mempunyai pendapatan di bawah RM1,500 sebulan. Nasib mereka tidak berubah walaupun kerajaan sentiasa berbangga pencapaian ekonomi yang bakal meletakkan Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020.

 Kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek  mudah dimengertikan: kurang minat menghargai pencapaian atlit OKU. 

 Walaupun Kementerian Belia dan Sukan mempunyai alasan tersendiri, masyarakat berhak mempersoalkan  bentuk layanan terhadap atlit normal dan OKU. Tidak mungkin Hasihin  boleh dianggap setanding  Chong Wei, Pandelela  atau Datuk Nicol David, tetapi apa salahnya jika kerajaan juga melihat Hasihin sebagai rakyat yang berbangga mengibarkan Jalur Gemilang di Kota London. Apa pun pertimbangan yang disebut oleh seorang menteri, masyarakat masih meyakini keadaan tidak wajar sengaja ditimbulkan.

  Hasihin sekadar dijanjikan  menerima ganjaran lain, selain imbuhan yang diterima menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM). Kita yakin keadaan sama akan berlaku kepada atlit  paralimpik lain pada masa akan datang walaupun mereka meraih emas. Jika keadaan ini berterusan, tindakan holistik, kemanusiaan dan profesional perlu dilakukan.

    Hasihin mungkin lima tahun lagi tidak aktif kerana faktor  usia dan kesihatan. Kita tidak pasti apakah ada pihak yang bakal mengenang dan membantunya menghabiskan sisa hidup pada masa depan.

Ketika pelbagai pihak mendesak kerajaan  mewujudkan skim bayaran pencen untuk atlit paralimpik,  Ahmad Shabery sekadar berjanji: “Saya akan melakukan perbincangan pada peringkat Kabinet bagi mengenal pasti bentuk imbuhan lain yang lebih sesuai bagi kebajikan atlit paralimpik.”

 Ahmad Shabery berkata, jika dibandingkan  negara lain seperti Singapura dan Australia, Malaysia memberi elaun dan kemudahan yang lebih baik kepada atlit paralimpik.

 Kita tidak pasti sejauh mana nasib atlit OKU di negara lain terutama Australia tetapi yang kita pasti, kerajaan mereka menyediakan dana kebajikan OKU walaupun tidak menyertai mana-mana kejohanan bertaraf dunia. Kebajikan, jaminan masa depan dan skim insurans disediakan  kerajaan untuk membantu rakyat menghadapi pelbagai masalah kehidupan. Tidak adil membandingkan ganjaran di Malaysia dengan negara lain kerana peluang prasarana juga berbeza.

 Apa yang berlaku sekarang membuktikan Hasihin berjaya menyelongkar isu sebenar nasib OKU di Malaysia. Penghargaan, simpati dan peluang sekadar ungkapan. Tindakan lebih manusiawi perlu dilakukan selaras slogan Janji Ditepati yang berulang kali disebut  menjelang sambutan kemerdekaan ke-55.  - Berita Harian, 8 September 2012

Friday, September 07, 2012

Legasi Pak Samad untuk wartawan muda

 Hari pertama menjemputnya di sebuah banglo di Petaling Jaya, Tan Sri Abdul Samad Ismail menyinga: “Kenapa lambat sangat? Kamu sepatutnya tiba jam 9 pagi. Kelas bermula 9.30 pagi!”

 Kami tidak boleh menjawab. Kesesakan trafik dan sukar mencari lokasi kediaman beliau di Petaling Jaya menyebabkan kami terlewat 10 minit daripada temu janji sepatutnya.

 Esoknya, kami berazam untuk tidak menerima ‘kemarahan’  insan yang kami sebut Pak Samad itu. Kami tiba 10 minit sebelum jam 9 pagi. Kami lega kerana Samad tidak tercegat di pintu pagar seperti hari sebelumnya. Sebaik saja masuk ke halaman rumahnya, Samad meninggikan suara: “Kenapa awal sangat? Aku tak sempat pakai baju!”

