Pages

Thursday, May 30, 2013

Pegawai perhubungan politik masih samar

Perlukah jawatan pegawai perhubungan politik di Selangor? Persoalan ini menjadi bualan hangat dalam kalangan ahli PAS yang bimbang tindak-tanduk PKR seolah-olah mahu menguasai ‘segala-galanya’ di negeri  paling maju itu.

  PAS sejak awal lagi curiga dengan tindakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat cuba menjadikan Selangor sebagai taklukannya. Banyak keputusan yang membabitkan kepentingan ramai tidak dibincang bersama PAS kerana PKR dan DAP lebih selesa menentukan keputusan bersendirian.

  Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)   5 Mei lalu,  PAS dan DAP masing-masing memenangi 15 kerusi, sementara PKR pula hanya  14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

 Dari segi status demokrasi,  ahli PAS atau DAP wajar diberi peluang menjadi Menteri Besar berdasarkan kerusi majoriti yang mereka menangi. Bagaimanapun wakil rakyat DAP tidak layak kerana kekangan undang-undang tubuh negeri yang memperuntukkan jawatan berkenaan kepada bangsa Melayu dan beragama Islam. Dari segi Perlembagaan, wakil rakyat PAS layak dilantik Menteri Besar. Persefahaman politik yang sepatutnya dihormati bersama membolehkan wakil rakyat PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua.

  Sehingga kini cadangan jawatan pegawai perhubungan politik di Selangor masih menjadi misteri. Fungsi dan matlamat jawatan berkenaan  dipersoalkan. Apakah ia untuk kepentingan politik pakatan pembangkang atau agenda peribadi pihak tertentu bagi mengaut keuntungan ekonomi di Selangor? 

 Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution yang disebut bakal menyandang jawatan berkenaan  dijangka  bertemu  Abdul Khalid  minggu depan   bagi mengetahui status pelantikan.

   Anwar  pada Kongres Nasional PKR ke-9 hujung minggu lalu mencadangkan supaya Saifuddin diamanahkan berperanan sebagai pegawai perhubungan politik di negeri itu. Antara peranannya meliputi usaha merapatkan jurang antara PKR dan parti politik lain di Selangor dan memastikan urusan politik dipisahkan daripada pentadbiran negeri dan urusan perniagaan syarikat.

  Bagaimanapun, cadangan pelantikan itu mendapat reaksi PAS Selangor apabila ADUN Chempaka, Iskandar Samad turut menuntut  jawatan sama  diberikan kepada wakil PAS. PAS juga mencadangkan salah seorang daripada Naib Presidennya turut dilantik bagi memantau perkembangan politik.

  Kebimbangan PAS ada alasan kerana sepanjang lima tahun pentadbiran PKR di Selangor, banyak jawatan utama tidak diberikan kepada ahli parti berkenaan. Jawatan penting pada peringkat kerajaan tempatan hanya dibolot oleh PKR dan DAP. Tugas PAS sekadar portfolio agama dan istiadat Melayu, sedangkan pelaksanaan program ekonomi dilaksanakan oleh pihak lain yang berkepentingan.

  PAS juga mempersoalkan cadangan Anwar seolah-olah untuk memberi jawatan kepada Saifuddin yang tewas  pada PRU-13. Beliau kecundang   di tangan Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir (Barisan Nasional) di kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu.

 Sehingga kini pentadbiran negeri masih dilihat berperanan seperti biasa. Pengalaman Abdul Khalid di sektor korporat sebelum terbabit politik menjadi aset meneruskan agenda pembangunan di Selangor.

  Bagaimanapun kemajuan Selangor ada kaitan dengan faktor sejarah dan geografi. Kedudukan Selangor sebagai ‘jiran’ Kuala Lumpur dan Putrajaya membantu ledakan ekonomi yang luar biasa sejak dekad 1970-an.

  Fokus pembangunan pasca peristiwa 13 Mei 1969 menjadikan Selangor tumpuan pentadbiran, kegiatan ekonomi dan pelaburan. Proses urbanisasi yang pesat serta pertumbuhan prasarana pendidikan dan kemudahan awam menjadikan Selangor lebih ke depan berbanding Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan.

  Bagaimanapun persaingan kehidupan dan pertumbuhan kawasan urban menjadikan polarisasi kaum semakin meledak. Walaupun ramai ahli siasah yang bermantera mengenai muhibah dan perpaduan kaum, namun isu pendidikan dan peluang kewangan menyebabkan ada pihak   yang gemar bermain api perkauman. Hal ini diterjemahkan menerusi dua  pilihan raya umum terakhir menyebabkan BN hilang banyak kerusi di  bandar besar dan kawasan urban.

  Pengundi Melayu di kawasan pedalaman  di  Selangor masih mengharapkan politik pembangunan dan BN menjadi tumpuan. Ia bukan jaminan kekal kerana situasi akan berubah pada masa akan datang. Dalam hal ini peranan   pegawai perhubungan politik  masih samar, adakah  untuk pupuk perpaduan kaum atau meneruskan legasi pakatan pembangkang di Selangor? - Berita Harian, 30 Mei 2013

Wednesday, May 29, 2013

Menjelang Bersih 4.0

Kongres Nasional PKR kali ke-9 di Petaling Jaya masih belum berpijak di bumi nyata. Mereka masih mendesak demokrasi yang lebih adil dan mendakwa kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)  5 Mei lalu sebagai penipuan.

Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, menuntut agar kerajaan BN bersama dengan parti itu melaksanakan agenda pemulihan demokrasi sebelum mengadakan rekonsiliasi politik.

  Wan Azizah mendakwa tawaran yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung rekonsiliasi politik sebelum ini tidak ikhlas apabila ada pemimpin BN yang meminta agar sesiapa yang tidak berpuas hati dengan sistem pilihan raya supaya berpindah ke luar negara.

  Kita hairan kenapa PKR masih mempertikai keputusan PRU-13 sedangkan PAS dan DAP walaupun membantah, tapi tidak menggerakkan ahli mereka mengadakan protes terbuka.

  Walaupun ada segelintir ahli PAS yang berperangai seperti Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu, tapi majoriti bertindak waras dan menerima kekalahan sebagai adat demokrasi.
 Proses pilihan raya bukan jawapan mutlak kepada keadilan dan pembentukan mandat rakyat. Pilihan raya hanya alat untuk memilih wakil rakyat dan membentuk kerajaan. Kelemahan sistem ciptaan manusia bukan alasan untuk berhimpun secara haram dan mengadakan bantahan hingga menggugat kepentingan umum. Mereka ada saluran sah untuk membuat petisyen, bukannya memainkan emosi massa.

 Perhimpunan pembangkang pada Sabtu lalu di Petaling Jaya bukan penamat kegiatan agresif.  Akan ada susulan tindakan mereka. Dalam hal ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bermuhasabah diri; sampai bila mahu berarak dan berbuat onar sedangkan rakyat melihat masa depan yang lebih penting.

  Apakah ketika muda anda berarak di jalan raya dan pada usia tua pun masih mahu menjadikan jalan raya pentas berpidato, menjerit, mengapikan perasaan massa hingga keadaan di luar kawalan? Anwar perlu sedar zaman sudah berubah dan wajar bertindak secara lebih matang demi masa depan generasi muda Malaysia.

  Tindak-tanduk Anwar sengaja diperlihatkan luar biasa bagi melindungi kemerosotan undi PKR  berbanding PAS dan DAP. Meskipun bertanding paling banyak kerusi pada  peringkat Parlimen iaitu 99 kerusi,  PKR hanya menang 30 kerusi Parlimen dan kalah hampir 70 kerusi yang lain.

  PKR bukan lagi parti yang menguasai kerusi dalam pakatan pembangkang di Dewan Rakyat. Ia perlu melukut di tepi gantang dan mendapat belas ihsan khususnya DAP yang memenangi 38 kerusi Parlimen.

  PAS meskipun hanya mempunyai 21 kerusi Parlimen di dalam Dewan Rakyat,   menguasai jumlah kerusi yang besar di  Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan jumlah keseluruhan 85 kerusi DUN.

  Begitu juga DAP yang mempunyai 95 kerusi DUN di seluruh negara. PKR pula jauh ketinggalan iaitu  hanya 49 kerusi DUN. Keadaan di Selangor membuktikan PKR hanya semut di mata PAS dan DAP, tetapi masih berselera besar dengan menuntut jawatan Menteri Besar di negeri paling maju itu.

  Kita tidak hairan Anwar dan beberapa aktivis jalanan akan meneruskan perjuangan di jalan raya. Sudah kedengaran bisik-bisik untuk menganjurkan perhimpunan BERSIH 4.0 bagi membantah apa yang dikatakan penyelewengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

  Isu dakwat kekal  bertalu-talu dicanangkan. Dongeng Mat Bangla keluar mengundi dijaja di seluruh negara walaupun tidak dibuktikan secara jelas.

Lebih aneh apabila cerita lampu padam di pusat penjumlahan undi di Bentong dinafikan oleh pemimpin DAP sendiri.

 Bertindak tanpa alasan dan menafikan kematangan akan merosakkan kestabilan negara. Ia bukan saja memberi kesan politik, bahkan menjejaskan keselamatan awam dan aktiviti  ekonomi.

  Malangnya sudah ada yang merancang untuk  menghimpunkan jutaan rakyat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur jika tuntutan mereka agar pengerusi dan  timbalan pengerusi  SPR  letak jawatan  tidak ditunaikan. 

 Mereka juga akan  menganjurkan lebih banyak perhimpunan sehingga kerajaan BN  letak jawatan. Perhimpunan #Black505 yang dianjurkan di beberapa negeri sekarang adalah  permulaan kepada perhimpunan BERSIH 4.0 tidak lama lagi.

  Tindakan mereka jelas menguji sejauh mana proses undang-undang dapat dilaksanakan apabila Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sudah menjadi tinggalan sejarah! - Berita Harian, 29 Mei 2013

Tuesday, May 28, 2013

Gerila siber menanti Shabery Cheek

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tentu sedar peranan beliau di  Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) bukan sekadar menyebar maklumat. Tanggungjawab dan cabaran selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bukan propaganda melulu, tapi bagaimana meyakinkan fikiran umum.

  Keputusan pengundian 5 Mei lalu mengulangi persepsi PRU-12 pada 8 Mac 2008. Perang siber, teknologi maklumat dan keyakinan umum yang saling bercanggah. Pembangkang memanfaatkan media baru kerana yakin media tradisional memihak.

  Lebih malang   timbul tanggapan media baru lebih bebas, adil dan jujur berbanding akhbar dan siaran televisyen. Kebenaran dikaitkan dengan media baru kerana dakwaan  media perdana  menjadi alat pemerintah.

  Malangnya tohmahan tanpa bukti dianggap kebenaran. Tiada usaha  membetulkan tanggapan menyebabkan dakwaan kekal menuduh laporan rasmi sebagai alat propaganda. Lebih malang pejuang siber UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih berada di belakang untuk memberi maklumat yang jelas, tepat dan bernas. Justeru, perang siber sudah menjadi pertarungan yang berat sebelah. Pembangkang lebih berjaya mempengaruhi fikiran massa berbanding jentera BN dan kerajaan.

  Ketika pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu pada 12 Februari lalu, maklumat rasmi yang kerap disiarkan media kerajaan adalah keselamatan negara terkawal. Rakyat jangan bimbang. Pasukan keselamatan berjaya mengawal keamanan negara.

  Pejuang siber pula melondehkan apa yang tidak disiarkan media rasmi. Laporan agensi berita dari Manila  walaupun tidak semestinya tepat, boleh menjadi rujukan terhadap apa yang berlaku.

  Jika media rasmi pada awalnya memberi anggaran tak kurang 20 pengganas  Sulu berada di Sabah, media baru melaporkan lebih 100 orang. Akhirnya polemik umum menjadi luar biasa apabila lima anggota polis terbunuh di Semporna. Kepercayaan dan keraguan terhadap jaminan keselamatan yang dikatakan terkawal sudah tergugat. Tanggapan umum bahawa agensi kerajaan sekadar kekal dengan peranan tradisi, iaitu ejen propaganda semata-mata.

  PRU-13 dianggap tsunami Cina kerana termakan hasutan BN berusaha menghapuskan kepentingan kaum lain. Hanya Melayu yang kononnya berhak diutamakan. Istilah Ketuanan Melayu menjadi agenda memburukkan imej perpaduan kaum. Penipuan tanpa upaya menjernihkan keadaan menjadi dakwaan yang berat. Akhirnya pengundi Cina di kawasan bandar memberi undi kepada DAP atau rakan mereka dalam pakatan pakatan pembangkang.

  Usaha menstabilkan fikiran massa sepatutnya dilakukan lebih awal. Kecenderungan generasi muda kepada media baru hampir mencabar apa saja laporan rasmi. Walaupun selepas PRU-12  Kementerian Penerangan bertukar kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan  kini   Kementerian Komunikasi dan Multimedia, keberkesanannya amat dinantikan.

 Ahmad Shabery yang pernah mengetuai kementerian ini perlu melihat sejauh mana usaha menangani fikiran massa dilakukan dengan jayanya.   Jentera penerangan, penyiaran dan perang saraf masih lagi menggunakan pendekatan cara lama. Mereka tewas kepada  Youtube, Facebook, Twitter  dan  media sosial lain. Tugas berat menanti bagi menjelaskan tohmahan tidak berasas. Dakwaan  40,000 pengundi   Bangladesh, wujudnya pengundi hantu dan lampu padam ketika proses pengiraan undi memerlukan penjelasan yang rapi.

  Media rasmi sepatutnya bukan sekadar melapor tapi mempengaruhi kepercayaan massa. Era Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan berita lawatan pemimpin ke luar bandar bukan lagi menjadi tarikan umum. Begitu juga laporan kegembiraan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mendapat durian runtuh. Masyarakat lebih berminat mengetahui sejauh mana usaha mengekang kenaikan harga barang berjaya atau bila harga kereta akan diturunkan.

  Jika kegagalan mengurus maklumat berterusan, kita bimbang peranan wira siber yang kejujuran mereka masih dipersoalkan, menjadi semakin penting. Lebih malang jika RTM dan media rasmi masih berfungsi dengan cara lama sedangkan media sosial dipenuhi pandangan melulu, percanggahan pendapat dan idea kebebasan yang dicanang golongan pluralisme.

  Hari ini sebaran maklumat menjadi pertarungan hidup atau mati survival politik. Datuk Seri Anwar Ibrahim dan konco menggunakan media baru untuk meragui keputusan PRU-13. Seruan perhimpunan bantahan menjadi mantera blogger dan penggerak portal berita. Di sinilah perlunya ketegasan menjelaskan keadaan agar massa tidak terpedaya dengan anarkis politik yang tidak lagi mendapat mandat rakyat. Di sinilah mahalnya erti maklumat pada era digital sekarang.  - Berita Harian, 28 Mei 2013

Monday, May 27, 2013

MCA keluar BN?

MCA menunjukkan sikap tegas terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Tee Siew Keong, kerana menerima jawatan EXCO di Johor. Sikap berkenaan tidak pernah berlaku kerana parti itu sebelum ini amat setia dengan Barisan Nasional (BN) yang dianggap sekutu rapat sejak perjuangan kemerdekaan.

Belum pernah dalam sejarah Malaysia tiada wakil MCA dalam Kabinet, apatah lagi peringkat negeri. Sejak merdeka pada 1957, tokoh MCA seperti Tun Tan Cheng Lock, Tun Tan Siew Sin, Tan Sri Lee San Choon, Datuk Dr Neo Yee Pan, Tun Dr Ling Liong Sik, Tan Sri Ong Ka Ting, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menjawat portfolio penting.

Mereka turut menyumbang tenaga dan idea untuk kemajuan Malaysia dan memupuk perpaduan kaum. Dalam isu kecinaan, tokoh MCA cukup tegas mempertahankan dasar kerajaan bagi menjamin keharmonian kaum walaupun menyedari tindakan mereka boleh menjejaskan imej parti dalam kalangan masyarakat Cina.

Sejarah sentiasa membuktikan MCA adalah sahabat setia UMNO serta sanggup turun padang menyelesaikan kekeliruan isu pendidikan Cina walaupun mendapat tentangan daripada bangsanya sendiri.

Malangnya sejak dua tahun lalu, MCA mula berhelah untuk meninggalkan Kabinet jika keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak memihak kepada mereka.

Ketika Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Kabinet baru pada 15 Mei, tiada wakil MCA dan GERAKAN dalam kerajaan. Perdana Menteri menyatakan kedudukan MCA dalam Kabinet akan ditentukan kemudian kerana membabitkan pendirian mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti itu yang tidak menerima jawatan dalam Kabinet.

MCA tidak sepatutnya berhelah dan menjadikan Perdana Menteri serba salah ketika mengumumkan anggota Kabinet. MCA perlu menyingkirkan kekecewaan atau sebarang niat untuk bermain politik dalam kalangan masyarakat Cina.

MCA sepatutnya menyertai Kabinet dan sekarang adalah masa terbaik untuk memastikan suara masyarakat Cina dibawa ke peringkat yang lebih tinggi. MCA silap jangkaan jika mengambil pendirian berada di luar kerajaan kerana belum tentu parti berkenaan mendapat sokongan Cina selepas DAP mencapai keputusan besar pada PRU-13 lalu.

DAP, sekutu utama pembangkang yang mendominasi undi Cina, berpesta dengan kemenangan mendadak mereka daripada 28 kerusi Parlimen pada 2008 kepada 38 pada PRU-13.

MCA pula hanya menang tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 37 kerusi Parlimen dan 90 DUN yang ditandingi kali ini. Keputusan itu lebih buruk berbanding PRU-12 apabila ia menang 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN daripada 40 kawasan Parlimen dan 90 kerusi DUN yang ditandingi.

Sebagai parti yang semakin lemah dan susut sokongan akar umbi, kita tidak nampak sejauh mana MCA masih relevan dalam kancah politik semasa. Ketika perkauman menjadi sebahagian daripada agenda politik kaum Cina, MCA akan ditinggalkan oleh sejarah masa lalu yang tidak dapat dimaafkan.

Sebilangan besar masyarakat Cina melihat MCA sebagai parti tauke dan alat kepada golongan Ali Baba. Rakyat terpinggir dan peniaga kecil Cina di kampung baru diabaikan sehingga mendorong mereka menerima DAP.

Sekarang masa terbaik untuk MCA bermuhasabah diri dan kembali ke dalam kerajaan dengan menjadikan agenda perpaduan sebagai teras utama BN.

Sekarang juga masa terbaik untuk MCA memulihkan imej bukan membiarkan Soi Lek hanyut dengan agenda peribadi.

Dengan keputusan MCA dan GERAKAN tiada dalam kerajaan, masyarakat Cina dalam Kabinet sehingga kini diwakili Presiden Transparency International Malaysia, Senator Paul Low Seng Kuan dan Ahli Parlimen Tawau, Mary Yap Kain Ching. Namun, kekuatan pengaruh mereka dalam kalangan masyarakat Cina masih misteri.

Sehingga kini, portfolio Kementerian Pengangkutan yang secara tradisi dipegang oleh wakil  MCA masih ditinggalkan kosong dan dipangku Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Tindak-tanduk MCA juga GERAKAN semakin menarik untuk diperhatikan selepas ini kerana dalam politik, tiada rakan yang setia dan tiada juga musuh yang kekal. - Berita Harian, 26 Mei 2013

Tuesday, May 21, 2013

YB tak peka punca tsunami rakyat

Kita sudah memilih 505 wakil rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 222 ahli Parlimen pada 5 Mei lalu. Kita memanggil mereka ‘Yang Berhormat’  kerana tradisi memaksa hormat kepada wakil rakyat. Kerana wakil rakyatlah,  desa kita aman dan membangun. Kerana wakil rakyatlah kampung kita ada jalan raya, masjid,  balai raya, masjid dan sekolah.

  Dalam mitos pasca merdeka, wakil rakyat dianggap golongan hebat dan bertuah. Mereka kononnya membawa suara rakyat dari desa ke kota. Mereka mengangkat luahan marhain ke Dewan Rakyat. Lebih menguntungkan apabila wakil rakyat terpilih menjadi menteri yang kononnya bakal membawa suara ramai secara lebih telus dan terbuka.

  Para era 1960-an, banyak suara rakyat menjadi polemik umum. Suasana pasca merdeka menjadikan manusia Melayu hauskan pembangunan, juga mahu nasib mereka terbela.

  Ahmad Boestamam (30 November 1920-19 Januari 1983) atau nama asal Abdullah Thani Raja Kechil, menegur kerakusan berpolitik yang luar biasa. Ganjaran perjuangannya menyebabkan beliau dipenjarakan sebanyak tiga kali. Alasannya kerana berhaluan kiri dan mendedahkan penyelewengan wakil rakyat. Karya beliau terutama  Tujuh Tahun Malam Memanjang (1976) mendedahkan penyelewengan golongan yang mendapat mandat daripada rakyat.

  Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang menerusi sajak Pak Utih  secara sinis membandingkan kehidupan rakyat tidak banyak berubah berbanding ‘tuan’ yang mewah dalam mobil besar ketika melawat kawasan pedalaman. Lebih malang, rakyat yang menjadi alat kepada wakil rakyat hanya dirai dalam majlis yang kemudian nasib mereka terserah kepada takdir:
 ‘Di mana-mana jamuan dan pesta makan
 Ayam panggang yang enak di depan
 Datang dari desa yang dijanjikan kemakmuran.
 Pak Utih masih menanti dengan doa
 Bapa-bapa pergi ke mana dengan mobil besar?’

 Hari ini citra wakil rakyat sepatutnya berubah. Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) boleh dianggap cabaran kepada insan bergelar wakil rakyat. Mereka tidak perlu lagi digelar ‘Yang Berhormat’. Mereka terpilih menjadi ‘Yang Berkhidmat’ untuk rakyat dan demi rakyat. Pengundi masa kini bukan lagi golongan taksub atau masih terikat dengan hubungan tradisi. Wakil yang gagal menghargai suara rakyat akan diadili di peti undi. 

  Amat malang bagi seseorang ahli politik yang menjenguk kawasan ketika hampir hari pengundian. Hal ini kerap berlaku. Kelekaan menjaga hati rakyat mendorong peralihan undi secara luar biasa. Rakyat bijak menilai dan kebijaksanaan itu diterjemahkan menerusi peti undi. Rakyat bijak menyemak kerana mereka mempunyai maklumat tambahan menerusi media baru yang jarang bersimpati dengan penyeleweng kuasa.

  Hari ini maklumat berada di hujung jari. Kebebasan blog, portal berita, khidmat pesanan ringkas, twitter dan facebook sudah menjadi perayaan sejagat. Tiada siapa yang boleh menafikan kebebasan berfikir dan mengeluarkan pendapat kerana hukuman sudah berada di belakang teknologi maklumat. Sumber kehidupan juga berubah yang akhirnya memaksa ahli politik bertugas lebih daripada kebiasaan.

 Era kerajaan menangani segala-galanya sudah berakhir. Musim propaganda secara melulu sudah dileburkan oleh teknologi digital. Dunia perlu berterima kasih kepada Ronald Reagan kerana era pentadbirannya di Rumah Putih membenarkan aliran maklumat pesat berkembang. Internet menjadi milik massa dan tiada siapa  yang mampu menghalang senjata bentuk moden itu.

  Kesan langsung di Malaysia berlaku pada 2 September 1998 apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada kerajaan dan parti kerana dakwaan moral. Internet menjadi senjata mempertikaikan keputusan kerajaan dan kini ia berulang menjadi bahan propaganda yang mendesak orang ramai berhimpun pada majlis tanpa permit, semata-mata membantah keputusan PRU-13 yang dianggap tidak telus.

  Sesiapa saja yang terpilih menjadi wakil rakyat sekarang bukan saja berdepan dengan isu longkang tersumbat, banjir lumpur dan prasarana, juga bagaimana menanggapi pandangan umum.

  Era menguasai maklumat sudah berlalu seperti juga era wakil rakyat ke kampung untuk mendapat sokongan lima tahun sekali sudah berakhir.

Wakil rakyat seharusnya menonjolkan nurani yang baik. Bukan sekadar menjerit dan berhujah di Dewan Rakyat, bahkan membawa suara Malaysia ke seluruh dunia.

  Mereka adalah harapan generasi akan datang kerana pemimpin harus tumbuh bersama kesedaran membahagiakan bangsanya, bukan mengambil apa yang ada dan dijadikan milik peribadi! - Berita Harian, 21 Mei 2013 

Wednesday, May 15, 2013

Perkauman Cina

Hanya 1.5 peratus daripada 30,000 pemilih Cina mengundi bekas Ketua Menteri Melaka,   Datuk Seri Mohd Ali Rustam di kawasan Parlimen Bukit Katil pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). 

Sokongan itu terlalu kecil kerana kawasan  Parlimen Bukit Katil mempunyai 99,438 pemilih berdaftar dan daripada jumlah itu, 40.75 peratus  pengundi Cina. Pada hari pengundian 5 Mei lalu, sebanyak 87,939 atau 88.60 peratus pengundi keluar membuang undi.

  Barisan Nasional (BN)  menyasarkan  sokongan  kira-kira 20 hingga 25 peratus pengundi Cina di Bukit Katil, namun ia tidak berlaku, sekali gus memberi kemenangan kepada   Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin  dengan majoriti 5,447 undi.

 Kekalahan paling mengejutkan dalam sejarah politik negara  dikaitkan dengan tsunami Cina kerana Bukit Katil adalah kawasan tradisi BN. Lebih memeranjatkan Cina memihak kepada PKR walaupun calon berkenaan juga  Melayu. Keadaan sama juga berlaku di kawasan  Parlimen Gelang Patah apabila bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman  tewas kepada Penasihat DAP Lim Kit Siang  dengan majoriti 14,762 undi.