 Dia kelihatan serius. Kami serba salah. Kemudian dia tergelak. Dan kami mula mengetahui hati budi insan yang dikenal Tokoh Wartawan Negara itu. Samad sentiasa kelihatan serius. Bagi insan yang kali pertama mengenalinya, Samad seorang sombong, bengis, tegas dan kurang tolak ansur.

Bagaimanapun, pengalaman menjadi muridnya hampir setahun, Samad seorang guru yang penyayang, bertimbang rasa, kerap bercerita soal perjuangan dan menyeludup senjata ketika era konfrontasi.  Samad juga tidak lokek memasak sendiri bamia daging yang dicelup dengan roti keras di rumahnya. Kami kerap ke rumahnya kerana Samad bagai memaksa: “Jangan tak datang, aku masak bamia!”

 Kami  harus berterima  kasih kepada  Operasi Lalang pada 27 Oktober  1987 bagi mengawal suhu politik negara ketika itu. Seramai 106 individu ditahan dan tiga permit akhbar digantung kerana dikaitkan unsur perkauman.

 Keadaan politik yang tidak menentu memberi peluang kami berguru dengan Samad mengenai kewartawanan selama setahun. Beberapa  muridnya ketika itu kini bertugas  di Berita Harian dan Harian Metro  termasuk Zulkofli Jamaluddin, V Ashok, Azahar Md Taib, Abdul Wahab Aziz dan penulis. Presiden Persatuan Penulis Nasional (PENA) Dr Mohamad Saleeh Rahamad juga berguru dengan Samad sebelum  bertugas di Universiti Malaya.

 Sebagai wartawan, pejuang kemerdekaan, sasterawan dan intelektual Melayu, Samad mempunyai reputasi tersendiri dalam khazanah sejarah negara. Beliau  pemimpin dalam dunia kewartawanan, tapi dia juga pengkritik seni yang sentiasa ‘marah’ kepada karya pasca modenisme.

 Samad pernah menegur penulis kerana menyiarkan cerpen yang disifatkan terlalu gila kerana tiada plot dan tiada watak. Samad bagaimanapun, sedia menerima penjelasan mengenai seni jika beliau sendiri kurang arif mengenai sesuatu genre.

 Hari ini kita mungkin tidak menemui lagi negarawan hebat seperti Samad. Pada era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Samad antara tokoh yang sering berhubung dengan Sri Perdana. Apabila ditanya, Samad sekadar berkata: “Mahathir sayang wartawan, sayang media, tapi dia tidak mahu laporan yang jejas wawasan negara!”

 Pada 4 September lalu, genap empat tahun Samad meninggalkan kita. Media kehilangan wartawan yang komited sepanjang zaman. Wartawan muda pula kehilangan bapa yang sentiasa mengherdik, sekali gus berlawak dengan wajah selamba.

 Samad dilahirkan pada 18 April 1924 di Singapura dan pernah bertugas di  Utusan Melayu, Berita Malai dan menjawat  Pengarang pertama Berita Harian pada  1959.  Pada 1974 Samad dilantik  Pengarang Urusan kumpulan akhbar The New Straits Times (NST). Beliau dilantik  Penasihat Jabatan Pengarang, NST  pada  1984-1988.

 Dalam bidang sastera pula, Samad adalah  antara Pengasas Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) di Singapura dan Persatuan Penulis Nasional (PENA ) di Kuala Lumpur.

 Beliau juga terbabit aktif dalam  isu  bahasa Melayu pada  Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu di Universiti Malaya, Singapura sehingga tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau juga menyokong penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sebagai insan  kritis, Samad sentiasa memberikan pandangan bernas dalam isu Melayu dan perjuangan.
Ungkapannya dipetik The Singapore Standard pada 6 Mei 1953: “Mutiara tidak mungkin dapat dikaji tanpa merujuk kepada tiram yang menghasilkan mutiara, serta memahami penyakit tanpa mengetahui bakteria yang menjadi puncanya.”

 Kini Samad sebahagian daripada warisan kenangan dunia kewartawanan. Era mesin taip, kopi pekat dan merokok di bilik berita sudah berlalu. Namun semangat Samad untuk wartawan muda sentiasa dikenang.
Kita harus berbangga kerana hingga kini beberapa karyanya tersimpan di perpustakaan peribadi. Kail Panjang Sejengkal (1963), Patah Sayap Terbang Jua (1966), Tembok Tidak Tinggi (1967),  Menduga Lautan Dalam dan  Memoir A Samad Ismail di Singapura (1993)  adalah rakaman perkenalan peribadi kami. - Berita Harian, 7 September 2012
 

Tuesday, September 04, 2012

Kita nikmati karya sampah-sarap

Kita masih terhalang menikmati karya di luar pemikiran perdana. Walaupun ada yang mendakwa 55 tahun merdeka bermakna kita bebas menafsir dan membuat keputusan, tidak banyak karya  yang menduga minda untuk ditonton atau dibaca.

Justeru, kita kekal membaca buku atau novel popular, cinta kecundang atau jodoh tak sampai. Kita sekadar menonton filem gred B yang sekadar aksi  lasak dan cinta tiga segi. Kita jarang diberi peluang membaca buku yang mencabar minda atau menonton filem yang di luar pemikiran sendiri.

  Setiap tahun Hollywood menghasilkan hampir 1,000 filem dan Bollywood pula 1,500  judul. Hanya dua peratus karya mereka dianggap bermutu, berbanding yang berlambak di pawagam kita sekadar adegan ganas, cinta dan hantu. 

  Tiga filem yang paling mendapat sambutan dunia tahun ini bukan karya terbaik. Mission Impossible: Ghost Protocol (kutipan RM87 juta),  Sherlock Holmes: A Game of Shadows  (RM59.7 juta) dan Alvin and the Chipmunks: Chipwrecked (RM49.4 juta). Filem berkenaan sekadar hebat dengan teknologi dan kesan bunyi, bukan mutu dan mesej yang membentuk minda.

  Malang bagi peminat seni di Malaysia kerana kita dibekalkan dengan karya sampah-sarap, termasuk karya tempatan yang memaparkan cerita seram atau lawak murahan. Jika ada pun karya yang boleh dimanfaat, skrip lama masih berulang – sensitiviti agama, kaum, budaya dan klise Melayu. Karya yang baik diharamkan atau ditunda penayangan dan penerbitan.

  Keadaan berlarutan hingga menyebabkan filem Tanda Putera hanya ditayang pada 15 November. Polemik yang timbul bukan kerana seni analisis tapi hal di luar kesenian itu sendiri. Kononnya filem ini ada unsur perkauman dan keganasan. Ada yang mendakwa kepentingan politik kepartian. Kita sukar merumus tanpa menilai dan mengkaji sesebuah karya.

  Sebelum ini beberapa karya besar dunia dinafikan tayangan di Malaysia. Filem Schindler’s List (1993)  karya Steven Spielberg diharamkan Lembaga Penapis Filem kerana dikaitkan unsur Yahudi. Begitu juga Saving Private Ryan dan The English Patient kerana pengarahnya Yahudi. Kita menjadi tabu dengan Yahudi walaupun pada masa sama kita menerima idea mereka untuk sistem kewangan, teknologi, pengurusan dan politik.

  Begitu juga buku yang mencabar pemikiran dan tradisi turut menjadi mangsa keadaan. The Malay Dilemma oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang dihasilkan pada 1970 hanya berada di pasaran pada 1981 selepas beliau dilantik Perdana Menteri. Ada yang menuduh Dr Mahathir anti-Islam dan rasis. Selepas buku itu diteliti, dakwaan sebelumnya ternyata meleset.

  Tradisi kesusasteraan tidak pernah sunyi dengan polemik. The Satanic Verses karya Salman Rushdie diharamkan di banyak negara kerana menghina Islam serta memburukkan Nabi Muhammad dan Siti Aishah. Cerpen Langit Makin Mendung yang dihasilkan penulis Indonesia, Ki Panji Kusmin tidak kurang mengundang kontroversi. Karya yang diterbitkan Majalah Sastra, edisi Ogos 1968 dianggap menghina peristiwa israk mikraj.
 
Sasterawan dan cendekiawan, Dr Kassim Ahmad juga tidak terkecuali menerima tempias apabila sajak Sidang Roh dianggap menghina Islam. Dia terpaksa menerima ganjaran mahal apabila ditahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semata-mata dituduh komunis.