  Kecenderungan pengundi Cina menentang UMNO, BN dan kerajaan yang sedia ada mudah difahami. Isu kaum dan perjuangan mendaulatkan pendidikan Cina menjadi gerakan terancang sejak dekad  1970-an.  Pada 1978 tokoh perniagaan Cina merancang menubuhkan Universiti Merdeka dengan alasan memberi peluang kepada kaum mereka belajar ke peringkat pengajian tinggi ‘tanpa sebarang halangan’. Mereka mendakwa universiti awam mengamalkan sikap pilih kasih dan hanya membenarkan kuota 10 peratus bukan Melayu belajar.

  Kolej Tunku Abdul Rahman yang ketika itu hanya mengambil pelajar peringkat diploma berkali-kali memohon dinaikkan taraf universiti tapi ditolak oleh kerajaan pimpinan Tun Hussein Onn.  Lebih memeranjatkan isu Universiti Merdeka menjadi bahan perkauman kerana agenda penubuhan jelas bertentangan dengan Dasar Pendidikan Nasional, iaitu mahu menggunakan Mandarin sebagai bahasa pengantar  dan  mengambil  pelajar   Cina saja.

  Ia menjejaskan dasar kerajaan yang tidak mahu  13 Mei berulang apabila perpaduan kaum dan sistem pendidikan menjadi modal politik kaum Cina.    Isu pendidikan Cina dan gerakan persatuan perniagaan yang mendalangi perjuangan DAP menjadikan MCA dan GERAKAN longlai dalam BN. Banyak isu kaum  dimainkan setiap kali pilihan raya umum menyebabkan sentimen kecinaan menentang dasar kerajaan.

  Perkembangan ini mendorong  DAP memperoleh lebih 70 peratus daripada jumlah kerusi Parlimen yang ditandinginya pada PRU-13,  apabila memenangi 38 daripada 51 kerusi, dengan  Kit Siang menembusi kubu kuat  BN di Johor.

 Kejayaan di Gelang Patah sudah diduga pada hari pengundian apabila   89.1 peratus  keluar mengundi  berbanding anggaran seluruh negara antara 70 dan 80 peratus yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).    Selain Gelang Patah,   DAP juga menang di Kluang, Bakri dan Kulai, namun kalah di Labis dan Tanjong Piai.

 Pada PRU-12, DAP menang 28 kerusi Parlimen dan kini meningkat 10 menjadikan 38 kerusi. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengekalkan kerusi Parlimen Bagan dengan 34,159 majoriti undi serta kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Puteh dengan lebih 7,700 undi. Di Kuala Lumpur, DAP menang semua lima kerusi Parlimen yang ditandinginya di Kepong, Segambut, Bukit Bintang, Seputeh dan Cheras.

Di Perak, semua tujuh calon DAP  menang dengan margin selesa di kebanyakan kerusi Parlimen majoriti Cina iaitu di Taiping, Ipoh Timor, Ipoh Barat, Batu Gajah, Beruas, Kampar dan Telok Intan. Selangor juga menyaksikan DAP mengekalkan penguasaan di Puchong (Gobind Singh Deo), Petaling Jaya  Utara (Tony Pua) dan Klang (Charles Santiago). Pendatang baru  Ong Kian Ming juga  menewaskan Datuk Yap Pian Hon daripada BN di Serdang.

 Di Melaka, calon DAP, Sim Tong Him mengekalkan kerusi Parlimen Kota Melaka, namun kalah di Alor Gajah menerusi Damian Yeo Shen Li, namun kekal di Seremban dan Rasah. Di Sabah, DAP memenangi kerusi Kota Kinabalu dan Sandakan, namun kalah di  Sepanggar dan Putatan. Di Sarawak, pengundi terutama di Bandar Kuching, Stampin, Lanang, Sarikei dan Sibu, memilih calon DAP.

  Peningkatan mendadak DAP memberi kesan perpaduan kaum di Malaysia. Apabila Cina menjadi pembangkang dan Melayu  yang tidak sepenuhnya menyokong BN, mendorong pembentukan kerajaan yang lemah dan isu kaum boleh meledak pada bila-bila masa.

  Sekarang masa terbaik mengkaji kemungkinan perpaduan Melayu demi survival bangsa dan Islam. BN dan UMNO perlu mengkaji punca penderhakaan  Cina dan kesan perpaduan kaum di Malaysia. Menyalahkan tsunami Cina tanpa alasan  tidak menyelesaikan masalah. Penyelesaian perlu dicari kerana PRU-14 hanya empat tahun lagi. -   Berita Harian 15 Mei 2013

Monday, May 13, 2013

Perantau Kelantan sokong PAS?

 
Pemimpin UMNO tempatan menyalahkan perantau Kelantan menjadi punca Barisan Nasional (BN) gagal merampas Negeri Cik Siti Wan Kembang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

  Suasana menjelang 5 Mei lalu hampir sama Pilihan Raya Umum 1999 apabila anak muda yang bekerja di Lembah Klang, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Ipoh, pulang mengundi dan memberi sokongan kuat kepada pakatan pembangkang terutama PAS. Sebelum perantau pulang, ramai ahli UMNO Kelantan yakin menubuh kerajaan baru dengan harapan membawa pembangunan lebih pesat di negeri Serambi Makkah itu.

  Bagaimanapun kepulangan perantau mengubah suasana. Pengalaman di perantauan menyebabkan mereka terdedah pelbagai isu yang sukar ditepis UMNO Kelantan.  Isu demokrasi dan hak asasi dimainkan secara terbuka sekali gus mempengaruhi ahli keluarga dan rakan di Kelantan. Kehadiran pembesar UMNO menjelang pengundian tidak mudah mematah hujah lawan yang menimbulkan isu royalti minyak.

  Ada beberapa bas yang sepatutnya membawa rombongan yang memihak kepada BN, tapi mengibarkan bendera PAS sebaik saja memasuki Kelantan menerusi Gua Musang, Jeli dan Jertih.

  Sokongan ketara daripada perantau berjaya mengekalkan PAS yang mentadbir sejak 1990 dengan majoriti dua pertiga.  Seramai 150,000  pengundi Kelantan berada di luar kawasan dan mereka mempunyai agenda tersendiri apabila kembali ke negeri kelahiran. Ada ketika suara anak perantau lebih hebat berbanding 906,282 pengundi berdaftar yang berada di Kelantan.

 BN hanya menang 12 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) – peningkatan sekali ganda daripada enam kerusi yang dimenangi pada 8 Mac  2008. BN menang di DUN Galas, Air Lanas, Selising, Semerak, Gual Ipoh dan Dabong selain mempertahankan kerusi Nenggiri, Paloh, Kuala Balah, Bukit Bunga, Kok Lanas dan Pengkalan Kubor.

  Bagaimanapun undi popular masih memihak kepada PAS. Walaupun Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak lagi menjadi Menteri Besar Kelantan,  penghormatan rakyat terhadap beliau masih tebal.

  Nik Aziz sudah mencipta mitos yang luar biasa. Walaupun pentadbirannya dipersoalkan pelbagai pihak namun mitosnya tetap tebal. Imej ulama, tok  guru, tokoh yang hidup amat sederhana mengatasi tuduhan salah laku tanah di kawasan bandar baru Tunjung.

  Isu penyelewengan balak dan kerakusan ahli PAS meneroka tanah kawasan Orang Asli di Gua Musang gagal mempengaruhi pengundi apabila Tok Guru menjadi imam solat hajat di Stadium Sultan Muhammad IV yang dihadiri puluhan ribu rakyat.

  UMNO perlu mempelajari pelbagai strategi menawan Kelantan yang amat kebal di bawah pimpinan PAS. Sejak 1990, Pilihan Raya Umum  1995, 1999, 2004, 2008 dan 2013 menggagalkan hasrat UMNO.

 Jangan salahkan musuh politik semata-mata. UMNO Kelantan perlu muhasabah diri. Tidak benar dakwaan pengundi tidak mahu pembangunan. BN dan UMNO perlu utamakan kemudahan asas menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan agar prasarana negeri dibangunkan oleh Pusat. Biarkan PAS dengan cerita ulama tanpa pembangunan tapi UMNO perlu menjadi model terbaik untuk mendapat sokongan jangka panjang.

  Ramai perantau yang mahukan Kelantan maju agar ahli keluarga mereka menikmati kesenangan hidup. Ramai juga yang sengaja membayar zakat di Kota Bharu walaupun mencapai kejayaan di tempat lain. Semuanya membuktikan semangat Kelantan masih tebal walaupun mencapai kejayaan dalam pelbagai sektor di luar bumi Darul Naim.

  Dianggarkan 200,000 keturunan Kelantan berada di Lembah Klang. Hampir RM500,000 wang disalurkan kepada ahli keluarga, badan kebajikan dan pusat zakat di Kelantan setiap bulan.

 Angka yang besar itu membuktikan komitmen perantau terhadap negeri kelahiran masih tinggi. Misterinya, mereka kurang mesra BN dan perlu kaji kenapa memihak kepada pembangkang.

  Persoalan lebih utama apakah Pusat akan mengabaikan pembangunan Kelantan untuk tempoh lebih lama? Apakah Kelantan tak perlukan kemudahan lebuh raya selesa seperti negeri lain?

  PAS pernah membawa dongeng lebuh raya rakyat dari Kuala Krai ke Kota Bharu dengan anggaran kos RM14 juta. Angka yang mustahil kerana janji PAS hanya dongeng kepada mereka yang kurang matang.

  UMNO perlu buktikan mereka lebih baik dan kekalkan bakti untuk rakyat. - Berita Harian, 14 Mei 2013

Friday, May 10, 2013

Tsunami Malaysia

Tiga pilihan raya umum sejak 2004 membayangkan isu kaum semakin ketara dan mungkin memberi kesan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) semakin tercabar disebabkan beberapa isu. Pada masa sama, pakatan pembangkang yang diwakili DAP, PKR dan PAS dilihat mampu menjadi alternatif kepada BN dan boleh menjurus kepada sistem dua parti di Malaysia.

BN sebagai parti pemerintah kurang menggunakan isu perkauman kerana menyedari kesannya terhadap pembinaan sahsiah negara. Malangnya, pakatan pembangkang menimbulkan sentimen perkauman terutama membabitkan isu pendidikan, hak sekolah Cina dan peluang pengajian tinggi yang sukar dibendung oleh UMNO dan sekutu Cina dalam BN seperti MCA dan GERAKAN.

Keadaan ini menjadikan BN seakan bertahan dan pihak lawan menggunakan sentimen perkauman menyerang dan mendapat mandat di kawasan bandar.

Pada 2004, BN memperoleh 198 kerusi Parlimen berbanding pembangkang yang hanya memiliki 21 kerusi. Keadaan berubah ketika era pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi mengetuai BN menghadapi PRU-12 pada 8 Mac 2008. BN hanya menang 140 kerusi Parlimen berbanding pakatan pembangkang yang menang 82 kerusi Parlimen. Pengundi Cina memihak kepada pembangkang semata-mata tidak yakin BN memperjuangkan nasib mereka.

PRU-13  Ahad lalu, aliran sama berulang apabila BN hanya menang 133 kerusi di Parlimen berbanding pakatan pembangkang 89 kerusi.

Paling ketara DAP memperoleh 38 kerusi, meningkat 10 kerusi berbanding 2008. UMNO pula menang 89 kerusi daripada 121 kawasan yang ditandingi. MCA yang selama ini menjadi mitos parti kaum Cina terpaksa berdepan realiti betapa mereka tidak diperlukan lagi dalam kancah siasah di Malaysia.

Sejak PRU 10 Mei 1969 , MCA semakin dipersoalkan apabila hanya menang 14 daripada 140 kerusi Parlimen ketika itu. Pencapaian 10 peratus ini meletakkan MCA dalam keadaan rapuh ketika berlaku peristiwa 13 Mei 1969 apabila kaum Cina menyokong DAP sebagai jaguh sebenar mereka. 
Pada 2008, MCA hanya menang 15 kerusi Parlimen dan menjunam kepada 3.3 peratus pada PRU-13 apabila hanya menang tujuh kerusi. GERAKAN pula hanya menang satu kerusi Parlimen iaitu di Simpang Renggam.

Sindrom Cina memihak kepada pembangkang menimbulkan persoalan mengenai perpaduan nasional dan sejauh mana dapat diharmoni dalam menjayakan misi 2020.

Perhimpunan anjuran pembangkang di Stadium Kelana Jaya malam kelmarin (8 Mei), mungkin tiada pengakhiran. Ribuan hadirin terutama kaum Cina secara lantang mendesak pilihan raya diadakan semula dengan alasan PRU-13 tidak bersih dan berat sebelah.

Dakwaan pengundi hantu yang diduga sejak beberapa bulan lalu terus mencetuskan polemik umum. Isu demokrasi dan ketidakadilan proses pengundian menyebabkan PRU-13 diperdebatkan secara terbuka. Dakwat kekal dipersoalkan dan tohmahan rakyat asing turun mengundi menjadikan PRU-13 sebagai drama yang dipolemikkan.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah mengetuai perhimpunan di Kelana Jaya dan dijangka ia akan berterusan bagi menjayakan misi menawan Putrajaya.