  Bagi pengkaji yang jujur menilai, Sidang Roh tidak lebih sebagai karya seni yang mengungkapkan jiwa kacau apabila dunia menguasai minda manusia. Mungkin ‘dosa’ bagi sajak ini kerana ungkapan ‘perlu satu-satu diperhitungkan kembali, hari ini kita dewasa tanpa Tuhan tanpa impian/kerana besok mungkin terlalu lewat/bagi kiamat yang telah ditangguhkan.’

  Karya yang dihasilkan di Petaling Jaya pada Ogos 1960 adalah pengalaman peribadi penulis yang menghadapi cabaran pemikiran dan persekitaran urban.

  Dua buku yang diperdebatkan tahun ini adalah karya Irshad Manji dan Faisal Tehrani. Buku Allah, Liberty and Love diharamkan pengedaran kerana dikaitkan tafsiran bebas terhadap agama. Irshad yang didakwa lesbian pernah mengalami nasib sama di Indonesia apabila majlisnya terpaksa dibatalkan kerana bantahan gerakan Islam. Faisal yang menghasilkan Perempuan Nan Bercinta dan Sebongkah Batu di Kuala Berang dituduh menyelitkan unsur Syiah dalam karya.

  Dari segi sejarah, novel Putera Gunung Tahan karya Pak Sako diharamkan British sebelum kemerdekaan negara. Mungkinkah selepas 55 tahun merdeka ada novel lain yang diharamkan? - Berita Harian, 4 September 2012

Monday, September 03, 2012

PAS jangan pedulikan Nasharudin

BUKAN menghairankan apabila khutbah Aidilfitri dan tazkirah Ramadan dipolitikkan.  Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, sepatutnya tidak terkejut kerana amalan demikian sudah wujud 50 tahun lalu. Jika dulu tazkirah dan khutbah dikaitkan serangan terhadap golongan taghut yang antihudud, kini nama pemimpin negara dipersendakan.

  Banyak khutbah mengandungi unsur kecaman terhadap pemimpin dan sistem pemerintahan diperkatakan. Bukan saja di Kelantan, bahkan negeri lain yang dikuasai  pembangkang membawa kecenderungan sedemikian.

  Sepatutnya Mustapa harus terkejut sejauh mana persiapan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menguasai Kelantan? Bersediakah strategi  Gelombang Merah menawan Kelantan atau Datuk Nik Aziz Nik Mat yang semakin uzur akan kekal sebagai peneraju Negeri Che Siti Wan Kembang sejak 1990?

  BN sentiasa dilihat mempunyai kekuatan mentadbir Kelantan. Malangnya sikap segelintir pemimpin dan penyokong yang menyebabkan rakyat  memihak kepada PAS sejak 22 tahun lalu. BN harus mengubah pendekatan untuk membangunkan kemudahan asas di Kelantan, bukan tunggu berkuasa untuk membina lebuh raya lebih baik. Royalti minyak sudah jadi tuntutan rakyat, bukan permintaan PAS atau tokoh UMNO seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Annuar Musa saja.

  Sepanjang musim perayaan, pembangkang mengatur pelbagai kegiatan untuk meraih undi. PAS Kelantan dan Terengganu meraikan kepulangan perantau untuk mendapat sokongan. Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula membuat kempen  terbuka di pinggir jalan dan lebuh raya. Mereka menunjukkan sepanduk dan janji populis untuk menurunkan harga kereta jika berkuasa.

  Logik mereka - harga kereta diturunkan memberi manfaat kepada rakyat sebagai pengguna, kerajaan pula mendapat manfaat dari segi keuntungan pertambahan jualan, sekali gus melancarkan aliran tunai dalam masyarakat yang tentunya limpahan ekonomi menguntungkan rakyat dan kerajaan.  Tidak timbul syarikat jualan kereta terpakai akan lingkup jika harga kereta murah!

 Bagaimanapun PAS tidak sunyi dengan masalah dalaman. Kekurangan utama PAS adalah mencari tokoh yang mampu bercakap sesuai kepentingan semasa.