Pemimpin DAP, Lim Kit Siang, mencadangkan pilihan raya semula kerana mendakwa lebih 50 peratus pengundi kini menyokong pembangkang. Kecenderungan penduduk Cina di kawasan bandar semakin ketara. Polarisasi kaum dipertaruh ketika kesan pilihan raya menunjukkan Melayu semakin lemah ekoran perpecahan sesama sendiri.

Walaupun GERAKAN mengambil keputusan kekal dalam kerajaan berbanding MCA yang menolak sebarang jawatan, ia tidak membantu tohmahan kaum Cina terhadap kerajaan.

Mereka lupa peluang ekonomi yang dimiliki sekarang hasil kemerdekaan yang diperjuangkan bangsa Melayu dan memberi manfaat kepada semua pihak.

Ketika ramai tokoh Melayu berjuang menegakkan keadilan dan membasmi kemiskinan luar bandar, orang Cina sekadar memberi fokus kepada sektor ekonomi dan pelaburan. Mereka menjadi ghairah berkuasa selepas 8  Mac 2008 apabila kurang memihak kepada BN.

Hari ini, isu kaum dipergunakan secara terbuka. Mereka mendakwa nasib Cina lebih adil jika DAP dan pembangkang berkuasa, sedangkan mereka lupa menilai sejauh mana sumbangan DAP terhadap pembangunan dan kemajuan ekonomi kaum Cina sendiri.

Berbeza MCA yang menubuhkan pelbagai biro untuk kebajikan dan pelaburan kaum Cina, DAP sekadar memainkan isu hak asasi dan perkauman  untuk membuat tohmahan liar dengan menghasut. Inilah wajah DAP sebenar di sebalik rungutan kaum Cina sekarang. - Berita Harian, 10 Mei 2013 

Wednesday, May 08, 2013

MCA mahu ke mana?

Ke mana MCA selepas ini? Ke mana pula hala tuju masyarakat Cina dalam politik Malaysia? Dua persoalan yang sukar dijawab apabila keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Ahad lalu menggambarkan kecenderungan kaum Cina yang tidak lagi memihak kepada Barisan Nasional (BN). DAP sekutu utama pakatan pembangkang yang mendominasi undi Cina boleh berpesta dengan kemenangan mendadak mereka daripada 28 kerusi Parlimen pada 2008 kepada 38 pada PRU-13.
 
  MCA pula hanya menang tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 37 kerusi Parlimen dan 90 DUN yang ditandingi kali ini.

 Keputusan yang dicatat MCA pada PRU-13 lebih buruk berbanding 2008 kerana menang 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN daripada 40 kawasan Parlimen dan 90 kerusi DUN yang ditandingi.

  Beberapa kenyataan dan tindak-tanduk tokoh MCA ketika ini amat meragukan. Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sejak awal lagi menyatakan parti berkenaan tidak akan menyertai kerajaan Persekutuan dan negeri kerana prestasi buruk dalam PRU-13.

  Beliau mengulangi pendirian MCA untuk tidak menuntut sebarang jawatan dalam kerajaan, seperti dipersetujui pada mesyuarat agung luar biasa tahun lalu.

Di Klang, semua pemimpin MCA Bahagian Klang meletakkan jawatan sebagai ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) Pandamaran dan ahli jawatankuasa pelawat Hospital Klang berkuat kuasa serta-merta.

   Pengerusinya, Datuk Teh Kim Poo,  berkata 15 ahli JKKP dan 12 ahli jawatankuasa pelawat hospital itu melepaskan jawatan  serta  menutup pusat khidmat rakyat di Kampung Baru Pandaraman.

 Ahli MCA Melaka yang memegang jawatan dari peringkat kampung hingga ke peringkat negeri juga letak jawatan  mulai kelmarin. Ini bermakna tiada lagi ahli MCA yang memegang jawatan ketua kampung, ahli jawatankuasa dan kemajuan kampung, pegawai seranta, ahli lembaga pelawat hospital, penyelaras JAPERUN (Pejabat Jawatankuasa Dewan Undangan Negeri).

 Di  Ipoh, Datuk Dr Mah Hang Soon, yang mempertahankan kerusi DUN Chenderiang akur keputusan pucuk pimpinan parti dan menolak sebarang jawatan dalam kerajaan negeri jika ditawarkan. Dr Mah, satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN daripada MCA di Perak.

  Di Kota Tinggi, sebanyak 17 ahli jawatankuasa MCA Bahagian Kota Tinggi dan Tenggara  melepaskan jawatan  dalam agensi kerajaan.

Walaupun BN berkuasa semula di Kedah, Pengerusi MCA Kedah, Datuk Chong Itt Chew menegaskan parti berkenaan enggan menyertai pentadbiran kerajaan negeri.  Pada PRU-13, MCA hanya menang dua daripada enam kerusi yang ditandingi di Kedah.

  Isu MCA dalam kerajaan semakin banyak diperkatakan. Apakah alasan kemerosotan prestasi menjadi punca MCA enggan berada dalam kerajaan atau ada agenda tersembunyi dalam kalangan masyarakat Cina?

  Kita sedia maklum kaum Cina yang merangkumi 27 peratus penduduk Malaysia menguasai pelbagai sektor ekonomi negara. Dalam senarai 10 jutawan Malaysia yang disiarkan web Forbes pada 2012, tokoh Cina mendahului senarai dengan angka kekayaan yang luar biasa hasil nikmat pentadbiran BN  lebih lima dekad lalu.

Kejayaan Robert Kuok mengekalkan gelaran sebagai orang terkaya di Malaysia dengan nilai bersih RM36  bilion mustahil dicapai jika tidak kerana suasana ekonomi yang cemerlang di negara ini. Begitu juga Lee Kim Hua, Lee Shin Cheng, Teh Hong Piow,  Quek Leng Chan, Yeoh Tiong Lay,  Tiong Hiew King dan Vincent Tan  yang mendapat manfaat hasil perpaduan kaum di Malaysia.

  Apa pun alasan yang diberikan pucuk pimpinan MCA untuk tidak menyertai kerajaan, masyarakat berhak meragui kejujuran mereka. MCA sejak tradisi terkenal sebagai sahabat setia BN atau sebelumnya Perikatan yang diikut berjuang bersama Tunku Abdul Rahman Putra menuntut kemerdekaan negara.

  Sejarah MCA dalam kerajaan sentiasa ada pasang surut. Parti berkenaan meniti detik mencabar ketika krisis perkauman menjelang PRU-10 pada Mei 1969 yang akhirnya berlalu tragedi 13 Mei. Ketika itu ramai bangsa Cina yang meragui nilai kecinaan yang dimiliki MCA.

  Pada dekad 1970-an pula, MCA menghadapi cabaran hebat apabila isu Universiti Merdeka dikaitkan sebagai perjuangan militan Cina mempertahankan hak pendidikan mereka. MCA dalam dilema di antara memperjuangkan isu nasional atau mengikut rentak cauvinis DAP. Kini selepas ‘tsunami Cina’ melanda, apakah MCA akan berpandangan sama? - Berita Harian, 9 Mei 2013

PAS mampu tadbir Selangor

Pakatan pembangkang wajar  memberi peluang  kepada PAS  mentadbir Selangor kerana prestasi cemerlang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang mengatasi pencapaian PKR negeri pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
 Daripada 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi,  PAS berjaya memperoleh 15 kerusi, berbanding PKR yang menang 14 daripada 21 kerusi kerusi ditandingi.
 
  DAP juga mempunyai 15 kerusi tapi tidak layak mengetuai kerajaan negeri kerana Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor hanya memperuntukkan jawatan Menteri Besar perlu disandang pemimpin Melayu dan Islam.

  Pada Pilihan Raya Umum Mac 2008, PAS hanya menang lapan kerusi tetapi kini bertambah tujuh kerusi lagi mengatasi pencapaian PKR yang tiada sokongan akar umbi.

 Kini alasan kukuh untuk PAS menguasai kerajaan Selangor berdasarkan  beberapa faktor. PAS adalah parti paling dominan di Selangor selain UMNO dengan mempunyai keahlian ramai di kawasan luar bandar. Keahlian PAS hampir menyamai UMNO di kawasan urban hasil peningkatan ekonomi, penempatan dan peluang pekerjaan.

  PKR seperti juga Semangat 46 hanya parti yang mempunyai ramai pemimpin tapi tiada sokongan peringkat bawahan. Ahli PKR tidak ramai tapi menggunakan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipecat daripada UMNO pada 2 September 1998 untuk menghidupkan talian hayat mereka.

  Berdasarkan situasi semasa, PAS wajar diberi peluang kerana ramai ahlinya yang mahukan pentadbiran berbeza dengan BN dan PKR.

  Jika pemimpin terdahulu memperjuangkan isu nasionalis dan gerakan siasah sekular, sekarang masa terbaik untuk PAS membuktikan perjuangan Islam dan menonjolkan model negeri berkebajikan di Selangor.

 Kemasukan  bekas Menteri Besar Selangor,  Tan Sri Muhammad  Muhammad Taib  boleh dimanfaatkan PAS. Pengalaman bekas Naib Presiden UMNO itu boleh membantu mengubah imej parti agar kekal relevan dalam perjuangan siasah semasa. 

  Mengetuai pentadbiran negeri paling maju di Malaysia adalah peluang PAS membuktikan komitmen politik dan sebagai kerangka siasah  jangka panjang peringkat nasional.

  Imej PAS yang diwakili kalangan ulama, profesional dan penggerak tradisi pondok  boleh diterjemahkan dalam pentadbiran Selangor yang mengharapkan perubahan berbanding kerajaan terdahulu.

  PKR kini menyedari kelemahan mereka dalam PRU-13 dan bimbang pengaruh PAS  yang semakin kuat. Sejak awal lagi PKR cuba mengaburi suasana dengan menjemput orang ramai hadir ke majlis kesyukuran yang akan diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam esok.

  Abdul Khalid dalam kenyataan media menyebut:  “Sebagai tanda terima kasih kita menjemput rakyat ke Dataran Kemerdekaan  untuk satu majlis kesyukuran sederhana dan ceramah.”

  Helah  Pengerusi Pakatan Rakyat Selangor itu semata-mata untuk  menonjolkan kekuatan PKR dalam pakatan pembangkang walaupun menyedari PAS dan DAP lebih dominan di DUN  Selangor.
Ada pengalaman tadbir Kelantan

 Sekarang adalah masa terbaik untuk PKR membuktikan semangat setiakawan bagi  membolehkan

PAS mentadbir Selangor dengan baik. PAS mempunyai pengalaman mentadbir  Kelantan sejak 1990 walaupun mereka gagal mentadbir Terengganu selepas diberi peluang  pada 1999 kerana imej pemimpin mereka yang dikatakan sombong, tidak mesra rakyat dan sukat ditemui pegawai kanan kerajaan. Rakyat menghukum PAS Terengganu pimpinan Datuk Seri Hadi Awang kerana gagal memajukan Negeri Darul Iman.

  Sehingga kini, PKR masih bernafsu mentadbir Selangor. Nama  Timbalan Presiden PKR,  Mohamed Azmin Ali dan  Abdul Khalid  disebut walaupun kurang mendapat sambutan.

  Sekarang masa terbaik pakatan pembangkang meneliti kemampuan ADUN  Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Melayu, Belia dan Sukan, Sallehen Mukhyi (Sabak),  Mohd Khairuddin Othman  (Paya Jaras). Mereka mempunyai pengaruh besar dalam jentera PAS negeri serta dihormati pada peringkat Pusat.

    Sallehen  adalah  pendakwah bebas dan juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor manakala Mohd Khairuddin  adalah  Setiausaha Perhubungan PAS  Selangor.  Dr Ahmad Yunus, 48, ialah Yang Dipertua PAS Kuala Langat.

    Sehingga kini misteri pelantikan Menteri Besar Selangor masih menjadi persoalan umum. Sehingga kini rakyat Selangor masih tertanya-tanya bila majlis angkat sumpah bakal berlangsung sedangkan Kedah, Kelantan, Melaka dan Perlis  sudah memiliki menteri besar dan ahli pentadbiran negeri yang baru.

 Kelewatan memilih pentadbir baru boleh menjejaskan pembangunan Selangor yang menjadi nadi penting ekonomi Malaysia. Lebih separuh daripada wilayah Selangor berada di Lembah Klang yang tentunya menjadi penggerak ekonomi dan sektor perkhidmatan yang penting. - Berita Harian, 8 Mei 2013

Tuesday, May 07, 2013

Menanti kerjasama UMNO, PAS di Kelantan

Beberapa panggilan telefon dari Kelantan amat sukar dijawab. Ada yang  mengajak pulang ke Kota Bharu untuk meraikan pesta kemenangan.

Ada yang marah apabila beberapa tulisan penulis sebelum ini amat kritikal terhadap pembangunan Kelantan yang dicabar dengan pergolakan siasah.

   Sejak ditadbir PAS 23 tahun lalu, Kelantan sentiasa diperhatikan. Kerenah politik dan politikus menjadikan siasah di Negeri Cik Siti Wan Kembang kekal unik.    PAS merampas semula Kelantan menerusi pakatan dalam Angkatan Perpaduan Ummah pada 1990, selepas tewas kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya khas 1978.    Walaupun pelbagai cubaan menawan Kelantan pada pilihan raya umum 1995, 1999,  2004 dan 2008, BN gagal membentuk pentadbiran kerajaan negeri.
  
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kelmarin,  BN menang 12 daripada 45 kerusi  Dewan Undangan Negeri (DUN) – peningkatan sekali ganda daripada enam kerusi yang dimenangi pada  8 Mac  2008.

   BN menang di DUN Galas, Air Lanas, Selising, Semerak, Gual Ipoh dan Dabong selain mempertahankan kerusi Nenggiri, Paloh, Kuala Balah, Bukit Bunga, Kok Lanas dan Pengkalan Kubor.

   Ia membuktikan ada peningkatan undi BN. Bagaimanapun pencapaian tidak sama pada  PRU 2004 apabila BN hampir menewaskan PAS di Kelantan.

   BN perlu mula mengkaji strategi menawan  Kelantan. Seramai  906,282 pengundi   sentiasa mengkaji perkembangan politik BN dan PAS. Personaliti calon menjadi tumpuan. Imej kota, korporat dan liberal tidak sesuai dengan rakyat Kelantan yang 90 peratus penduduknya berbangsa Melayu dan Islam.

   Di kawasan yang majoriti penduduk teguh beragama, imej Islam perlu menjadi keutamaan. Strategi ini berkesan kepada PAS yang kononnya memperjuangkan Islam di Malaysia dan Kelantan dianggap serambi Makkah.  Ramai pemimpin PAS membawa imej ulama dan mendekati masyarakat, berbanding beberapa tokoh UMNO yang kurang menepati ciri berkenaan.

   Ada  pengundi di kawasan Parlimen Pasir Mas hairan bagaimana individu seperti Datuk Ibrahim Ali boleh dibenarkan bertanding di kawasan itu dan ahli UMNO yang sepatutnya menyerahkan kertas pencalonan  tidak berbuat demikian. Pertandingan menentang anak Menteri Besar Kelantan, Nik Mohd Abduh Nik Aziz tidak mudah diperhitungkan. Imej Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai ulama dan pemimpin besar PAS sepatutnya dicabar oleh ulama UMNO, bukan Ibrahim.

  Kekalahan di Pasir Mas sudah diduga sejak awal walaupun ada  publisiti bagi menafikan kemenangan PAS di kawasan itu.

  Ibrahim hanya meraih  25,384 berbanding Nik  Mohamad Abduh mendapat  33,431 undi. Majoriti PAS menang  8,047.   Keadaan berbeza pada 2008 ketika Ibrahim menggunakan lambang PAS menang dengan majoriti  8,991.

  Ini membuktikan kemenangan Ibrahim pada 2008 semata-mata sokongan ahli PAS.
  Keadaan sebaliknya berlaku kepada Tan Sri Annuar Musa yang menang Ketereh dengan majoriti 974 undi, selepas beberapa kali kalah sebelum ini. Beliau memperoleh 26,912 undi berbanding Ab Aziz Ab Kadir (PKR) 25,938 undi. Kemenangan Annuar boleh dikaitkan dengan kecenderungan pengundi muda terhadap kepemimpinannya. Kejayaan pasukan bola sepak Kelantan yang dikenali  The Red  Warriors menarik perhatian mereka..

  Annuar sentiasa berada di stadium bersama anak muda ketika pasukan Kelantan berentap. Faktor  ini membolehkan beliau menewaskan lawan yang menumpaskannya pada PRU-12  di kawasan sama.

  Rakyat Kelantan jelas mahumeneruskan kepemimpinan PAS, bukan menolak UMNO sepenuhnya. BN perlu mengkaji strategi bagi menawan Kelantan. Janji pembangunan tidak perlu diabaikan tetapi pelaksanaannya tidak perlu menunggu sehingga berkuasa.

   Rakyat tidak mahu janji pilihan raya dikaitkan dengan kemenangan. Masih ramai rakyat Kelantan yang yakin dengan kepemimpinan BN.

   Jika agenda perpaduan ummah dan muafakat Islam diutamakan tidak mustahil UMNO dan PAS boleh bersatu semula seperti pada 1973. Itulah detik sebenar kemenangan Islam dan Melayu yang sepatutnya diraikan. - Berita Harian, 7 Mei 2013

Monday, May 06, 2013

Tiada rusuhan di Putrajaya

    Hasutan supaya rakyat mengadakan demonstrasi ala ‘Arab Spring’ di Putrajaya gagal apabila tiada kelibat ribuan penyokong mereka berarak dan berhimpun di Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat itu.
 
Suasana tenang di sekitar Putrajaya, terutama laluan ke Bangunan Perdana Putra yang menjadi destinasi utama penyokong pembangkang, kekal sehingga lewat malam tadi.

  Kegagalan mencetuskan demonstrasi itu membuktikan pakatan pembangkang bukan saja gagal berkuasa, malah tidak lagi mendapat kepercayaan dalam kalangan ahli mereka sendiri.

  Penyokong mereka mula menyedari majoriti rakyat menolak politik keganasan dan yakin dengan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjayakan pelan transformasi.

   Mereka tidak mahu kacau-bilau apatah lagi berpolitik secara berlebihan hingga menjejaskan keamanan dan kedaulatan demokrasi itu sendiri.  Justeru, tiada alasan untuk menyokong perarakan ke Putrajaya seperti dicanang pihak tertentu.

   Maklumat mengenai cubaan mengadakan perarakan serta perhimpunan selepas pengundian semalam disahkan sendiri Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

   Mengikut perancangan, perhimpunan BERSIH 4.0 itu akan diadakan selepas tamat pembuangan undi dengan melakukan kekecohan di semua tempat membuang undi dengan harapan menaikkan kemarahan rakyat. Perhimpunan yang dipanggil 505 akan bermula selepas 6.30 petang untuk menimbulkan kemarahan umum.

  Ia kesinambungan kepada tindakan pada malam sebelum pengundian apabila ribuan penyokong berkumpul di tempat terbuka tanpa mempedulikan hak awam.  Beberapa  perarakan dan aktiviti berkempen di hadapan Dataran Merdeka dilakukan sehingga  jam 2.30 pagi Ahad walaupun melangkaui had tempoh berkempen.

  Mereka bersikap tidak sopan dan mencabar orang ramai memperjuang demokrasi mengikut takrifan sendiri.

   Ketua Polis Kuala Lumpur,  Datuk Mohmad Salleh, dalam kenyataan berhubung perkara itu, menyatakan seramai 1,000 hingga 1,500 penyokong bermotosikal berkumpul di Dataran Merdeka dan menuju ke Kampung Baru.

   "Empat laporan polis dibuat ekoran kejadian berkenaan dan pihak polis juga menerima aduan daripada pengguna jalan raya mengenai  kesesakan lalu lintas," katanya.

   Pada hari pengundian pula, isu dakwat kekal yang didakwa dapat dipadamkan bergema di seluruh negara. Pemimpin pembangkang termasuk Karpal Singh dan Datuk Haron Din membuat aduan polis mengenai dakwat dicalit pada jari telunjuk kiri ‘hilang’ dalam beberapa minit.

   Dakwaan pengundi hantu juga bertali arus di beberapa kawasan seolah-olah proses pengundian tercemar dan keputusan sudah dapat dibayangkan.

   Kita bimbang sentimen dan tindakan menyebar dakwaan tanpa bukti  boleh menggugat keamanan.
   Sejarah pilihan raya Malaysia tidak pernah dikaitkan dengan keganasan. Kecuali kejadian 13 Mei 1969 yang sengaja dirancangkan oleh anasir subversif, proses pengundian  sentiasa berlangsung dengan aman dan keputusan  diterima dengan terbuka walaupun wujud sedikit polemik.

   Apa yang berlaku tahun ini membayangkan cabaran terhadap proses demokrasi itu sendiri. Ia berlaku apabila ada pihak yang sengaja membawa masalah peribadi sebagai isu bersama, lalu memperalatkan demokrasi untuk tindakan demonstrasi secara besar-besaran.

   Kita yakin pihak berkuasa memantau kejadian ini secara teliti dan bersedia menghadapi kemungkinannya.

   Pengalaman rusuhan di Algeria, Tunisia, Libya, Mesir dan kini Syria membawa kemungkinan ada dalang untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

  Sebelum ini mereka menganjurkan tiga perhimpunan BERSIH yang kononnya memperjuangkan demokrasi di Malaysia.

  Pada 12 Januari lalu mereka menganjurkan perhimpunan di Stadium Merdeka untuk menuntut proses pilihan raya adil dan semua pihak wajar mendapat hak demokrasi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

   Beberapa portal dengan angkuh membuat dakwaan jika pilihan raya tidak memberi apa-apa, rakyat diseru turun ke jalan raya.

   Percubaan berarak dan berkumpul di Putrajaya suatu tindakan yang tidak wajar. Suasana kecoh di pusat pentadbiran negara tentunya akan menjejaskan imej Malaysia di mata dunia. - Berita Harian, 6 Mei 2013

Hormati keputusan rakyat Kelantan

Minggu lalu,  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Kelantan lagi dan mengajak rakyat  menolak PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13  (PRU-13) ini. Alasan Najib, PAS gagal tadbir Kelantan selepas 23 tahun diberi peluang memerintah. PAS hanya retorik dengan cerita agama dan majlis ceramah, tetapi gagal mengubah prasarana pembangunan.

  Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga  ke Kota Bharu dan memberi markah ‘E’ kepada pentadbiran Datuk Nik Aziz Nik Mat kerana tidak mampu mentadbir dengan baik. Kelantan kekal di antara negeri termiskin di Malaysia dan gejala sosial meningkat 20 peratus dalam tempoh lima tahun.

Sejak 1990, hampir setengah juta rakyat Kelantan terpaksa berhijrah untuk merebut peluang ekonomi di luar Kelantan. Di Lembah Klang saja, seramai 200,000 rakyat Kelantan yang aktif dalam pelbagai sektor ekonomi. Kejayaan mereka di perantauan menjadi bukti kesungguhan dan kerajinan untuk berjaya di tempat lain kerana tiada peluang untuk maju di negeri sendiri.

  Ramai juga anak Kelantan yang muncul sebagai penggerak dalam pelbagai sektor. Daripada penjual nasi dagang dan nasi kerabu di pinggir jalan serta pasar malam, sehinggalah pemilik restoran tomyam, mengetuai sektor korporat, syarikat berkaitan kerajaan, pegawai kanan kerajaan dan swasta, serta ilmuwan dan cendekiawan di pusat pengajian tinggi. Tidak terkecuali juga anak Kelantan yang gagal di perantauan dan sekadar penghuni lorong belakang  kerana kegagalan memanfaatkan peluang di ibu kota.

  Justeru, tidak hairan apabila Najib secara sinis menyeru rakyat  berubah segera dengan memilih Barisan Nasional (BN) mentadbir Kelantan. 

   "Bo lah weh, cukuplah 23 tahun, tipu rakyat, bohong. Ini nak buat lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai, buat tabung, ingat boleh buat lebuh raya dengan tabung (pungut derma daripada rakyat)? Berapa banyak tabung masuk, (sedangkan) kos RM2 bilion... (tentunya) tak boleh buat," katanya ketika berucap pada Program Himpunan Rakyat 1Malaysia di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Petai, Pasir Puteh.

   Najib dalam rangka lawatan sehari mempersoal PAS yang sering melaungkan slogan negara Islam dan Kelantan sebagai serambi Makkah, tetapi tiada masjid yang dibina.

   Rakyat perlu melihat jaminan dan aku janji BN jika diberi peluang tawan Kelantan. BN akan menunaikan janji membina lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai, masjid negeri yang akan menjadi ikon negeri, pembinaan stadium, kampus bandar Universiti Teknologi MARA  (UiTM), membina 3,000 unit rumah mampu milik, perkhidmatan bas rapid Kota Bharu dan menyelesaikan masalah bekalan air.

   "Ambo beri jaminan menang PRU-13, lebuh raya, stadium, masjid dan lain-lain lagi kita akan buat, ambo dah janji buat rumah mampu milik di Kota Bharu sudah pun dimulakan, tempat lain pun kita akan buat, di Pasir Puteh ini pun kita buat. Tujuh perkara itu hanya permulaan, banyak lagi kita akan buat," katanya.

   Pada PRU-12, BN hanya menang tujuh daripada 45 DUN dan dua daripada 14 kerusi Parlimen di Kelantan. Angin perubahan semakin ketara apabila rakyat menyedari hanya BN yang mampu mengubah imej Negeri Cik Siti Wan Kembang.

  Seramai  906,282 pengundi akan menentukan arah tuju masa depan mereka esok. Kepulangan perantau mungkin membawa kesan berbeza. Seramai 150,000 pengundi luar Kelantan dijangka pulang mulai hari ini dan bakal menentukan tampuk pemerintahan untuk tempoh lima tahun akan datang. Mereka mewakili 15 peratus daripada jumlah pengundi keseluruhan.

  Persaingan beberapa kerusi menjadi perhatian ramai. Pengaruh BN meningkat secara mendadak ekoran kunjungan Najib beberapa kali ke Kelantan dalam tempoh tiga bulan.