Hampir semua pemimpin PAS bercakap sesedap rasa walaupun merugikan parti. Ada yang  mudah terjebak dengan emosi hingga  masyarakat menilai pemimpin PAS kurang berfikir sebelum meluahkan pandangan. Isu bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, umpamanya diperkata secara terbuka menyebabkan  percanggahan pendapat.

  Nik Aziz dilaporkan meminta Nasharudin keluar PAS tapi kemudian  menyalahkan media yang salah laporan. Tokoh lain pula menjadikan Nasharudin  sasaran terbuka sedangkan Ahli Parlimen Bachok itu bukan seorang pemimpin yang hebat, sama ada di Bachok mahupun peringkat Pusat. Nasharudin hanya menjadi wakil rakyat hasil belas ihsan penduduk Bachok.   Isu sama berlaku kepada Datuk Hasan Mohamed Ali. Bekas pemimpin PAS Selangor itu tiada sejarah cemerlang sebagai ahli politik. Kehadirannya dalam PAS tidak mengubah apa-apa, seperti juga nasib parti itu tanpa Hasan.

  Bagaimanapun apabila ramai yang memperkatakan mengenai Hasan dan Nasharudin seolah-olah meletakkan mereka nama penting dalam politik negara. Mereka hanya ahli yang berani bercakap di luar pemikiran pemimpin PAS.

  Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Mohd Nuri Mat Yaacob tidak perlu meminta Nasharudin membuat pengisytiharan rasmi setia bersama PAS atau tidak. Beliau sepatutnya sedar di mana kecenderungan Nasharudin kini.

  Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pula menyatakan kepemimpinan tertinggi PAS belum membuat keputusan  isu pencalonan Nasharudin. Sepatutnya kenyataan ini tidak timbul kerana kewujudan Nasharudin sebagai calon PAS tidak relevan lagi.    Begitu juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Nik Mohamad Abduh, yang mempertikai tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam isu hudud. Beliau tidak sepatutnya bersuara kerana isu hudud tidak akan tercapai kerana PAS dan DAP tidak pernah sepakat. Sandiwara mereka akan terbongkar suatu hari nanti.- Berita Harian, 28 Ogos 2012

Tuesday, August 21, 2012

Perantau penentu politik Kelantan

Hampir 900,000 perantau Kelantan mencari rezeki  terutama di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Sebahagian besar mereka sambut Syawal di Kelantan walaupun terpaksa memandu sehingga 18 jam ke  bumi Cik Siti Wan Kembang.

Kesesakan dan  kesukaran menguruskan hal peribadi sepanjang perjalanan bukan isu lagi. Walaupun ada yang sudah 30 tahun mencari rezeki dan mempunyai kediaman selesa di tempat lain, mereka  meneruskan tradisi balik kampung dengan pelbagai cerita dan kenangan di perantauan.

 Ada juga perantau  yang membayar zakat di negeri Kelahiran, walaupun nikmat hidup di tempat lain. Alasan  selalu diberi: “Tempat kita berbeza negeri lain. Rakyat miskin masih ramai dan perlu dibantu. Negeri kita tak dapat royalti minyak!”.

 Tradisi muafakat, sedekah dan wakaf  masih menebal di kalangan perantau Kelantan.   Jati diri ini akhirnya diterjemah dalam bentuk politik apabila sebahagian besar mereka memilih  mengundi di Kelantan, walaupun bermastautin di tempat lain.

 Ada tiga mitos raya yang sering dikaitkan dengan perantau Kelantan:  Aidilfitri,  Aidiladha dan pilihan raya  umum.  Mereka akan pulang ketika lebaran. Di sesetengah tempat, hari raya korban lebih meriah berbanding Aidilfitri. Masa lampau dan pengalaman merantau menjadi bahan cerita sesama ahli keluarga dan rakan.

Mereka juga lazimnya tidak melepaskan peluang membuat keputusan di peti undi di kampung halaman. Setiap kali pilihan raya umum,  ahli politik  sentiasa berusaha memastikan perantau pulang.