  Kerancakan kempen menjadikan pilihan raya tahun ini amat unik sekali. Ketika sebelah pihak berusaha mengekalkan status quo 23 tahun di negeri yang majoriti 95 peratus penduduk Islam, BN pula yakin hanya pentadbiran berkesan mampu membawa perubahan untuk rakyat Kelantan.

Mentadbir dan melaksanakan pelan pembangunan memerlukan kerajaan yang baik, yang bijak merancang dan melaksanakan pelan transformasi.

Keputusan PRU-13 di Kelantan

BN menangi 12 daripada 45 kerusi yang dipertandingkan, peningkatan sekali ganda daripada enam kerusi yang dimenangi pada 2008.
   
Enam kerusi yang ditambah adalah Galas, Air Lanas, Selising, Semerak, Gual Ipoh dan Dabong selain mempertahankan kerusi Nenggiri, Paloh, Kuala Balah, Bukit Bunga, Kok Lanas dan Pengkalan Kubor.
Nik Aziz berundur daripada politik kerana masalah kesihatan. Husam Musa tidak dilantik exco apatah lagi jawatan lebih tinggi di Kelantan.

Hormati keputusan rakyat Kelantan. Jangan dera masa depan mereka. Tahniah  perjuangan anda mahukan royalti!  

Thursday, May 02, 2013

Demokrasi pemenang sebenar di Malaysia

Kempen pilihan raya tahun ini amat unik dan berbeza dengan masa lalu. Tiga kejadian letupan bom  berlaku  di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN).

Tiada siapa menduga ada yang  tergamak melakukan keganasan ketika semua pihak berjanji untuk bertindak secara matang dan aman.

Apa yang berlaku di  Nibong Tebal, Sekinchan dan di Jalan Desa Rishah, Buntong, Ipoh tidak  boleh dianggap kes terpencil.

  Tentu ada perancang dan kenapa keganasan perlu dilakukan ketika ada yang berkempen untuk membentuk kerajaan baru yang lebih adil dan telus. Kita bersyukur rakyat bersatu hati mengekalkan keamanan dan kestabilan.

  Majoriti rakyat  Malaysia masih beruntung kerana keganasan bukan budaya kita.  Kita boleh bebas berpendapat, memberi pandangan,  bertekak dan menegakkan hujah, tapi akhirnya kemenangan memihak kepada calon yang jadi pilihan ramai.  Pihak kalah menerima keputusan dengan hati terbuka.

  Di sinilah letaknya nilai demokrasi ala Malaysia. Ia sentiasa unik, dicabar dan diperbaharui tapi pemenang sebenarnya adalah demokrasi. Rakyat menghargai pemilihan bersama untuk membawa Malaysia ke arah kematangan menjelang 2020.

  Hanya tiga hari lagi pengundian bakal menentukan hala tuju Malaysia untuk dekad mendatang. Kita hanya mempunyai tujuh tahun lagi untuk mencapai 2020. Bagi  negara sedang membangun, status negara maju membawa imej perubahan  fizikal dan mental.

  Tidak perlu membina lebuh raya, prasarana dan perkhidmatan sivil yang lebih baik jika mentaliti kita masih pada peringkat silam. Keseimbangan dalam semua sektor amat perlu kerana kehidupan yang sempurna adalah menepati ciri  proses kehidupan normal.

  Persaingan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bukan sekadar lambang BN,  pembangkang dan calon Bebas. Ia menterjemahkan harapan, hasrat dan pemikiran rakyat untuk masa depan Malaysia.   Persaingan  antara transformasi dan reformasi menjadikan PRU-13 semakin menarik.

  Seramai 13,268,002 pengundi akan menentukan masa depan Malaysia pada Ahad ini. Di sinilah letaknya sumbangan pengundi sebagai penyemak dasar negara atau menjadi penentu keputusan yang berbeza. Di sini juga bakal menafsirkan pengertian demokrasi yang lebih lengkap, selepas sekian lama polemik kebebasan dan hak asasi tidak pernah menemui penyelesaian.

  Tempoh berkempen 15 hari memberi peluang parti yang bertanding mengemukakan manifesto, aku janji perjuangan dan dasar yang bakal diperkenalkan apabila kekal berkuasa.   Rakyat meneliti  kewibawaan  calon kerana di bahu mereka terletaknya hala tuju negara. Rakyat menyemak latar belakang seseorang pemimpin kerana   kesilapan memilih membawa padah kepada zuriat akan datang.

  Kelangsungan akan datang sentiasa dikaitkan komposisi kaum yang terlalu unik di Malaysia. Sebenarnya tidak pernah wujud istilah negara bangsa di Malaysia seperti yang berlaku di Indonesia, Vietnam, Thailand, Filipina, India dan China. Mereka mempunyai bangsa Indonesia, Cina, India dan entah apa lagi. Kita di sini tiada bangsa Malaysia. Kepelbagaian bangsa, etnik, kaum dan kepercayaan menjadikan Malaysia dengan keunikan tersendiri.

  Agenda perkauman sering mendominasi gerakan politik kepartian. Perjuangan Melayu dan kontrak sosial tidak mudah disebut,  tanpa menjadi polemik pelbagai pihak. Agenda sekolah Cina, kebudayaan Tiongkok dan dasar pendidikan sering diterjemahkan sebagai rasis. Agenda pembangunan luar bandar BN yang bertujuan memakmurkan penghuni Melayu juga  sering ditafsirkan berat sebelah.

  Kempen pilihan raya kita masih dalam kepompong Dunia Ketiga.  Masih ada yang bercakap soal pembangunan,  perumahan dan kehidupan sivil, sedangkan di negara maju isu paling dekat dengan  rakyat diutamakan. Kempen pilihan raya Presiden Amerika Syarikat menjadi tarikan umum kerana dasar percukaian dan kadar pengangguran yang mendadak.

 Kempen pilihan raya di Singapura mementingkan kualiti alam dan insurans hayat ketika kos kehidupan semakin mencengkam. Ahli politik Jepun mengutarakan isu keselamatan serantau dan pertahanan daripada ancaman Korea Utara.

  Malangnya ada orang  kita yang masih bercakap nak turap jalan, bina pasar malam dan lebuh raya dari bandar A ke bandar B. Di sinilah letaknya kualiti politik kita, mungkin juga betapa uniknya kita untuk capai negara maju! - Berita Harian, 2 Mei 2013

Tuesday, April 30, 2013

Hak rakyat

Kita sepatutnya bersyukur kerana hak dan suara rakyat kekal terpelihara. Ketika banyak negara dirundung krisis politik dan kebebasan, rakyat Malaysia masih berpeluang menunaikan hak pada 5 Mei ini.

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bukan sekadar pengundian menentukan wakil rakyat di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), bahkan menghargai kuasa rakyat sebagai ‘raja’ dalam proses demokrasi. Mereka berhak menentukan siapa paling layak mentadbir dan siapa pula yang wajar menjadi sejarah dalam tradisi demokrasi.

Seramai 579 calon akan bertanding merebut 222 kerusi Parlimen, termasuk 79 calon Bebas dan 1,320 berebut 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di 12 negeri, kecuali Sarawak.

Kita yakin persaingan sengit tahun ini, selepas tsunami politik 8 Mac 2008 lalu, akan menguji makna kebebasan dan demokrasi di Malaysia.

Ada yang menyatakan PRU-13 adalah medan uji kepada tokoh veteran dan sejauh mana mereka masih relevan bersiasah.

PRU-13 tidak terkecuali memberi bayangan mengenai tarikh luput diri dan seseorang itu perlu sedar masa untuk berundur jika perjuangan tidak selaras keperluan semasa.
Hari pengundian kali ini dianggap milik generasi muda yang lahir pasca merdeka. Mereka 60 peratus penentu hala tuju negara.

Penamaan calon 20 April lalu ‘unik’  kerana kali pertama sejak PRU 1959, tidak ada kerusi dimenangi tanpa pertandingan.

Pada 8 Mac 2008, Barisan Nasional (BN) menang lapan kerusi Parlimen dan tiga DUN tanpa pertandingan, manakala PAS menang sebuah kerusi DUN. Keadaan berubah sekarang kerana semua pihak mahu bertanding dan mencabar pihak lawan.

Bagi kerusi Parlimen PRU-13, BN meletakkan 221 calon, PKR (99), PAS (73), DAP (51), BEBAS (79), STAR (28), Berjasa (9),  SAPP (8), Sarawak Workers Party (SWP) (6), KITA (2), Parti Cinta Malaysia (PCM) (2) dan BERSAMA (1).

Bagi  kerusi  DUN pula, BN meletakkan 505 calon, PAS (236), PKR (172), DAP (102), BEBAS (190), STAR (49), SAPP (41), BERJASA (5), KITA (11), BERSAMA (4), PCM (3), dan  PSM (2).
Kerancakan kempen sebahagian daripada perayaan proses demokrasi itu sendiri. Siapa pun pemenangnya, demokrasi tetap unggul walaupun ada pelbagai tafsiran.

Ada pihak yang mendakwa demokrasi terpimpin wujud apabila suara ramai dikawal segelintir golongan.

Tidak terkecuali memberi bayangan anarkis politik memperalatkan demokrasi untuk tafsiran yang berbeza.

Apapun tanggapan, Malaysia hampir 13 kali melangsungkan pilihan raya dengan pelbagai sejarah menarik. PRU-10 pada Mei 1969 dianggap paling hangat apabila isu kaum diperalatkan pihak tertentu untuk mencapai cita-cita berkuasa. Kesannya, Tragedi 13 Mei yang sepatutnya tidak berulang lagi.

PRU 1973 mencatat sejarah apabila PAS dan UMNO yang sebelumnya lantang bersengketa akhirnya bersetuju membentuk kerajaan campuran di Kelantan, sekali gus meredakan sengketa Melayu di luar bandar.

Idea kerajaan campuran ini diperluaskan kepada konsep kerajaan BN menggantikan Perikatan yang ditubuhkan menjelang kemerdekaan 1957.

Pilihan Raya Umum 1990 pula menjadi ujian besar kepada Melayu ekoran pertelagahan merebut kepemimpinan UMNO pada 1987. 

Pertandingan jawatan Presiden UMNO antara Tun Dr  Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah bukan sekadar penentu menang-kalah, bahkan mencatatkan sejarah hitam yang lain. UMNO dibawa ke mahkamah dan diisytiharkan pertubuhan tidak sah pada 1988. Penubuhan UMNO (baru) dan Semangat 46 menjarakkan saf Melayu.

Tengku Razaleigh yang dilarang menyertai semula UMNO, mengambil pendirian bergabung dengan PAS menerusi Angkatan Perpaduan Ummah. Hasilnya, Kelantan ditawan PAS sejak 1990 hingga kini.

Kita yakin sengketa politik Melayu tidak reda melalui PRU. Ada yang menggunakan proses demokrasi untuk mengadu kekuatan. Isu liwat dan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan UMNO pada 1998, mempengaruhi PRU 1999.

Kini, rakyat berdepan PRU-13 yang bukan saja dianggap era perang siber, bahkan padang sama rata untuk memperagakan agenda parti.

Lebih mencabar golongan atas pagar dan generasi muda yang dianggap majoriti senyap bakal menentukan suara mereka 5 Mei ini.

Siapa pun pemenang, demokrasi kekal subur di Malaysia kerana 13,268,002 pengundi bakal menentukan pilihan mereka. - Berita Harian, 30 April 2013

Monday, April 29, 2013

Legasi Anwar berakhir selepas PRU-13

 Pakatan pembangkang yang ghairah  menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kini mengendurkan angan-angan mereka.

Sebelum Parlimen dibubarkan 3 April lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ghairah mencanang pembentukan kerajaan baru yang lebih demokratik, menghargai hak asasi dan bebas salah guna kuasa.

Beliau juga leka menyanyi Sabah akan hilang ekoran pencerobohan pengganas Sulu 12 Februari lalu.
Sebaik saja Parlimen bubar, Barisan Nasional (BN) yang lebih mantap. Jentera bergerak dengan lancar. Pemilihan calon, walaupun berlaku sedikit bantahan, tidak sama dengan apa yang dialami oleh DAP, PAS dan PKR.

Ada bekas wakil rakyat pembangkang yang bertindak keluar parti dan bertanding calon Bebas. Tidak terkecuali juga mengambil keputusan berkecuali, menutup bilik operasi dan secara terbuka menyatakan sokongan kepada BN.

PRU-13 tentunya menjadi medan uji kepada kekuatan pengaruh Anwar dan pakatan pembangkang. Keghairahan dan keseronokan mereka menawan lima negeri pada PRU-12  yang berlangsung 8 Mac 2008 menjadi penanda aras sejauh mana mereka kekal mendapat sambutan.

Laporan media yang mengesahkan tindakan keluar parti penyokong mereka pasti meresahkan pakatan pembangkang.

Anwar tentunya tidak senang duduk kerana mimpi jawatan Perdana Menteri yang dicanangkan bertahun-tahun belum tentu menjadi kenyataan.

Beliau bukan saja menghadapi ujian kepercayaan dalam kalangan ahli PKR sendiri, bahkan ada kalangan tokoh PAS dan DAP  yang meragui kewibawaannya.

Sejak menjadi ahli UMNO pada 1982, reputasi Anwar sebagai pemimpin pelapis begitu diperhatikan.
Ada yang meramalkan beliau setanding Tun Dr Mahathir Mohamad yang dianggap sebagai  arkitek pembangunan Malaysia moden.

Tindakan Anwar menyertai UMNO diperhatikan secara sinis oleh PAS dan Angkatan Belia Islam (ABIM). Anwar pernah dikaitkan sebagai rakan setia PAS ketika demonstrasi pelajar pada 1974 dan penahanan di bawah  Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dianggap mengangkat harga dirinya sebagai pejuang tulen.

Ada kalangan yang taksub meletakkan Anwar setaraf Nelson Mandela -- ikon demokrasi dan hak asasi Afrika  Selatan yang merengkuk dalam tahanan selama 29 tahun.

Bagaimanapun reputasi Anwar terhakis selepas beliau menyertai UMNO. Kedudukan yang tinggi dalam parti dan kerajaan memudahkan pemerhati melihat sosok peribadi Anwar yang berbeza ketika menggerakkan ABIM.

Ada rakan-rakannya dalam ABIM   yang meragui Anwar sebagai pejuang tulen kerana beliau banyak menghadapi krisis peribadi.

Sebelum pemecatan jawatan daripada UMNO dan kerajaan pada 2 September 1998, isu Anwar hangat diperkatakan. Dalam UMNO, beliau dianggap tokoh yang tidak sabar mendaki puncak. Di luar parti, hubungan akrab   beliau dengan Barat menjadikan Anwar dipersoalkan  imej Islamiknya. 

Polemik dan pertarungan kuasa di antara nasionalis dan Islamik menjadikan Anwar dilihat serba salah. Beliau sering terperangkap dalam imej pelbagai apabila bercakap mengenai Islam, pada masa lain  menggunakan nada berbeza mengenai agenda sejagat ketika berada di Barat.

Dalam politik tempatan pula, Anwar meletakkan dirinya sebagai rakan PAS yang setia dengan perjuangan Islam, pada masa sama menggunakan hubungan mesra dengan DAP dan Lim Kit Siang  untuk memaksa PAS menukar perjuangan Islam kepada negara berkebajikan.

Dilema Anwar akan terungkai dalam sejarah kerana mustahil perjuangan Islam boleh diselaraskan dengan gerakan perkauman yang menjadi landasan   DAP.

Buat seketika, Anwar berjaya mendamaikan PAS dan DAP, tapi tidak untuk jangka panjang. PAS dan DAP akan bersengketa kerana mereka mempunyai matlamat perjuangan yang berbeza.

Sekarang pun perjuangan berbeza dibuktikan dengan  mereka  gagal mendaftar  pakatan pembangkang sebagai gerakan kepartian sah seperti dilakukan BN  sejak 1974.
Mustahil PAS, DAP dan PKR yang mempunyai perjuangan berbeza mampu duduk dalam pakatan yang sah. Mereka akan bertelagah tidak lama lagi kerana muafakat  yang ada sekarang semata-mata untuk menang PRU-13. Masa akan membuktikan pakatan rapuh pembangkang akan mengikut jejak  Angkatan Perpaduan Ummah yang dibentuk Tengku Razaleigh Hamzah menjelang PRU 1990 dan kini sekadar tinggal kenangan.

Rakyat wajar mengkaji sejarah dan menilai kemampuan kelompok atau individu sebelum membuat keputusan.

 PRU-13  adalah medan menentukan masa depan Malaysia.   Pilihlah yang terbaik berdasarkan akal dan kewarasan, bukan kerana ketaksuban yang boleh menjerumuskan generasi masa depan. - Berita Harian, 29 April 2013 (edisi petang) 

Sunday, April 28, 2013

Gelang Patah strategi runtuh kuasa BN

Belum pun hari pengundian PAS, DAP, PKR dan PSM sudah mendedahkan masalah mereka. Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang  ketika berceramah di Terengganu,  mendakwa ada calon pembangkang terbabit edar pil kuda  dan berfahaman komunis.

Sebelum ini dalam YouTube, Hadi  mengutuk golongan  berfahaman komunis yang dikatakan ada kaitan  ideologi  Lenin dan  Stalin.

Ramai yang hairan kenapa Hadi tiba-tiba  melatah sedangkan perjuangan komunis dan sosialis hanya tinggalan sejarah. Sisa pengikutnya tak banyak.

 Sejak runtuh Tembok Berlin  pada 9 November 1989, tiada siapa yang peduli  mengenai komunis dan sosialis.   Rakyat Malaysia tidak lagi bimbang dengan ancaman komunis sejak rundingan peletakan senjata dengan Parti Komunis Malaya (PKM) termeterai lebih dua dekad lalu.

Kenyataan Hadi  membayangkan sesuatu yang tidak kena sedang berlaku dalam pakatan pembangkang.

Ucapan  ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bukan  secara kebetulan  ketika  perlawanan sesama sendiri di tujuh kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) diperdebatkan.

 Hadi marah kerana PAS berdepan PKR  dan PSM, sedangkan matlamat parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu adalah menentang Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Bagi Hadi tindakan berlawan sesama sendiri adalah kesilapan besar yang menggambarkan pakatan pembangkang tidak sekata dalam banyak hal.

Walaupun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan menyelesaikan masalah di   tujuh kawasan berkenaan, sengketa dalaman tidak dapat dielakkan.

Dari segi matlamat,  pakatan pembangkang mempunyai muafakat yang rapuh berbanding kerjasama dalam BN sejak 1974.

PAS yang pada awalnya ditubuh untuk mendaulatkan negara Islam terpaksa mengubah haluan perjuangan dengan mengutamakan negara berkebajikan.

PAS menjaga  hati DAP yang  secara terbuka mempersenda cita-cita melaksanakan hudud jika berkuasa.

Pengerusi DAP, Karpal Singh  mencabar ‘langkah mayatnya’  jika laksanakan hudud di Malaysia yang dianggap tidak menepati peruntukan  dalam Perlembagaan.

Perjuangan DAP jauh berbeza dengan PAS. DAP adalah serpihan PAP di Singapura yang mengutamakan kepentingan kaum Cina, tapi memperalatkan perjuangan semua kaum menerusi konsep Malaysian Malaysia.

Isu kecinaan terutama ekonomi dan pendidikan menjadikan DAP jaguh kaum Cina dan mengatasi apa yang cuba dilakukan oleh MCA dan Gerakan dalam BN. Keadaan ini menyebabkan kaum Cina lebih tertarik dengan DAP yang lebih vokal berbanding MCA dan Gerakan.

Strategi tokoh DAP, Lim Kit Siang bertanding di kawasan Parlimen Gelang Patah dianggap serampang dua mata. DAP mahu menonjolkan survival di negeri  kubu kuat BN dan UMNO. Pada masa sama, Kit Siang  mahu buktikan Cina di Johor sudah mengikut perjuangan arus perdana yang berlaku di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kota Melaka dan Seremban. Gelang Patah   strategi runtuh kuasa Melayu.

Pakatan DAP dan PAS bukan kerana persefahaman perjuangan, melainkan kerjasama menjatuhkan BN bagi kepentingan DAP sendiri.

 DAP mempergunakan PAS dan PKR untuk menjayakan cita-cita kecinaan di seluruh Malaysia. PSM yang dikaitkan serpihan PSRM hanya tinggalan perjuangan sosialis yang tidak  mampu berdepan realiti sosial masa kini.

Kepentingan bersama membolehkan PSM menang di Kota Damansara pada 2008 sedangkan persaingan sebenar adalah di antara DAP, PAS dan PKR.

Dari segi siasah, kerjasama pakatan pembangkang tidak akan kekal kerana matlamat yang berbeza. Ketika PKR masih kemelut dengan isu moral pemimpin dan perjuangan, DAP dan PAS masih tidak sekata dengan perjuangan.

Mereka hanya  sandiwara tapi gagal melaksanakan pelan bertindak yang telus bagi kepentingan rakyat.

   PRU-13 menonjolkan pakatan pembangkang dengan matlamat yang sama. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menerajui negara 3 April 2009 memerlukan masa untuk menjayakan program transformasi menjelang 2020.

Persaingan di antara transformasi dan reformasi menjadikan PRU-13 semakin menarik. Seramai 13,268,002 pengundi akan menentukan masa depan Malaysia pada 5 Mei ini.  Cita-cita menjayakan negara maju dan modal insan terbilang akan musnah jika Malaysia ditadbir tanpa perancangan dasar yang telus.

Di sinilah perlunya kebijaksanaan ketika membuat keputusan di peti undi. PRU-13 bukan sekadar pilih wakil rakyat, tapi memilih kegemilangan untuk generasi akan datang. - Berita Harian, 27 April 2013 (edisi petang)

Wednesday, April 24, 2013

Masa untuk Selangor berubah

Tiada jaminan Selangor kekal negeri paling maju di Malaysia  jika pentadbiran lemah dan pelaksanaan projek pembangunan terbantut.

   Rakyat berhak menilai rekod pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum dirampas pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac 2008.

   Kejayaan Selangor bergantung kepada program transformasi ekonomi peringkat nasional dan bukan janji kosong yang dijaja di pentas ceramah politik.

   Banyak program kerajaan negeri masih kabur, termasuk janji bantuan bulanan kepada ibu tunggal, suri rumah dan warga tua seperti dilaungkan pakatan pembangkang.

   Ada yang mendakwa hanya kalangan penyokong mendapat bantuan, sedangkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan Datuk Seri Najib Razak dapat dinikmati semua pihak.

  Janji pakatan pembangkang memberi bekalan air percuma 20 meter padu pertama juga tidak menepati sasaran. Kebanyakan penduduk  berpendapatan rendah tinggal di rumah pangsa yang mempunyai meter bersambung (pukal) . Sasaran membantu mereka tidak tercapai kerana agihan penggunaan air dalam kalangan penghuni tidak sama.

   Sepanjang lima tahun lalu, Selangor bukan saja bermasalah dari segi ekonomi dan pentadbiran, bahkan gagal menangani gejala moral umat Islam.

   Walaupun EXCO kerajaan negeri disandang PAS yang kononnya memperjuangkan Islam,  kes jenayah syariah meningkat dalam tempoh lima tahun. Sebanyak 1,151 kes direkod oleh Bahagian Pendakwaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam tempoh enam bulan pertama 2012, melebihi jumlah yang direkod sepanjang 2011 sebanyak 1,077 kes.

   Peningkatan ini sangat serius dengan kadar purata 191 kes sebulan sepanjang 2012. Rekod tiga bulan pertama tahun ini dijangka meningkat berdasarkan beberapa laporan kes di media.

   Sekarang masa terbaik untuk rakyat membawa perubahan di negeri yang mempunyai  5,462,141 penduduk, dengan  Bumiputera sebanyak 57  peratus, Cina 28.6 peratus, India 13.5  peratus dan lain-lain 0.8  peratus.

   Pentadbiran negeri yang cekap mampu meneruskan transformasi ekonomi. Selangor tidak selamanya boleh bergantung faktor geografi yang berjiran dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Selangor memerlukan pelaksanaan program menyeluruh dan bukan sekadar bergantung kepada status Lembah Klang.

   Kita akui beberapa daerah seperti Kajang, Bangi, Petaling Jaya, Gombak dan Serdang menikmati pembangunan pesat. Tapi penduduk Banting, Sungai Besar, Kuala Langat,  Kuala Selangor dan Kuala Kubu Baharu  masih memerlukan kemudahan prasarana yang sepatutnya.

    Di sinilah perlunya sebuah kerajaan yang bukan saja bijak merancang, bahkan mampu melaksanakan program transformasi untuk rakyat.

   Rakyat berhak menilai manifesto BN dan Aku Janji Janji Ditepati Selangor yang mengandungi tujuh teras strategik dan 56 aku janji bagi memenuhi harapan rakyat membawa perubahan serta masa depan gemilang.

   Ia bukan omong kosong kerana BN mahu membawa perubahan dan bukan sekadar  menguasai semula pentadbiran kerajaan negeri.

   Beberapa janji BN yang terkandung dalam manifesto akan ditunaikan sebaik mendapat mandat. BN mampu memberi bantuan sara hidup minimum ibu tunggal RM250 sebulan dan penubuhan 14 pusat aduan rakyat di setiap pihak berkuasa tempatan dan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat bagi mengurangkan kadar jenayah.

   Di bawah teras Selangor lebih inovatif dan lebih daya saing, BN berjanji  memberi bantuan baucar buku RM200 untuk pelajar selain bantuan RM1,000 dan RM1,500 kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah.

   Janji itu sebahagian daripada usaha menampilkan modal insan cemerlang yang menjadi aset masa depan Selangor.

    Kecenderungan semasa menunjukkan rakyat semakin menerima janji perubahan yang dibuat BN sekarang.