 Pada masa ini ada 15,000 pengundi luar  yang masih berdaftar di Kelantan. Mereka terbabit dalam pelbagai sektor pekerjaan dan akan menentukan hala tuju Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.  Mereka  15 peratus daripada 90,000 pengundi berdaftar di  Kelantan.

 Bagi parti politik yang ingin menguasai Kelantan, selera siasah perantau perlu diambil kira. Lebih 90 peratus dalam kalangan mereka adalah generasi di bawah usia 40 tahun. Mereka tidak terikat dengan politik kepartian.  Selera semasa bakal menentukan aliran pengundian. Pada pilihan raya umum 1999, perantau Kelantan dikaitkan punca kekalahan Barisan Nasional. Isu reformasi dan royalti minyak menjadi bahan kempen.

Kelantan  sentiasa dikaitkan dengan agenda pembangunan. Pihak  berkepentingan sentiasa bersuara mengenai perubahan kepemimpinan demi hala tuju politik masa depan.
Bagaimanapun, tradisi pondok dan perkitaran Pantai Timur yang menghadap Laut China Selatan agak berbeza.  Kelantan sentiasa melahirkan ulama terbilang seperti Tok Kenali. Kelantan pernah dipimpin oleh pemidato hebat seperti Tan Sri Asri Muda.

 Kelantan juga melahirkan Menteri Kewangan berbangsa Melayu pertama, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah.  Legenda  bola sepak  Kelantan, Dali Omar menjadi  pemain   profesional  pertama di Malaysia apabila berkelana ke Australia pada awal dekad 70-an.

 Dari segi kesenian dan kebudayaan, Kelantan sentiasa kaya dengan pementasan. Dari bangsal dikir barat, wayang kulit, makyung dan main puteri, tanpa kita sedari mendekatkan tradisi muafakat. Kerjasama dan perpaduan sesama Melayu membentuk fahaman siasah  berbeza dengan negeri lain.

 Sehingga kini tiada kajian akademik yang merujuk punca sebahagian besar anak Kelantan mempunyai fahaman politik di luar pemikiran perdana.   Apakah kerana taksub kepada politikus yang bertopeng agama, atau mereka kecewa dengan isu pembangunan yang tidak banyak membawa perubahan prasarana di Tanah Sekebun Bunga?

Oleh kerana Kelantan dianggap ketinggalan, siapakah yang berhak menanganinya? Apakah golongan berjubah dan berkopiah mampu membawa perubahan atau pihak lain mampu meyakinkan rakyat?
 Persoalan politik sering mengundang polemik. Ketika ada pihak  meyakini pembangunan perlu dipertingkat, isu royalti minyak tidak terkecuali menjadi bualan rakyat. Sentimen kenegerian dan harapan pengundi muda perlu ditangani.

 Pembangunan tanpa pengisian jiwa bakal menjadi ledakan jangka panjang. Ketika ada pihak menubuhkan tabung amanah bagi membiayai pembinaan lebuh raya menghubungkan Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK), ada pula yakin pembinaan secara wakaf tidak bebankan rakyat dari segi kutipan tol apabila beroperasi kelak.

 Lebuh raya empat lorong dua hala sepanjang 73 kilometer itu menelan belanja kira-kira RM1.4 bilion. Ia menjadi bualan ketika sambutan Aidilfitri sekarang. Mampukah PAS menyiapkan lebuh raya? - Berita Harian, 21 Ogos 2012

Friday, August 17, 2012

Lajim cipta sejarah kali kedua?

Perkembangan politik di Sabah mungkin mengembalikan peristiwa dekad 70-an dan 80-an apabila trend meninggalkan parti menjadi budaya.

Dua ahli Parlimen Barisan Nasional  (BN), Datuk Seri Lajim Ukin dan Datuk Seri Wilfred Bumburing, bertindak keluar parti dan memihak kepada pakatan pembangkang.

  Lajim menubuhkan Pakatan Perubahan Sabah, manakala Bumburing menubuhkan Angkatan Perubahan Sabah atau Sabah Reform Front.   Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Maijol Mahap pula mengumumkan keluar UPKO di kediamannya di Kampung Goshen, Kota Marudu  untuk bersama Lajim.

  Perkembangan yang berlaku seolah-olah mengulangi nasib Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Berjaya dan Parti Bersatu Sabah (PBS) membabitkan kejadian keluar parti dan menubuhkan parti baru.

  Tiada siapa pernah menduga USNO boleh tumbang hasil pembelotan ahlinya sendiri. Sejarah membuktikan USNO yang ditubuhkan sahabat karib bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Datu Mustapha Datu Harun, akhirnya tumbang  pada 1976 apabila bekas setiausaha agungnya, Datuk Harris Mohd Salleh keluar parti dan menubuhkan Berjaya.

USNO tumbang kerana segelintir pemimpin dikaitkan dengan rasuah dan balak. Kekuatan Berjaya kerana ramai ahli USNO yang belot dan melompat parti.

USNO terus lemah walaupun menyertai pilihan raya negeri pada 1981, 1985 dan 1990, tapi gagal mendapat sokongan pengundi muda.

  Berjaya hanya lemah apabila Tan Sri Pairin Kitingan keluar parti dan menubuhkan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 1984 dan mentadbir Sabah sejak 1985 hingga 1994. Isu balak dan penyelewengan juga dikaitkan dengan Berjaya.

  Pada 1990, USNO bergabung dengan Berjaya untuk membawa UMNO melebarkan sayap ke Sabah.  Mustapha menjadi pengerusi pertama UMNO Sabah selepas USNO dibubarkan pada 1991.
 Lajim juga mempunyai sejarah tersendiri di Sabah. Beliau pernah menyertai PBS dan menjawat  Setiausaha Politik di Jabatan Ketua Menteri pada 1985 hingga 1986, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri dari 17 Mei 1986 hingga 10 Januari 1994, selain Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Sabah antara Februari hingga  Mac 1994.

 Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu dianggap berjasa kepada UMNO kerana meninggalkan PBS pada 1994, sekali gus membantu perubahan tampuk pimpinan negeri.
 Kita tidak pasti sejauh mana tindakan ahli BN meninggalkan parti boleh menjejaskan peluang pada Pilihan Raya Umum ke-13, apatah lagi  Lajim sekadar pemain politik yang kurang berfungsi sekarang.  Bagaimanapun dalam gerakan siasah, perkembangan semasa boleh memberikan kesan yang besar.

Apa yang berlaku di Sabah dan Sarawak perlu dikaji. Pada pilihan raya lalu, BN menang 30 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak dan 24 daripada 25 di Sabah berbanding 85 yang dimenangi di Semenanjung dan satu di Labuan. Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak tahun lalu, BN kalah beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Cina.

 Jika trend itu diambil kira, mungkin tujuh kerusi Parlimen bakal bermasalah di Sarawak. Pelbagai isu tempatan pula dikaitkan sebagai punca pergolakan politik di Sabah.  Isu pendatang dan penggiliran jawatan Ketua Menteri yang diamalkan zaman Tun Dr Mahathir Mohamad tapi dimansuhkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi bualan setempat.

  Hari ini jumlah pendatang yang didakwa mendapat kerakyatan Malaysia dipolitikkan.      Walaupun kerajaan menubuhkan Suruhan-jaya Siasatan Diraja (RCI) Pendatang Asing di Sabah, ia masih awal untuk melihat hasilnya. RCI yang diketuai bekas Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kong, diberi tempoh enam bulan dari tarikh tauliah pelantikan untuk menyiasat punca kebanjiran pendatang di Sabah.

Ada yang mendakwa keturunan Filipina dan Indonesia mengatasi jumlah penduduk tempatan.
Lajim, Bumburing dan ramai tokoh tempatan bersuara mengenai isu pendatang. Kita tidak pasti siapa yang terbabit dalam isu kebanjiran pendatang, seperti juga masih misteri apakah pemberian kad pengenalan biru atau kewarganegaraan kepada pendatang selaras peruntukan undang-undang.
 Yang pasti Sabah akan terus mewarnai pentas politik dengan perkembangan yang lebih menarik. Mampukah Lajim mencipta sejarah untuk kali kedua?  - Berita Harian, 17 Ogos 2012