   Tahun lalu Najib secara jujur mengakui BN pernah melakukan beberapa kesilapan pada masa lampau.  Kini kesilapan itu akan ditebus dengan pelbagai program yang sepatutnya dinikmati.

   Rakyat  sedar tipu helah pakatan pembangkang yang sekadar berpolitik untuk kepentingan peribadi.
   Retorik sekadar helah pembangkang yang bermuka-muka untuk mendapatkan kuasa. Mereka boleh menggunakan isu Melayu dan Islam apabila bertemu pengundi Bumiputera dan mengapikan perkauman dalam kalangan pengundi Cina.

   Sikap tidak bertanggungjawab itu perlu dihapuskan menerusi mandat baru kepada BN untuk mentadbir Selangor bagi tempoh lima tahun akan datang. - Berita Harian, 24 April 2013 (edisi petang)

Tuesday, April 23, 2013

Selak kain bukan cerita baru

Seks, perempuan dan ahli politik tidak pernah sunyi. Sejak dua bersaudara Kennedy – John dan Robert dipalitkan isu yang mencemarkan wibawa Amerika Syarikat (AS) dan Rumah Putih, penjawat Presiden lain tidak terkecuali.

   Dua dekad lampau ada jenaka mengenai cerut Bill Clinton. Nama Monica Samille Lewinsky tiba-tiba popular apabila dikaitkan skandal dengan Clinton.

   Tiada siapa yang peduli Lewinsky sebelum ini kerana gadis berbadan gebu itu hanya individu biasa yang bukan perancang utama di Rumah Putih.   Hubungan akrab dengan Presiden melonjak nama Lewinsky sehingga digelar Skandal Lewinsky atau Monicagate.

   Namanya menjadi sebutan, malah temu bual dengan rangkaian Cable News Network (CNN) mendapat tumpuan setengah bilion penduduk dunia.

   Dunia mengenali Lewinsky sebagai wanita Yahudi penggoda. Ayahnya imigran Yahudi Jerman, sementara ibunya, imigran Yahudi  Russia. Lulusan psikologi dari Lewis & Clark College di Portland, Oregon pada 1995, dia bertugas sebagai pelatih pembantu khas di pejabat Presiden ketika pentadbiran Clinton.

 Skandal seks seperti lazimnya dinafikan peringkat awal, tapi meriuhkan kemudian. Lewinsky popular dan menjadi jutawan kerana skandal. Buku memorinya meraih royalti AS$12 juta  dan penampilan di khalayak  jadi buruan paparazi. 

   Indonesia juga tidak terkecuali menerima kerenah perempuan dan seks. Presiden Sukarno dan Gus Dur (Abdurrahman Wahid) turut dikaitkan dengan perempuan.

   Jika Sukarno yang terkenal terlalu terbuka dengan perempuan dan mempunyai kecenderungan luar biasa, dakwaan terhadap Gus Dur sukar diterima. Pengikutnya mendakwa skandal seks beliau sekadar fitnah kerana mustahil seseorang yang dikenali ‘Kiai Haji’  boleh terbabit dalam isu  memalukan.

  Di negara kita, perempuan dan seks sering disebut walaupun sukar dibuktikan. Beberapa pembesar negeri dituduh melakukan salah laku seks  yang kemudian disahkan dakwaan palsu. 

   Timbalan Speaker Dewan Rakyat pernah meriuhkan suasana apabila pita video yang dikaitkan dengan beliau tersebar. Perbahasan di Parlimen menggamatkan apabila isu pita video dibangkitkan Karpal Singh beberapa kali.

 Jika seks dianggap tabu serta bertentangan dengan sistem nilai dan agama, kes selepas 1998 agak berbeza.

  Dakwaan salah laku seks dan isu moral mendapat pembelaan sesetengah pihak ketika golongan lain menganggap ia perbuatan tidak wajar dan bertentangan dengan Islam.   Ada yang membela secara terbuka apabila video cakera padat perlakuan sumbang menjadi sebutan ramai.

   Belum pun polis siasat kes video lucah, sudah ada tokoh yang melenting dan mendakwa fitnah terancang musuh politik.   Ketika kita meyakini teknologi maklumat sebahagian daripada perayaan sejagat, kita juga sangsi apabila media baru mendahului ‘siasatan’ dan bertindak sebagai hakim, sekali gus pendakwa.

   Lebih malang, media baru kurang mengutamakan etika pemberitaan sehingga mendakwa seseorang tidak bermoral, walaupun tidak dibuktikan menerusi pertuduhan di mahkamah terbuka.   Kita bimbang gejala perempuan, seks dan ahli politik  berlanjutan walaupun Malaysia sudah menjadi negara maju pada 2020.

 Seseorang yang kelihatan alim, berjanggut dan berketayap sering dijulang sebagai warak walaupun perlakuannya meragukan.  Imej ulama, intelektual Islam dan pemikir menjadikan seseorang itu dilihat bersih walaupun ada rakaman kamera yang meragukan wibawanya.

  Lebih malang, apabila ada kalangan pengikut  yang belum menonton rakaman berkenaan sudah mendakwa sebagai fitnah dan konspirasi untuk menjejaskan imej  golongan ulama.

  Ada ketika kita hairan bagaimana imej ulama digubah sebegitu rupa di Malaysia. Takrif ulama memadai dengan menyertai parti politik tertentu walaupun belum pasti keperibadian menonjolkan ciri umarak.

  Lebih malang apabila golongan yang pernah diundang membaca khutbah Jumaat sanggup melakukan sesuatu yang di luar tabii.

  Perlakuan yang dikaitkan berulang kali sejak tiga dekad lalu dinafikan pengikut sendiri kerana gerakan  siasah memerlukan pelakon yang handal. Seks dan perempuan sekadar alat yang didakwa strategi melemahkan musuh politik. Justeru, tidak memeranjatkan jika ada ustaz ditahan bersama isteri orang di kamar hotel! - Berita Harian, 23 April 2013

Monday, April 22, 2013

Jadi pemimpin tak semudah menyanyi

Tiada siapa yang menduga Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)  pada 5 Mei ini hanya   menampilkan penyertaan  tiga  artis veteran, walaupun sebelum ini dikatakan  ramai lagi yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang.
Jika dulu dua pemain bola sepak negara terbabit dalam pilihan raya umum  seperti dilakukan Datuk Soh Chin Aun dan Datuk Jamal Nasir Ismail, kini kalangan artis terbabit dalam politik kepartian.

Apakah mereka sekadar penumpang atau menyumbangkan jasa untuk parti dan negara?
Jika  Chin Aun  mencuba nasib  di  Kota Melaka pada 1986 tetapi tewas  17,606 undi kepada Lim Guan Eng, apakah  artis juga  bakal menempah nasib yang serupa?

   Penyanyi dangdut Herman Tino  atau   Masrun Tamsi mencabar Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar di kerusi  Parlimen Tanjong Karang. Turut bertanding calon PAS,    Mohamad Rashdi Deraman.

Herman Tino  dengan imej kain pelikat  yang popular dengan lagu  'Yale Yale' dan 'Pelita Dalam Kabus' mendapat pendidikan sehingga Tingkatan Tiga di Sekolah  Menengah  Kebangsaan  Datuk Harun,  akan  menggunakan lambang bunga raya pada pilihan raya ini.

Kita tidak   pasti sejauh mana kemampuan penyanyi dangdut untuk berbakti kepada masyarakat.  Apakah beliau mempunyai agenda membela rakyat Tanjong Karang atau sekadar menguji nasib?
Dari perspektif politik,  Tanjong Karang   satu-satunya kawasan di Selangor yang mengekalkan  semua calon BN yang bertanding pada PRU-12  dengan pengundi berdaftar  42,410  orang.  Pengundi Melayu seramai 31,096 orang, Cina (7,043), India (4,158) dan kaum lain (113).

 Pada  8 Mac 2008, Noh menang dengan majoriti  3,820  undi.  Mampukah Herman Tino  membuat kejutan di kawasan itu?

Kecenderungan semasa menunjukkan penduduk masih  memerlukan wakil yang boleh meningkatkan taraf hidup dan kemudahan prasarana.

Penyanyi  Dayangku Intan atau nama asal     Tengku Intan Tengku Abdul Hamid  menjadi calon PKR  di kawasan Parlimen   Pengerang. Beliau bakal berentap dengan penyandang,  Datuk Seri Azalina Othman (BN) dan  Mohd Azaman Johari (Bebas).

Pada PRU-12,  Azalina  menang tanpa bertanding di kawasan itu. Apakah Dayangku Intan mampu membawa cabaran atau kehadirannya sekadar melengkapkan senarai calon PKR semata-mata?
Seramai    37,999  pengundi bakal menentukan nasib Dayangku Intan. Apakah  populariti sebagai penyanyi boleh diterjemahkan di pentas politik?

Rakyat sedar menjadi wakil rakyat bukan sekadar bersuara   merdu, tapi melaksanakan amanah untuk bangsa dan negara.

Pengundi Johor sejak 1957 terkenal dengan kesetiaan terhadap BN dan UMNO. Jasa Azalina sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan tidak mudah dilupakan.

Pengerang juga terkenal dengan kawasan pembangunan baru yang pesat di selatan tanah air. Kejayaan dan   kepesatan pembangunan di Pengerang dikaitkan dengan  sumbangan  Azalina.
Begitu juga  cabaran penyanyi Aishah atau Wan Aishah Wan Ariffin (PAS) di Jempol tidak semudah ramalan. Berentap dengan veteran UMNO seperti   Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (BN) bukan mudah.

Reputasi Isa sebagai bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun perlu dihormati. Jasanya membangunkan  Negeri Tanah Adat sejak April 1982  hingga  Mac 2004  tidak boleh dianggap remeh.

Isa juga pernah menjawat   Menteri Wilayah Persekutuan dan   Naib Presiden UMNO  yang berpengaruh. Pengundi   akan menilai  perbezaan peribadi  calon sebelum membuat pilihan muktamad di peti undi.

Jika Isa terkenal sebagai pentadbir yang membawa kemajuan di Negeri Sembilan, reputasi Aishah sebagai  bekas  penyanyi Aishah and The Fan Club  pernah dikagumi.

Nama Aishah memuncak  ketika berada di New Zealand pada dekad 1980-an dan 1990-an. Album  ‘Sensation’ pernah menjadi kegilaan di Asia.

Bagaimanapun menjadi wakil rakyat tidak semudah menyanyikan lagu  ‘Paradise’ dan  ‘Call Me’.
Aishah perlu  menilai sokongan rakyat dan menghargai pengaruhnya di kawasan luar bandar. Bukan mudah memecah tembok  tradisi BN kerana  65,213  pengundi Jempol sentiasa menghargai nilai desa sesuai dengan adat perpatih.

Pada PRU-12,  Datuk Lilah Yasin  (BN) menang di kawasan itu dengan majoriti  12,320  undi. Isa tentunya bersedia menghadapi cabaran dengan memanfaatkan pengalaman empat dekad berpolitik.
Sejak tiga tahun lalu, pakatan pembangkang terutama PAS dan PKR sering mencanang kehadiran artis sebagai pembawa perubahan dalam parti.

Beberapa nama sering disebutkan bakal bertanding.  Bob Lokman, Hairie Othman, Abu Bakar Omar,  Abby Abadi dan  Man Kadir (Pak Jabit) dikaitkan sebagai penyokong pembangkang.
Mereka tidak bertanding pada PRU-13 walaupun ramai yang menduga berlaku kejutan pada saat akhir.

Tentunya ramai yang menanti untuk melihat  Bob Lokman dan Abby Abadi  diadili secara terbuka di peti undi kerana mereka kerap berceramah dan  komited dengan perjuangan Islam.
Selepas kedua-duanya mendapat gelaran ustaz dan ustazah di pentas PAS, rakyat berhak menilai keupayaan mereka. Sambutan hangat pada majlis ceramah sepatutnya diterjemah di peti undi. Pembangkang takut  risiko meletakkan lebih ramai artis bertanding kerana keupayaan mereka belum tentu membantu kemenangan parti.

  Sejarah membuktikan penggiat seni tidak semestinya berjaya sebagai ahli politik. Kecuali bintang Cowboy kelas tiga,  Ronald Wilson Reagan yang mewakili Republikan  berjaya menduduki Rumah Putih selama dua penggal  (1981–1989),  artis lain sekadar penumpang pentas politik.

Pelakon  Sophan Sopian tidak berhasil melonjak dalam politik Indonesia. Beliau terpaksa berundur kerana populariti filem berbeza dengan siasah.

 Begitu juga  Joseph Estrada yang walaupun pernah menjawat Presiden Filipina  (30 Jun 1998 hingga 20 Januari 2001) namun pentadbirannya dipertikai. Dasar luar dan ekonomi Manila terjejas di bawah pentadbirannya. 

Artis yang terbabit pada PRU-13 bakal   berdepan ujian sukar. Selain reputasi parti dan peribadi, mereka juga wajar belajar daripada sejarah rakan artis di luar negara. Arnold Schwarzenegger, Sophan dan Estrada bukan ikon terbaik untuk dicontohi. Rakyat akan menilai kehadiran artis pada  5 Mei ini. - Berita Harian, 22 April 2013 (edisi petang)